Wednesday 7 November 2012

KOLEKSI CERITA RAKYAT MALAYSIA



BERUK TUNGGAL

Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu.

Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani.

Perempuan itu sangat inginkan seorang anak. Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.

Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani.
Tahun itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak raja kayangan.

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG 2012






Pengaruh Bahasa Dalam TMK



1.0       Pendahuluan
Teknologi Maklumat (Information Technology-IT) sering digambarkan sebagai istilah yang timbul hasil penggunaan komputer, penyiaran, telekomunikasi dan rangkaian data. Tiga teknologi asas yang menyokongnya ialah perkakasan komputer, perisian komputer dan komunikasi data.  Teknologi maklumat terhasil daripada gabungan teknologi elektronik mikro, telekomunikasi dan komputer yang berkaitan dengan penerimaan dan penyampaian maklumat seperti perkataan, gambar, bunyi dan nombor kepada pengguna secara elektronik.  Perkakasan komputer merupakan mesin atau alat fizikal yang melakukan fungsi-fungsi asas kitaran pemprosesan data sama ada di luar talian ataupun di dalam talian. Fungsi-fungsi tersebut ialah penyediaan dan kemasukan data, pemprosesan, storan, input dan output.
Perisian pula merupakan jujukan arahan yang terperinci atau aturcara yang direkabentuk untuk mengarahkan komputer melaksanakan fungsi tertentu. Terdapat dua jenis perisian iaitu perisian sistem dan perisian aplikasi. Komunikasi data ditakrif sebagai pemindahan data dari satu tempat ke tempat yang lain secara elektronik dalam bentuk digital. Bagaimanapun, data digital perlu ditukar kedalam bentuk analog oleh modem sebelum komunikasi dijalankan. Contoh perkakasan komunikasi lain ialah Pemultipleks, Pemproses Hujung Hadapan dan Kad Antaramuka Rangkaian (Network Interface Card).

MOHD. YUSOF HASAN (Prof, Dato’ Dr.)



1.0       Latar belakang dan pendidikan
Dato’ Profesor Dr. Mohd. Yusof Hasan merupakan anak jati dari negeri jelapang padi, Kedah.  Beliau dilahirkan pada 20 Januari 1940 di Hosba, Jitra, Kedah.  Peringkat awalnya beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Hosba pada tahun 1947 hingga 1951 dari darjah satu hingga darjah 5.  Seterusnya pada tahun 1956, beliau telah melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah swasta, iaitu Sekolah St. Michael di Alor Setar.  Semasa di Sekolah St. Michael, beliau telah mengambil peperiksaan L. C. E pada tahun 1956 dan telah lulus.  Kemudian beliau telah menyambung pengajiannya di Pusat Latihan Harian (DTC) di Alor Setar pada tahun 1959 hingga tahun 1961 dan memperolehi Certificate of Education.  Selepas itu beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dan telah lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1969.  Beliau seterusnya meneruskan pengajiannya sehingga memperolehi Diploma Pendidikan di Universiti tersebut pada tahun 1970. 
Beliau kemudiannya meneruskan lagi pengajiannya pada tahun 1975 di peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).  Semasa di USM, beliau telah mengambil jurusan yang sama iaitu jurusan sastera.  Untuk mempertingkatkan bidang pendidikan, beliau seterusnya menyambung pembelajaran untuk mendapatkan Ph.D di Australian National University pada tahun 1985 dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah.

Perbezaan Fonetik dan Fonologi



1.0       Pendahuluan
Bahasa yang dihasilkan melalui alat artikulasi manusia disebut pertuturan, kalimat atau ujaran, iaitu satu sistem bunyi yang teratur atau percantuman bunyi yang hadir secara berulang-ulang atau berurutan.  Bahasa berasal daripada bunyi-bunyi yang disebut bunyi-bunyi bahasa.  Bahasa bertindak melalui dua bentuk iaitu  melibatkan bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan melalui alat ujaran manusia dan merangsang pemikiran, situasi sosial dan makna.  Kajian bunyi terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi.

1.1       Definisi fonetik
Fonetik ialah kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi- bunyi itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan.
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), asal perkataan fonetik adalah daripada bahasa Greek yang kemudiannya disebut sebagai phone yang bermaksud bunyi (suara), iaitu kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan.
Sementara Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) pula menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi.  Selain itu, fonetik juga boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, mahu pun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi. (Dr. Lufti Abas, 1975).
Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) pula mentakrifkan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh kita iaitu manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut.  Abdullah Hassan (2005) pula menjelaskan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji penyebutan bunyi manusia, terutama bunyi yang digunakan dalam pertuturan.