Saturday 26 April 2014

SHAHNON AHMAD




1.0       PENGENALAN
            Shahnon Ahmad adalah seorang tokoh yang cukup istimewa. Ini disebabkan beliau adalah seorang tokoh sastera Melayu yang dikagumi, dihormati dan disayangi. Beliau juga turut dikenali sebagai seorang pengarang, penyelidik, pengkritik dan pengajar kesusasteraan yang memperlihatkan pemikiran sebagai seorang Melayu yang penuh nasionalisme Melayu, sebagai seorang Islam yang penuh ke-Islamannya, dan sebagai seorang pengarang yang amat kental dengan teknik, inovasi dan kreativitinya.
2.0       ISI
Menurut Mohd. Yusof Hasan (1990), Dato’ Haji Shahnon Ahmad dilahirkan pada 13 Januari 1993, di Kampung Banggul Derdap, sebuah kampung pedalaman di daerah Sik, Kedah Darulaman. Beliau merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik. Bapanya, Haji Ahmad bin Haji Abu Bakar atau gelaran sehariannya Pak Mat adalah berasal dari Medan, Sumatera dan telah meninggal dunia pada tahun 1981. Waktu muda, Haji Ahmad telah mengembara dari tempat asalnya dan berkahwin dengan ibu Shahnon serta menetap di Sik. Pada mulanya, dia bekerja di Jabatan Ukur dan kemudian menjadi posmen. Pada masa Perang Dunia Kedua, dia menjadi perisik kepada pihak British bagi mencari maklumat-maklumat rahsia tentang gerakan-gerakan pihak Jepun. Sesuai dengan tugasnya sebagai posmen, dia bebas masuk ke kubu-kubu[1] tentera Jepun untuk membantu pihak British ketika itu. Kubu-kubu pihak Jepun ketika itu terletak di Gurun dan Guar Chempedak.

            Sebagai orang yang agak berpelajaran, Haji Ahmad sedar akan kepentingan menyekolahkan anak-anaknya. Haji Ahmad adalah golongan yang berpendidikan kerana telah banyak merantau sebelum sampai dan bermastautin di kampong tersebut. Justeru itu, Shahnon Ahmad mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sik pada tahun 1941. Tindakan menyekolahkan kedua-dua[2] anaknya ke sekolah Inggeris di Alor Setar yang jauhnya 72 kilometer dari kampungnya telah dipandang serong oleh orang-orang kampung. Mereka menganggap perbuatannya itu agak luar biasa kerana sebelum ini belum ada lagi orang yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris. Biasanya, seseorang anak di Kampung Banggul Derdap yang tamat sekolah Melayu akan diserah untuk melanjutkan pelajaran di sekolah agama pondok[3].
            Pak Mat menggunakan wang hadiah perkhidmatannya yang diterima daripada kerajaaan British untuk perbelanjaan sekolah kedua-dua orang anaknya. Ini kerana apabila pihak Inggeris berkuasa semula pada tahun 1945, telah menawarkan wang hadiah kepadanya atas perkhidmatannya sebagai perisik. Oleh kerana dia tidak mampu menyediakan wang untuk anak-anak bersekolah di luar daerah, Pak Mat mahukan wang hadiah itu ditukar dalam bentuk biasiswa untuk anak-anaknya. Dia berjaya dalam permohonan itu dan kedua-dua orang anaknya merupakan anak Kampung Banggul Derdap yang pertama sekali mendapat pendidikan Inggeris. Pak Mat meninggal dunia pada 1981.
            Ibunya, Hajah Kelsum binti Haji Mohd. Saman, berasal dari Kampung Poseng, Pattani, Thailand. Dia merupakan generasi kedua daripada keturunan Pattani yang perpindah dan bermastautin di Kampung Banggul Derdap. Mak Kesum bekerja sebagai petani di sawah pusaka tinggalan bapanya.Ibu bapa Shahnon merupakan orang yang gigih, cekal dan tabah dalam mengharungi kehidupan.[4] Sikap dedikasi Shahnon terhadap keluarga di sebelah bapanya yang masih menetap di Medah, Sumatera digambarkan dalam novelnya.[5]
Shahnon merupakan seorang kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan tidak suka bercampur-gaul dengan orang lain. Apa yang sering dilakukannya adalah mengikut ibunya ke sawah. Di situlah dia bermain dengan air sawah, mencari ikan serta menolong ibunya mencabut rumput dan sebagainya. Apabila masuk ke sekolah rendah, Shahnon terpaksa menyesuaikan diri dalam suasana persekolahan yang penuh dengan keriuhan, perlumbaan dan cabaran. Hal ini menunjukkan pahit manis kehidupan Shahnon yang sejak dari kecil lagi telah dibesarkan dan dididik dengan cara yang serba sederhana dengan hasil padi sawah dan ini telah menyebabkan Shahnon cepat matang berfikir dalam melahirkan idea seperti novel Seluang Menodak Baung yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd, pada tahun 1978.
Setelah lulus Darjah V (1946), beliau menuntut pula di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar sejak dari tahun 1947 hingga 1953. Bagi beliau, kolej itu merupakan satu tempat yang berlainan sekali dengan suasana di kampung atau sekolah asalnya. Di sini, beliau bertemu dengan mereka yang pelbagai kaum dan dari beberapa daerah di seluruh dunia. Pada zaman persekolahan ini, Shahnon tidak menunjukkan kecenderungan pada kesusasteraan, tetapi lebih suka berlawak jenaka sahaja. Perwatakannya sebagai orang yang datang dari ‘hulu’ dan cara pertuturannya pelat Pattani menjadi bahan ketawa dan sindiran rakan sekolahnya. Secara psikologi, ejekan dan sindiran itu telah menambahkan lagi keyakinan diri, dan apabila hal itu sudah menjadi sebati, ini dijadikan pula sebagai bahan jenakanya.
Ketika di sekolah menengah, Shahnon lemah dalam pelajarannya. Ini mungkin disebabkan dia tidak berminat dalam pelajaran dan berasa dirinya seolah-olah dipaksa oleh bapanya untuk belajar di sekolah itu. Kemungkinan juga disebabkan suasana bandar yang tidak sesuai dengan jiwanya lebih bersifat kedesaan. Pernah beberapa kali pihak British memberi amaran untuk menarik balik biasiswa persekolahannya memandangkan kemajuan pelajarannya yang tidak memuaskan. Walau bagaimanapun, dia berjaya menghabiskan persekolahannya dengan kelulusan gred ketiga dalam Peperiksaan Sijil Persekolahan Senio Cambridge.
            Setelah tamat sekolah menengahnya, Shahnon memperlihatkan bakatnya sebagai penulis. Kemunculannya mungkin daripada sebab-sebab peribadi dan alam sekitar yang pernah dilaluinya. Sifatnya yang sensitif mendorongnya menulis kisah-kisah hidup manusia yang berlaku di sekelilingnya. Keadaan keluarga dan latar belakang hidupnya juga menjadi pendorong yang besar untuk dia menulis terutamanya yang berkaitan dengan isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kemiskinan adalah keadaan di mana berlaku kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti hidup manusia. Makna lain kemiskinan juga adalah apabila sesuatu tempat itu tidak mempunyai jaringan pendidikan dan pekerjaan yang boleh menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup sekumpulan masyarakat.
            Menurut Shafie Abd Rahman (2007), Shahnon telah mendirikan rumah tangga dengan Wan Fatimah iaitu seorang guru dan telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Pada tahun 1976, beliau telah menunaikan haji ke Mekah.
Pada tahun 1968, beliau telah berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai pegawai penyelidik di Australia National University (ANU). Di sana, beliau mengambil kesempatan untuk terus menuntut di ANU sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, beliau ditawarkan berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah dalam tahun 1974. Minat dan kesungguhan beliau dalam bidang akademik terbukti apabila beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975.
Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi professor penuh di universiti yang sama. Beliau juga dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam. Shahnon giat menulis sejak pertengahan tahun 1950 dalam genre novel, cerpen, drama, kajian, esei/kritikan dan wawancara. Antara novel terkenal beliau ialah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge dan Shit. Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau ialah Hadiah Karya Sastera (1971-1973), "Pejuang Sastera" oleh Perdana Menteri pada tahun 1976, Anugerah Sastera Negara (1982), dan Anugerah ASEAN II Kebudayaan, Komunikasi dan Persuratan Kesusasteraan (1990).
Pada tahun 1980, beliau dianugerahi Pingat Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah oleh Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang membawa gelaran Datuk. Beliau juga pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah dan pernah menjadi wakil rakyat Parlimen Sik. Shahnon mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis berbakat besar.
Shahnon Ahmad kemudian dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) mulai tahun 1982. Disebabkan sumbangannya yang besar dalam bidang kesusasteraan tanah air, Shahnon Ahmad telah dianugerahi Profesor Emeritus oleh USM pada tahun 1993. Sejarah dan perkembangan pengajian kesusasteraan di PPIK amat sinonim dengan peranan yang dimainkan oleh Shahnon Ahmad, termasuk mengendalikan kursus kajian cereka, penulisan kreatif dan kesusateraan Amerika Latin.
               Dalam novel Rentong , Shahnon dilihat cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah ruah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya sendiri iaitu Banggul Derdap. Kebijaksanaan Shahnon Ahmad mengangkat watak-watak dalam novel tersebut seperti Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma. Tujuan Shahnon mengetengahkan konflik jiwa orang kampung ini adalah supaya golongan pemimpin sedar akan kebuntuan dan keperluan masyarakat desa yang terus terpinggi oleh arus pemodenan.
Shahnon Ahmad,  merupakan penulis yang amat prolifik menghasilkan karya kreatif terutama cerpen dan novel di samping esei kritikan dan terjemahan. Pendidikan Inggeris yang diperoleh adalah satu kelebihan yang ada pada dirinya berbanding dengan golongan seangkatan dengannya pada ketika itu. Beliau telah memberi sumbangan yang besar dalam cerpen terjemahan terhadap karya-karya pengarang dari Barat dan Timur. Pada awal tahun 1960-an, Shannon telah berusaha menyumbangkan cerpen terjemahannya. Antara contoh cerpen terjemahannya ialah antalogi ‘Setanggi’ (Karya dari Timur dan Barat) dan ‘Cepu Kencana’ serta beberapa lagi hasil terjemahannya yang tedapat dalam majalah Mastika ketika itu. Beliau bukan sahaja memperbanyakkan karya asing dalam bahasa Melayu, tetapi juga telah berjaya memperkenalkan kesusasteraan luar kepada masyarakat Melayu.
Selain dikenali sebagai penulis yang kerap memenangi hadiah atas hasil karyanya, beliau juga merupakan penulis yang banyak mengundang kontroversi disebabkan gaya bahasa yang digunakannya serta tema karya-karyanya. Walau apa pun yang diperkatakan orang, namun Shahnon terus menulis, bukan untuk bersastera semata-mata bahkan untuk mencari kepuasan dan kebenaran. Esei-esei yang terdapat dalam buku-buku beliau meliputi penyelidikan dan penulisan berdasarkan karya-karya yang telah dihasilkannya. Sebanyak 21 buah esei dimuatkan, yang memperkatakan novel kedesaan awalnya Rentong hinggalah novel Shit yang dianggap satira politik.
          Sebelum Shahnon Ahmad,  belum pernah ada pengarang yang menyentuh isu-isu kemiskian secara terperinci. Shahnon berjaya membawa pembaca merasa kesan kemiskinan hidup tersebut dan pembaca juga seperti pemerhati sahaja dan tidak terdaya melakukan apa-apa sepanjang menghayati novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Dalam novel tersebut juga kita dapat merasai bagaimana kedaifan hidup golongan petani, walau apapun di sebalik kesusahan dan kemiskinan tersebut telah terserlah sebutir permata yang bernilai dan murni.         
         Karya-karya yang Shahnon Ahmad hasilkan bukan sekadar hiburan dan ilmu untuk santapan  masyarakat. Malah  memberitahu golongan atasan bahawa kemiskian dan kesusahan hidup masyarakat desa yang tidak pernah diambil peduli oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Shahnon Ahmad adalah seorang yang bersikap revolusioner dalam mengangkat martabat masyarakat miskin di negara ini. Banyak ahli politik mengatakan beliau mengucar-kacirkan  masyarakat, namun tanggapan tersebut adalah silap kerana Shahnon Ahmad memperjuangkan sesuatu yang murni dan tulus dalam dunia sasteranya.
          Bagi Shahnon Ahmad amat perlu pengarang-pengarang lain bersikap revolusioner demi membangunkan sebuah negara yang maju dan adil. Revoluisoner menurut pandangan Shahnon Ahmad ialah perlunya bersuara keras dan bertindak keras untuk meruntuh dan menghancurkan sesuatu  itu dan disertakan pula dengan daya cipta untuk membina sesuatu yang baru sebagai ganti yang lapuk, yang diruntuh dan dirubah. Pemikiran seorang intelek seperti Shahnon Ahmad kurang disukai oleh barisan kepimpinan negara kerana boleh mengugat kedudukan mereka melalui karya-karya kreatif Shahnon yang tajam serta memberitahu segala sesuatu yang pincang dalam  masyarakat terutamanya golongan miskin.
          Sumbangan Shahnon Ahmad yang sangat ketara dan jelas dalam mengangkat isu-isu kemiskinan ialah dalam sebuah novel autobiografi hasil tulisan beliau sendiri yang bertajuk Detik-detik Diri di Daerah Daif (DDDD). Isi kandungan novel ini adalah berkisar kepada permasalahan manusia yang hidup di kawasan desa. Beliau berusaha mengangkat keperitan hidup seseorang individu yang mahu berjaya dan meloloskan diri dari kemiskinan untuk bersaingan dengan orang luar ataupun golongan masyarakat yang mempunyai taraf kehidupan yang mewah dan berharta. Nilai kasih Shahnon terhadap golongan yang miskin sangat tinggi. Hal ini mendorong beliau untuk mengahsilkan karya sebegini supaya masyarakat tahu, sedar dan ingat jika menghadapi kesenangan kerana di dalam mereka mengalami kesenangan dan kenikmatan hidup, sebenarnya ada segelintir lagi yang malang tidak dapat menikmati kebahagiaan yang sedia ada.
          Sumbangan yang paling agung dan unggul Shahnon dalam bidang penulisan adalah kerana beliau seorang penulis yang begitu sensasi terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar lingkungan masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakan Malay Power (Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar Jaffar : 2007) apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu apabila keadaan politik, ekonomi dan sosial menekan seperti peristiwa 13 Mei 1969. Sebab dan akibat ini adalah mendorongnya meningkat dari pemikiran membela orang yang miskin untuk berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila terpaksa berhadapan dengan kekuatan manusia- manusia yang riak.
 Ketokohan Shahnon dalam mengangkat isu kemiskinan dengan berkesan dalam penulisan karya kreatif tiada penggantinya sehingga ke saat ini.. Sumbangan Shahnon ini sebenarnya telah berjaya meringankan beban yang membelenggu naluri dan jiwa masyarakat desa yang tidak mampu bersuara. Hanya mata pena Shahnon Ahmad yang mampu menjerit dan memanggil meminta pertolongan bagi mengubah nasib golongan hamba Tuhan yang kurang bernasib baik ini.
                Menurut Abdul Rahman Napiah di dalam Shahnon Ahmad Tokoh Terbilang, Shahnon Ahmad telah membuktikan bahawa dirinya adalah karyawan serba boleh. Malah kekuatan bahasa novelnya sangat kuat dan mengasyikkan. Teks-teks novelnya menjadi wahana suatu kebangkitan umat pascamerdeka dan wacana kuasa yang tidak ternilai. Seluruh pemikiran, imaginasi dan ilusinya malah sepanjang hayat kepengarangannya, beliau tidak pernah mengenal erti bersara, malah terus berkarya bagi memartabatkan kesusasteraan Melayu dan takdir bangsanya. Sesungguhnya, Shahnon adalah novelis yang menjadi kebanggaan umat Melayu, namanya seharum Tuah dan pemikirannya serasional Jebat. Sumbangannya juga dapat dilihat apabila beliau telah mengemukakan gagasan ‘Sastera Islam’ pada tahun 1977. Beliau menegaskan sastera Islam perlulah berhikmah untuk manusia sejagat sebagai satu ibadat.
            Beliau juga mendapat penghormatan dari negara luar untuk terlibat dalam aktiviti kesusasteraan. Pada tahun 1973, beliau menghadiri Afro Asian Writers Conference di Alma Ata, Soviet Rusia bersama-sama dengan Prof. Dato Ismail Hussein sebagai wakil Malaysia dan GAPENA. Malah, beliau juga pernah dilantik menjadi ahli panel pengadil bagi Peraduan Mengarang Cerpen anjuran majalah Asiaweek.
            Tarikh 24 Disember 2004, hari Jumaat merupakan tarikh penting dalam kehidupan beliau. Pada hari tersebut, Shahnon Ahmad dipilih sebagai penerima hariah bahagian genre novel dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003. Hadiah tersebut disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur diterima oleh cucunya sendiri sebagai wakil beliau. (Mohd Yusof, 2009).
3.0       KESIMPULAN
             Shahnon Ahmad merupakan pengarang yang berani menulis tentang apa-apa yang terasa dibenaknya tanpa mempedulikan sama ada karyanya nanti menjadi kontroversi atau menyepi. Penulisannya berkembang menurut zaman hidupnya dan fesyen sastera semasa. Sesungguhnya, sebagai pengarang kreatif, Shahnon telah banyak menyumbangkan jasanya terhadap perkembangan sastera. Betapa sukarnya untuk mencari penulis-penulis dalam kalangan jenerasi baru yang berjiwa kemiskinan atau memartabatkan nilai kemiskinan untuk disanjung di mata pena. Hanya mata pena beliau yang mampu menjerit dan memanggil meminta pertolongan bagi mengubah nasib golongan hamba Allah yang kurang bernasib baik ini. Terpulanglah kepada kita untuk menilai dan meletakkannya menurut ilmu dan selera masing-masing.
 
RUJUKAN
Belkam K. (1998, April ). Shahnon Ahmad sebagai penterjemah. Pelita Bahasa, 22-23.
Eng Lye Ooi. (2007). Novel terpilih Shahnon Ahmad: satu kajian pendekatan gender. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamzah Hamdani & Zeti Aktar Jaafar. (2007). Shahnon Ahmad dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Yusof Hasan. (1990). Sasterawan negara: Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur : Dewan  Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Yusof Hasan. (2005, Februari). Ziarah semula ke atas Shahnon Ahmad. Dewan Sastera,7-11.

Mohd. Yusof Hasan. (2009). Pemikiran global sasterawan negara, Shahnon Ahmad. Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim.
Shafie Abd Rahman, Kamarizan Hamzah & Suriana Harun. ( 2007). Tokoh Sasterawan. Selangor: Penerbit Persepadu Ilmu.
Shahnon Ahmad. (2007). Ranjau sepanjang jalan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Shahnon Ahmad. (2006). Setitis embun semarak api. Selangor: Alaf 21 Sdn. Bhd.
Siti Hajar Che Man. (2010). Resah manusia desa dan kota, sebuah festschrift untuk Shahnon Ahmad. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Yahya Ismail. (1976). Bimbingan sastera Melayu moden. Melaka: Toko Buku Abbas Bandong.

Sumber Internet:

Esei : Sumbangan Shahnon Ahmad dalam mengangkat isu kemiskinan dalam novel pilihan, capaian Monday, July 19, 2010.

Nota Srengenge dari

Research, Innovation & Creativity of humanities, Rich, Volume 3, 2008-2009.

Sasterawan Negara – Shahnon Ahmad, capaian Sabtu, 4 Jun 2011.


Shahnon Ahmad, capaian 25 May 2012



Sumber Jurnal :
Laurent Metzger. (2009, August). Continuity and Change in the Itinerary of the Malay Novelist, Shahnon Ahmad, Journal of Southeast Asian Studies.

Mohd. Zariat Abdul Rani. (2008, Disember). Poligami dan gender dalam Tok Guru karya Shahnon Ahmad dan Pujangga Melayu karya Mohd. Affandi Hassan, Akademik 74.


[1]  Kubu-kubu tentera Jepun ketika itu ialah di Gurun dan Guar Chempedak.
[2] Abang Shahnon bernama Mohd. Noh. Pernah memegang jawatan sebagai seorang pegawai tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia dan menjadi Yang Berhormat di Sik.
[3] Sekolah agama yang bersistem pondok pada masa itu ialah Pondok Gajah Mati. Dekat Kampung Banggul Derdap itu sendiri terdapat sebuah sekolah agama pondok iaitu di Kampung Banggul Kiat.
[4] Cerpen “ Di Tengah Keluarga”. (1960). Debu Merah , Melaka:  Dewan Bahasa.
[5] Ranjau Sepanjang Jalan. (1966).  Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Berhad.

No comments:

Post a Comment