Wednesday 7 November 2012

MOHD. YUSOF HASAN (Prof, Dato’ Dr.)



1.0       Latar belakang dan pendidikan
Dato’ Profesor Dr. Mohd. Yusof Hasan merupakan anak jati dari negeri jelapang padi, Kedah.  Beliau dilahirkan pada 20 Januari 1940 di Hosba, Jitra, Kedah.  Peringkat awalnya beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Hosba pada tahun 1947 hingga 1951 dari darjah satu hingga darjah 5.  Seterusnya pada tahun 1956, beliau telah melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah swasta, iaitu Sekolah St. Michael di Alor Setar.  Semasa di Sekolah St. Michael, beliau telah mengambil peperiksaan L. C. E pada tahun 1956 dan telah lulus.  Kemudian beliau telah menyambung pengajiannya di Pusat Latihan Harian (DTC) di Alor Setar pada tahun 1959 hingga tahun 1961 dan memperolehi Certificate of Education.  Selepas itu beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dan telah lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1969.  Beliau seterusnya meneruskan pengajiannya sehingga memperolehi Diploma Pendidikan di Universiti tersebut pada tahun 1970. 
Beliau kemudiannya meneruskan lagi pengajiannya pada tahun 1975 di peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).  Semasa di USM, beliau telah mengambil jurusan yang sama iaitu jurusan sastera.  Untuk mempertingkatkan bidang pendidikan, beliau seterusnya menyambung pembelajaran untuk mendapatkan Ph.D di Australian National University pada tahun 1985 dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah.

 2.0       Kerjaya
Pada peringkat awal, iaitu sejak tahun 1960 lagi beliau telah bertugas sebagai guru di sekolah rendah.  Ketika mengajar di sekolah rendah itulah beliau menyambung pelajarannya di DTC Alor Setar.  Apabila beliau tamat berkursus, beliau di tempatkan pula di sekolah menengah bermula pada tahun 1970 hingga 1977.   Pada tahun 1985, beliau mula bertugas di Universiti Utara Malaysia sebagai pensyarah di Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik.  Seterusnya Mohd. Yusof Hasan telah dilantik sebagai Timbalan dekan pada tahun 1992 – 1994 dan seterusnya dilantik pula sebagai Dekan.  Beliau dianugerahkan gelaran Profesor dalam bidang pemikiran saintifik pada tahun 1999, yang merupakan satu bidang baharu di Universiti Utara Malaysia.  Kini beliau bertugas sebagai Profesor di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Bagi mengenangkan jasa yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatannya, Mohd. Yusof Hasan telah dianugerahkan Bintang Khidmat Masyarakat (B.K.M) pada 1986.  Seterusnya pada tahun 1988, beliau dianugerahkan pula Ahli Mahkota Kedah (A.M.K).  Pada tahun 1998 beliau turut menerima anugerah ‘Tokoh Guru Kedah’ dan Ahli Mangku Negara (A.M.N).  Pada tahun 2000, beliau mendapat anugerah Dato’ Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) daripada Sultan Abdul Halim Mua’zam Shah yang membawa gelaran Dato’.

3.0       Kegiatan Sastera
Penglibatan beliau dalam bidang kesusasteraan lebih terarah kepada bidang penyelidikan kesusateraan.  Mohd. Yusof Hasan banyak membuat penyelidikan kesusasteraan terutamanya terhadap Sasterawan Negara Shahnon Ahmad sejak di peringkat Ijazah Sarjana Muda lagi.  Di samping itu beliau juga banyak membuat penelitian terhadap karya-karya Pramoedya Ananta Toer, James Joyces, Franz Kafka, Virginia Woolfe, albert Camus, dan Leo Tolstoy.  Di samping itu beliau juga turut memberi perhatian terhadap kesusasteraan Filipina dan cerpen-cerpen dari Brunei Darussalam.
Mohd. Yusof Hasan juga terlibat aktif dalam persatuan kesusasteraan.  Antaranya beliau turut terlibat dalam Angkatan Penulis Nasional Kedah (ASASI) dan pernah menjadi Ketua I Angkatan Penulis Nasional Kedah pada tahun 1985 hingga 1989.  Kemudiannya beliau menjawat pula jawatan Yang Di Pertua persatuan tersebut mulai tahun 1989.  Beliau juga turut menjadi panel Hadiah Karya Sastera Malaysia untuk kategori cerpen.  Seterusnya pada tahun 1990, Mohd. Yusof Hasan telah dilantik sebagai Pengerusi Peraduan mengarang Novel Yayasan Sabah.  Beliau telah menerima fellowship dari Universiti Brunei Darussalam pada tahun 1992/1993 hasil daripada kajian tentang ‘Novel-novel Brunei Darussalam 1940-1992’.
Mohd. Yusof Hasan turut menghasilkan lebih daripada 10 buah buku, lebih 200 esei akademik, lebih 100 kertas kerja, dan lebih 300 ceramah yang berkaitan kesusasteraan , motivasi, pendidikan dan pembangunan pemikiran.  Antara tulisan dan kajian yang pernah dihasilkannya ialah Novel of the Troubled Years (1990), Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (1990),  Dunia Melayu (1990),  Pengabdian (1990), Tiga Dunia:  Cerpen Psikologi Kanak-kanak (1990), Pengenalan Fiksyen Dunia (1990), Takah Demi Takah (1990), Penghayatan Fiksyen Melayu (1990), Pemikiran Saintifik SP4L (1994), Novel Negara Brunei Darussalam 1940-1992: Suatu Analisis Kritis Instrinsik-Ekstrinsik (1998), Pemikiran Saintifik SPB4L (2000), Pembinaan Paradigma Pemikiran Peradaban Melayu (2005), Teori Pendidikan Pemikiran Global (2006), Islam Hadhari Menangani Gelombang Globalisasi (2007), Pemikiran Mahathir Mohamed: Kesinambungan Gelombang Keintelektual Melayu Global Dari Abdullah Munsyi dan Za’aba (2008), Pemikiran Global Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (2008), Koleksi Karya Shahnon Ahmad, Pemikiran Sasterawan Negara Malaysia (2008).

4.0       Sumbangan dan Pemikiran Mohd. Yusof  Hasan
4.1       Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L)
Pada sekitar tahun 1990-an, Mohd. Yusof Hasan telah memperkenalkan satu teori iaitu Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L).  Teori SPB4L ini menggabungkan dan menyepadukan empat sistem pemikiran yang diterjemahkan oleh pengarang dalam hasil karya sastera yang merangkumi pemikiran luhur, lahir, logik, dan lateral.  Teori ini telah dicetuskan sekitar tahu 1990-an dan diajar kepada para penuntut Universiti Utara Malaysia. 
Pemikiran luhur merupakan pemikiran suci berdasarkan kepada keimanan, ketauhidan, dan kepercayaan manusia kepada yang maha Esa. (Mohd. Yusof Hasan, 2000).  Pemikiran luhur dalam agama Islam melibatkan komunikasi manusia sebagai hamba Allah secara terus dengan Allah serta hubungan manusia dengan manusia dan alam.  Dalam Al-Quran, telah pun termaktub tentang pemikiran luhur ini yang melibatkan rukun iman, rukun Islam, aspek kehidupan berpolitik, ekonomi, sosial, dan sebagainya. (Mohd. Yusof Hasan, 2000).
            Pemikiran lahir pula adalah berkaitan pemikiran yang dibina sejak dalam rahim lagi.  Ia berkaitan dengan pembinaan dan pertumbuhan minda manusia semasa berusia enam hari  di dalam kandungan sehinggalah berusia enam tahun.Pada peringkat ini harus diaplikasi dan difokuskan kepada aspek pemikiran lahir yang dipercayai dapat menyerlahkan potensi kebijaksanaan minda.  
Pemikiran logik pula merupakan pemikiran berdasarkan ilmu yang lengkap, memerlukan hujah, bukti, alasan, fakta, dan kebenaran.  Melalui ilmu logik, komunikasi manusia akan menjadi lebih berkesan.  Pemikiran ini merupakan satu proses penaakulan yang membawa kepada keputusan atau kesimpulan.  Setiap proses membuat keputusan haruslah berdasarkan bukti dan hujah yang jelas dan konkrit.
            Pemikiran lateral pula merupakan pemikiran yang mengaplikasikan kreativiti, imaginasi dan fakta, bukanlah pemikiran yang bersifat khayalan. (Mohd. Yusof Hasan, 2000).  Sebagai manusia, kita memerlukan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang baharu, menyelesaikan masalah, dan mencari pelbagai alternatif.  Golongan yang mempunyai pemikiran lateral biasanya tidak mudah mudah berputus asa dan sentiasa mencari jalan atau alternatif lain. 

4.2       Teori SPB4K
Semasa berkhidmat di Universiti Perguruan Sultan Idris, Mohd. Yusof Hasan telah memurnikan Teori SPB4L kepada Teori SPB4K.  Teori ini merangkumi ketuhanan, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan.  Walau bagaimanapun, konsep teori ini masih selari dengan teori SPB4L.
            Teori SPB4K menggabung dan menyepadukan empat sistem pemikiran oleh manusia melalui hasil karya sastera mereka iaitu keagamaan, keprofesionalan, kerasionalan, dan kemanusiaan.  Teori yang diperkenalan oleh Mohd. Yusof Hasan ini boleh digolongkan sebagai sebuah teori pemikiran dan sastera mandiri Melayu.  Teori SPB4K  didasarkan kepada tiga sumber utama iaitu syiar Islam, perkembangan sains dan teknologi barat dan timur, dan keadaan masyarakat majmuk di kalangan rakyat Malaysia.
            Melalui sumber syiar Islam,  terdapat pelbagai aspek akidah, syariah dan akhlak yang berdasarkan falsafah pendidikan Islam.  Manakala melalui kemajuan sains dan teknologi pula terdapat pelbagai teori otak dan rekaan teknologi baharu yang berasaskan falsafah pendidikan barat yang mementingkan domain  kognitif, domain afektif, dan domain psikomotor.  Begitu juga dengan orang-orang di timur seperti Korea, Jepun, dan Taiwan yang turut mengalami kemajuan seperti barat.  Bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum pula menganuti agama dan kepercayaan masing-masing yang berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan yang mementingkan rohani, intelek, emosi dan jasmani.
            Daripada tiga sumber inilah teori pemikiran yang dicadangkan ialah Sistem Pemikiran Bersepadu 4K (SPB4K) yang merangkumi aspek kerohanian, kesaintifikan, kebitaraan dan kekreatifan.  Empat aspek ini pula merangkumi hal-hal keimanan, kehebatan minda, kelogikan dan keindahan.  Konsep 4K dapat dihuraikan seperti di bawah:

a.         Konsep Pemikiran Kerohanian
            Setiap manusia haruslah memikirkan hal-hal berkaitan kejiwaan, keagamaan, kerohanian, soal dalaman berasaskan kepada ajaran kepercayaan agama.  Sebagai manusia, kita perlulah beriman kepada soal-soal yang berkaitan ghaib, abstrak berteraskan keimanan.  Contohnya bagi orang-orang Islam, mereka wajib percaya dan yakin sepenuh hati terhadap rukun iman, rukun Islam, hukum pahala dan dosa, perkara-perkara berkaitan wajib, sunat, makruh dan haram.

b.         Konsep Pemikiran Kebitaraan
            Sebagai manusia, kita perlulah mempunyai akal fikiran yang bijaksana, cerdik, cemerlang, hebat, berhemah tinggi dan genius.  Akal manusia mempunyai fungsi dan peranan, keupayaan dan sistemnya yang tersendiri.  Akal manusia dapat dipertingkatkan serta dapat diasuh menjadi cemerlang dan hebat.

c.         Konsep Pemikiran Kesaintifikan
            Sebagai manusia, kita perlu mempunyai pemikiran logik, tepat, berdasarka fakta dan angka.  Selain itu kita perlu mempunyai hujah, objektif, dalil dan bukti.  Biasanya pemikiran sebegini lebih menggunakan otak kiri yang lebih cenderung terhadap bidang sains, ilmiah, empirikal dan kritikal  Kebanyakan ahli sains mempunyai pemikiran ini.

d.         Konsep Pemikiran Kekreatifan
            Sebagai manusia, mereka perlu bersikap lateral, kreatif, inovatif, subjektif, memberi idea serta pendapat yang bersifat estetik dan mempunyai falsafah.  Pemikiran ini juga menggunakan otak kanan yang bersifat kesusateraan dan seni.  Pemikiran ini akan melahirkan insan yang sensitif, ceria, suka berjenaka, dan optimis dalam kehidupan.

5.0       Kepentingan Teori SPB4L dan SPB4K oleh Mohd. Yusof Hasan
            Teori yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan sebenarnya bukanlah merupakan teori sastera tetapi lebih kepada sebuah teori pemikiran yang miripnya seperti teori Psikoanalisis Klasik oleh Sigmund Freud.  Kemunculan Teori Bersepadu 4K ini memberikan kesan yang banyak kepada dunia kesusasteraan sama ada daripada sudut ilmiah atau sebaliknya sehingga membuka mata ramai karyawan untuk mendekati teori ini.  Asas yang menjadi pegangan pengkritik ialah setiap pengarang dalam setiap teks kesusasteraan mengandungi unsur-unsur pemikiran luhur, lahir, logik dan lateral (SPB4L) serta unsur-unsur kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan (SPB4K).  Pendekatan ini mengkehendaki pengkritik menggunakan kaedah holistik dan bersepadu apabila mengkritik.  Aspek instrinsik dan ekstrinsik perlu diperlihatkan saling berhubungan dan berkait antara satu sama lain.
            Aspek instrinsik memerlukan pengkritik meneliti danmengenalpasti aspek-aspek dalaman teks seperti tema dan persoalan, perwatakan, latar dan suasana, tenaik dan gaya.  Manakala aspek ekstrinsik pula memerlukan pengkritik meneliti hal-hal yang berkaitan falsafah dan kepercayaan, psikologi dan kemanusiaan, sejarah dan kemasyarakatan serta estetika dan seni.
            Dalam bidang kesusasteraan, teori ini dapat digunakan untuk menganalisis teks kesusasteraan Melayu kerana ia lebih bertunjangkan agama.  Oleh itu teori-teori kesusasteraan barat tentulah tidak dapat menjelaskan secara terperinci tentang teks kesusasteraan Melayu sama ada daripada aspek instrinsik mahu pun ekstrinsik.  Keempat-empat aspek pemikiran perlu disepadukan dan dibincangkan secara holistik.  Misalnya aspek kerohanian boleh diguna untuk mengkaji tema iaitu hubungan manusia dengan manusia dalam karya, pemikiran kebitaraan pula boleh diguna untuk membuat analisis perwatakan iaitu berkaitan sifat dan sikap mesra dalam karya.  Sementara pemikiran kesaintifikan pula boleh digunakan oleh pengkritik untuk membuat analisis berkaitan latar, suasana, tempat, dan zaman dalam karya.  Pemikiran kekreatifan pula boleh diguna untuk menganalisis teknik, bahasa, plot dan gaya dalam karya.
            Kemunculan Teori SPB4K oleh Mohd. Yusof Hasan sebagai teori sastera telah membuka ruang kepada penyelidikan sastera dengan lebih luas.  Teori-teori dari barat yang digunakan sebelum ini didapati kurang sesuai untuk mengkaji sastera Melayu kerana teori-teori barat terpisah daripada unsur keIslaman dan ke Melayuan yang merupakan tunjang terhadap kelahiran karya Melayu.  Contohnya, Dr. Ani Omar yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menggunakan teori ini dalam kajian tesisnya untuk Ph.D di UPM pada tahun 2005 bertajuk ’Citra Manusia dan Kemanusiaan Dalam Puisi Melayu Moden di Malaysia’.  Beliau telah mengkaji kumpulan puisi ’Jasa Ibu’ melalui teori ini dan berpendapat bahawa ia memperlihatkan kekuatan idea dan pendekatan pengarangnya dalam mengutarakan nilai-nilai luhur.  Dr. Ani juga berpendapat puisi-puisi dalam ’Jasa Ibu’ mengutarakan hubungan manusia dengan tuhan serta hubungan manusia dengan manusia dalam konteks horizontal dan vertikal.
            Beliau memulakan kajian dengan pemikiran luhur  iaitu pemikiran tentang keagamaan yang berkaitan dengan Allah seperti dalam puisi ’Pulang Adik Pulang’, ’Nasihat Insani’, dan ’Gurindam Umur’.  Sementara puisi Zainal pula sarat dengan kata nasihat supaya kanak-kanak menghormati ibu bapa, guru, rakan, dan taulan.  Pemikiran lateral pula dapat dilihat daripada keindahan gaya yang digunakan manakala pemikiran logik dapat kita lihat daripada unsur-unsur sains yang digunakan manakala pemikiran lahir pula dapat dilihat melalui pembentukan mental, jasmani, dan otak manusia. 
            Selain itu masyarakat juga dapat menerima teori SPB4K yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan ini dengan mengaplikasikan keempat-empat konsep pemikiran iaitu kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan dalam kehidupan seharian.  Hal ini disebabkan teori ini lebih bersifat menyeluruh dan bagi seseorang yang beragama Islam pula, setiap perlakuan yang dilakukan akan bertunjang kepada kerohanian tidak kira usia atau jantina. 
            Teori yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan bukanlah hanya boleh digunakan dalam bidang kritikan sastera sahaja malah ia boleh digunapakai di dalam bidang politik, sains, dan lain-lain untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

6.0       Kesimpulan
            Teori SPB4L dan SPB4K bukanlah sebuah teori yang besar dan tersohor tetapi teori ini digarap, dikembang, dan mencari titik-titik pemantapan dan pemurnian dalam usaha untuk berada di persada jutaan teori pemikiran dan sastera.  Teori yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan bukan sahaja sesuai digunakan dalam bidang sastera semata-mata tetapi boleh digunakan dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan kehidupan.  Sebagai manusia, amat penting untuk kita mempunyai pemikiran yang menjurus kepada konsep kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan dan kekreatifan.
              Sebagai manusia juga kita sepatutnya mempunyai keempat-empat jenis pemikiran tersebut untuk memandu kita ke arah kehidupan yang sejahtera.  Untuk itu kita seharusnya mempunyai kepercayaan agama, minda yang bijak dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri,  mempunyai kemampuan berfikir secara logik dan benar disertai fakta yang kukuh dan bernas, serta mempunyai kemampuan berfikir secara kreatif.

 BIBLIOGRAFI

Abdul Halim Ali.  (2006).  Ikhtisar teori & kritikan sastera barat dan Malaysia.  Tanjung
     Malim:  Penerbitan Profesional Baharu.

Ani Omar. (2005) Citra manusia dan kemanusiaan dalam puisi Melayu moden di Malaysia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Mana Sikana.  (2005).  Teori & kritikan sastera Malaysia & Singapura.  Singapura:
     Penerbit Pustaka Karya.

Mohd. Yusof Hasan.  (2000).  Pemikiran saintifik SPB4L.  Petaling Jaya:  Pearson
Education Malaysia Sdn. Bhd.

Mohd. Yusof Hasan.  (2001).  Sistem pemikiran bersepadu 4L.  Kuala lumpur:   
 Penerbitan Fajar Bakti.

No comments:

Post a Comment