Saturday 26 April 2014

Peranan Nilai Dalam Pendidikan



1.0       Pengenalan
Nilai murni sewajarnya menjadi asas pembinaan dan pembangunan manusia.  Maka dengan itu setiap masyarakat perlulah mempertahankan nilai murni atau nilai baik supaya dapat membendung segala bentuk kejahilan, kemungkaran, kejahatan , dan juga kemusnahan.  Nilai murni dan nilai baik perlu dijadikan teras yang diterapkan dalam kurikulum dan juga dalam segala bentuk pendidikan sama ada secara formal mahupun secara tidak formal di sekolah.  Sememangnya sekolah menjadi institusi pendidikan yang penting dalam usaha menyemai dan mengukuhkan pemupukan nilai-nilai murni agar dapat melahirkan warganegara yang bertanggungjawab serta dapat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan seharian mereka.  Nilai murni sesungguhnya merupakan tonggak nilai kemanusiaan yang mampu membentuk pembinaan sahsiah serta kekuatan peribadi, moral, sosial, dan rohani.

            Kementerian Pelajaran sendiri menyedari betapa pentingnya pemupukan nilai murni bermula di sekolah dan memberi penekanan secara menyeluruh terhadap semua mata pelajaran yang dikenali sebagai ‘nilai merentas kurikulum’.  Antara objektif penerapan nilai murni melalui pendidikan termasuklah menanamkan kesedaran, kefahaman, keyakinan diri dan kesyukuran, menanamkan semangat cinta akan nilai suci serta menghormati kebaikan dan membenci kejahatan.  Selain itu pemupukan nilai murni juga diharap dapat embentuk sikap positif yang berguna kepada agama dan bangsa, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta dapat menghapuskan sikap negative dalam kehidupan.

2.0       Definisi nilai
            Nilai murni dapat ditakrifkan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan.  Menurut   Scott  dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011),  nilai merupakan sesuatu konsep bagi individu atau kelompok tentang perhubungan unggul yang digunakan untuk menilai sesuatu kebaikan atau keburukan, dan sesuatu kebenaran atau kesalahan.  Manakala Rokeach dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011), pula berpendapat bahawa nilai merupakan suatu kepercayaan seseorang atau kelompok tentang rupa atau sesuatu matlamat yang perlu dan boleh disusun mengikut kepentingan tertentu dengan berdasarkan keutamaan bagi setiap ciri nilai itu sendiri.
            Ismail Hamid (1988), pula berpendapat nilai yang disanjung oleh sesebuah masyarakat ialah system yang dianggap baik dan dijadikan pedoman tertinggi bagi kelakuan setiap anggota masyarakat.  Sementara Othman Puteh (1996), pula mendefinisikan  nilai sebagai unsur yang terdapat dalam semua ajaran moral yang popular dan unsur nilai ini adalah berdasarkan pengiktirafan bahawa individu dalam sesuatu kelompok sosial itu saling memerlukan antara satu sama lain. Menurut Wan Mohd. Zahid (1988):
“Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi criteria atau ukuran.  Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama.  Memang menjadi tujuan semua agama untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.”
(Wan Mohd. Zahid, 1988)


3.0       Nilai murni dalam peribahasa yang dikaji
Dalam peribahasa Melayu, aspek nilai-nilai murni merupakan tanggapan tentang perkara-perkara baik atau positif yang dikehendaki dan pada masa yang sama menjadi kriteria atau ukuran.  Ia bertujuan  untuk membentuk dan mendidik bangsa Melayu dengan adab susila yang baik dan wajar.  Terdapat lebih kurang 17 nilai murni dalam peribahasa Melayu yang dikaji seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.  Berikut adalah huraian tentang aspek nilai-nilai murni yang terdapat dalam peribahasa Melayu.
Nilai yang pertama ialah berdikari.  Berdikari membawa maksud keupayaan bertindak sendiri, berkeyakinan dan cekal dalam menghadapi pelbagai dugaan.  Nilai berdikari boleh dilihat menerusi peribahasa ‘jika tidak dipecahkan ruyung, di mana boleh mendapat sagu’.  Ini bermaksud sesuatu hajat itu tidak akan tercapai sekiranya tidak berusaha.  Beberapa peribahasa lain yang mengandungi nilai berdikari ini ialah ‘jika tak lalu dandang di air, di gurun dirangkakkan’ dan ‘ kalau ada beremas, hidup; kalau tiada, mati’.
Nilai berhemah tinggi pula boleh didapati menerusi peribahasa ‘jika bunga tak hendak, dipersunting, Boleh dibuat peraksi kain’,’jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya’dan ‘ jangan memijak benang arang orang’.  Nilai ini menggambarkan tentang adab susila dan tingkah laku yang baik yang berlaku dalam masyarakat.  Hemah tinggi juga merujuk kepada sifat-sifat atau amalan yang mulia seperti sopan santun, bertimbang rasa, belas kasihan, murah hati, ramah dan pemaaf. 
Nilai seterusnya ialah hormat.  Perkataan hormat disini merujuk kepada sifat hormat yang harus diamalkan oleh setiap orang.  Nilai hormat boleh dilihat dalam peribahasa ‘jangan diajar orang tua makan dadih’, ‘jangan difikirkan bengkok tebu itu bengkok pula manisnya’  dan ‘jangan tercirit di periuk’.  Nilai murni ini merujuk kepada perlunya rasa hormat terhadap perasaan, pendapat dan budaya orang lain.
Selain itu, nilai kasih sayang juga banyak terdapat dalam peribahasa Melayu. Antara peribahasa tersebut ialah, ‘ jerat semata bunda kandung’, jauh di mata, dekat di hati, ‘jikalau kasihkan padi, bungkanlah rumput’ dan ‘ kalau getah meleleh, kalau daun melayang’. Nilai kasih sayang dalam peribahasa bukan sahaja terhadap manusia, tetapi juga merangkumi kasih sayang terhadap Tuhan, yang maha Esa, alam sekitar, harta benda dan sebagainya.  Makna kasih sayang dalam peribahasa terlalu meluas dan agak sukar untuk tafsirkan.
Nilai murni seterusnya ialah keadilan.  Nilai ini boleh di dapati dalam peribahasa ’ kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya’, ’kalau kena tampar biarlah dengan tangan yang pakai cincin, kalau kena tentang biarlah dengan kaki yang  pakai kasut’ dan ’ jika salah sebatang dicabut, salah serumpun dibongkar, salah separuh dirambah’.  Nilai ini menghendaki kita haruslah adil dalam membuat sebarang tindakan.  Tindakan dan pertimbangan yang diambil juga haruslah sesuai, menyeluruh dan bersifat positif.
Nilai murni lain ialah kejujuran.  Antara contoh peribahasa Melayu yang mengandungi  nilai kejujuran ialah, ’ jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai’, ’ kaki terdorong badan merasa, lidah terdorong emas padahnya’ dan ’ jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya’.  Nilai jujur dalam peribahasa ini bermaksud melakukan sesuatu mengikut kemampuan diri sendiri dan tidak mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Kejujuran juga meliputi sikap amanah,ikhlas dan berintegriti dalam melaksanakan sesuatu.
Sementara nilai keberanian pula boleh dilihat dalam peribahasa ’jauh boleh ditunjukkan, dekat boleh ditakukkan,’jika diturut hati yang geram, hilang takut timbul berani’ dan ’jikalau memelihara ayam ; musang jangan dijinakkan, setidak-tidaknya bertempiaran kelak’.  Nilai ini menunjukkan setiap tindakan yang diambil haruslah bersemangat dan berani.  Aspek keberanian menjurus kepada berani bertindak, berani memberi pendapat dan berani mempertahankan hak dan kewajipan.
Nilai murni bijaksana terdapat dalam peribahasa ’ jangan menggerak ular tidur’, ’jangan menggegai sempada di bawah batang’, ’jangan menyuruh kapak menyelam beliung’ dan ’kalau di bawah pandai melompat, kalau di atas menyusup’.  Kita perlulah  pandai membezakan baik dan buruknya sesuatu tindakan yang dilakukakan.  Kebijaksanaan dalam sesuatu tindakan mencerminkan seseorang yang bertanggungjawab, berhati-hati, berpandangan jauh serta memiliki pemikiran yang kreatif dan proaktif.

Rujukan

Ismail Hamid. (1988).  Masyarakat dan budaya Melayu.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa
       dan Pustaka.

Othman Puteh. (1996).  Cerpen-cerpen Keris Mas:  Satu tinjauan dari sisi nilai nasionalisme. Dlm. Siti Aishah Murad (peny.), Konsep nilai dalam kesusasteraan Melayu.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
           
Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin. (1988). Kertas kerja:  Kea rah pelaksanaan nilai-nilai
       Dalam KBSM:  Falsafah pendidikan negara.  Seminar nilai-nilai murni merentas
       Kurikulum dalam KBSM.  Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. (2011).  Peribahasa Melayu:    Penelitian Makna & nilai.   Serdang:  Penerbit Universiti Putra Malaysia.

No comments:

Post a Comment