Saturday 26 April 2014

Pembestarian Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu




1.0       Pengenalan.
Sekolah Bestari merupakan salah satu daripada tujuh aplikasi utama yang direncanakan dalam Koridor Raya Multimedia sejajar dengan hasrat mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dalam mencapai Wawasan 2020.  Pernyataan rasmi yang menjadi dasar kepada pembentukan Sekolah Bestari ini ialah “Smart School Flagship Application : The Malaysian Smart School A Conceptual Blueprint oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (1977). 
            Sebanyak 87 buah sekolah  telah terlibat dalam projek Rintis Sekolah Bestari yang bermula sekitar tahun 1999 hingga 2002.  Kemudian projek ini telah diperluaskan lagi kepada 10,000 buah sekolah yang bermula pada tahun 2002 hingga 2010 di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) dan Ke-9 (RMK9) dalam Program Pembestarian Sekolah.

Matlamat utama pembestarian sekolah ialah untuk melahirkan pelajar yang holistik, berfikiran kritis dan kreatif serta mampu membuat pertimbangan yang wajar dan bijak  mengikut acuan Malaysia.   Justeru itu bagi memastikan matlamat ini tercapai, maka pelbagai perubahan dan pembaharuan  perlu dilakukan terutama dalam kurikulum sekolah.  Elemen utama bidang kurikulum yang menjadi fokus dalam program Pembestarian  Sekolah ini ialah pedagogi.  Pedagogi bestari menurut acuan Malaysia adalah berpandukan  kepada Sukatan Pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Bagi memastikan kejayaan Pedagogi  Bestari ini, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan.  Oleh itu pemilihan strategi yang sesuai adalah amat penting.  Strategi Pembelajaran Bestari  mengutamakan pembelajaran yang berasaskan aktiviti dan berpusatkan pelajar.  (Tuan Jah Tuan Yusof , 2010)

2.0       Strategi Pembelajaran Bestari
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan adalah untuk membina dan mengukuhkan minat murid-murid terhadap pembelajaran serta membimbing mereka supaya bersedia menerima pelajaran dan seterusnya berupaya meneruskannya sendiri. Strategi yang disarankan ini dapat membantu setiap murid untuk mengambil bahagian
secara aktif dalam pelbagai kegiatan meliputi pelbagai unsur daripada komponen-komponen kemahiran asas, kerohanian, nilai dan sikap, kemanusiaan dan persekitaran serta kesenian dan rekreasi. Teknik pengajaran yang digunakan mesti sesuai dengan perkembangan diri dan kebolehan murid-murid supaya pembelajaran adalah menarik, berkesan dan bermakna. Bagi menggunakan strategi yang disarankan, guru perlu menjalankan pelbagai kegiatan dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut kebolehan, keupayaan, bahan dan minat murid-murid.
Oleh itu bagi tugasan ini, saya akan membincangkan dua strategi pembelajaran bestari yang dipilih secara khusus. Kajian akan dijalankan terhadap dua orang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam yang menggunakan strategi pembelajaran kooperatif dan direktif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Sebelum menyatakan dapatan kajian tugasan ini, saya akan terlebih dahulu mendefinisikan strategi pembelajaran kooperatif dan strategi pembelajaran direktif.

2.1       Strategi Pembelajaran Kooperatif
Strategi pengajaran guru boleh dipelbagai dengan adanya teknik, kaedah, strategi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru boleh menggunakan mana-mana teknik yang difikirkan sesuai untuk sesuatu sesi pengajaran mengikut mata pelajran yang diajar
oleh guru terlibat. Pembelajaran kooperatif merupakan satu strategi pembelajaran yang mula terkenal sejak tahun 80-an. Banyak kajian telah dijalankan berkaitan dengan pembelajaran kooperatif.

2.1.1    Definisi Strategi Pembelajaran Kooperatif
Masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang sering mengamalkan sikap bekerjasama antara satu sama lain.  Ini disebabkan masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum.  Sikap bekerjasama ini melibatkan kerja secara bersama, tolong-menolong antara satu sama lain dalam suatu sistem yang dipanggil ‘berderau’ (Ismail Samad, 2009).  Justeru, konsep bekerjasama ini telah diterapkan dalam sistem pendidikan kita sejak dahulu sehingga sekarang. Dalam
konteks pendidikan masa kini, konsep bekerjasama ini dikenali sebagai strategi
pembelajaran kooperatif yang bermaksud murid-murid belajar bersama-sama dalam satu kumpulan yang kecil.  Kumpulan ini mempunyai matlamat yang perlu dicapai pada akhir pembelajaran (Ismail Samad, (2009). Menurut Wong & Wong, (1998), pembelajaran kooperatif bukan belajar untuk bekerjsama tetapi bekerjasama untuk belajar. Kenyataan Wong & Wong ini bermakna pembelajaran kooperatif bukan salah satu strategi belajar untuk bekerjasama tetapi pembelajaran kooperatif lebih menitikberatkan bekerjasama untuk belajar bagi mencapai tujuan dan hasil pembelajaran.
Bagi Slavin (1995) dan Johnson & Johnson (1994) dipetik dalam Killen (2007), kedua-dua penulis ini mempunyai pendapat yang sama tentang pembelajaran kooperatif iaitu terdapat dua komponen penting dalam kaedah pembelajaran kooperatif iaitu tugasan pembelajaran koperatif(yang merupakan satu ciri yang terdapat dalam kebanyakan kerja berkumpulan) dan struktur insentif koperatif (yang merupakan satu ciri unik yang terdapat dalam pembelajaran koperatif).

2.1.2  Perinsip Asas Strategi Kooperatif.
Johnson & Johnson (1994) dipetik dalam Killen (2007), telah mengutarakan lima prinsip utama dalam pembelajaran kooperatif iaitu positive inter-dependence iaitu saling kebergantungan positif.  Prinsip ini menerangkan bahawa ahli kumpulan mempunyai
peranan yang penting dalam mencapai hasil pembelajaran.  Prinsip kedua pula on going, direct interaction iaitu interaksi serentak di antara ahli kumpulan.  Ahli kumpulan boleh berbincang bersama-sama secara serentak tidak seperti pembelajaran tradisional di mana perbincangan berlaku secara tersusun.
Prinsip ketiga pula ialah individual accountability iaitu kebertanggungjawab individu.  Dalam prinsip ini guru perlu memberikan keyakinan kepada pelajar bahawa pelajar mempunyai kebertanggungjawab dalam kumpulan.  Kebertanggungjawab ini wujud apabila setiap ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri dan sumbangan yang diberi kepada ahli kumpulannya.
Prinsip keempat pula appropriate interpersonal skills.  Prinsip keempat ini memerlukan pelajar menggunakan kemahiran interpersonal digunakan dengan betul.  Kemahiran bersosial dan kemahiran bekerja secara kumpulan membolehkan kumpulan
berfungsi dengan baik.  Sebagai contoh, perlu ada kepimpinan yang berkesan, kemahiran membuat keputusan, komunikasi yang berkesan dan kemahiran mengurus sebarang konflik yang timbul dalam kumpulan masing-masing.
Prinsip yang kelima pula iaitu prinsip terakhir ialah reflective learners.  Prinsip ini berkaitan dengan refleksi yang dijalankan oleh ahli kumpulan dan guru untuk mengetahui kejayaan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui prinsip ini, maklum balas daripada kumpulan lain, guru dan rakan-rakan kumpulan dapat membantu kumpulan untuk menilai diri mereka sama ada berjaya atau tidak dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

2.2       Strategi Pembelajaran Direktif
            Selain pembelajaran kooperatif, strategi kedua yang dipilih ialah strategi pembelajaran direktif. Strategi pembelajaran direktif merupakan salah satu daripada sepuluh jenis strategi pembelajaran bestari .(Tuan Jah Tuan Yusof , 2010)   Contoh-contoh strategi pembelajaran direktif ialah kuliah, latih tubi, penerangan  dan demonstrasi.

2.2.1    Definisi Strategi Pembelajaran Direktif
            Strategi pembelajaran direktif merupakan satu strategi yang telah digunakan sejak dahulu lagi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pembelajaran direktif adalah pengajaran yang memberikan penerangan tentang konsep atau kemahiran oleh guru dan diakhiri dengan ujian kefahaman atau latihan yang dibuat dengan bimbingan guru. Strategi ini memberikan tugas kepada guru sebagai seorang yang berkuasa penuh dalam kelas, iaitu guru lebih banyak bercakap dan komunikasi yang berlaku hanya sehala, berbanding murid-murid. Peranan guru amat penting dalam pembelajaran ini.  Dalam pembelajaran direktif, keutamaan diberikan kepada pencapaian objektif guru kerana guru mengajar bertujuan untuk melihat pengajaran yang dijalankan pada hari itu berjaya dan menepati sasarannya.  Sesetengah murid mudah untuk memahami dan menguasai sesuatu kemahiran atau pelajaran melalui bimbingan dan arahan guru secara terus.  Strategi pengajaran direktif lebih menumpukan kepada penyebaran ilmu pengetahuan secara demontrasi, kuliah, penerangan dan latih tubi. Murid menerima ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara atau kemahiran melalui tunjuk cara, bimbingan, dan latihan yang diberikan.  Ujian dijalankan untuk menilai kefahaman murid pada akhir pengajaran.  Seterusnya, strategi pengajaran ini lebih mempraktikkan aktiviti penyampaian fakta secara menghafal dan mengingat. Oleh itu penglibatan murid dalam aktiviti adalah minimum dan pasif.  Justeru itu guru menjadi model  kepada para pelajar dan pengetahuan serta kemahiran yang diperolehi adalah replika kepada penyampaian guru . Kebiasaannya kaedah yang sering digunakan untuk strategi ini adalah kaedah kelas.

2.2.2.   Prinsip Asas Strategi Pembelajaran Direktif
            Strategi pembelajaran direktif merupakan satu kaedah pembelajaran tradisional, iaitu guru berperanan sebagai penyampai maklumat.  Strategi ini berpusatkan guru dan bilangan pelajar yang terlibat adalah besar.  Selain itu, strategi ini mudah dirancang dan diurus kerana penglibatan pelajar adalah amat rigid dan bersruktuktur. (Rahil,Habibah dan Kamariah, 2009).  Terdapat empat prinsip asas strategi direktif iaitu:
i.                    Penstukturan informasi
ii.                  Penentuan matlamat dan kaedah yang digunakan
iii.                Penyediaan perancangan
iv.                Penyemakan terhadap pengetahuan dan ingatan
v.                  Membuat peneguhan

Model yang selalu digunakan sebagai asas kepada pelaksanaan strategi ini ialah model yang direka oleh Robert Slavin.  Model Robert Slavin telah menggariskan beberapa langkah dalam strategi pembelajaran direktif .
Langkah yang pertama ialah   menetapkan objektif pembelajaran.  Langkah ini bertujuan untuk memastikan para pelajar diberi penerangan terlebih dahulu tentang  pengetahuan baru yang akan dipelajari dan mengaitkan dengan pengetahuan lalu yang telah dipelajari.
Langkah kedua pula ialah mengimbas kembali pengetahuan sedia ada.  Dalam langkah ini guru perlu memastikan pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada yang sesuai dengan pelajaran baru melalui teknik mengimbas kembali tentang pelajaran sebelum ini yang berkaitan.
Seterusnya langkah yang ketiga ialah menyampaikan bahan baru. Untuk menyampaikan bahan yang baru guru perlu bijak mempersembahkan pelajaran atau bahan baru tersebut secara tersusun dan jelas dengan menggunakan contoh-contoh yang konkrit dan bersesuaian.
Langkah keempat ialah meneliti tahap pembelajaran.  Ini bermakna guru perlu tahu tahap penguasaan pelajar terhadap penyampaian guru.  Oleh itu guru perlu mengajukan soalan yang sesuai dan perlu  bagi memastikan tahap penguasaan dan kefahaman pelajar.
Langkah kelima pula ialah memberi latihan kendiri.  Tunjuk ajar dan bimbingan perlu diberikan kepada pelajar sebelum memberikan latihan kendiri. Latihan dan bimbingan yang berterusan serta maklum balas diperlukan bagi memastikan kemahiran dan maklumat yang diperolehi pelajar adalah tepat.
Langkah keenam pula ialah menilai prestasi dan memberi maklum balas.
Melalui langkah ini penilaian yang sesuai dan maklum balas semerta perlu diberikan supaya pelajar tahu tentang prestasi kerja mereka.  Jika terdapat kesalahan , haruslah diperbetulkan dengan segera supaya tidak menjadi kebiasaan.
Langkah ketujuh iaitu langkah yang terakhir menurut model Slavin ini ialah memberi latihan tambahan.  Ini bertujuan supaya pelajar dapat menggunakan dan memperaktikkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam situasi yang berbeza.

3.0       Kajian Pelaksanaan Strategi Kooperatif dan Direktif Dalam Pengajaran dan     Pembelajaran Bahasa Melayu.

3.1       Strategi Kooperatif
Kajian ini merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan oleh dua orang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam. melalui kaedah pemerhatian.  Dapatan kajian yang pertama adalah hasil pemerhatian yang dilakukan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh Puan Rosmawati bt Samsu.  Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 6 Genius.  Tajuk yang diajar pada hari tersebut ialah karangan yang bertajuk “Faedah Bersukan”.  Peruntukan masa ialah selama satu jam dan strategi yang digunakan ialah strategi kooperatif.  Jumlah murid dalam kelas ini adalah seramai 36 orang.
Beliau memulakan aktiviti dengan memperkenalkan tajuk karangan pada hari tersebut. Langkah  seterusnya ialah  beliau meminta murid membentuk 6 kumpulan.  Murid dikehendaki memilih 6 orang rakan sebagai ahli kumpulan .  Setiap ahli diberi kad nombor 1 hingga 6.  Selepas itu  beliau menerangkan peranan setiap ahli berdasarkan nombor. Guru telah menandakan nombor 1 hingga 6 pada  lokasi yang berlainan didalam kelas tersebut.  Setiap kumpulan akan bergerak ke lokasi yang telah ditetapkan untuk berbincang  tentang tugasan masing-masing.  Masa yang diberikan untuk perbincangan ini ialah 20 minit.  Maklumat yang diperolehi akan ditulis di bahagian belakang kad nombor masing-masing. Selepas tamat tempoh masa yang diberikan, setiap ahli akan kembali kepada kumpulan masing-masing dan membentangkan hasil tugasan mengikut urutan.  Keseluruhan hasil perbincangan akan dibentangkan  di hadapan kelas oleh seorang wakil yang dipilih bagi setiap kumpulan.  Kumpulan yang dapat memberikan hasil pembentangan terbaik akan diberi ganjaran atau hadiah.

3.1.1    Refleksi Kajian
Hasil pemerhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran ini dijalankan, dapat dilihat beberapa kekuatan apabila menggunakan strategi ini.  Antara kekuatannya ialah aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat menyemai semangat bekerjasama dan bantu membantu antara ahli. Sebagai contoh, ahli setiap kumpulan saling membantu terutama kepada ahli yang lemah  untuk menyelesaikan tugasan.  Inilah adalah kerana penilaian dibuat berdasarkan hasil kerja kumpulan.  Selain itu, wujud interaksi sosial yang baik antara satu sama lain apabila  mereka perlu berbincang dan berkongsi idea untuk mendapatkan maklumat. Sistem ganjaran yang diberikan kepada kumpulan terbaik menyebabkan setiap murid memberi komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka  kerana wujudnya rasa tanggungjawab bagi memastikan kejayaan kumpulan mereka.
Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa kelemahan yang dapat dilihat sepanjang pemerhatian ini.  Antara kelemahannya ialah aktiviti kumpulan yang dijalankan mengambil masa yang agak panjang.  Murid perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti perbincangan dan pembentangan.  Peruntukan masa selama 1 jam adalah tidak mencukupi.  Ini menyebabkan   pembentangan hasil kerja tidak dapat dijalankan oleh semua kumpulan. Selain itu tugasan individu iaitu menulis karangan tidak dapat disiapkan pada hari tersebut.  Murid perlu menyiapkan karangan tersebut sebagai kerja rumah.  Ini meyebabkan guru sukar untuk membuat penilaian terhadap objektif pengajaran pada hari tersebut.  Di samping itu, lokasi atau tempat yang dipilih untuk menjalankan aktiviti tersebut iaitu di dalam kelas agak kurang sesuai.  Ini adalah kerana ruang di dalam kelas agak sempit berbanding jumlah murid yang ramai apabila hendak menjalankan aktiviti.  Pergerakan murid menjadi sukar dan kelam kabut.  Kawalan kelas juga longgar kerana guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan tidak menghadkan pergerakan murid untuk menjalankan tugasan. Oleh itu suasana kelas agak bising dan tidak terkawal.  Kelemahan seterusnya yang dapat dilihat ialah terdapat kumpulan yang ahlinya terdiri daripada kalangan murid lemah sahaja.  Hal ini berlaku kerana semasa pembahagian kumpulan, guru membenarkan murid memilih sendiri ahli kumpulan mereka. Terdapat kumpulan yang mempunyai ahli di kalangan murid pandai sahaja.  Oleh itu kumpulan ini tidak dapat menjalankan tugasan yang diberi kerana kurang kemahiran dan pengetahuan.  Terdapat juga murid yang menjadi ahli pasif dan hanya bergantung kepada pendapat dan idea orang lain.  Kelemahan lain yang dapat dikesan ialah peranan guru yang bertindak sebagai fasilitator menyebabkan beberapa orang murid keliru dan sering bertanya untuk memastikan kehendak tugasan.  Kelemahan-kelemahan ini mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang tidak dapat berjalan lancar.
Berdasarkan beberapa kelemahan yang dibincangkan di atas, saya dapati perlu diadakan beberapa penambahbaikan bagi tujuan menjayakan dan memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dan seterusnya memastikan objektif tercapai.
Antara cadangan untuk penambaikan bagi strategi kooperatif ini, guru perlu memilih peruntukan masa yang agak panjang.  Peruntukan masa 90 minit adalah sesuai bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang  dapat dijalankan dengan sempurna serta dapat menentukan pencapaian objektif pada hari tersebut. 
Seterusnya cadangan yang kedua ialah guru boleh memilih lokasi atau ruang yang lebih luas bagi mengelakkan berlaku kesesakan dan kesukaran untuk bergerak.  Tempat yang sesuai ialah seperti di Pusat Sumber atau dewan sekolah.  Pemilihan tempat yang luas dan selesa akan memudahkan pergerakan serta mengwujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.  Cadangan lain ialah agihan ahli kumpulan perlulah dilakukan oleh guru dengan menggabungkan murid dari pelbagai kebolehan seperti pandai, sederhana dan lemah.  Melalui kerjasama yang wujud dalam kumpulan, ahli yang lebih pandai akan dapat membantu ahli yang lemah.  Dengan itu aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar.  Di samping itu guru perlu menyampaikan maklumat secara terperinci dengan menggunakan bahan bantu yang sesuai seperti tayangan LCD, gambar-gambar, keratan rencana dan sebagainya bagi tujuan memudahkan kefahaman murid.

3.2       Strategi Direktif
Dapatan kajian yang kedua pula saya perolehi melalui pemerhatian ke atas proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh Puan Masni bt Jamin.  Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 Genius.  Topik yang dipilih ialah pemahaman yang bertajuk “Kraftangan Di Malaysia”.  Beliau memulakan aktiviti dengan memperkenalkan tajuk. Beliau bersoaljawab dengan murid tentang jenis-jenis kraftangan yang biasa dilihat untuk mengaktifkan semula pengetahuan sedia ada murid. Gambar-gambar turut digunakan bagi merangsang fikiran murid.   Guru mengedarkan bahan petikan kepada semua murid.  Seterusnya beliau memilih beberapa orang murid secara rawak untuk membaca petikan  yang diberi.  Beliau menerangkan semula tentang kandungan petikan yang dibaca.  Beliau juga mengajukan  beberapa soalan secara lisan kepada murid tentang petikan untuk menguji kefahaman mereka.  Langkah seterusnya murid menjawab soalan pemahaman berdasarkan topik yang dibincangkan.

3.2.1    Refleksi Kajian
Hasil pemerhatian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini, kekuatan yang dapat dilihat ialah murid memperoleh maklumat secara langsung daripada guru.  Guru menyampaikan maklumat berkaitan tajuk yang dibincangkan dengan terperinci dan tersusun. Penyediaan bahan bantu seperti gambar-gambar dan petikan berjaya menarik minat murid untuk terus mengikuti pelajaran.  Di samping itu aktiviti soaljawab secara lisan dapat merangsang minda dan meningkatkan kefahaman murid.  Kawalan kelas juga baik kerana penglibatan murid dalam aktiviti adalah minimum dan berdasarkan arahan guru.
Selain daripada beberapa kekuatan yang dibincangkan, terdapat juga beberapa kelemahan yang diperhatikan sepanjang aktiviti ini dijalankan.  Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah suasana pembelajaran agak pasif kerana fokus pembelajaran adalah kepada penyampaian guru.  Penglibatan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga kurang aktif dan hanya tertumpu kepada beberapa orang murid yang sama sahaja.  Murid lain lebih suka bersikap tunggu dan lihat.  Tidak wujud semangat persaingan dan kerjasama di kalangan murid kerana murid menjalankan aktiviti secara individu.  Kelemahan lain adalah penggunaan bahan bantu yang tidak relevan dengan jumlah murid.  Contohnya guru hanya menunjukkan gambar di hadapan kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai.  Ini menyebabkan murid yang berada di bahagian belakang tidak memberi tumpuan dan merasa bosan.
Justeru itu, bagi mengatasi kelemahan-kelemahan ini beberapa cadangan untuk tujuan penambahbaikan perlu dilaksanakan dan seterusnya memastikan pelaksanaan strategi direktif di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ini berjaya dan berkesan.
Antara cadangan penambahbaikan itu ialah, guru perlu memperbanyakkan aktiviti yang melibatkan penyertaan murid.  Contohnya guru boleh mengadakan aktiviti seperti kuiz atau pertandingan bercerita dan memilih pemenang.  Ini bertujuan untuk menggalakkan murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan.  Cadangan seterusnya ialah guru perlu memastikan aktiviti yang disediakan memerlukan penglibatan murid yang ramai dan tidak terhad kepada segelintir murid sahaja.  Contohnya dengan mengadakan pertandingan kuiz mengikut kumpulan di dalam kelas.  Oleh itu semua murid akan terlibat bagi memastikan kejayaan kumpulan mereka.  Di samping itu guru juga perlu prihatin terhadap murid yang lemah dengan menyediakan aktiviti yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka.  Ini akan menyebabkan murid –murid ini tidak merasa bosan dan terpinggir.  Selain itu guru juga perlu bijak untuk menarik perhatian murid dengan menggunakan bahan bantu yang menarik dapat merangsang minda murid seperti tayangan slaid atau LCD berkaitan tajuk, bahan maujud seperti benda atau objek yang boleh dipegang oleh murid dan gambar-gambar yang menarik dengan pelbagai warna, besar dan jelas.  Oleh itu murid akan merasa seronok dan tertarik untuk mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Cadangan berikutnya ialah guru boleh mengadakan sistem ganjaran atau hadiah bagi murid yang dapat menjawab soalan atau menyelesaikan tugasan yang diberi.  Langkah ini boleh memotivasikan murid supaya saling berlumba-lumba merebut hadiah yang ditawarkan.  Ini juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan murid.
Dengan adanya beberapa cadangan yang diberikan adalah diharapkan strategi yang digunakan ini akan dapat dijalankan dengan lebih baik dan berkesan.

4.0       Rumusan
Kesimpulannya strategi bestari merangkumi pelbagi kaedah dan teknik yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Umumnya pelaksanaan strategi bestari ini bertujuan melahirkan insan yang berpotensi, celik ICT, minda yang bijak, berdaya maju dan memiliki sahsiah mulia.  Justeru itu pelaksanaan strategi kooperatif dan direktif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang dipilih adalah selaras dengan matlamat pembestarian sekolah.  Keberkesanan pelaksanaan kedua-dua strategi ini adalah bergantung kepada peranan guru dan murid.  Dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran bestari, penglibatan murid secara aktif dalam setiap aktiviti adalah menjadi fokus utama.  Strategi kooperatif mementingkan kerjasama dalam kumpulan sehingga mewujudkan semangat saling bergantungan secara positif antara satu sama lain.  Kekuatan strategi ini ialah dapat membantu murid membina interaksi sosial dan memupuk nilai-nilai murni seperti saling membantu, bekerjasama, tanggungjawab dan sebagainya. 
            Sementara strategi direktif pula berpusatkan guru sebagai penyampai maklumat.  Ia bertujuan membantu murid memperolehi maklumat, kemahiran dan pengetahuan secara terus.  Kekuatan strategi ini ialah murid memperolehi maklumat secara optimum dan tepat.  Selain itu penyebaran maklumat adalah lebih luas dan pantas.  Walaubagaimanapun terdapat juga beberapa kelemahan dalam pelaksaanaan kedua-dua strategi ini di sekolah.  Antaranya ialah seperti peruntukan masa yang tidak mencukupi, sikap dan respon murid dalam aktiviti pengajaran  dan pembelajaran tidak memuaskan.
Namun begitu beberapa cadangan penambahbaikan yang dikemukakan diharapkan dapat meningkatkan kualiti  amalan pedagogi bagi mata pelajaran bahasa Melayu secara bestari di sekolah ini.



RUJUKAN


Ismail Samad.  2009.  Kaedah pemelajaran koperatif sekolah rendah.  Shah Alam:
            Karisma Publications Sdn. Bhd.

Killen, R. 2007. Effective teaching strategies lesson from research and practice (4th ed.).
            Melbourne: Thomson Social Sciene Press.

Perkins, David, (1992).  Smart school, better thinking and learning for every child
            (force press)

Rahil Mahyuddin, Habibah Elias, Kamariah Abu Bakar, (2009):  Amalan pengajaran
            berkesan.  Shah Alam:  Karisma Publication Sdn. Bhd.

The Malaysian Smart School An BSC Flagship Aplication:  Aconceptual blueprint
            (1997).  Ministry of Education:  Malaysia.

Tuan Jah Tuan Yusof.  2010.  HBML2203 Pembestarian Pembelajaran Dan Pengajaran
            Bahasa Melayu.  Seri Kembangan, Selangor:  Meteor Doc .  Sdn.  Bhd.

No comments:

Post a Comment