Sunday, 4 May 2014

Penggunaan Bahasa Tidak Sopan



1.0       Pengenalan

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Pantun melayu lama ini menggambarkan betapa bahasa itu amat indah dan bermakna kepada setiap insan di dunia ini.  Tanpa bahasa manusia hanya mampu berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau bahasa tubuh.  Bahasa merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia dan masyarakat serta negara. Bahasa juga merupakan simbol dalam kehidupan sosial manusia kerana bahasa melambangkan identiti kelompok masyarakat dan sosiokultural sesebuah negara. Dalam konteks negara kita Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa yang telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan menjadi simbol kepada kedaulatan bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Definisi bahasa menurut Kamus Dewan (2002:87), ialah satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Contohnya antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. Sementara Nik Safiah Karim (1992:11), menyatakan bahasa mengikut Sapir didefinisikan sebagai “cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan dengan sukarela’. Pateda (1981) juga mentakrifkan bahasa sebagai alat komunikasi dan makhluk sosial yang suka bersosial, iaitu bersosial untuk kebaikan tetapi adakalanya keburukan.(Abdullah Yusuf, 2010).

Sopan pula didefinisikan sebagai hormat dengan tatatertib, baik budi bahasanya, tahu tertib peraturan, beradab dan baik perangai dan kelakuannya.(Kamus Dewan ,2002:1299)
Perkataan kasar pula bermaksud tidak halus, tidak licin, tidak tertib atau tidak bersopan santun . (Kamus Dewan ,2002: 581). Justeru bahasa tidak sopan  atau bahasa kasar bermaksud bahasa yang dituturkan tidak mengikut tatatertib atau tidak menepati peraturan dalam berbahasa seperti sebutan nahu yang teratur, mengawal ketertiban semasa berinteraksi serta memikirkan kesan selepas mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan atau kasar tersebut
Berleluasa bermaksud melakukan sesuatu dengan bebas atau sesuka hati.(Kamus Dewan 2002:787). Sementara masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. .(Kamus Dewan ,2002:865)
Walau bagaimanapun,  selaras dengan era globalisasi dunia masa kini yang menuntut banyak perubahan, turut mempengaruhi cara hidup, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu kepada unsur-unsur luar. .  Perubahan-perubahan yang berlaku kesan daripada arus kemodenan dan teknologi masa kini bukan sahaja bersifat positif tetapi juga negatif .  Justeru bahasa Melayu juga turut menerima tempiasnya. Fenomena ini secara tidak langsung telah menghakis nilai-nilai kehalusan dan kesantunan dalam bahasa Melayu.  Cogankata ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ seperti yang dilaung-laungkan suatu ketika dahulu, dirasakan tidak lagi sesuai memandangkan fenomena yang semakin berleluasa sekarang.  Penggunaan bahasa tidak sopan atau bahasa kasar semakin menjadi-jadi dan seolah-olah menjadi kebanggaan pula oleh sesetengah pihak apabila menggunakannnya.  Ini dapat kita lihat dalam berbagai situasi seperti penggunaan bahasa rojak yang sering digunakan dalam sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) , bahasa-bahasa kurang sopan seperti yang terdapat dalam iklan, dialog-dialog drama dan filem dan juga ungkapan-ungkapan kasar dan tidak sopan yang digunakan oleh  golongan anak-anak muda dan remaja masa kini semasa berkomunikasi amat menyedihkan apabila didengar.

 2.0       Faktor-faktor Yang Menyebabkan Berlakunya Bahasa Tidak Sopan
Faktor bermaksud unsur atau penyebab yang menyumbang kepada sesuatu hasil. (Kamus Dewan,2002:348). Oleh itu tercetusnya fenomena bahasa tidak sopan di kalangan masyarakat Malaysia pada masa kini disebabkan oleh beberapa faktor.  Faktor-faktor ini juga boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan faktor luaran.
2.1       Faktor Dalaman.
Faktor dalaman adalah merupakan yang faktor terbit daripada individu itu sendiri iaitu seperti pengaruh dan didikan keluarga serta emosi dan sikap.
2.1.1    Pengaruh dan Didikan Keluarga
Kebanyakan ibubapa masa kini bekerja sepenuh masa. Lantaran kesibukan dan kesuntukan masa, maka hak penjagaan dan didikan anak-anak kurang dititikberatkan sebaliknya ada yang menyerahkan sepenuh tanggungjawab ini kepada penjaga anak-anak mereka seperti pembantu rumah atau pengasuh. Lebih menyedihkan kerana terlalu mengejar kebendaan dan mementingkan kerjaya ada pihak yang sanggup meninggalkan anak-anak mereka kepada ibu bapa yang telah tua di kampung. Sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat inilah yang menjadi punca kewujudan sifat-sifat negatif dalam diri anak-anak.  Anak-anak umpama kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan kain itu agar menjadi corak yang cantik dan sempurna. Begitulah juga dengan jiwa anak-anak yang lembut dan halus. Mereka mudah untuk dibentuk dan tersentuh.  Sikap tidak peduli dan tidak bertanggungjawab ibu bapa ini akan menyebabkan sesebuah keluarga itu kurang kemesraan dan kasih sayang.  Oleh itu anak-anak akan menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka kepada ibu bapa dengan melakukan perkara yang tidak sepatutnya.  Mereka memprotes dengan cara bersikap kurang ajar dan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar apabila bercakap. Tambah menyedihkan jika anak-anak dijaga oleh pembantu atau pengasuh yang berpewatakan kasar atau kurang sopan serta sering menggunakan kata-kata yang kurang sopan.  Anak-anak ini akan terikut-ikut dan turut mengamalkan gejala yang tidak baik ini.
Selain itu faktor keluarga yang bermasalah juga akan menjadi punca wujudnya fenomena ini.  Ada keluarga atau ibubapa yang sering bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan di hadapan anak-anak.  Oleh itu anak-anak akan menganggap perbuatan itu adalah betul dan menjadi ikutan.  Ini adalah kerana mereka sering didedahkan dengan perbuatan dan penggunaan bahasa yang kurang sopan tanpa ada yang menegahnya. Selain itu,sikap  dan perangai ibu bapa yang sering bercakap dengan nada yang kuat atau terjerit-jerit serta penggunaan bahasa yang kasar seperti ‘hoi’,’aku’,’kau’,’bodoh’ dan sebagainya akan turut mempengaruhi sikap anak-anak.  Mereka akan menggunakan bahasa yang sama apabila berinteraksi dengan orang lain.
2.1.2    Sikap dan Emosi
Faktor seterusnya ialah sikap dan emosi penutur itu sendiri turut menjadi punca kepada fenomena bahasa kurang sopan ini.  Contohnya sikap suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan diri dan ego akan menimbulkan rasa sombong  dan angkuh dalam diri individu.  Apabila ini berlaku, individu tersebut lebih cenderung untuk menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat apabila berinteraksi dengan orang lain.  Sikap hormat –menghormati dan beradab sopan dengan orang lain akan turut terhakis dari dalam diri individu tersebut.
Seseorang yang mempunyai emosi yang tidak stabil, jiwa yang resah, kusut dan tidak terkawal juga akan cenderung mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan terhadap orang lain.  Ini mungkin disebabkan oleh perasaan rendah diri atau marah akibat dihina atau dimarah. Justeru itu, mereka cuba untuk melepaskan perasaan marah dan tidak puas hati yang terpendam dengan melafazkan kata-kata kasar, kesat dan sebagainya tanpa memikirkan kesan daripada kata-kata tersebut boleh menyinggung perasaan orang lain.
 2.2       Faktor Luaran
Faktor luaran yang mempengaruhi penggunaan bahasa tidak sopan ini ialah seperti pengaruh rakan sebaya, persekitaran, media massa dan politik negara.
2.2.1    Pengaruh Rakan Sebaya.
Rakan sebaya merupakan orang yang paling hampir dengan kita selain ibu bapa dan kaum keluarga.  Remaja yang terdedah dengan kehidupan yang terlampau bebas akan menjadikan rakan sebaya mereka sebagai individu yang penting dalam hidup mereka.  Pergaulan yang bebas dengan rakan sebaya yang bermasalah akan menyebabkan mereka akan turut terpengaruh dengan gejala yang kurang baik.  Kebiasaannya golongan ini akan menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat apabila berkomunikasi sesama mereka.  Lebih membimbangkan apabila ada di kalangan remaja tidak segan silu menggunakan bahasa –bahasa lucah apabila bercakap. Justeru apabila perbuatan sering menjadi amalan mereka akan turut menggunakan bahasa-bahasa yang kurang sopan seperti ini apabila berkomunikasi dengan kaum keluarga atau orang yang lebih tua daripada mereka.  Sekiranya tingkah laku ini tidak dibendung pastinya akan menjadi teladan dan ikutan golongan anak-anak kecil ataupun adik-beradik mereka pula.
2.2.2    Pengaruh persekitaran.
Persekitaran bermaksud apa yang ada di sekeliling kita.  Pengaruh persekitaran biasanya disumbangkan oleh masyarakat dan kehidupan sosial yang berlaku dalam sesuatu komuniti itu. Komuniti bermaksud kumpulan orang atau masyarakat yang tinggal di suatu daerah atau negara dan mempunyai sifat-sifat atau kecenderungan dan kepentingan yang sama.  Masyarakat kita terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.  Begitu juga dengan  bahasa Melayu yang terdiri daripada pelbagai variasi bahasa. Variasi bermaksud kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Variasi bahasa wujud disebabkan perbezaan dari konteks sosial dan budaya penutur sesuatu bahasa itu.  Menurut Asmah Omar (1991:36), variasi bahasa boleh dilihat daripada pelbagai sudut iaitu berdasarkan kawasan, situasi sosial dan tema.
Dialek merupakan satu contoh variasi bahasa. Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan mengikut sesuatu daerah atau kelas sosial. (Abdullah Yusuf. 2010).  Seseorang penutur bahasa akan menggunakan dialek mengikut daerah asal atau tempat tinggalnya untuk berkomunikasi. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan berlaku apabila penutur dialek dari daerah yang berlainan saling berkomunikasi menggunakan dialek daerah sendiri.  Akibatnya wujud ketidakfahaman dan salah faham terhadap makna yang ingin disampaikan.  Contohnya bagi dialek Kedah penggunaan kata gantinama ‘aku’,’hang’,’hangpa’ menunjukkan panggilan yang mesra dan hubungan yang rapat.  Akan tetapi bagi penutur dialek dari negeri seperti Selangor dan Johor menganggapnya sebagai satu perkataan atau panggilan yang agak kasar dan kurang sopan.  Begitu juga ungkapan perkataan ‘celaka’ yang dianggap kesat dan keterlaluan bagi penutur negeri lain, tetapi dianggap sebagai satu ungkapan yang biasa di kalangan masyarakat negeri Melaka.
Selain itu, bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa basahan dan bahasa kasar juga merupakan variasi bahasa. Bahasa-bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa kolokial. Bahasa kolokial ialah bahasa percakapan sehari-hari oleh masyarakat yang tinggal di daerah tertentu. Menurut Mansoer Pateda (1994), yang dipetik daripada Abdullah Yusuf (2010)  mengatakan bahawa bahasa kolokial juga mengandungi kata-kata yang kurang enak di dengar sehari-hari di daerah tertentu. Penggunaan bahasa pasar seperti ‘lu’,’gua’, bahasa slanga seperti ‘brader’,’bro’,’beb’dan bahasa kasar seperti ‘baik punya’,’banyak cantik’ dan sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dalam pertuturan golongan remaja masa kini. Semua ini merupakan ciri-ciri pengucapan bahasa yang tidak sopan.
Di samping itu kemajuan sesebuah masyarakat juga turut menyumbang kepada perkembangan penggunaan bahasa tidak sopan di kalangan masyarakat. Ini adalah kerana semakin maju sesebuah masyarakat maka perkembangan bahasanya juga akan berlaku. Contohnya bagi masyarakat bandar yang terdedah dengan arus kemodenan dan teknologi yang serba canggih, maka proses perkembangan bahasa berlaku dengan pantas.  Justeru itu unsur-unsur asing yang kurang baik juga turut terserap dengan cepat seperti penggunaan bahasa rojak di alam siber.  Hal ini berlaku apabila seseorang individu yang tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi ingin terus menggunakannya.  Akibatnya berlaku percampuran bahasa Melayu dan Inggeris yang digelar bahasa rojak.  Contoh bahasa rojak yang biasa digunakan ialah seperti ‘kau memang terror la’, ‘tempat ni best la’,’class la kau’ dan sebagainya. Penggunaan bahasa ini semakin meluas dan terutamanya bagi golongan remaja di bandar.  Situasi ini dibimbangi lama kelamaan akan menghakis nilai-nilai kesantunan dan budaya bahasa Melayu sekiranya langkah-langkah untuk membendung gejala ini tidak dilaksanakan dengan segera.
2.2.3    Pengaruh Media Massa.
Media merupakan satu wadah penting yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku sesebuah masyarakat.  Perkembangan industri media kini sejajar dengan arus kemodenan dan kemajuan teknologi yang semakin canggih. Media merupakan sumber penyampai maklumat bagi memperolehi pengetahuan dan hiburan. Selain itu, media massa juga merupakan penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial anak-anak muda masa kini.  Jenis-jenis media ialah seperti saluran televisyen, internet,  radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan sebagainya.

Malaysia kini telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula berlumba-lumba menyiarkan berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik perhatian para penonton.  Persaingan ini lebih mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Hasilnya terdapat tayangan-tayangan yang melampaui batas-batas susila budaya rakyat Malaysia dan memberi pengaruh negatif terhadap golongan remaja dan bawah umur yang menonton.  Penggunaan bahasa tidak sopan juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak stesen televisyen.  Contohnya seperti rancangan “Lu Pikir La Sendiri’ yang dikelolakan oleh pelawak muda tanah air iaitu Nabil mempunyai pengaruh bahasa tidak sopan yang amat ketara.  Tajuk rancangan itu sendiri telah menunjukkan penggunaan bahasa yang tidak sopan.  Lebih menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama golongan anak-anak sekolah. 
Di samping itu, filem-filem seperti KL Gengster, Kongsi, KL Drift dan beberapa lagi banyak menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan.  Contohnya perkataan seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’,’beb’ sering diulang-ulang di dalam dialog sehingga naik jelak mendengarnya.  Namun begitu, ungkapan-ungkapan inilah yang sering ditiru dan menjadi ikutan oleh para remaja  apabila berinteraksi sesama mereka.

Ledakan teknologi maklumat yang semakin canggih dan maju turut meningkatkan sistem perhubungan dan telekomunikasi negara.  Sememangnya kemajuan ini amat baik dan dinanti-nantikan oleh semua orang.  Seperti yang sering diwar-warkan pada masa kini semua urusan hanya di hujung jari.  Penggunaan internet dan kemudahan telefon bimbit memberi pelbagai kemudahan kepada kita.  Namun begitu, kecanggihan sistem teknologi maklumat dan telekomunikasi ini juga turut memudahkan orang ramai khasnya golongan muda-mudi kini mencemarkan bahasa kita tanpa disedari.  Penggunaan bahasa yang tidak sopan sering kali menghiasi ruangan-ruangan laman sembang di internet dan untuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit.  Contohnya penggunaan perkataan seperti ‘syok giler’,’aweks’,’beb’ ‘siot’ dan sebagainya.  Fenomena ini dilihat semakin hari semakin menular bagaikan wabak.  Sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk mengekang fenomena dari terus merebak, pasti ianya akan menjadi virus dan mengancam nilai-nilai kesantunan bahasa kita

3.0       Analisis Bahasa Tidak Sopan

Bahasa Melayu kini berhadapan dengan fenomena yang membimbangkan di mana nilai- nilai kesantunan dalam berbahasa semakin terhakis dengan kemunculan pelbagai gejala penggunaan bahasa yang tidak sopan di kalangan masyarakat khasnya golongan remaja.  Terdapat pelbagai contoh dan situasi penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin berleluasa dapat kita lihat  kini.

Contoh yang pertama ialah penggunaan kata gantinama diri yang sering digunakan oleh para remaja masa kini ketika berinteraksi sesama mereka ialah seperti ‘lu’,’gua’,’bro’ dan lain-lain lagi.  Kata gantinama diri ini dianggap tidak sopan apabila di dengar oleh golongan yang lebih berumur.  Sepatutnya mereka perlu menggunakan kata gantinama diri seperti ‘awak’,’saya’, ‘encik’ atau ‘anda’ yang lebih sopan dan beradab.

Selain itu, fenomena kedua yang sering berlaku ialah penggunaan bahasa rojak.  Bahasa rojak menurut perspektif bahasa ia juga dikenali sebagai penukaran kod.  Ia  bermaksud mencampuradukkan dua atau lebih bahasa dalam satu percakapan  atau perbualan. (Teo Kok Seong, 1996:  41-43).  Bahasa rojak atau penukaran kod ini boleh berlaku sama ada hanya sepatah perkataan sahaja ataupun sebahagian besar sesuatu komunikasi atau perbualan tersebut.  Bahasa rojak ini sering digunakan apabila seseorang yang tidak begitu mahir dalam sesuatu bahasa seperti bahasa Inggeris tetapi ingin berlagak seolah-olah mahir berbahasa Inggeris.  Akibatnya berlakulah penggunaan bahasa yang tidak sopan kerana tidak mematuhi peraturan linguistik dalam bahasa Melayu seperti penggunaan perkataan,  susunan , ejaan da sebagainya.  Contoh penggunaan bahasa rojak ini ialah seperti, ‘jom pegi lunch’ di mana dari segi penggunaan bahasa yang betul bermaksud ‘ Mari kita pergi makan tengahari’. Contoh lain yang selalu kita dengar ialah seperti, ‘nanti l call you ‘, ‘tolong orderkan makanan ‘ ‘handsome giler mamat tu ‘, ‘cutenya budak tu’,  dan lain-lain lagi.

Seterusnya fenomena bahasa kurang sopan semakin banyak dapat kita saksikan melalui slot-slot rancangan televisyen, drama, filem dan seumpamanya.  Penggunaan kata-kata kesat, kasar dan berunsur lucah disiarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada penonton.  Golongan remaja dan kanak-kanak antara golongan yang paling ramai menonton dan amat terpengaruh dengan gejala seperti ini.  Penggunaan perkataan seperti ‘bangsat’, ‘bahlul’,’bodoh’,’mampus’, seperti yang terdapat dalam dialog-dialog filem atau drama sesungguhnya amat kesat di dengar apatah lagi bila diucapkan berkali-kali.  Selain itu, ungkapan-ungkapan  seperti ‘wa kena beb’, ‘lu pikir la sendiri’, ‘tau tak pe’ seperti yang terdapat menerusi slot televisyen yang agak popular dewasa ini juga merupakan satu lagi situasi penggunaan bahasa yang kurang sopan. Namun begitu perkataan-perkataan inilah yang sering menjadi ikutan para remaja dan anak-anak sekolah .

Penggunaan bahasa kurang sopan juga terjadi apabila emosi dikuasai oleh perasaan ego, angkuh, sombong, marah, terhina dan sebagainya.  Penggunaan kata-kata kesat dan kasar bertujuan untuk mengejek, memaki hamun, mencaci, mencarut  kerana untuk melepaskan perasaan marah , dendam, sakit hati dan sebagainya. Contoh kata-kata kesat ialah seperti ‘babi’,’celaka’.’gila’ dan lain-lain lagi.  Walau apapun  alasannya, sikap yang sebegini sebenarnya menunjukkan keperibadian si penutur yang tidak baik dan menampilkan imej diri yang negatif bagi orang yang mendengarnya.  Fenomena ini dibimbangi akan menjadi ikutan anak-anak kecil dan golongan remaja sekiranya tidak dibendung.

4.0       Cadangan Langkah Mengatasi

4.1       Peranan Ibu bapa

            Pepatah melayu ada menyatakan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Ini bermakna mendidik anak-anak perlulah dari kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah yang berperanan untuk mewarnainya.   Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak.  Bagi menangani fenomema masalah penggunaan bahasa tidak sopan ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sopan dan teratur Ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.  Mereka juga perlu memantau aktiviti dan cara pergaulan anak-anak mereka.  Sekiranya terdapat ciri-ciri negatif dan penggunaan bahasa yang kurang sopan di kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah berusaha menegah agar hal itu tidak berterusan.  Teguran dan nasihat hendaklah sentiasa diberikan supaya anak-anak dapat membezakan tentang bahasa yang sopan dengan bahasa yang tidak sopan .  Ibu bapa juga perlu menggunakan bahasa yang baik dan sopan apabila berkomunikasi dengan anak-anak.  Ini menyebabkan anak-anak akan merasa lebih disayangi dan dihargai. Ahli keluarga lain mesti mengamalkan pertuturan yang bersopan dan berhemah antara satu sama lain.  Ini merupakan contoh dan pengaruh yang baik terhadap anak-anak.  Apabila anak-anak sentiasa didedahkan dengan penggunaan bahasa yang baik dan sopan, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan penggunaan bahasa-bahasa yang kasar dan kurang sopan.

4.2       Peranan Media Massa

Media massa merupakan medium yang paling sesuai untuk memain peranan dalam menangani fenomena bahasa tidaka sopan ini.  Ini adalah kerana media massa merupakan ejen penyampai yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televisyen, radio dan seumpamanya ialah dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan sopan.  Pihak penerbit juga boleh menyediakan rencana-rencana atau slot-slot khas yang memaparkan tentang nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa.  Pihak penerbit juga perlu mengawal dan memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan mematuhi syarat-syarat penyiaran yang telah ditetapkan terutama dalam penggunaan bahasa yang sopan dan teratur.

Selain itu, media cetak juga perlu memainkan peranan yang serupa dalam membenteras isu ini.  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan, akhbar-akhbar dan majalah perlu lebih aktif mengeluarkan bahan-bahan untuk  panduan dan  rujukan orangramai tentang tatacara penggunaan bahasa yang sopan

4.3       Peranan  Kerajaan

Kerajaan merupakan jentera paling penting dalam sesebuah negara.  Dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini.  Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran orangramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.  Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan telah pun melancarkan “Bulan Bahasa Kebangsaan” pada setiap tahun.

Selain itu, Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga telah melancarkan kempen “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” di media-media cetak dan elektronik yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Pihak kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen bagi memastikan rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-nilai budaya dan kesantunan bahasa Melayu.  Contoh yang sedia ada ialah FINAS (Lembaga Penapisan Filem Negara) yang berperanan menapis filem-filem yang ingin ditayangkan di negara ini agar menepati syarat wajib tayang yang telah ditetapkan.

Pihak kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengadakan satu akta tentang penggunaan bahasa tidak sopan di khalayak umum.  Melalui akta tersebut, individu yang mengeluarkan atau mengucapkan kata-kata yang tidak sopan di khalayak umum boleh di denda dan dikenakan hukuman.  Ini bertujuan untuk membenteras penggunaan bahasa tidak sopan  yang semakin berleluasa dan sukar di bendung.




4.4       Peranan Guru

Peranan guru adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari emosi, jasmani, fizikal dan rohani.  Justeru dalam usaha membendung gejala penggunaan bahasa tidak sopan ini, peranan guru khasnya guru bahasa Melayu perlu memberi penekanan dalam aspek kemahiran lisan dalam kemahiran berbahasa.  Penekanan harus diberikan tentang aspek-aspek pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan tersusun.  Penerapan nilai-nilai murni juga perlu diberi penekanan yang sewajarnya.  Pembentukan moral dan sahsiah yang baik juga perlu ditekankan melalui pengajaran Pendidikan Agama lslam dan Moral.  Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak  mulia.

5.0       Kesimpulan.

Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa bahasa , manusia adalah bisu dan hanya boleh berinteraksi melalui bahasa isyarat atau bahasa badan.  Bahasa juga melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita.  Berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi menjamin kedaulatan serta memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.  Namun begitu, kita juga tidak terlepas daripada menghadapi rintangan dalam mengekalkan usaha-usaha tersebut.  Antara rintangan tersebut ialah penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin menular  umpama satu wabak yang amat merbahaya. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan merupakan satu gejala alaf baru yang bakal menggugat kedaulatan bangsa dan menghakis nilai-nilai kasantunan bahasa Melayu sekiranya tidak di bendung dengan sewajarnya. 
 
Justeru, pelbagai langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada terus merebak dan berleluasa.  Usaha  pelbagai pihak daripada semua peringkat masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan dicapai.  Kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa yang sopan perlulah dipertingkatkan.   Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai dan betul akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud semasa kita berkomunikasi dengan orang lain.  Memahami apa yang disampaikan menjadikan individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan gembira. Ini menandakan bahawa proses komunikasi itu berjaya  Kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang memartabatkan kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam budaya kehidupan yang dilalui.

                                                                                               
Rujukan :

Abdullah Yusuf. 2010. HBML3403. Linguistik dan Sosiolinguistik. Selangor Darul Ehsan: Meteor Doc.Sdn.Bhd.
Asmah Hj. Omar.  2002.  Setia dan Santun Bahasa.  Tanjung Malim:  Penerbitan Universiti Perguruan Sultan Idris.


Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 2002. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.

Teo Kok Seong. 1996. ”Penukaran Kod dan Bahasa: Satu Fenomena Kedwibahasaan”.Pelita Bahasa.Halaman 41-43.
Zaidi Ismail. 2005. Pelita Bahasa. Kuala Lumpur.


Dicapai daripada laman web pada  21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada  21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada  21 Oktober 2011:

Dicapai daripada laman web pada  21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada  21 Oktober 2011:

1 comment:

  1. kenapa keburukan ja bnyak? buat lah kebaikan sekali supaya kami senang cari

    ReplyDelete