Saturday 26 April 2014

Perbandingan tentang jenis ayat majmuk antara Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et al. 2010) dengan Linguistik Am ( Abdullah Hassan. 2005)



1.0       Pendahuluan
Tatabahasa merupakan unsur paling utama dalam sesebuah bahasa.  Tatabahasa merupakan peraturan berdasarkan sesuatu teori tertentu yang menghuraikan ayat-ayat dalam sesebuah bahasa dengan kaedah yang paling mudah, tepat, dan lengkap. Terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud ayat yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa. 
Zaaba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1958) menyatakan bahawa ayat ialah susunan perkataan yang sekumpul-kumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat-tempat berhentinya serta memberi faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu.  Maka tiap-tiap sekumpul perkataan itu ialah susunan yang sempurna maksudnya.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga pula, ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna.  (Nik Safiah Karim et al. 2010) 
Selain itu, ayat merupakan unsur yang paling tinggi dalam tatabahasa.  Dalam ayat itu terdapat unsur-unsurnya seperti kata, frasa dan klausa.  Penggabungan unsur-unsur inilah yang membentuk binaan yang dikatakan ayat.  ( Abdullah Hassan.  2007). 
Manakala dalam Kamus dewan Edisi Ketiga menyatakan bahawa ayat ialah satu perkataan atau (lebih kerap lagi) serangkai perkataan yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud. (Kamus Dewan.  2002). 
Sementara Asmah Haji Omar (1993) pula berpendapat bahawa ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu. Ayat terdiri daripada klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap, yakni yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai.
Daripada pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh bahasa itu dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa ayat merupakan susunan yang tertinggi dalam tatabahasa bahasa Melayu.  Ayat boleh terdiri daripada dua atau lebih perkataan yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan.

2.0       Perbandingan tentang jenis ayat majmuk antara  Tatabahasa Dewan  (Nik Safiah Karim et  al.  2010) dengan Linguistik Am ( Abdullah Hassan. 2005)
2.1       Definisi ayat majmuk
Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.  (Nik Safiah Karim et  al. 2010).  Contoh percantuman ayat tersebut dapat dilihat seperti di bawah:
‘Ayah sedang menyiram pokok bunga dan ibu sedang menyapu sampah di halaman rumah.’
Sementara itu  Abdullah Hassan (2005) pula menyatakan bahawa ayat majmuk terbentuk daripada dua ayat atau lebih.  Percantuman beberapa ayat tersebut menggunakan kata hubung.  Contoh:
            ‘Ibu saya pergi ke pasar dan bapa saya pergi ke pejabat.’
Dalam ayat di atas terdapat dua ayat, dan ayat dalam ayat dipanggil klausa.  Ayat majmuk di atas dicerakinkan seperti berikut:
           
Klausa 1:  Ibu saya pergi ke pasar.
            Kata hubung:  dan
            Klausa 2:  Bapa saya pergi ke pejabat.
Kedua-dua ayat ini mempunyai mempunyai subjek dan predikat masing-masing serta dua klausa yang berlainan.  (Abdullah Hassan. 2005).  Oleh itu apabila kedua-dua ayat ini dicantumkan menggunakan kata hubung maka terbentuklah ayat majmuk.
Daripada definisi serta contoh ayat yang diberi kedua-dua tokoh di atas, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa ayat majmuk ialah ayat yang terhasil daripada percantuman dua ayat atau lebih dengan menggunakan kata hubung. 
Dalam buku Tatabahasa Dewan (2010),  terdapat empat jenis ayat majmuk  iaitu ayat majmuk gabungan,  ayat majmuk pancangan, ayat majmuk campuran, dan ayat majmuk pasif.  Sementara Abdullah Hassan melalui buku Linguistik Am (2005) juga telah mengkelaskan ayat majmuk kepada empat jenis iaitu ayat majmuk gabungan,  ayat majmuk pancangan, ayat majmuk campuran dan ayat majmuk pasif
Daripada huraian di atas kita dapati terdapat persamaan dari segi definisi antara kedua-dua buku tentang ayat majmuk.  Kedua-duanya menjelaskan bahawa ayat majmuk ialah dua atau lebih ayat tunggal yang dicantumkan menjadi satu ayat menggunakan kata hubung.  Didapati juga terdapat empat jenis ayat majmuk dalam kedua-dua buku tersebut.

2.2       Jenis- jenis ayat majmuk
2.2.1    Ayat majmuk gabungan
Ayat majmuk gabungan berdasarkan Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et  al. 2010) ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya. 
Contoh:
a.      Murid-murid berlari dan bernyanyi.
b.      Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk.
Ayat-ayat yang digabungkan merupakan ayat-ayat yang sama taraf dan boleh berdiri dengan sendiri.  Selain itu ayat-ayat yang digabungkan merupakan ayat yang setara dan sama taraf sifatnya  serta boleh berdiri sendiri dan disusun berturut-turut.
  Walau bagaimanapun ayat-ayat ini juga boleh disambung tanpa menggunakan kata hubung tetapi menggunakan nada suara yang berperanan sebagai penanda iaitu disuarakan sebagai deretan pernyataan.  Manakala dalam bentuk tulisan pula, ayat-ayat tersebut dipisahkan oleh tanda baca koma (,).
Dari segi teori, ayat majmuk jenis ini boleh terdiri daripada percantuman lebih daripada dua ayat.  Dalam ayat majmuk gabungan, kata hubung bertugas sebagai penyambung untuk menghubungkan ayat-ayat supaya menjadi ayat yang lebih besar. (Nik Safiah Karim et  al. 2010).
Contoh 1:
a.    Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak. (Ayat majmuk gabungan)
b.    Saya minum teh.  (Ayat 1)
c.       Aminah makan nasi lemak.  (Ayat 2)



Contoh 2:
a.      Ali berdiri tegak, memerhatikan gerak geri mereka. (Ayat majmuk gabungan)
b.      Ali berdiri tegak. ( Ayat 1)
c.       Ali memerhatikan gerak geri mereka. (Ayat 2)

Nik Safiah et al. (2010) juga turut menyatakan bahawa jikalau ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama dan diulang, maka bahagian yang sama itu boleh digugurkan.  Contoh:
a.      Ali pandai bermain bola.
b.      Ali pandai bermain hoki.
c.       Ali pandai bermain bola dan hoki.
Buku Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et. al. 2010) juga menyatakan proses penggabungan ayat boleh digunakan untuk deretan beberapa ayat.  Contoh:
a.      Pada cuti sekolah yang lalu, saya melawat datuk, nenek, pak cik, mak cik dan saudara-mara di kampung.
Ayat di atas mengandungi lima ayat tunggal yang telah dijadikan satu ayat majmuk.  Empat frasa yang berulang-ulang iaitu ’Pada cuti sekolah yang lalu saya melawat .......’  Begitu juga kehadiran ’dan’ yang berulang-ulang turut dihilangkan kecuali yang akhir.
Begitu juga dengan  buku Linguistik Am (Abdullah Hassan. 2005),  yang turut menyatakan bahawa ayat majmuk merupakan gabungan yang terbentuk hasil daripada gabungan dua ayat atau lebih ayat tunggal menggunakan kata hubung.  Beliau juga turut menyatakan bahawa ayat yang hendak digabungkan mestilah sama taraf, dan sama binaannya.  Ayat-ayat ini dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, maka, lalu, sambil, sebaliknya dan lain-lain.  Selain itu, ayat-ayat ini juga boleh dihubungkan dengan tanda baca koma (,) sahaja. 
Contoh 1:
            ’Saya pergi ke bandar dan dia pergi ke pasar.’
            Klausa 1:  Saya pergi ke bandar.
            Kata hubung:  dan
            Klausa 2:  Dia pergi ke pasar.
Contoh 2:
            ‘Orang berbudi  kita berbahasa, orang memberi kita merasa.’
            Klausa 1:  Orang berbudi kita berbahasa.
            Klausa 2:  Orang memberi kita merasa.
            Penghubung:  tanda koma (,)
Dalam contoh ayat 2 kata penghubung tidak digunakan sebaliknya ayat-ayat tersebut dihubungkan menggunakan tanda baca koma (,).
            Abdullah Hassan (2005) juga menyatakan semua unsur yang terdapat dalam ayat tersebut akan dikekalkan jika subjek dan predikat ayat-ayat yang hendak digabungkan itu tidak serupa.  Namun, sekiranya ayat-ayat yang hendak digabungkan itu mempunyai subjek dan predikat yang sama, maka hanya satu unsur yang sama akan dikekalkan manakala yang lain akan digugurkan.




Proses 1.
Subjek dan predikat ayat-ayat yang digabung dikekalkan.
Ayat majmuk:  Datuk saya menoreh getah dan nenek saya menuai padi.
Klausa 1:  Datuk saya menoreh getah.
Klausa 2:  Nenek saya menuai padi.
Kata hubung:  dan
Proses 2.
Satu daripada subjek yang sama digugurkan.
Ayat majmuk:  Dia suka bersukan dan bermain bola.
Ayat 1:  Dia suka bersukan.
Ayat 2:  Dia suka bermain bola
Kata hubung:  dan
Proses 3.
Satu daripada predikat yang sama digugurkan.
Ayat majmuk:  Razif dan Jailani bijak bermain badminton.
Ayat 1:  Razif bijak bermain badminton.
Ayat 2:  Jailani bijak bermain badminton.
Kata hubung:   dan
            Berdasarkan perbandingan yang dibuat antara dua buah buku di atas, didapati kedua-dua buku menyatakan bahawa ayat majmuk gabungan merupakan gabungan ayat-ayat yang sama taraf dan setara binaannya.  Selain itu persamaan dapat juga dilihat melalui penggunaan tanda koma (,) boleh menggantikan kata hubung dalam ke dua-dua buah buku tersebut.  Begitu juga dengan  ayat-ayat yang digabung boleh digugurkan unsur-unsur yang mempunyai persamaan dan diulang-ulang.

2.2.1.1 Jenis-jenis Gabungan
            Mengikut Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et. al., 2010), terdapat tiga jenis gabungan utama iaitu gabungan yang susunan faktanya berurutan dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti dan, lalu, lagi, serta dan sambil.
Contoh:
‘Beliau memandang saya sambil tersenyum.’
Jenis kedua ialah gabungan yang susunannya memberikan maksud pertentangan fakta dalam ayat-ayat yang digabungkan.  Kata hubung yang digunakan adalah  seperti tetapi, sebaliknya, padahal, dan melainkan.
Contoh:
‘Ayahnya rajin berniaga tetapi anaknya tidak berminat sama sekali.’
Gabungan ketiga ialah yang susunannya menggabungkan dua ayat atau lebih, menggunakan kata hubung yang berpasangan seperti lebih baik … daripada,  apakah … ataupun, adakah … atau (pun), sama ada … atau, dan sebagainya.
Contoh:
            Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri.’
Manakala Abdullah Hassan (2005) pula menyatakan terdapat dua jenis gabungan iaitu gabungan susunan dan gabungan pertentangan.  Gabungan susunan ialah ayat majmuk yang terbina daripada ayat-ayat yang disusun satu selepas yang lain.  Ayat-ayat itu digabungkan dengan menggunakan kata hubung dan, lalu, lagi, serta, sambil, tambahan pula, kemudian, malahan, akhirnya, dan lain-lain.  Ada juga ayat-ayat yang tidak memerlukan kata hubung tetapi diganti dengan tanda koma (,) bagi menggantikan kata hubung.
Contoh 1:
Ayat majmuk:  Dia bangun lalu pergi.
Klausa 1:  Dia bangun
Klausa 2:  Dia pergi
Kata hubung:  lalu
Contoh 2:
Ayat majmuk:  Siapa makan nangka, siapa kena getah.
Klausa 1:  Siapa makan nangka?
Klausa 2:  Siapa kena getah?
Gabungan pertentangan pula merupakan dua atau lebih ayat tunggal yang mempunyai makna yang bertentangan digabungkan dengan menggunakan kata hubung pertentangan seperti tetapi, sebaliknya, melainkan, padahal, walau bagaimanapun, namun, dan lain-lain.
Contoh:
Ayat majmuk:  Ali belajar tetapi Abu bermain.
Klausa 1:  Ali belajar.
Klausa 2:  Abu bermain.
            Dalam aspek jenis-jenis gabungan pula kita mendapati terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua buku ini.  Dalam buku Tatabahasa Dewan (2010) terdapat 3 jenis gabungan iaitu gabungan susunan, gabungan pertentangan, dan gabungan dua ayat atau lebih yang menggunakan kata hubung berpasangan.  Manakala Abdullah Hassan (2005) pula menyatakan terdapat dua jenis iaitu gabungan susunan, dan gabungan pertentangan.

2.2.2    Ayat majmuk pancangan
            Dalam ayat majmuk pancangan, terdapat satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk (Nik Safiah Karim. et al. 2010).  Menurut Tatabahasa dewan (2010) terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu yang ditentukan oleh cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan iaitu ayat relatif, ayat komplemen, ayat keterangan.
      Sementara Abdullah Hassan dalam bukunya Linguistik Am (2005) pula menyatakan bahawa ayat majmuk pancangan menggabungkan dua atau lebih klausa yang tidak sama taraf.  Dalam ayat,  terdapat klausa utama dan klausa pancangan.  Klausa pancangan dipancangkan iaitu disisipkan ke dalam klausa utama.  Terdapat tiga jenis klausa kecil yang dipancangkan ke dalam klausa utama iaitu klausa relatif, klausa komplemen dan klausa adverba (keterangan).

2.2.2.1 Ayat relatif
            Nik Safiah Karim et al. (2010) menyatakan bahawa ayat relatif boleh dikenalpasti melalui penggunaan kata yang seperti contoh berikut:
            ‘Adik memakai baju yang berwarna kuning.’
Dalam ayat di atas, sebenarnya terdapat dua ayat iaitu:

a.                  Adik memakai baju.
b.                  Baju itu berwarna kuning.
Dalam ayat di atas, ayat Baju itu berwarna kuning dipancangkan kepada ayat induk Adik memakai baju.  Perkataan baju yang diulang dalam kedua-dua ayat digugurkan dan digantikan dengan kata relatif yang.  Oleh itu maka terbentuklah ayat majmuk pancangan.  Proses pembentukan ayat di atas mengalami tingkat-tingkat perubahan seperti berikut:
            Pertama:  Adik memakai baju + Baju itu berwarna kuning.
            Kedua:  Adik memakai baju + baju itu berwarna kuning.
            Ketiga:  Adik memakai baju yang berwarna kuning.

            Dalam buku Linguistik Am pula, kita dapati klausa relatif berperanan sebagai klausa yang menerangkan frasa nama dalam klausa utama.  Dalam bahasa Melayu, klausa relatif ditandai dengan ganti nama yang.  Contoh:
            Saya membeli baju yang berwarna merah.
Klausa utama:  Saya membeli baju.
Klausa relatif:  yang berwarna merah.
Ayat asal:  Saya membeli baju + Baju itu berwarna merah.
Dalam ayat ini, subjek klausa relatif digantikan dengan ganti nama yang kerana objek klausa utama dan subjek klausa relatif adalah serupa.  Apabila terdapat kata nama menjadi predikat dalam klausa utama, dan kata nama yang sama menjadi subjek dalam klausa berikutnya, maka berlakulah proses pengrelatifan.  Ia berfungsi menghubungkan satu klausa dengan kata nama tersebut.  Yang digunakan bagi menggantikan kedua-dua kata nama yang sama.  Jadi, klausa relatif yang dipancangkan memberi penerangan kepada kata nama. (Abdullah Hassan, 2005).

2.2.2.2 Ayat komplemen
Ayat komplemen ialah ayat utama yang dipancangkan dengan ayat kecil dan sterusnya menjadi komplemen kepada ayat utama.  Menurut Nik Safiah et al. (2010) pembentukan ayat-ayat komplemen biasanya disertai beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai kata komplemen untuk menandakan hubungan berkenaan.  Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu iaitu bahawa dan untuk.  Kata komplemen untuk hanya hadir dalam subjek, manakala kata komplemen  bahawa pula dapat hadir dalam subjek dan predikat.  Contoh:
a.                  Dia menyatakan bahawa Ahmad tidak ke sekolah. (bahawa)
b.                  Untuk Pak Mamat menyatakannya amat sukar. (untuk)
Perkataan yang kadangkala digunakan sebagai kata komplemen seperti ayat-ayat di bawah:
a.                  Dia menyedari yang penjahat itu telah melarikan diri.
b.                  Orang ramai menyedari yang peristiwa itu benar-benar terjadi.
Walau bagaimanapun, ayat-ayat di atas tidak boleh diterima sebagai bahasa persuratan kerana ayat-ayat di atas terdiri daripada dua ayat, iaitu satu ayat induk dan satu ayat komplemen yang dipancangkan.  Contoh:
            Ayat:   Dia menyedari bahawa penjahat itu telah melarikan diri.
a.                  Dia menyedari (sesuatu).
b.                  Penjahat itu telah melarikan diri.
Kata komplemen:  bahawa
Pengguguran kata komplemen bahawa kadang-kadang dibenarkan pada kedudukan objek dalam predikat kerana tidak menjejaskan makna (ayat i). Namun, kata komplemen bahawa dan untuk tidak boleh digugurkan pada kedudukan dalam subjek (ayat ii).  Contoh ayat:
a.                  Dia mengetahui bahawa Ahmad telah bersara.
i.          Dia mengetahui Ahmad telah bersara.
b.         Untuk Pak Mamat menyatakannya amat sukar.
ii.         Pak Mamat menyatakannya amat sukar.
Untuk membicarakan tentang ayat komplemen, telitikan ayat-ayat di bawah.
Contoh:
a.                   Dia memberitahu sesuatu. (Ayat induk)
b.                  Lukisan itu cantik. (Ayat komplemen)
Dalam ayat di atas, ayat (b) telah dipancangkan ke dalam ayat (a) sebagai pelengkap kata kerja dalam ayat berkenaan.  Hubungan tersebut dinamakan hubungan komplemen dan berbeza daripada hubungan ayat relatif.  Dalam ayat Dia memberitahu bahawa lukisan itu cantik, ayat induknya ialah Dia memberitahu sesuatu, manakala ayat komplemennya  ialah Lukisan itu cantik.




2.2.2.3   Jenis-jenis ayat ayat komplemen
Secara umum, terdapat tiga jenis ayat komplemen (Nik Safiah Karim et.  al.,  2010), iaitu ayat komplemen frasa nama,  ayat komplemen frasa kerja dan ayat komplemen frasa adjektif.
            Nik Safiah Karim et al. (2010) menyatakan frasa nama boleh menduduki empat tempat dalam ayat, iaitu sebagai subjek, predikat, objek tepat dan objek sipi.  Walau bagaimanapun, ayat komplemen frasa nama hanya boleh menduduki tempat subjek, iaitu sebagai ayat komplemen frasa nama objek tepat.  Contoh:
i.          Ayat komplemen frasa nama subjek
a.                   Keputusan bahawa kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji adalah muktamad.
b.                  Agak sukar untuk Tok Penghulu mendapat kepercayaan anak buahnya.     
Binaan ayat b berbeza, namun bahagian yang dicondongkan itu tetap merupakan subjek oleh sebab ayat tersebut merupakan ayat songsang.
ii.         Ayat komplemen frasa nama objek tepat
Objek dalam sesuatu ayat boleh wujud sebagai objek tepat kata kerja transitif atau sebagai objek sipi.  Walau bagaimanapun, dalam ayat komplemen hanya objek tepat sahaja yang boleh wujud.  Contoh:
a.                  Budak itu menafikan bahawa dia mencuri barang di pasar raya itu.
b.                  Laporan berita itu mengesahkan bahawa semua mangsa kebakaran mendapat bantuan.
Dalam ayat-ayat di atas, ayat komplemen berfungsi sebagai objek tepat kata kerja transitif pada ayat induknya.
Ayat komplemen frasa kerja pula berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja.  Frasa kerja dalam ayat boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif, iaitu yang diikuti bukan oleh frasa nama tetapi oleh keterangan-keterangan lain yang bertujuan melengkapkan frasa tersebut (Nik Safiah Karim et  al. 2010).  Ayat komplemen frasa kerja ini tidak boleh dipasifkan.
Contoh:
a.       Tok Wan berpendirian bahawa tanah pusaka itu harus dijual.
b.        Orang ramai seia-sekata bahawa projek pembangunan itu akan merugikan semua pihak.
Ayat komplemen frasa adjektif merupakan ayat kecil frasa adjektif yang dipancangkan ke dalam ayat induk. Begitu juga halnya, ayat komplemen  boleh terdiri daripada ayat komplemen adjektif, iaitu yang merupakan ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat induk (Nik Safiah Karim et  al.  2010). Walau bagaimanapun, jumlah ayat jenis ini dalam bahasa Melayu agak terhad.  Contoh:
a.      Ibu yakin bahawa abang akan lulus dengan cemerlang.
b.      Pelajar itu insaf bahawa dia harus meningkatkan usahanya.

2.2.2.4 Ayat Keterangan
            Ayat majmuk keterangan menurut Nik Safiah Karim et  al. (2010) terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat.  Contoh:
a.      Dia merupakan ketua pelajar ketika saya di bangku sekolah dahulu.
b.      Dia gagal dalam peperiksaan kerana dia tidak berusaha.
Terdapat dua ciri dalam ayat-ayat di atas iaitu yang pertama, terdapat ayat induk dengan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri.  Kedua, adanya kata-kata hubung yang menjalinkan ayat induk dengan ayat-ayat kecil (contoh: ketika, semasa, kerana, sewaktu).  Ayat-ayat kecil ini  disebut ayat keterangan.  Hubungan  antara ayat-ayat itu digambarkan seperti berikut:
            Ayat induk  +  Kata hubung  +  Ayat keterangan
Selain itu kedudukan ayat keterangan adalah tidak tetap kerana boleh hadir sama ada di  belakang atau hadapan ayat induk.    Sekiranya ayat majmuk itu panjang, tanda koma ( , ) akan digunakan selepas ayat keterangan.  Contoh:
a.       Oleh sebab dia kesejukan, anak kecil itu menangis.
b.      Kerana dia tidak berusaha, dia gagal dalam peperiksaan.

2.2.2.4.1   Jenis-jenis keterangan
            Ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk  Terdapat berbagai-bagai keterangan yang disampaikan oleh ayat kecil ini, bergantung kepada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang terkandung di dalamnya  (Nik Safiah Karim et al. 2010).  Terdapat sembilan jenis keterangan berdasarkan buku Tatabahasa Dewan (2010) iaitu:
  1. Keterangan musabab - menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung yang digunakan ialah kerana, lantaran, sebab, dan oleh sebab.
  2. Keterangan akibat - menerangkan kesan atau hasil sesuatu   perbuatan.  Kata hubung yang digunakan untuk jenis ini ialah hingga dan sehingga. 
c.  Keterangan syarat - menerangkan sesuatu tuntutan yang perlu dipenuhi.  Kata hubung bagi jenis ini ialah sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau. 
c.       Keterangan waktu -  menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian.  Kata hubung keterangan waktu ialah sejak, semenjak, setelah, sewaktu, sementara, tatkala dan ketika. 
d.      Keteranga waktu – menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian.  Kata hubung yang digunakan ialah sejak, semenjak, setelah sewaktu, sementara tatkala,  dan ketika.
e.       Keterangan pertentangan – menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan atau bertentangan.  Contoh kata hubung ialah walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.     
f.       Keterangan harapan – menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Contoh kata hubung supaya, agar, semoga, moga-moga dan kalau-kalau.
g.      Keterangan cara – menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku.  Kata hubung yang digunakan ialah dengan.
h.      Keterangan tujuan – menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung yang digunakan ialah untuk, demi dan bagi.
i.        Keterangan perbandingan – menerangkan sesuatu kejadian yang menjadi persamaan.  Kata hubung yang digunakan ialah seperti, macam, seolah-olah, seakan-akan, ibarat, bagaikan dan bak.

           
            Jenis seterusnya ialah ayat majmuk yang mempunyai klausa komplemen sebagai subjek atau objek klausa utama.  Klausa komplemen merupakan pelengkap kepada klausa utama yang belum lengkap maknanya.  Kata hubung yang digunakan ialah bahawa, untuk, demi, supaya, semoga, yang, agar, dan lain-lain.  Beliau juga turut menyatakan bahawa klausa yang menjadi kompemen boleh terdiri daripada klausa nama, klausa adjektif, dan klausa kerja.
Ayat majmuk yang menggunakan klausa adverba (keterangan) pula terbentuk daripada satu klausa utama dan satu atau lebih klausa kecil adverba.  Klausa adverba menerangkan kata kerja dalam predikat.  Kata hubung yang digunakan ialah sebab, kerana, dengan, apabila, jika, jikalau, sejak, semenjak, sewaktu, sungguhpun, walaupun, ketika, setelah dan semoga.  Terdapat enam jenis klausa adverba iaitu klausa adverba musabab, klausa adverba waktu, klausa adverba syarat, klausa adverba pertentangan, klausa adverba harapan dan klausa adverba cara. (Abdullah Hassan 2005)
            Dalam ayat majmuk pancangan kita mendapati terdapat banyak persamaan di antara kedua-dua buku.   Kedua-duanya menyatakan dalam ayat majmuk pancangan terdapat ayat relatif, komplemen dan keterangan.  Sementara dalam ayat komplemen, kedua-dua buku turut menyatakan terdapat tiga jenis ayat komplemen iaitu ayat komplemen frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif. 
Walau bagaimanapun perbezaan dapat dilihat daripada segi nama seperti penggunaan ayat oleh Nik Safiah Karim et al.(2010) manakala klausa digunakan oleh Abdullah Hassan (2005).  Perbezaan juga dapat dilihat dalam ayat keterangan di mana Nik Safiah Karim et al. (2010) menyenaraikan sembilan jenis keterangan berbanding Abdullah Hassan (2005) yang hanya menyenaraikan enam jenis keterangan sahaja.

2.2.3    Ayat majmuk campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai ayat majmuk.  Ayat-ayat sedemikian biasanya panjang.  (Nik Safiah Karim et  al. 2010).  Contoh:
’Negara mengalami masalah ekonomi tetapi keadaannya bertambah baik apabila pertumbuhan eknomi mula berkembang semula.’
Ayat campuran ini terdiri daripada ayat gabungan dan ayat keterangan waktu, atau dua ayat utama dan satu ayat kecil.
            Ayat utama:  Negara mengalami masalah ekonomi.
            Ayat utama:  Keadaannya bertambah baik.
            Ayat kecil:  Apabila pertumbuhan ekonomi mula berkembang semula.
Sementara Abdullah Hassan (2005) pula menyatakan bahawa ayat majmuk campuran mengandungi ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan sekaligus.  Contoh:
’Ipoh dan Taiping menjadi maju kerana bijih timah, sedangkan Kuala Sepetang
yang terletak di Kuala Sungai Sepetang menjadi penting sebagai pelabuhan.’
Ayat di atas terdiri daripada dua ayat majmuk iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan.

2.2.4    Ayat majmuk pasif
            Contoh-contoh yang diberi daripada Tatabahasa Dewan (2010) di atas merupakan contoh ayat majmuk aktif. Kesemua ayat majmuk aktif ini yang terdapat dalam ayat majmuk gabungan, ayat majmuk relatif, ayat majmuk komplemen, dan ayat majmuk keterangan jika mengandungi kata kerja transitif boleh dijadikan ayat pasif.  Contoh:

i.                                Ayat majmuk gabungan
a.  Aktif:          Saya minum teh dan Aminah makan nasi.
b.  Pasif:          Teh saya minum dan nasi dimakan oleh Aminah.
ii.         Ayat majmuk relatif
                        a.  Aktif:          Mereka menonton wayang yang lucu itu.
                        b.  Pasif:          Wayang yang lucu itu ditonton oleh mereka.
iii.        Ayat majmuk komplemen:  Komplemen objek
a.  Aktif:          Guru menerangkan bahawa ujian akan dijalankan pada bulan hadapan.
b.  Pasif:          Bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan diterangkan oleh guru.
iv.        Ayat majmuk keterangan
                        a.  Aktif:          Ali akan membeli buku itu kalau ayah membenarkannya.
                        b.  Pasif:          Buku itu akan dibeli oleh Ali kalau ayah membenarkannya.

            Abdullah Hassan (2005) juga menjelaskan bahawa ayat-ayat majmuk gabungan dalam binaan aktif  boleh dipasifkan untuk membentuk ayat majmuk pasif.  Begitu juga dengan ayat majmuk pancangan iaitu pancangan relatif, pancangan komplemen, dan pancangan keterangan boleh dipasifkan.  Dalam ayat pmajmuk pancangan, hanya klausa utama yang aktif dipasifkan.  Contoh:
i.       Ayat majmuk gabungan
a.  Aktif:          Saya membeli buku tetapi abang saya membeli akhbar.
b.  Pasif:          Buku saya beli tetapi akhbar dibeli oleh abang saya.
               ii.      Ayat majmuk pancangan relatif
                        a.  Aktif:          Mereka menerima hadiah yang lumayan itu.
                        b.  Pasif:          Hadiah yang lumayan itu diterima oleh mereka.
                iii.    Ayat majmuk pancangan komplemen
a.  Aktif:          Guru Besar menerangkan bahawa sekolah ditutup minggu ini.
b.  Pasif:          Bahawa sekolah ditutup minggu ini diterangkan oleh Guru Besar.              
                iv.    Ayat majmuk pancangan keterangan
a.  Aktif:          Abu akan membeli barang itu setelah mendapat wang.
b.  Pasif:          Barang itu akan dibeli oleh Abu setelah mendapat wang.
            Dalam ayat majmuk campuran dan ayat majmuk pasif juga memperlihatkan persamaan di antara kedua-duanya.  Kedua-dua buku menyatakan bahawa ayat  majmuk campuran terdiri daripada beberapa campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai ayat majmuk yang panjang-panjang.  Sementara itu kedua-dua buku juga turut menyatakan bahawa majmuk gabungan, ayat majmuk relatif, ayat majmuk komplemen, dan ayat majmuk keterangan boleh dipasifkan jika mengandungi kata kerja transitif.

Kesimpulan
Daripada huraian di atas kita dapat membuat satu kesimpulan bahawa ayat majmuk ialah beberapa ayat yang dicantumkan sehingga menjadi ayat baharu menggunakan kata hubung.  Berdasarkan perbandingan yang telah dibuat, kami mendapati terdapat banyak persamaan di dalam kedua-dua buku yang dikaji tentang ayat majmuk berbanding perbezaan yang hanya sedikit sahaja.  Penggunaan ayat majmuk dapat menambahkan keindahan berbahasa, memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat.  Penggunaan ayat majmuk juga dapat menjadikan penulisan lebih menarik, ringkas, dan padat dan digunakan dengan meluas dalam bidang penulisan rencana.

 
Rujukan

Abdullah Hassan.  (2005).  Linguistik am:  Siri pengajaran dan pembelajaran bahasa
     Melayu.  Kuala Lumpur:  PTS  Professional Publishing Sdn. Bhd.

Asmah Haji Omar.  (1993).  Nahu Melayu mutakhir.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa
     dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka.  (2002).  Kamus dewan edisi ketiga.  Kuala Lumpur:
     Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Ali Mahmood et  al.  (2010).  HBML2103 Morfologi dan sintaksis bahasa Melayu.
     Selangor Darul Ehsan:  Meteor Doc.  Sdn.  Bhd.

Nik Safiah Karim et  al.  (2010).  Tatabahasa dewan edisi ketiga.  Kuala Lumpur: 
     Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment