Tuesday, 20 March 2012

SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA SEBELUM KEDATANGAN BRITISH :“SEKOLAH INGGERIS”

1.0       Pengenalan
Pendidikan merupakan elemen utama bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial.  Pendidikan juga sangat penting kerana ia dapat mencetuskan perubahan dalam masyarakat.  Keupayaan intelektual setiap masyarakat bagi sesebuah negara dapat mempengaruhi pembangunan sesebuah negara.  Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata malah ia merupakan saluran untuk menyampaikan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum untuk mencapai perpaduan.  Di Malaysia, pendidikan sering menjadi agenda utama kerajaan sebelum dan selepas merdeka.  Pelbagai program telah dirangka dan dilakukan oleh kerajaan bagi melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan seterusnya diharap dapat memajukan negara setanding dengan negara-negara maju yang lain.
            Pendidikan juga dapat menyeimbangkan  sosio-ekonomi di antara kaum dan kumpulan etnik di mana ia dapat dilihat melalui peluang-peluang pekerjaan, pendapatan, dan pegangan ekuiti (Robiah Sidin, 1994).  Apabila keadaan ini tercapai, kestabilan ekonomi, politik, dan sosial akan berkembang maju.  Pada zaman penjajahan British, punca kaum Melayu mundur dan miskin adalah disebabkan mereka tidak diberi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan.  Ini menjadi penyebab utama perpaduan yang erat di kalangan masyarakat majmuk sukar untuk dicapai.  Hal ini mempunyai kaitan yang rapat dengan dasar dan sistem pelaksanaan pendidikan yang berbeza antara kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu ketika itu.


2.0       Pendidikan Awal di Tanah Melayu
            Sebelum kedatangan British di Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan kepada pelajaran agama Islam yang berteraskan kitab Al-Quran.  Surau dan masjid menjadi tempat untuk menuntut ilmu dengan mengkaji ayat-ayat daripada kitab Al-Quran.  Pelajaran yang diperolehi pada ketika itu ialah melalui kaedah menghafal ayat-ayat Al-Quran, menghafal doa-doa dan mempelajari perkara berkaitan agama Islam dengan merujuk kepada guru agama dan imam.  Pada masa itu juga sekolah-sekolah pondok dan madrasah mula berkembang sebagai tempat untuk mendapatkan ilmu.  Menurut Wilkinson, murid di pondok-pondok mula belajar perkataan-perkatan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafal abjad arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks Arab (Mok Soon Sang, 2000).
Walau bagaimanapun, kedatangan penjajah asing ke Tanah Melayu sejak penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, telah merubah landskap sistem pendidikan di Tanah Melayu.  Selepas Portugis menjajah Melaka, agama Kristian telah diajar untuk orang Portugis dan penduduk Melaka yang beragama Kristian.  Apabila Belanda mengambilalih Kerajaan Melaka daripada Portugis, mereka juga turut mengaitkan soal pelajaran agama Kristian.  Apabila British mengambil Pulau Pinang, dan Singapura daripada raja-raja Melayu, serta daripada Belanda dan seterusnya campur tangan di negeri-negeri Tanah Melayu, mereka mula memperkenalkan empat jenis sistem pendidikan iaitu sekolah vernakular Melayu, vernakular Cina, vernakular India dan sekolah Inggeris.

3.0       Sekolah Inggeris
3.1       Dasar Pendidikan di Tanah  Melayu
Tujuan pihak Inggeris menyediakan pendidikan kepada orang Melayu khasnya dalam pembinaan sekolah adalah bertujuan untuk memenuhi selera politik penjajahan mereka sahaja. Objektif mereka adalah untuk membina pengaruh dan politik British (Inggeris) tanpa melihat keperluan masyarakat tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat tani. Matlamat utama mereka adalah sekadar memberi pendidikan kepada orang Melayu untuk melengkapkan tenaga manusia di peringkat rendah, iaitu di peringkat buruh. Tegasnya sekadar untuk menjadi petani yang lebih baik daripada orang tua mereka dan dapat hidup gembira dalam masyarakat kampung. British mengharapkan dengan pendidikan yang begitu terhad, orang Melayu tidak akan dapat menentang penjajahan British dengan berkesan.  Dengan itu British akan dapat menjalankan pentadbirannya dengan senang dan memerah kekayaan tanah air kita. Golongan ini berpendapat tujuan utama mereka adalah sekadar menghapuskan buta huruf pada tahap yang minimum sahaja (Cheeseman, 1848).  Kenyataan in  memang munasabah oleh sebab dengan hanya pencapaian setakat darjah empat, anak-anak Melayu sudah dapat membaca, membuat kiraan yang mudah dan seterusnya dapat digunakan di dalam urusan seharian supaya tidak tertipu oleh pekedai- pekedai.

3.2       Ciri-ciri Sekolah Inggeris
            Sekolah Inggeris mempunyai ciri yang berbeza daripada sekolah-sekolah vernakular yang lain.  Murid-murid yang belajar di sekolah Inggeris terdiri daripada berbagai-bagai kaum, kecuali Malay College Kuala Kangsar yang hanya dikhaskan untuk kanak-kanak Melayu.  Selain itu bahasa pengantar yang digunakan dalam sekolah Inggeris ialah bahasa Inggeris dan merupakan sesuatu yang asing bagi murid-murid tempatan kecuali murid-murid Eropah.  Seterusnya, sekolah Inggeris hanya didirikan di bandar-bandar manakala yuran sekolah yang dikenakan agak tinggi.  Lazimnya, sekolah-sekolah Inggeris mempunyai kemudahan yang lebih bermutu berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular kerana sekolah-sekolah tersebut menerima sokongan dan bantuan kewangan daripada pihak gereja, orang perseorangan atau pun daripada pemerintah Inggeris.

3.3       Sukatan Pelajaran dan Kurikulum Sekolah Inggeris
            Pada peringkat awal, tidak terdapat sukatan yang seragam bagi sekolah-sekolah Inggeris.  Sukatan yang seragam hanya wujud selepas adanya peperiksaan bagi memperoleh Biasiswa Queen (1885) dan Sijil Cambridge (1891).  Sekolah Inggeris dibahagikan kepada sekolah rendah dan menengah. Kurikulumnya pula bercorak Kurikulum ber grammar School of Great Britain dengan tujuan mengeluarkan pegawai - pegawai tadbir rendah bagi memenuhi keperluan kuasa mereka.
            Mata pelajaran utama yang diajar ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Ilmu Alam, Matematik Asas, Ilmu Kesihatan dan Latihan Jasmani.  Kelas-kelas sains hanya terdapat di sekolah menengah yang besar di kawasan bandar.  Sukatan pelajaran sekolah Inggeris di Tanah melayu adalah berasaskan kepada sekolah menengah di Britain.  Justeru itu murid-murid sekolah Inggeris turut mempelajari Ilmu Alam dan Sejarah Britain.


3.4       Perkembangan Sekolah Inggeris
            Sejarah penubuhan sekolah Inggeris bermula lebih awal daripada penubuhan sekolah vernakular yang lain.  Sekolah Inggeris bermula pada tahun 1548 apabila Sekolah Roman Katholik di Melaka ditubuhkan oleh paderi-paderi Portugis.  Pada tahun 1815, Persatuan Mubaligh London telah mendirikan sebuah sekolah Inggeris di Singapura.  Manakala sekolah Inggeris yang terulung di Pulau Pinang ialah Penang Free School yang didirikan atas inisiatif Rev. R.S. Hutchings, Ketua Paderi Negeri-negeri Selat.  Pada 6 Februari 1816, Hutchings mengumumkan rancangan dan kebaikan mengenai penubuhan Penang Free School di hadapan masyarakat umum.  Beliau menerangkan:
v     Bahawa sekolah ini akan dibuka kepada semua kanak-kanak di pulau ini tanpa mengira rupa mereka, asalkan ibu bapa serta kawan-kawan mereka sanggup mematuhi undang-undang institusi tersebut.
v     Bahawa matlamat utama institusi ini ialah untuk menyediakan pendidikan bagi kanak-kanak yang tidak mendapat pelajaran serta pekerjaan untuk mengelakkan pengangguran serta kenakalan serta membina kebiasaan berusaha, bertatatertib, dan bertingkah laku baik.
v     Bahawa ibu bapa yang mampu membiayai pendidikan dikehendaki membayar belanja persekolahan anak-anak mereka mengikut kadar yang difikirkan munasabah.
v     Bahawa kanak-kanak di sekolah ini akan diajar membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris serta membuat kira-kira.
v     Bahawa ibu bapa yang tidak menyetujui anak-anak mereka mempelajari bahasa Inggeris akan diajar membaca dan menulis dalam bahasa ibunda mereka oleh seorang guru Melayu.
v     Bahawa rancangan yang sama akan digunakan, sekadar yang mampu untuk anak-anak bangsa Chulliah dan Hindustan.
v     Bahawa pada umur yang dianggap sesuai, mereka akan diajar tentang pekerjaan yang berguna, seperti tukang kayu, tukang besi, tukang kasut, tukang jahit, pembalut buku dan sebagainya.
v     Bahawa perhatian akan diambil untuk mengelakkan pertelagahan kepercayaan ibu bapa terhadap agama Kristian. ( Chelliah, 1960)

Free membawa maksud terbuka kepada semua bangsa dan mendapat bantuan kerajaan.  Penang Free School merupakan sekolah Inggeris yang pertama ditubuhkan di bawah rancangan serta bantuan kewangan kerajaan British. Penang Free School pada awalnya hanya setakat sekolah rendah sahaja, tetapi telah menjadi sebuah sekolah menengah pada tahun 1891 setelah menerima guru besar yang berkelulusan sarjana.
Seterusnya sekolah-sekolah jenis ini terus mendapat perhatian di negeri-negeri Selat yang lain sehingga membawa kepada penubuhan Melaka Free School tahun 1826, Singapura Free School tahun 1834, yang kemudiannya ditukarkan namanya kepada Raffles Institution pada tahun 1863.  Seterusnya Victoria Institution telah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1894 dan Sekolah King Edward VII ditubuhkan di Taiping pada tahun 1906 juga merupakan jenis free school.  Mulai kurun ke 20, semua jenis free
school tersebut diambil alih oleh kerajaan dan menjadi sekolah kerajaan, disebabkan sekolah-sekolah tersebut menghadapi masalah kewangan.

3.5       Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar          
Beberapa orang pegawai British yang berkhidmat di Tanah Melayu merasakan bahawa kedudukan pelajaran anak Melayu memerlukan perhatian daripada kerajaan British.  Seorang pegawai kanan British dalam satu mesyuarat mengingatkan bahawa tugas mereka adalah untuk menasihati sultan-sultan dan bukan mengambil alih pentadbiran.  British hendaklah memikirkan bagaimana anak-anak raja dan golongan bangsawan boleh berkhidmat dalam pentadbiran Tanah Melayu.  Antara cadangan yang
dikemukakan ialah mendirikan sebuah sekolah Inggeris yang dikhaskan untuk anak Melayu, terutamanya daripada golongan diraja serta bangsawan dan orang kebanyakan yang berkelayakan. 
 Cadangan inilah yang telah menghasilkan penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1905.  Maktab Melayu ini merupakan sebuah sekolah yang istimewa dan dikendalikan seperti sekolah Inggeris terkemuka di EnglandPelajar-pelajar di Maktab Melayu ini juga dimestikan belajar Bahasa Melayu.  Asrama untuk mereka juga turut disediakan.  Lulusan dari maktab ini nanti diharap dapat menyertai pegawai British untuk mentadbir negeri-negeri Melayu.  Malangnya pengambilan anak-anak orang kebanyakan yang berkelayakan untuk belajar di Maktab Melayu tersebut telah diberhentikan lebih kurang empat tahun selepas Maktab itu dibuka. 

Dengan penubuhan Maktab Melayu ini, British akhirnya berjaya membentuk langkah positif ke arah menunaikan tanggungjawab kepada golongan elit tradisional Melayu.  Golongan elit Melayu melihat ini sebagai satu peluang yang boleh memantapkan kedudukan mereka dalam masyarakat Melayu dan majmuk. Walau bagaimanapun, hal ini juga sebenarnya menjadi jurang antara golongan aristokrat Melayu berpendidikan Barat dengan kaum-kaum lain yang juga berpendidikan barat.  Jika dilihat dari segi peluang kepada penuntut-penuntut ini, jelas ia menimbulkan kerenggangan antara rakyat dengan golongan elit dari segi pekerjaan dan sosialisasi. (Mohd. Isa Othman, 2002).  Golongan elit terpisah daripada hal ehwal politik golongan bawahan dan ini sangat menguntungkan Inggeris dalam usaha mengekalkan penguasaannya ke atas Tanah Melayu.  Jelaslah bahawa penubuhan Maktab ini telah mencapai matlamat dasar penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.

3.6       Sekolah Mubaligh Kristian
            Selain daripada sekolah jenis free school dan Malay College, kebanyakan sekolah-sekolah Inggeris yang lain adalah ditubuhkan atas usaha Badan-badan Mubaligh Kristian.  Antaranya ialah London Missionary Society, De La Salle Brothers, American Methodist Mission dan The Church of England yang telah menubuhkan banyak sekolah Inggeris di merata tempat di Tanah Melayu.  Misalnya, golongan Methodist telah mendirikan sebuah sekolah di Kuala Lumpur pada tahun 1897 yang diberi nama Anglo- Tamil SchoolBeberapa tahun kemudian, nama sekolah ini telah ditukar menjadi Sekolah Laki-laki Methodist.  Banyak sekolah yang dikendalikan oleh golongan Methodist ini dahulunya dikenali sebagai Sekolah Anglo-Chinese, misalnya Sekolah Anglo-Chinese di Teluk Anson, Sekolah Anglo-Chinese di Kampar dan lain-lain lagi.  Golongan Roman Katolik juga mendirikan sekolah Inggeris bagi murid-murid lelaki yang biasanya menggunakan perkataan Saint yang dipendekkan menjadi St.  Antaranya ialah Sekolah St. John’s, dan Sekolah St. Paul’s.  Sementara sekolah-sekolah bagi murid perempuan pula lazimnya dikenali sebagai Sekolah Convent
Sebelum Perang Dunia Kedua, sekolah-sekolah yang didirikan oleh golongan Kristian ini bertujuan untuk mengembangkan agama Kristian dan ilmu pengetahuan.    Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan pendidikan umum serta membaiki akhlak berdasarkan ajaran Kristian. (Wong Hoy Kee & Ee Tiang Hong, 1975).  Dari segi agama, kebanyakan sekolah ini mewajibkan murid yang bukan Islam menghadiri kegiatan yang berkaitan dengan agama Kristian. Sekolah-sekolah mubaligh itu juga dikenali sebagai sekolah-sekolah separa bantuan kerana kerajaan British juga memberi sebahagian bantuan kewangan untuk pengurusan sekolah itu. 

4.0       Pelajar Melayu di sekolah Inggeris
            Di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu , biasanya pelajaran Inggeris menjadi syarat yang diperlukan untuk mendapatkan jawatan kerani dan jawatan yang lebih tinggi lagi.  Dua peperiksaan penting yang diadakan di sekolah menengah Inggeris sebelum Perang Dunia Kedua ialah Junior Cambridge dan Senior Camdridge.  Sehingga tahun-tahun 1920-an, lulusan Junior Cambridge sudah pun berpeluang untuk menjadi pentadbir, khasnya bagi orang Melayu.  Bagi penduduk Tanah Melayu umumnya pada masa itu, pelajaran Inggeris sahajalah yang boleh menjamin kedudukan ekonomi mereka.  Terdapat perbezaan yang besar antara gaji guru sekolah Inggeris dengan gaji guru sekolah Melayu di mana gaji guru sekolah Inggeris jauh lebih tinggi.  Pelajar-pelajar aliran Inggeris sahajalah yang dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.  Firma swasta juga memerlukan lulusan dari sekolah Inggeris.
Walau bagaimanapun, kerajaan British tidak memberi pelajaran Inggeris secara meluas, terutamanya kepada orang Melayu.  Pertambahan sekolah dan murid aliran Inggeris dikawal dengan rapi.  Pada tahun-tahun 1930-an, jumlah murid Melayu di sekolah Inggeris di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat cuma lebih kurang 17.1% sahaja. (Mok Soon Sang, 1996)

Jumlah murid di sekolah di Negeri-negeri Selat dan Bersekutu pada tahun 1937 mengikut jantina dan aliran.
Sekolah
Bilangan Lelaki
Bilangan Perempuan
Jumlah

Sekolah Vernakular Melayu
Sekolah Vernakular Cina
Sekolah Vernakular Tamil
Sekolah Inggeris (Kerajaan dan Bantuan Separa)
Sekolah Inggeris (Persendirian)
                                        Jumlah

68 905
63 338
14 866
30 317

10 260

21 531
22 951
7 775
13 654

3 384

90 436
86 289
22 641
43 971

13 644
187 686
69 295
256 981
Jadual 1
Sumber : Report of the Commission on Higher Education in Malaysia, 1939.

            Dari data di atas, hanya terdapat 17.1% daripada jumlah murid belajar di sekolah Inggeris kerajaan dan sekolah separa bantuan.  Ini tidak bermakna bahawa ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris.  Sebaliknya, ramai ibu bapa dari bandar mahu pun luar bandar meminta tempat di sekolah Inggeris bagi anak mereka.  Surat khabar dan majalah Melayu pada ketika itu juga cuba menggalakkan ibu bapa Melayu supaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris.  Namun, permintaan mereka ditolak atas alasan kekurangan tempat.
Mengikut Dr. Philip Loh Fook Seng dalam bukunya bertajuk Seeds of Separatism tentang dasar pelajaran di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua menyatakan, bahawa orang-orang Melayu di Lenggong dan Krian di Perak telah meminta kerajaan British mendirikan sekolah Inggeris di kedua-dua tempat itu namun ditolak.  Seterusnya pada tahun 1916, sekumpulan orang Melayu di daerah Kelang telah meminta supaya satu darjah aliran Inggeris diadakan di sekolah Melayu Kelang.  Residen Selangor pada masa itu bersetuju dan darjah tersebut dimulakan pada bulan Januari 1917.  Walau bagaimanapun, pada bulan April tahun yang sama, darjah tersebut diarahkan ditutup oleh Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu.  Tiga peristiwa ini dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan British memang tidak mahu melihat ramai anak Melayu yang pandai dan berkelulusan Inggeris.  Semua tindakan itu meyakinkan kita bahawa jika ramai anak Melayu yang berpelajaran Inggeris, mereka bukan sahaja akan meminta kerja yang agak tinggi tetapi akan lebih mampu membaca buku yang boleh membangkitkan kesedaran politik mereka.
Peluang untuk anak-anak Melayu memasuki sekolah Inggeris terbuka di sekitar tahun 1930-an apabila Pentadbir British memperkenalkan satu kaedah kemasukan ke sekolah Inggeris iaitu “Special Malay Class”.  Menerusi sistem ini, murid-murid Melayu dalam darjah empat hendaklah menduduki satu peperiksaan khas sebelum diterima masuk ke SMC.  Murid-murid Melayu diperlukan belajar selama dua tahun dalam kelas ini sebelum layak masuk ke darjah empat di sekolah Inggeris.
            Walaupun sekolah-sekolah Inggeris telah dibuka kepada semua kaum tetapi orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak berpeluang untuk belajar di sekolah tersebut.  Antara sebab-sebab utamanya ialah sekolah-sekolah Inggeris dibina di bandar-bandar menyebabkan orang-orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak berpeluang untuk belajar di sekolah tersebut.  Selain itu sekolah Inggeris mengenakan yuran yang tinggi kepada murid-muridnya.  Oleh itu orang-orang Melayu di luar bandar dan dalam bandar tidak dapat menikmati peluang ini kerana menghadapi masalah kewangan.  Faktor ini secara tidak langsung memperlihatkan tindakan British untuk menyekat anak-anak Melayu daripada memperolehi pendidikan Inggeris.

5.0  Perkembangan Sekolah Inggeris di Sabah dan Sarawak
Kebanyakan sekolah-sekolah Inggeris di Sabah ditubuhkan oleh mubaligh- mubaligh Kristian.  Pada tahun 1883,  sebuah sekolah rendah (aliran Inggeris)  telah ditubuhkan di Sandakan oleh Persatuan Mubaligh Katolik.  Seterusnya pada tahun 1887, sebuah lagi sekolah rendah Inggeris ditubuhkan di Inobong, kira-kira 16 kilometer dari Jesselton.  Sekolah ini juga dikelolakan oleh Persatuan Mubaligh Katolik.  Pada tahun 1891, 2 buah lagi sekolah telah dibuka di Sandakan, sebuah daripadanya dikelolakan oleh Persatuan Mubaligh Protestan, manakala sebuah lagi ialah Sekolah Convent yang ditubuhkan khas untuk kanak-kanak perempuan.  Pada awal kurun ke 20, Borneo Utara telah mempunyai 7 buah sekolah rendah yang diurus dan ditadbir oleh mubaligh-mubaligh Kristian.  Untuk mengawal aktiviti sekolah-sekolah tersebut, sebuah Jabatan Pelajaran didirikan oleh British Chartered Company pada tahun 1909.  Sehingga tahun 1911, Borneo Utara sudah mempunyai 13 buah sekolah rendah mubaligh.
Perkembangan sekolah Inggeris di Sarawak bermula hampir sama dengan tempoh sistem pendidikan di Borneo Utara dan turut ditubuhkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian.  Antara sekolah pertama yang dibina ialah Sekolah St. Joseph di Kuching pada tahun 1883 oleh Paderi Dunn dan Paderi Gossens. (Wong Hoy Kee dan  Ee Tiang Hong, 1975).  Mubaligh Katolik juga turut membina sebuah sekolah di Kanowit pada tahun 1883.  Kemudian pada tahun 1905, sebuah lagi sekolah Inggeris ditubuhkan di tepi Sungai Merah oleh Paderi James M. Hoover yang berkhidmat di bawah Persatuan Mubaligh Methodist dari Amerika Syarikat.

6.0       Penutup
Melihat pada latar belakang pendidikan zaman penjajahan British, dapat kita membuat  kesimpulan di sini, bahawa pemerintah British atau pun kolonial tidak berminat untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan.  Persefahaman dan perpaduan dianggap tidak penting untuk dipupuk menerusi pendidikan.  Justeru itu pihak British mengabaikan soal penggunaan bahasa pengantar dan kurikulum yang seragam serta pentadbiran yang terancang dan penubuhan satu sistem sekolah yang tunggal yang dapat mendidik dan menyatukan anak – anak daripada semua keturunan.  Sekolah – sekolah terpisah di antara satu dengan yang lain menurut kedudukan geografi dan taburan penduduk.

Kebanyakan sekolah Melayu telah ditubuhkan di desa selaras dengan dasar mengekalkan orang Melayu di kampung – kampung. Sekolah Cina terdapat di kawasan perlombongan, perniagaan dan perindustrian kerana sebilangan besar orang Cina tinggal di kawasan – kawasan tersebut dan sekolah Tamil pula terdapat di ladang – ladang getah.  Begitu juga dengan sekolah Inggeris yang didirikan di kawasan-kawasan bandar.
Tidak ada dasar mengenai bahasa pengantar yang tunggal. Sekolah Inggeris menggunakan bahasa Inggeris, sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, sekolah agama menggunakan bahasa Arab dan bahasa Melayu, sekolah Cina pula menggunakan bahasa Cina dan sekolah Tamil menggunakan bahasa Tamil. Dalam pada itu juga,  boleh
dikatakan bahawa tujuan – tujuan utama di sebalik pendidikan semasa penjajahan ialah untuk memastikan penjajahan Inggeris berterusan, mengekalkan eksplotasi ekonomi negara, memastikan bekalan tenaga kerja peringkat bawah untuk memenuhi keperluan –
keperluan penjajah dan mengawal perkembangan semangat nasionalisme di kalangan penduduk tempatan. Dengan corak pendidikan penjajah yang sebegitu rupa, maka terdapat dua kesan utama, iaitu sistem pendidikan yang tidak ada keselarasan dari segi objektif, matlamat, kurikulum dan perkaedahan serta kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri – cirinya yang tersendiri yang menyebabkan perpaduan sukar dicapai di kalangan kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu.





Rujukan

Chelliah D. D. (1960)  A Short History of Educational Policy in the Straits Settlements.  Singapura:   G. H. Kiat & Co. Ltd.

Ee Ah Meng.  (1988).  Pendidikan Di Malaysia Untuk Guru Pelatih.  Petaling Jaya: 
      Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Malaysia Kita.  (2009).  Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan.  Petaling Jaya:  International Law Book Services.

Mohd. Isa Othman.  (2002).  Sejarah Malaysia (1800 – 1963)Kuala Lumpur:  Utusan
      Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd. Salleh Lebar.  (1992).  Perubahan dan Kemajuan Pendidikan Di Malaysia.  Kuala
      Lumpur:  Nurin Enterprise.

Mok Soon Sang. (1996). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur:  Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 

Mok Soon Sang. (2000). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Robiah Sidin. (1994). Pendidikan di Malaysia: Cabaran untuk Masa Depan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Wong Hoy Kee & Ee Thiang Hong. (1975).  Education in MalaysiaKuala Lumpur:
       Heinemann Sdn. Bhd.

Zainal Abidin Abdul Wahid et. al.  (1993).  Sejarah Tingkatan 2 KBSMKuala Lumpur:
      Dewan Bahasa dan Pustaka.


Dicapai dari internet pada  1 November 2011:

Dicapai dari internet pada  1 November 2011:

Dicapai dari internet pada  7 November 2011:

Dicapai dari internet pada  7 November 2011:

No comments:

Post a Comment