Tuesday, 20 March 2012

Kreativiti dan cabaran pelaksanaannya dalam bilik darjah

PENGENALAN

Matlamat wawasan 2020 menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang kreatif dan inovatif. Begitu juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memberikan penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi membangunkan negara. Usaha yang disarankan ini dilihat sangat relevan dengan aspirasi pendidikan seni visual kerana subjek ini dilihat sebagai satu cabang disiplin yang membolehkan fikiran kreatif berkembang kerana sifatnya yang tidak konservatif dan tidak jumud.
Hoffa (1964) menjelaskan bahawa program dan aktiviti seni visual seharusnya dijadikan landasan terbaik bagi proses pembelajaran di sekolah untuk mengembangkan kreativiti di kalangan murid. Selain menggalakkan penjanaan idea, mata pelajaran ini banyak memberi peluang dan kebebasan kepada murid untuk melakukan eksplorasi dan percubaan bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik. Justeru itu, pemupukan pemikiran kreatif perlu disemai semenjak daripada zaman kanak-kanak lagi. Guru-guru pendidikan seni visual perlu menguasai kaedah merangsang minda ke arah pembentukan individu kreatif.
Storm & Storm(2002) menyatakan kepentingan kreativiti dalam masyarakat telah lama disedari. Para pemimpin, ahli perniagaan,saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi meyatakan kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk di dalam sebuah negara. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berhasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada kreativiti rakyatnya adalah lebih mendesak.
Perkembangan pesat yang berlaku dalam bidang teknologi dan komunikasi telah memberikan kesan kepada cara hidup penduduk Malaysia. Penduduk Malaysia kini telah mengamalkan cara hidup yang lebih canggih. Oleh itu, keperluan mereka kepada latihan dan pendidikan serta kreativiti turut meningkat kerana mereka memerlukan banyak bimbingan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan yang berlaku. Sebagai contohnya, perkembangan dalam bidang perbankan dengan menggunakan kecanggihan teknologi komputer telah membolehkan sistem perbankan selama dua puluh empat jam dijalankan. Namun begitu, kecanggihan ini memerlukan penduduk Malaysia memperkemaskan diri dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai teknologi maklumat agar mereka dapat memanfaatkan kemudahan perbankan yang disediakan.     
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad dalam satu ucapan ketika majlis makan malam anjuran Akademi Sains Malaysia telah mencabar komuniti para saintis di Malaysia agar dapat melahirkan seorang pemenang hadiah nobel di kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2020(Sachi, 2004). Beliau juga berpendapat bahawa generasi pewaris yang hidup dalam abad ke-21 perlu berfikiran kreatif dan kritis di samping bersifat kaya maklumat serta maju dalam bidang sains dan teknologi.
Menurut Ikhsan dan Norila (2005) pula, usaha bagi menggalakkan para pelajar ke arah berfikir secara kreatif dan kritis mestilah dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi kerana peringkat ini dianggap sebagai masa yang paling sesuai untuk meletakkan batu asas bagi pelaksanaan pendidikan seterusnya. Maka adalah penting kajian-kajian mengenai kreativiti ditumpukan kepada tahap sekolah rendah.
PENGERTIAN KREATIVITI
            Perkataan “kreativiti” berasal daripada perkataan Barat iaitu creativity yang bererti keupayaan mencipta atau daya cipta (Hassan, 1997). Perkataan creativity pula berasal daripada perkataan Latin iaitu “creare” yang bermaksud  “membuat”. Perkataan Greek pula menterjemahkan “krainein” sebagai “memenuhi”(Young,1999). Namun begitu menurut Torrance (1988), adalah amat sukar atau mustahil untuk memberikan satu definisi yang benar-benar tepat mengenai maksud kreativiti ini. Ini adalah kerana ciri – ciri kreativiti itu sendiri yang infinitif serta melibatkan setiap deria yang dimiliki oleh manusia termasuklah penglihatan, pendengaran, bau, rasa, dan perasaan ( Torrance, 1998).
 Menurut Kamus Dewan,(2002), kreativiti ditakrifkan sebagai suatu kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif. Kebolehan mencipta, menghasil dan mengembangkan  idea baru dan asli dimaksudkan sebagai kreatif. Selain itu, ada juga pendapat mentakrifkan kreatif dan kreativiti ini sebagai satu penghasilan sesuatu yang tidak ada sebelum ini.
            Secara ringkasnya kreativiti melibatkan daya berfikir, dan kemahiran berfikir. Justeru, kreativiti sebenarnya boleh dibentuk dan dilatih. Ramai pengkaji mengklasifikasikan kemahiran berfikir secara kreatif sebagai kemahiran menggunakan otak kanan. Individu yang mempunyai kebolehan ‘kreatif’ biasanya mempunyai perasaan istimewa dan eksklusif kerana individu ini dianggap mempunyai kualiti sejati yang jarang ditemui (Md Nasir Iberahim & Iberahim Hassan, 2003).



Menurut Cropley (2001), secara keseluruhannya, pakar-pakar dalam bidang kreativiti bersepakat bahawa kreativiti memiliki tiga unsur teras iaitu:
1. Keaslian (sesuatu produk, tindakan atau idea yang kreatif semestinya menyimpang daripada  kebiasaan).
2. Keberkesanan (mencapai tujuan mengapa ianya dihasilkan).
3. Beretika (istilah kreatif biasanya tidak digunakan untuk mejelaskan tindakan-tindakan yang mementingkan diri sendiri seperti jenayah,tingkah laku distruktif dan sebagainya).
Kesimpulannya, memahami konsep kreativiti yang sebenarnya sangat penting terutamanya bagi para pendidik yang berperanan memupuk kreativiti pelajar dalam bilik darjah. Walaupun pelbagai pendekatan telah digunakan untuk mentakrif kreativiti tetapi pakar-pakar bersetuju bahawa tiga teras utama kreativiti ialah keaslian, keberkesanan dan beretika.

PANDANGAN TOKOH-TOKOH SENI VISUAL MENGENAI KREATIVITI
a.         Paul Torrance
            Ellis Paul Torrance telah mendapat gelaran Bapa Kreativiti kerana kerja-kerja penyelidikannya  mendalami bidang kreativiti. Kemuncak kerjaya Profesor Paul Torrance ini ialah apabila beliau berjaya mencipta kaedah penanda aras dalam mengukur kreativiti seseorang individu, dan beliau mengusulkan bahawa ujian IQ (intelligent quotion) bukanlah satu-satunya cara untuk mengukur daya intelektual seseorang melalui instrument ciptaannya “Torrance Test of Creative Thinking”. Sepanjang hidupnya, Profesor Dr. Ellis Paul Torrance telah menghasilkan lebih daripada 2,000 penulisan ilmiah dalam bentuk buku, monografi,artikel,ujian,manual dan material pengajaran.

b.         June King Mc Fee
             Jun Macfee menjelaskan bahawa kreativiti seseorang boleh dilihat melalui keupayaan menyumbangkan idea dan berupaya pula untuk mengubah idea tersebut kepada idea yang baru lalu melahirkan satu idea lain yang lebih bermakna. Mcfee melihat bahawa idea boleh dimanipulasikan menjadi sesuatu yang baru dan mampu diolah.  Antara sumbangan June King McFee dalam bidang pendidikan seni ialah pengiktirafan yang berjaya diperolehi daripada perjuangannya yang melihat bahawa seni tidak seharusnya terhad kepada hasil karya seni sahaja, malah terdapat pengalaman estetika di dalam semua objek di persekitaran. Menurut McFee, seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

c.         Victor Lowenfeld       
            Teori Lowenfeld Stages of Artistic Development yang banyak digunakan oleh para pendidik khususnya dalam bidang  pendidikan seni visual sebagai rujukan dan penerangan adalah dibangunkan oleh beliau. Teori ini menerangkan peringkat-peringkat perkembangan kanak-kanak mengikut perspektif lukisan. Galakan mengembangkan pemikiran kreatif di kalangan kanak-kanak perlu dilakukan secara berterusan. Lowenfeld menyatakan bahwa kreativiti kanak-kanak boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu :
i.                     kelancaran ( secara spontan serta pantas )
ii.                   fleksibel ( mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan )
iii.                  situasi keaslian ( mencari idea baru dan asli )
iv.                 kepekaan ( penggunaan deria pancaindera seperti melihat, merasa, mendengar, menghidu dan sentuhan )

CABARAN PELAKSANAANNYA DALAM BILIK DARJAH
            Terdapat pelbagai cabaran yang akan dihadapi dalam usaha kita untuk memupuk kreativiti dalam bilik darjah. Cabaran dan halangan itu dapat kita lihat melalui tiga keadaan iaitu persekitaran sekolah, guru dan rakan sebaya. Ketiga-tiga aspek ini merupakan perkara penting dalam membantutkan usaha kea rah memupuk kreativiti dalam bilik darjah.
Yong (1989) berpendapat walaupun pelbagai usaha telah dijalankan untuk memajukan proses pengajaran guru, sekolah masih lagi cenderung untuk menghasilkan para pelajar yang berorientasikan peperiksaan. Walaupun dalam KBSR dan KBSM telah dinyatakan bahawa fungsi peperiksaan dan penilaian bukan sahaja untuk menentukan taraf pencapaian pelajar tetapi juga untuk membantu memperbaiki lagi proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah tetapi hakikat sebenarnya ialah penekanan pembelajaran di sekolah masih lagi tertumpu kepada fakta-fakta untuk dihafal dan seterusnya digunakan dalam peperiksaan, lantaran itu aspek pemikiran sama ada kreatif atau kritis dipinggirkan serta diabaikan.
Selain daripada itu, penekanan kepada peperiksaan terutamanya peperiksaan piawai bagi keseluruhan pelajar di akhir tahun KBSR dan KBSM juga telah menyebabkan guru lebih cenderung untuk melaksanakan proses pengajaran yang berpusatkan guru kerana kaedah pengajaran yang berpusatkan guru terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan pelajar yang akan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan (Toh, 2003). Seterusnya, guru yang berjaya menghasilkan bilangan pelajar yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan biasanya akan dilihat sebagai guru yang berkesan (Toh, 2003). Disebabkan itu guru mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dengan KBSR dan KBSM yang berpusatkan pelajar kerana mereka begitu menghayati kaedah pengajaran lama yang lebih berpusatkan guru. Kesan negatif penekanan terhadap peperiksaan kepada pembangunan kreativiti pelajar begitu mendalam sekali, sehinggakan Yong (1989) tanpa ragu-ragu telah menyatakan …“this emphases have taken a heavy toll on the creativity of Malaysia students”(m.s. 20).
Gardner (1991) menyatakan bahawa tempoh umur antara dua hingga tujuh tahun merupakan tempoh yang kritikal untuk kreativiti diluahkan. Walau bagaimanapun sebaik sahaja pelajar memasuki alam persekolahan mereka menjadi kurang inovatif dan lebih berhati-hati. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila mereka kemudiannya berubah daripada menjadi pemain kepada penonton dalam bilik darjah (Dacey & Lennon, 1998). Perkara ini berlaku kerana proses pengajaran dan pembelajaran yang sehala dan dikawal oleh guru ini menjadikan para pelajar pasif menerima sahaja maklumat yang diberikan oleh guru.
Adalah amat malang sekali apabila kajian-kajian oleh para penyelidik menunjukkan bahawa para guru, rakan sebaya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya merupakan penghalang utama kepada kecenderungan para pelajar untuk meluahkan daya kreativiti mereka.
Sternberg & Lubart (1995) pula berpendapat bahawa persekolahan juga menghalang kreativiti dengan menanamkan ke dalam diri para pelajar sifat toleransi yang rendah terhadap kegagalan. Ini menjadikan para pelajar takut mengambil risiko. Sikap takut mengambil risiko ini mula berkembang dalam bilik darjah apabila kegagalan sering dibalas dengan celaan atau dendaan manakala kejayaan dalam bentuk hasil kerja yang baik sering dibalas dengan pujian atau ganjaran (Dacey & Lennon, 1998). Tambah Dacey & Lennon (1998) lagi, kegagalan mungkin menyebabkan pelajar perlu melakukan tugas pembaikan atau mungkin merasa malu kerana dilihat sebagai seorang yang bodoh. Ini menyebabkan mereka selalu mengambil jalan yang selamat dan tidak melakukan sesuatu yang mencabar diri mereka. Sebagai contohnya, apabila mereka berjaya memasuki ke Institut Pengajian Tinggi, mereka akan cenderung memilih mata pelajaran yang mudah dan bukannya mata pelajaran yang mencabar mereka. Hakikat ini kemungkinan besar boleh melumpuhkan kreativiti mereka kerana untuk menjadi seorang yang benar-benar kreatif, individu perlu mengambil risiko yang berpadanan dengan kemampuan sebenar mereka (Sternberg & Lubart, 1995).
Di samping itu kajian-kajian di beberapa negara Asia menunjukkan bahawa para guru cenderung untuk tidak menyukai ciri-ciri personaliti pelajar yang berkaitan dengan kreativiti (Ng & Smith, 2004). Menurut MacKinnon (1963), antara ciri-ciri personaliti individu kreatif termasuklah berazam, bebas, suka mengambil risiko, impulsif dan individualistik. Kajian oleh Westby & Dawson (1995) menunjukkan bahawa ciri-ciri yang dipaparkan tadi tidak digemari oleh para guru. Sebaliknya kajian menunjukkan bahawa para guru lebih menyukai ciri-ciri personaliti pelajar seperti bertanggungjawab, boleh diharapkan, ikhlas, suka bertoleransi dan boleh dipercayai. Menurut kajian yang dijalankan oleh MacKinnon (1963), ciri-ciri personaliti tersebut mempunyai kaitan dengan tahap kreativiti yang rendah. Oleh itu, guru kebiasaannya tidak menyukai bilik darjah yang pelajarnya terdiri daripada individu yang kreatif. Ini adalah kerana guru berpendapat bilik darjah tersebut sukar dikawal dan diurus. Sebaliknya guru lebih suka kepada bilik darjah yang para pelajarnya terdiri daripada individu yang pengakur dan baik kerana mereka senang dikawal dan diurus. Disebabkan ciri-ciri personaliti kreatif dipandang negatif oleh para guru, mereka cenderung untuk melatih pelajar-pelajar tersebut untuk menjadi taat dan pengakur. Perkara ini sekaligus boleh melumpuhkan daya kreativiti pelajar kerana aspek personaliti merupakan salah satu aspek kreativiti yang penting.
Satu lagi elemen penting yang boleh memberikan kesan negatif kepada daya kreatif pelajar ialah rakan sebaya. Torrance (1968) melalui kajiannya mendapati markah kreativiti bagi pelajar menjadi rendah secara konsisten selepas tahun empat. Beliau turut mendapati bahawa punca kepada penurunan aras kreativiti ini adalah kerana tekanan agar mereka akur kepada rakan sebaya meningkat. Selain daripada itu, Amabile (1996) seorang penyelidik dalam bidang psikologi sosial dan kreativiti turut berpendapat bahawa rakan sebaya merupakan penghalang utama yang menyebabkan para pelajar enggan mengambil risiko serta meluahkan idea kreatif.

Kesimpulan
Pada mulanya kreativiti dianggap memainkan peranan penting hanya dalam bidang seni dan sastera sahaja. Namun kini para penyelidik mendapati kreativiti turut memainkan peranan penting dalam bidang-bidang pentadbiran, perniagaan, keusahawanan, sains, metamatik, seni bina, kejuruteraan dan sukan. Perkembangan ini menyebabkan usaha untuk memupuk kreativiti di peringkat sekolah dianggap sebagai sangat mendesak dan penting. Dalam dunia penuh persaingan global ketika ini, memiliki pengetahuan dan kepintaran yang tinggi tidak memadai. Pengetahuan dan kepintaran tersebut mesti disertai dengan kreativiti agar pelajar kita dapat bersaing di peringkat global apbila mereka dewasa nanti. Akan tetapi usaha ke arah pemupukan kreativiti pelajar ini akan terbantut seandainya halangan-halangan terhadap pemupukan kreativiti tidak diatasi terlebih dahulu.



b)         Pengujian dan penilaian dalam seni.  Bincangkan kaedah-kaedah pengujian di dalam pembelajaran seni, pengujian kemajuan dan pengujian hasil kreativiti kanak-kanak dalam bilik darjah dan cadangkan bagaimana pengujian dan penilaian dilaksanakan.

Proses pengujian dan penilaian merupakan satu cara  untuk kita mendapat maklumat tentang tahap kebolehan atau prestasi seseorang atau pelajar. Dalam  erti kata lain pengujian dan penilaian merupakan satu proses  positif untuk mempamerkan kebolehan dan kemampuan seseorang pelajar.  Bagi pelajar, fokus pengujian adalah untuk mempersembahkan pencapaian dan penguasaan daripada perspektif kemampuan dan keupayaan mereka di dalam sesuatu mata pelajaran.  Sementara daripada pengujian dan penilaian yang dijalankan akan membolehkan guru menjana semula pengajaran untuk meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam sesuatu bidang di samping dapat membantu guru merangka program yang berkesan. 
Penilaian dan pengujian juga merupkan faktor penggerak untuk mendorong murid lebih berusaha dalam pembelajaran.  Selain itu, penilaian dan pengujian yang dijalankan juga dapat dijadikan motivasi kepada murid untuk membuat ulangkaji.   Penilaian dan pengujian juga merupakan suatu latihan formal untuk membantu murid memperkukuhkan konsep atau kemahiran dalam sesuatu bidang yang dipelajari oleh mereka.  Di samping itu, pengujian dan penilaian juga berperanan untuk menentukkan tahap kebolehan dan pencapaian murid dalam kemahiran-kemahiran tertentu di samping merekod prestasi murid dan dapat mengetahuai tahap P & P guru.  Menurut Eisner(1985), hasil daripada suatu penilaian, boleh dijadikan sebagai :

v     petunjuk untuk membuat diagnosis
v     panduan memperbaiki kurikulum
v     berfungsi untuk menilai keseluruhan kandungan program
v     untuk mengukur pencapaian pelajar
v     mengukur tahap-tahap perkembangan
v     kemahiran psikomotor, afektif dan kognitif

Matlamat penilaian adalah untuk membuat keputusan (pengadilan) tentang sesuatu. Persoalan.  Antara perkara yang perlu dipertimbangkan untuk membuat keputusan itu ialah sejauh mana berkualitinya pencapaian itu, adakah pencapaian itu sudah mencukupi, adakah kerja yang dilakukan itu sudah cukup berkualiti dan sebagainya.  Dalam proses membuat pengujian dan penilaian ini, setiap guru sepatutnya memahami konsep pengujian (assessment) dan penilaian (evaluation) dan dua perkataan ini sering digunakan untuk merujuk perkara yang sama.
Pengujian merujuk kepada keseluruhan proses yang terlibat di dalam mendapatkan bukti (evidence) keupayaan pelajar; daripada menentukan objektif pengujian, merangka soalan atau tugas, menjalankan ujian, memeriksa atau memberi markah termasuk melaporkan keputusan ujian kepada pihak-pihak yang terbabit (pelajar, pihak sekolah, pihak kementerian, ibu bapa dan lain-lain). Antara bentukbentuk pengujian termasuklah ujian bulanan, peperiksaan, pemerhatian, temuduga, portfolio serta tugasan-tugasan kelas yang diberi markah.
Manakala penilaian merujuk kepada proses menghakimi sesuatu dengan tujuan untuk memberi nilai. Dengan maksud yang lebih mudah, seseorang akan menjalankan penilaian untuk melihat salah satu atau semua daripada perkara berikut: keberkesanan, kelancaran, fungsi dan operasi.

Konsep-konsep Penting Dalam Penilaian
Pengujian Formal dan Tidak Formal
Antara bentuk pengujian tidak formal ialah bertanya sama ada pelajar faham apa yang diajar, membaca isyarat tidak verbal pelajar untuk mengagak tahap pemahaman mereka, mengadakan sesi soal jawab dalam melihat penguasaan pelajar ataupun memeriksa latihan dan kerja rumah pelajar.
Sementara itu, pengujian formal pula melibatkan pengujian rasmi yang dijalankan oleh guru atau pihak jawatankuasa pengujian di sekolah. Ianya formal kerana sejumlah masa khusus diperuntukkan untuk menjalankan ujian berkenaan, semua pelajar akan diuji mengikut prosedur yang telah ditetapkan, harus mempunyai matlamat dan objektif pengujian, melibatkan pemberian markah dan keputusan sesuatu pengujian perlu dilaporkan kepada pihak-pihak yang relevan.

Pengujian Formatif dan Pengujian Sumatif
Pengujian formatif merujuk kepada sebarang bentuk pengujian yang dijalankan pada bila-bila masa semasa tahun pembelajaran. Contoh pengujian formatif ialah ujian dan kuiz bulanan, pembentangan pelajar pengujian tidak formal atau sebarang bentuk pengujian yang dijalankan dalam tahun pembelajaran.  Manakala pengujian sumatif pula merujuk kepada sebarang bentuk pengujian yang dijalankan pada akhir tahun pembelajaran.  Contoh pengujian sumatif ialah peperiksaan akhir tahun.

Rujukan Norma dan Rujukan Kriteria
Rujukan Norma ialah satu cara melapor keputusan pengujian dengan menyusun pencapaian para pelajar di dalam sesuatu kelas mengikut norma. Dalam erti kata lain, para pelajar disusun mengikut pencapaian markah mereka. Rujukan Kriteria pula merujuk kepada pencapaian atau penguasaan seseorang pelajar berdasarkan kriteria-kriteria pengujian yang telah ditetapkan.  Sekiranya ada kriteria yang pelajar masih lemah, guru boleh memfokuskan pengajaran untuk kriteria tersebut kemudiannya.

Rubrik Analitikal dan Rubrik Holistik
Rubrik analitikal merujuk kepada panduan pemarkahan yang selalunya digunakan untuk pengujian formatif. guru dapat melihat bidang (kriteria) yang dapat dikuasai oleh pelajar dengan baik dan bidang (kriteria) yang memerlukan pembaikan. Rubrik holistik selalunya digunakan di dalam pengujian sumatif untuk melihat kepada pencapaian pelajar secara menyeluruh.

Pengujian Tradisional dan Pengujian Alternatif
Pengujian tradisional merujuk kepada sebarang bentuk pengujian
bertulis yang melibatkan penggunaan pen dan kertas. kebanyakan pengujian yang dijalankan adalah berbentuk alternatif. Contoh-contoh pengujian alternatif di dalam
bidang seni visual ialah portfolio, buku kerja kajian (research workbook) dan juga pengujian berasaskan prestasi (performancebased assessment) seperti kerja kumpulan, demonstrasi dan pembentangan pelajar.

Kaedah-Kaedah Pengujian dan Penilaian Di Dalam Pembelajaran Seni Visual
            Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk membuat pengujian dan penilaian terhadap murid di dalam Pendidikan Seni Visual.  Antara kaedah yang boleh digunapakai oleh guru ialah pemerhatian, temuramah, perbincangan, pengujian berasaskan persembahan, maklum balas dan portfolio.
Pemerhatian boleh dilakukan oleh guru untuk pengujian formal (bermarkah) ataupun pengujian tidak formal (untuk meningkatkan proses pembelajaran). Temuramah pula dapat membantu guru dalam memahami masalah yang mungkin dialami oleh pelajar di dalam kelas, melihat tahap pemahaman pelajar terhadap sesuatu dan boleh digunakan sebagai satu cara untuk mendekati diri pelajar. Guru juga boleh menggunakan kaedah perbincangan yang melibatkan sekumpulan pelajar dan ini mengelakkan pelajar daripada merasa gemuruh ketika diuji. Sementara itu, Pengujian Berasaskan Persembahan (Performance-based Assessment) membolehkan pelajar melakukan sesuatu sama ada demonstrasi, pembentangan dan lain-lain. Bagi kaedah maklum balas pula, borang maklum balas atau questionnaire boleh diaplikasikan untuk menggantikan ujian bertulis, dan bentuk soalan yang ditanya adalah soalan tertutup .  Melalui kaedah portfolio pula, kesemua hasil kerja pelajar termasuklah karya seni, latihan, tugasan bertulis, nota, dan sebagainya dikumpul dan disusun dengan sistematik di dalam folder yang berupa fail.

Pengujian  dan Penilaian Di Dalam pembelajaran Seni Visual
Penilaian dalam Pendidikan Seni Visual bukan hanya melibatkan pengujian dan pengukuran tetapi penilaian secara keseluruhan. Penilaian secara keseluruhan membolehkan murid menggabungkan kefahaman kognitif, psikomotor dan afektif mereka.
Aspek kognitif meliputi kefahaman tentang unsur seni, prinsip rekaan, pengetahuan tentang alat serta teknologi bahan, bentuk gubahan serta kemasan dan pemahaman dan penghargaan. Aspek psikomotor pula melibatkan penilaian proses dalam penghasilan bahan. Penilaian aspek afektif pula dijalankan melalui pemerhatian, sikap dan perlakuan murid yang direkod. Terdapat tiga kaedah penilaian dalam Pendidikan Seni Visual iaitu pemerhatian, lisan dan interaksi serta penulisan.
Kaedah pemerhatian adalah proses penilaian yang melibatkan guru secara aktif di dalam bilik darjah. Pemerhatian boleh dilakukan oleh guru sepanjang proses pembelajaran. Guru memerhati, membuat interpretasi dan menilai aspek-aspek yang diperhatikan. Melalui kaedah ini, penilaian dapat dijalankan ke atas proses dan hasil kerja murid. Pemerhatian proses adalah penilaian yang menitikberatkan proses penghasilan bahan. Guru perlu memerhati cara murid mentafsir, mengelola idea, pewujudan idea dan cara mereka menggunakan alat. Sekiranya proses tidak dilakukan dengan betul, guru perlu memberi bimbingan yang sewajarnya. Perkara-perkara yang perlu dititikberatkan adalah pewujudan idea di mana proses murid menentukan tema dan peningkatan idea mereka perlu diambil kira. Selain daripada itu, pemilihan dan penyediaan alat dan bahan, proses dan teknik yang dipilih dan kemasan adalah beberapa elemen yang perlu diperhatikan.
Pemerhatian hasil kerja adalah penilaian pencapaian kebolehan dan kemahiran murid yang diperlihatkan pada hasil kerja. Kriteria-kriteria yang relevan dalam penilaian adalah gubahan, interpretasi, kemahiran, fungsi, keaslian, kreativiti dan kemasan. Aspek afektif juga boleh dinilai oleh guru semasa menggunakan kaedah pemerhatian. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual di dalam bilik darjah, nilai-nilai yang sesuai diperhatikan adalah kebersihan dan keteraturan, keselamatan, ketekunan, bekerjasama, ketelitian dan kesempurnaan.
Penilaian secara lisan dan interaksi ialah satu kaedah penilaian di mana guru berinteraksi dengan murid untuk mengetahui tahap penguasan murid terhadap aspek seni, kemahiran berkomunikasi dalam bahasa seni dan menilai potensi murid dalam kemahiran berfikir. Aktiviti-aktiviti lisan yang boleh dijalankan ialah soal jawab, peta minda, kuiz, temubual, teka teki, forum, seminar, lakonan dan sumbangsaran. Perkara-perkara yang boleh dinilai secara lisan adalah penguasan pengetahuan, pemahaman konsep, penguasan kemahiran berfikir dan belajar, kemahiran berbahasa seni dan sosial, perkembangan daya kreatif dan mengenalpasti perlakuan emosi, perasaan dan perubahan sikap murid.
Penilaian secara penulisan pula dapat mengesan dan mengukur perkembangan dan pemahaman murid dalam pelbagai aspek pengetahuan serta merekod proses dalam bentuk folio. Penilaian menggunakan kaedah penulisan dapat merangsang pemikiran murid secara logikal, kritikal dan analitikal. Murid juga digalakkan membuat kajian, eksperimentasi serta membuat perancangan. Melalui penilaian ini, guru dapat menilai tahap penguasan pengetahuan, pemahaman konsep, proses dan teknik serta kemahiran bahasa seni dan kemahiran berfikir. Pembinaan soalan-soalan obejktif dan subjektif harus
menggambarkan pembelajaran secara keseluruhan yang menitikberatkan aras kesukaran berasaskan taksonomi Bloom seperti ingatan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.
Selain daripada ujian berbentuk objektif dan subjektif, penyediaan folio murid juga boleh dinilai menggunakan kaedah penilaian secara penulisan. Melalui penyediaan folio, murid dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman seni mereka. Murid juga berpeluang memperlihatkan tahap pengetahuan, penguasan kemahiran, perkembangan minat dan daya kreatif serta sikap mereka dalam penghasilan folio. Folio-folio dinilai mengikut kriteria seprti kajian yang dijalankan oleh murid, perkembangan idea melalui lakaran, rangka sebenar yang dihasilkan dan persembahan. Murid di sekolah menengah berupaya membuat penilaian kendiri. Guru boleh menggalakkan murid menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing dalam pembelajaran serta menilai amalan dan sikap masing-masing bagi mempertingkatkan pembelajaran masing-masing. Murid boleh menjalankan penilaian kendiri dengan menilai hasil kerja sendiri, mengadakan perbincangan dengan guru atau rakan sebaya, dengan membuat perbandingan hasil kerja dan dengan mengisi borang penilaian kendiri. Penilaian kendiri lebih bermakna sekiranya murid berupaya memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti.



Pengujian Kemajuan Kanak-kanak Dalam Pendidikan Seni
            Penilaian jenis ini boleh dilakukan oleh guru setelah pelajar melalui satu-satu unit pembelajaran, kemahiran atau tajuk yang diajar.  Penilaian ini juga bertujuan untuk mengesan penguasaan pelajar terhadap kemahiran-kemahiran yang telah didedahkan.  Proses penilaian dilakukan secara formal iaitu secara terancang, bertulis dan didokumentasikan mengikut format tertentu, atau secara tidak formal iaitu tiada kaedah khusus.  Walau bagaimanapun, maklum balas pencapaian akan dicatat untuk dianalisis bagi tujuan penyimpanan rekod.
















Rujukan

Abdullah Sani. Y. (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTS
Publications & Distributor Sdn. Bhd.


Hasan Langgulung. (1997). Kreativiti & Pendidikan : Suatu Kajian Psikologi
& Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.


Ikhsan, O., & Norila, M. S. (2005). Kurikulum dan Pengajaran Sekolah Rendah, Aspek-aspek yang Berkaitan. Tanjong Malim: Quantum Books.


Mok Soon Sang  & Lee Shok Mee.  (1986).  Kurikulum Baru Sekolah Rendah Tahap 1Kuala Lumpur. Heinemann (Malaysia) Sdn. Bhd.


Omar Mohd Hashim. (1991). Pengisian Misi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa & Pustaka.


Prof. Dr. Haji Abdul Shukor Hashim. et. al. (2010). HBAE1203 Perkembangan Seni Kanak-kanak.  Selangor Darul Ehsan.  Meteor Doc. Sdn. Bhd.


Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia . (2000).  Sukatan
Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Pendidikan Seni VisualKementerian Pendidikan Malaysia.


Rosnani Hashim, & Suhailah Hussein. (2003). The Teaching Of Thinking In Malaysia. Kuala Lumpur: Research Centre, International Islamic University Malaysia.


Strom, R. D., & Storm, P. S. (2002). Changing the Rules: Education For Creative Thinking. Journal of Creative Behavior, 36 (3), 183-199.


Torrance, E. P. (1971). Encouraging Creativity In The Classroom. Iowa: WM. C. Brown Company Publishers.


Diakses daripada laman web pada  20 Oktober 2011


http://www.ppk.kpm.my/html/about%20cdc/about_per.htm (2003).



Diakses daripada laman web pada  25 Oktober 2011




Diakses daripada laman web pada  03  November 2011
http://itukamibudakseni.blogspot.com/2009/11/pengujian-dan-penilaian-dalam.html

No comments:

Post a Comment

Post a Comment