Monday 5 December 2011

Sejarah Melaka

Jelaskan Tentang Kepentingan Serta Kedudukan Gugusan Kepulauan Melayu Sebagai Jalan Perdagangan Yang Utama Di Dunia.


1.0 Pengenalan.

            Gugusan Kepulauan Melayu seperti yang kita sedia maklum sangat terkenal kerana ia dikatakan sebagai jalan perdagangan yang utama dunia. Kegiatan perdagangan bukanlah perkara baru bagi penduduk di Melaka.  Kegiatan perdagangan merupakan warisan dan penerusan tradisi kegiatan ekonomi orang pribumi yang telah berjalan sejak zaman awal Kerajaan Melayu Langkasasuka dan Srivijaya, iaitu dari abad ke-7 hingga abad ke-13.  Gugusan Kepulauan Melayu telah menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari India, Arab dan China sejak dari abad pertama lagi.[1]  Sumber-sumber bertulis china, India, Arab dan Yunani membuktikan bahawa kegiatan perdagangan di rantau ini berkembang dengan pesat sebelum kebangkitan Kerajaan Melayu Melaka.  Di antara pusat-pusat perdagangan yang muncul di Kepulauan Melayu berdasarkan sumber-sumber berikut iaitu sumber dari China Tun Sun, Tan Chu-Li, Pan-Pan, sumber Yunani(Ptolomy)-Takola, Kole dan Sabaria, sumber India-Takola, Kataha, Kalagam, Tambaralinga dan sumber Arab-Kalah, Qalqullah dan Tiyumah.

            Selepas Kerajaan Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Kedudukan Melaka yang strategik menjadikannya sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal.[2]  Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh srivijaya. Kejayaannya menarik tumpuan perdagangan dari srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.  Melaka sebenarnya telah mula berkembang dengan pesat di bawah pemerintahan Parameswara.   
            Di bawah pemerintahan Parameswara, Melaka telah menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan awal abad ke-16.  Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah-ratus di mana ia berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duerte Barbosa yang berkata, “sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai dunia”(He who is lord of Malacca has his hand on the throat of venice).[3]
            Tindakan Parameswara mengawal Selat Melaka yang menjadi faktor terpenting bagi survival ekonomi dan keutuhan Melaka.  Pasukan laut terbabit terdiri daripada orang Laut di sekitar selat Melaka yang menjadi tulang belakang kekuatan tentera laut Melaka. Kedudukan dan peranan "kelautan' dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan kian menonjol di beberapa tahap awal abad ke-15.  Senario Perkembangan Perdagangan di Melaka.[4] 
            Setelah 3 tahun Melaka dibuka oleh Parameswara, penduduk Melaka yang berasaskan perikanan hanya berjumlah kira-kira seribu orang dan telah meningkat berkali ganda kepada hampir 6000 orang.  Ini ditambah pula dengan kepesatan Melaka sebagai pusat perdagangan yang menjalankan pelbagai perdagangan barangan enterport seperti buah Pala, kain, batik, hamparan, bulu burung, cengkih, kayu dan cendana.  Melihat kepada kepesatan ini, pihak pentadbir Melaka telah menyediakan pelbagai kemudahan dengan tujuan untuk menarik minat lebih banyak lagi kapal-kapal dagang berdagang di Melaka.  Kapal-kapal dagangan ini akan dikenakan cukai sebanyak 6 peratus dan perahu orang peribumi pula hanya 3 peratus.  Melaka juga terkenal dengan pusat pelabuhan yang mementingkan keselamatan, pentadbiran yang teratur, dan cekap dalam mengendalikan pasaran kosmopolitan. [5]
            Menurut laporan China; Peraturan dan peruntukan kemudahan yang baik seperti gudang berkunci, ada pengawal, dan ada loceng untuk memberitahu jika ada kecemasan atau kekecohan.  Apabila bersama dengan wakil-wakil perdagangan antara negara yang datang berdagang, raja Melaka telah menyediakan pasukan pengawal dengan hebatnya demi menjaga keamanan, kayu diikat dan menempakan keempat-empat pintu.  Manakala, pada waktu malam pula, terdapat pengawal yang ditugaskan untuk mengawal keadaan persekitaran.
2.0 Perbincangan.
            Muara Sungai Melaka merupakan tapak asal yang menjadi saksi kewujudan pelabuhan Melaka di zaman Kesultanan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Timur dan Barat, China dan Asia Tenggara, India dan Eropah pada abad ke-15 dan 16. Telah dicatitkan sebanyak 84 bahasa dipertuturkan di Melaka dan 4 orang Syahbandar dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan pedagang asing. Lebih 2000 pengangkutan laut pelbagai jenis berlabuh di pelabuhan Melaka.[6] Pedagang dari Tanah Arab, Parsi, India, China, Ryukyu, Filipina dan Siam bertumpu di pelabuhan Melaka disebabkan kedudukan semulajadinya yang strategik di kawasan sempit di Selat Melaka dan dilindungi dari taufan oleh Pulau Sumatera serta kawasan pertukaran angin monsun yang sesuai untuk kapal-kapal perdagangan.
            Memandangkan Kerajaan Melaka terletak di kedudukan geografi yang begitu strategik dan juga amat bergantung pada perdagangan menyebabkan kerajaan ini amat sensitive terhadap kedudukan dan segala perubahan kegiatan di laut yang perlu dihadapinya.  Setiap perubahan kegiatan di laut akan menentukan perubahan dan perkembangan persejarahannya.  Pengalaman ketidakstabilan dalam persejarahan ini pernah dirasakan oleh kerajaan-kerajaan Melayu seperti Langkasuka, Sriwijaya, Perlak, Pasai, Samudera dan Aru, sebelim abad ke-15. Keadaan yang sedemikian yang mendorong kepada penglibatan langsung penduduk pribumi terhadap usaha perdagangan, dan juga sebagai reaksi terhadap kedatangan dan penglibatan para pedagang asing dari Timur dan Barat ke rantau ini sememangnya dijangkakan.[7]  Tambahan pula, terdapat hasil keluaran tempatan iaitu tanaman dan galian yang mana telah diusahakan oleh penduduk pribumi sendiri.
            Keagungan Kerajaan Melaka pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 disebabkan oleh kegiatan perdagangannya.  Kegiatan perdagangan ini merupakan satu pendapatan bagi kerajaan Melaka.  Mengikut Sejarah Melayu, “Melaka digelar oleh orang Arab sebagai Malakat iaitu perhimpunan segala dagang”. Perdagangan merupakan warisan dan penerusan tradisi kerajaan Srivijaya yang terletak di Palembang.  Parameswara berusaha menjadikan Melaka sebagai sebuah emporium Melayu abad ke-15.







Gambar 1: Kapal-kapal Pedagang Asing Yang Berlabuh Di Pelabuhan Melaka.


2.1 Kedudukan Geografi Yang Strategik Di Perairan Selat Melaka.
            Melaka menjadi terkenal sebagai pusat perdagangan kerana faktor kedudukan geografinya yang strategik. Melaka terletak ditengah-tengah perjalanan perdagangan Timur dan Barat yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing seperti China, India, Arab dan Kepulauan Melayu sendiri.[8] Angin Monsun Barat Daya dan Timur Laut juga membantu pedagang-pedagang China dan India untuk pergi ke Melaka. Kedudukan Melaka yang strategik membolehkannya berfungsi sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagangan yang berulang alik melalui Selat Melaka.[9] Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu. 
            Pelabuhan Melaka terlindung dari tiupan angin dan jauh dari hutan paya bakau. Pintu pelabuhannya sangat dalam dan luas untuk membolehkan kapal-kapal besar masuk berlabuh.[10]  Selain itu, terdapat rangkaian hubungan dengan daerah pedalaman kerana sungai Melaka membuka jalan kepada jalan dagang seberang Semenanjung iaitu kawasan pengangkutan iaitu penarikan yang bersambung ke Jalan Muar-Pahang sehingga membawa ke kawasan yang kaya dengan emas di Ulu Pahang.  Melaka merupakan sebuah tempat yang strategik kerana kedudukannya yang terletak di Selat Melaka menjadikannya sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli.  Melaka kaya dengan hasil hutan seperti kayu gaharu, kapur barus dan rotan.  Kekayaan hasil pertanian seperti rempah ratus, teh, beras dan lain-lain.  Hasil-hasil laut seperti Kowri (matawang), kerang dwi katup, tiram dan lain-lain.  

            Selain itu, Melaka juga kaya dengan hasil perlombongan seperti emas, bijih timah, bijih besi, antimoni dan lain-lain.  Kedudukan Melaka yang strategik di Selat Melaka menjadikannya pusat tumpuan pedagang-pedagang asing dari negara lain.  Kelangsungan kepesatan sesuatu perdagangan amat memerlukan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap, teratur dan stabil.[11]  Kebanyakan kerajaan di gugusan kepulauan Melayu mempunyai sistem pentadbiran dan pemerintahan yang tersusun.  Melaka contohnya mempunyai sistem pentadbiran yang cekap iaitu dengan wujudnya sistem pembesar empat lipatan dan sistem perundangan seperti undang-undang laut Melaka.  Sistem ini dapat melicinkan serta mengekalkan keamanan dan memajukan perdagangan di pelabuhan Melaka. 
            Iklim juga berperanan dalam perkembangan Melaka sebagai pusat perdagangan yang penting di Nusantara.  Kedudukan Melaka yang strategik membolehkannya menerima tiupan dua jenis angin iaitu angin Monsun Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya.  Kedua-dua angin ini bertiup selama 6 bulan mengikut giliran tahunan.[12]  Oleh yang demikian, pedagang-pedagang dari Barat dan Timur tidak pernah bertembung dengan tiupan angin yang berlainan musim tadi.  Keadaan inilah yang  dapat mengelakan agar tidak berlakunya masalah lalulintas kerana perjalanan sesebuah kapal dari Timur mahupun Barat adalah ditentukan oleh kedua-dua angin tersebut.  Keistimewaan tiupan angin di Selat Melaka menyebabkan para pedagang menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan dan tempat untuk meletak barang dagangan di gudang untuk diniagakan apabila pedagang lain tiba di Melaka pada musim monsun yang satu lagi.  Sultan (Raja Iskandar Shah) juga telah menyediakan segala kemudahan sama ada berbentuk fizikal atau material di pelabuhan entrepot.[13] 
            Kepesatan perdagangan di Melaka terbukti melalui catatan pedagang berbangsa portugis, Tom Pires mengatakan bahawa setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal kecil yang tiba di pelabuhan Melaka.  Dikatakan juga pelabuhan Melaka begitu besar sehingga boleh menampung hampir dua ribu buah kapal dalam satu-satu masa.  Tempoh masa yang sibuk di Melaka adalah di antara bulan Mac dan Disember.[14] Hal ini kerana, Selat Melaka akan menerima perubahan tiupan angin monsun yang membolehkan kapal-kapal dagangan belayar.  Dalam tempoh ini, Melaka akan menerima ketibaan kapal-kapal dagangan dari Asia Timur dan Timur; manakala dari bulan Mei hingga September pula merupakan giliran pedagang-pedagang dari Jawa dan Timur Nusantara berdagang di Melaka. 
                         
2.2 Hubungan luar Kerajaan Melaka yang telah menjamin keselamatanya.
           
            Kedudukan Melaka yang strategik di Selat Melaka juga telah mewujudkan hubungan diplomatik dengan China dan Jawa. Melaka juga telah mengambil inisiatif dengan menjalankan hubungan diplomatik dengan kuasa luar dan besar dan salah satunya adalah China (1403-1433). [15]
            Dalam aspek keselamatan, Melaka bernasib baik kerana telah mendapat perlindungan daripada negeri China.  Keadaan ini wujud berikutan daripada kerajaan Melaka yang terpaksa mempersembahkan 40 tahil emas kepada Siam, jika tidak keselamatan Melaka akan terancam.  Pada masa itu, kerajaan Melaka belum lagi mempunyai kekuatan yang setaraf dengan Siam.  Tindakan Siam tersebut juga adalah berikutan pembunuhan Temagi iaitu wakil pemerintah Siam di Singapura yang mana beliau telah dibunuh oleh Parameswara.  Berita mengenai perkembangan pelabuhan Melaka tersebut akhirnya samapai juga ke negara China.[16]  Oleh yang demikian, Maharaja Yung-Lo yang merupakan Maharaja China pada ketika itu telah menitahkan Laksamana Yin Cheng pergi ke Melaka.  Pada tahun 1405, utusan dari China iaitu Laksamana Yin Cheng telah datang ke Melaka dan ini memberi peluang kepada Parameswara untuk menangani masalah dengan Siam. Melaka melalui Parameswara berharap dapat menfaatkan pengaruh China yang merupakan negara terkuat di Asia pada masa itu untuk membela kedaulatannya.[17]
            Perhubungan di antara Melaka dan China semakin utuh pada tahun 1405 iaitu selepas utusan rombongan kerajaan Melaka tiba di ibu Negara China, di mana Maharaja Ming telah memberi pengiktirafan kepada Parameswara sebagai raja Melaka dan juga dianugerahi Cap Kempal, sepasang kain sutera berkerajaan dan payung berkerajaan. Apabila Siam telah bertindak menyerang Melaka dan merebut Cap Kempanya, Maharaja Ming telah menghantar Zheng He Ke ke Siam untuk menghalang persengketaan Siam dan Melaka.  Pada akhir tahun 1407, kerajaan Melaka sekali lagi menghantar utusan dari Melaka pergi ke negara China iaitu dengan mengikut kapal Laksamana Cheng Ho yang singgah di Melaka dalam perjalanan balik ke negara China. Dalam utusan tersebut, Parameswara telah menyatakan mengenai pencerobohan Melaka oleh Siam. Oleh yang demikian, Maharaja China telah memberi amaran kepada kerajaan Siam supaya tidak mengganggu dan menceroboh Melaka lagi.
            Pada tahun 1409, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka dengan membawa dikri Maharaja China sebagai lambang menaikkan taraf Melaka menjadi sebuah kerajaan. Di samping itu juga, Melaka turut mengadakan hubungan diplomatik dengan pihak kerajaan Jawa bagi mengatasi masalah kekurangan bahan makanan.  Pertambahan bilangan penduduk yang ramai mendorong Sultan Mahkota Iskandar Syah untuk menghantar duta ke Jawa untuk berbaik-baik dengan pemerintah Jawa yang baru iaitu Vikramarvaddhana (1389-1429).  Melaka juga mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pasai iaitu melalui kegiatan perdagangan.[18]  Salah satu daripada sebab Parameswara membuat hubungan ini adalah untuk memperkenalkan Melaka kepada dunia luar bagi mengukuhkan kedudukan mereka di samping itu juga untuk mendapatkan barangan dagangan. 


2.3 Kepentingan Pelabuhan Melaka Sebagai Sebuah Pelabuhan Penting Pada Abad Ke-15 dan Awal Abad Ke-16. 

            Fungsi Melaka sebagai sebuah pelabuhan enterport (pusat pengumpulan barang-barang dagangan dan menguruskan penyebaran bahan-bahan ke pelbagai tempat dan dijadikan sebagai perantaraan pedagang dari Timur dan Barat) telah menjadikan Melaka sangat terkenal.  Peranan Melaka sebagai pelabuhan entreport ini juga telah merangsang pemerintah Melaka untuk menyediakan kemudahan-kemudahan perdagangan dan pentadbiran perniagaan.[19]  Pemerintah (Sultan) telah menyediakan kemudahan-kemudahan di pelabuhan seperti tempat menginap, tempat perniagaan, gudang, sistem sukatan dan timbangan yang standard, kemudahan membaiki kapal dan lain-lain kemudahan yang diperlukan oleh para pedagang yang singgah berdagang di Melaka. Di Melaka, Syahbandar, Nakhoda dan Kiwi (saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan dagangan) menguruskan hal-hal perdagangan.  Matawang logam digunakan dalam semua urusniaga. 
            Sebagai sebuah pelabuhan yang terkenal di perairan Selat Melaka di mana kawasan tersebut terdapat banyak kegiatan perlanunan, adalah penting bagi kerajaan Melaka untuk menjaga keselamatan para pedagang.  Oleh yang demikian, bagi menjaga keselamatan para pedagang luar di Selat Melaka Orang Laut telah direkrut untuk bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kawasan perairan untuk membanteras kegiatan perlanunan.[20]  Mereka mengawal jalan-jalan laut supaya selamat daripada ancaman dan serangan lanun.  Kedudukan Selat Melaka yang strategik memudahkan usaha untuk menjaga perairan di Selat Melaka.  Orang Laut sentiasa memberikan taat setia dan sokongan ketenteraan kepada pemerintah Melaka.  Kerjasama yang erat di antara pihak pemerintah Melaka dan Orang Laut telah berjaya mengatasi kegiatan lanun yang mengganas di sepanjang perairan Selat Melaka.[21]  Apabila keselamatan terjamin, para pedagang bebas melakukan aktiviti perdagangan dengan Melaka.  Parameswara menjadikan Orang Laut sebagai sebahagian daripada institusi dan sistem kerajaan Melaka.  Orang Laut mengakui kedaulatan Parameswara dan akan melindungi keselamatannya. Manakala, Parameswara pula melindungi kehormatan dan kebajikan mereka.  Orang Laut dijadikan sebagai sebahagian besar daripada angkatan Laut Melaka dan merupakan sumber tenaga yang paling penting untuk menjaga keamanan di samping menggalakkan pedagang-pedagang asing ke pelabuhannya.[22]
           
                       
2.4 Kepentingan Melaka sebagai sebuah pusat penyebaran Islam.
           
            Sebelum kedatangan agama Islam ke Melaka, masyarakat Melaka menganut fahaman animisme dan Hinduisme. Islam mula muncul di Melaka pada tahun 1414 apabila Parameswara memeluk Islam setelah berkahwin dengan puteri dari Pasai. Pengislamannya diikuti oleh pengislaman penduduk Melaka secara beramai-ramai. Proses pengislaman ini mencapai ke puncaknya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar pertengahan abad ke-15.[23] Kedatangan Islam telah meletakkan Kesultanan Melayu Melaka menerajui sebuah empayar Melayu Islam yang berjaya membina sebuah tamadun. Akhirnya, Melaka muncul sebagai sebuah pusat penyebaran Islam yang terpenting di gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke-15. Tinjauan jelas menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Melaka telah membawa pengaruh dan sumbangan yang meluas dalam perkembangan Kesultanan Melayu Melaka, meliputi setiap aspek budaya masyarakatnya.  Justru, perkembangan agama Islam di Melaka telah mempengaruhi sistem pentadbiran, perundangan, ekonomi, bahasa dan kesusasteraan, pendidikan dan lain-lain lagi.
            Dari segi sistem pentadbiran, sumbangan Islam yang paling nyata ialah tertubuhnya sebuah Kerajaan Melayu-Islam di Nusantara pada abad ke-15. Melaka muncul sebagai sebuah negara Melayu yang berpandukan akidah Islam dengan menjadikan Raja Sultan sebagai pemerintah tertinggi negara. Agama Islam dijadikan agama rasmi Melaka pada tahun 1446, iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.[24] Ini menjadikan Islam sebagai agama utama yang dilindungi dan dikembangkan di Melaka. Sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam, penekanan pentadbiran adalah pada unsur-unsur kemelayuan, keislaman dan kesultanan. Dalam konteks ini, sultan selaku pemimpin dan penaung kepada rakyat, baginda memegang amanah Allah SWT. bagi menjalankan kuasa tertinggi memerintah negara secara adil dan saksama demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara. Teks Melayu lama yang memperkatakan tatanegara seperti kitab Bustanus-Salatin ,
Tajus-Salatin ,... Hukum Kanun Melaka jelas memperkatakan bahawa pemerintahan raja-raja hendaklah berdasarkan lunas-lunas ajaran Islam,bukan sahaja syariah atau hukumnya, tetapi juga dari segi tatasusilanya...[25]
            Hasil daripada pengaruh agama Islam, nasab raja-raja Melaka dihubungkan pula dengan Iskandar Zulkarnain, dan daripada perkahwinan mereka ini lahirnya nasab keturunan raja-raja Melayu.  Dengan itu, golongan raja bukan sahaja terus dipertuankan seperti dahulu, bahkan menjadi lebih dihormati kerana keturunannya yang mulia itu. Pemerintah mulai dianggap sebagai ‘pemimpin’ rakyat mengikut konsep ‘sultan’ dalam tradisi Islam.  Pentadbiran Melaka dalam aspek-aspek tertentu turut dipengaruhi oleh sistem pentadbiran Islam. Menurut catatan dalam Sejarah Melayu, memandangkan Melaka di bawah pimpinan tokoh Islam, maka beberapa amalan dalam institusi pentadbirannya juga berlunaskan Islam. Ini terbukti apabila amalan musyawarah dan bermuafakat telah diamalkan antara raja yang memerintah dengan para pegawai dan pembesar Melaka.[26] Raja tidak memerintah secara bersendirian dan keputusan raja adalah secara kolektif.Dalam pentadbiran Melaka, Bendahara, Temenggung, Syahbandar, Laksamana, Tun Bija Sura, dan Tun Utama memainkan peranan sebagai penasihat kepada Sultan Melaka.
            Hukum Islam juga terpancar melalui sistem perundangan Melaka. Undang-undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka banyak berlandaskan undang-undang Islam.[27] Selepas pemerintahan Sultan Megat Iskandar Syah, proses rasionalisasi telah berlaku terhadap undang-undang tradisi menyebabkan perhukuman Islam menjadi sebahagian besar intipati Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Malah, peranan kadi dalam sejarah perundangan Melaka juga amat dipentingkan, yakni dalam memelihara undang-undang tersebut. Raja atau sultan bertindak sebagai penaung undang-undang.[28]
            Dengan penerimaan agama Islam, Melaka semakin menjadi tumpuan saudagar
Islam. Melaka menjadi sebuah pelabuhan perdagangan yang sungguh terkenal, sehingga mengatasi kerajaan di pantai timur Sumatera seperti Haru, Jambi, Pedir dan Samudera-Pasai. Menjelang pertengahan kurun ke-15, Melaka berkembang menjadi kuasa dan empayar kelautan yang agung dan gagah. Sesungguhnya agama Islam telah menjadi suatu tenaga yang kuat yang mendorong kemunculan serta perkembangan Melaka sebagai sebuah empayar kelautan yang agung.  Dalam melaksanakan urusan perniagaan, undangundang berjual beli yang diamalkan di Melaka adalah juga berlandaskan undang-undang Islam. Umpamanya, Islam melarang amalan riba atau keuntungan berlipat kali ganda daripada pusingan modal yang sebenarnya. Hukum ini adalah untuk membataskan sifat tamak atau kecenderungan mengambil keuntungan berlebihan dan pembeli pula dapat dilindungi. ‘Muamalat’ Islam berhubung dengan soal tersebut ada terkandung dalam Fasal 30 Hukum Kanun Melaka.  Seterusnya, hukum Islam ada mensyaratkan supaya semua maklumat atau butir hutang dicatatkan dengan disaksikan oleh dua orang lelaki. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesulitan dan perbalahan pada masa depan. Barang-barang yang diperniagakan mestilah barang-barang yang suci, berguna dan bukan barangan haram. Fasal 30 Hukum Kanun Melaka ada menentukan barang-barang yang boleh diperniagakan serta yang dilarang oleh Islam seperti arak, babi, anjing dan tuak.48 Amalan membayar zakat turut diperkenalkan di Melaka. Amalan ini mewujudkan hubungan yang erat sesama umat Islam dalam kalangan rakyat. Semua ciri tersebut merupakan ciri-ciri ekonomi Islam seperti yang disarankan dalam al-Quran.[29]
            Kedatangan agama Islam telah memperkenalkan abjad Arab (tulisan Jawi) sebagai bahasa persuratan di Melaka. Di samping digunakan dalam penulisan kitab agama, seperti kitab Duri’l-Mazlum, tulisan Jawi juga digunakan bagi penulisan yang lain, seperti surat menyurat diraja, watikah, hukum kanun, surat peribadi dan karya sastera. Malah boleh dikatakan bahawa semua penulisan yang dilakukan dalam kerajaan Melaka adalah dalam tulisan Jawi.
            Oleh sebab itu, naskhah asal yang ada kaitan dengan empayar Melaka seperti Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Melaka ditulis dalam tulisan Jawi.  Sesungguhnya, Islam telah menyumbangkan perkembangan minda serta intelektual terhadap golongan elit dalam masyarakat, apabila tulisan Jawi diperkenalkan di Melaka.[30]  Seterusnya, bidang lain yang menerima pengaruh besar seiring dengan pengenalan tulisan Jawi ialah bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sumbangan agama Islam dalam pembentukan dan perkembangan bahasa sangat ketara, iaitu meningkatkan tarafnya sebagai alat pengucapan intelektual dan sekali gus sebagai bahasa perantaraan di Nusantara. Sebelum kedatangan agama Islam, belum ada sebarang bahasa yang layak memainkan peranan yang penting ini.  Kedatangan agama Islam memberi ruang untuk bahasa Melayu muncul sebagai bahasa pengantar, bahkan sebagai bahasa sarjana dan para cendekiawan yang terkemuka.[31]
            Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa pengantar dalam bidang kesusasteraan tetapi juga dalam bidang perbincangan falsafah. Tegasnya, bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi yang dibawa oleh Islam telah menjadi bahasa ilmu di kalangan orang Melayu.  Justeru itu, jelas agama Islam telah memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai wadah perkembangan ilmu di Melaka.  Sejajar pengangkatan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kedatangan agama Islam turut memperkenalkan banyak istilah baharu yang diambil daripada bahasa Arab atau Parsi bagi memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu banyak meminjam daripada perkataan Arab, misalnya, pondok, maaf, batin, nafas, syukur, zalim, nikmat, salam dan kafir.  Pemerintah Melaka selepas kedatangan agama Islam mula memakai gelaran yang melambangkan ciri-ciri Islam sama ada daripada pengaruh budaya Parsi, Mesir atau Arab. Gelaran ‘Syah’ yang dipakai oleh raja-raja Melaka bermakna ‘Raja‘ dalam bahasa Parsi, manakala istilah ‘Sultan’ adalah daripada bahasa Arab.[32] Aspek perkembangan ini juga dapat dilihat secara jelas apabila merujuk kitab serta karya sastera zaman Melaka, iaitu Sejarah Melayu yang mempunyai tajuk asalnya dalam bahasa Arab, iaitu Sulalatus Salatin. Begitulah juga buku-buku seperti Bustanul Salatin, Tajus Salatin dan Tuhfat-an-Nafis.
            Keterbukaan perdagangan di Selat Melaka juga telah menyebabkan Melaka secara tidak langsung menjadi pusat penyebaran agama Hindu-Buddha dan agama Islam.  Tambahan lagi dengan kedudukannya yang sangat strategik di perairan Selat Melaka yang mana dapat memudahkan kemasukan banyak bangsa yang menganut pelbagai agama.  Melaka juga telah memainkan peranan dalam proses penyebaran agama-agama ini. Pengaruh ketiga-tiga agama yang kuat ini menyebabkan tarikan lebih banyak pedagang-pedagang asing yang masuk ke Melaka untuk memperdagangkan barangan mereka.[33]
            Srivijaya dan Majapahit merupakan empayar beragama Hindu-Buddha di Nusantara. Kedua-dua negeri ini merupakan pusat perkembangan agama Buddha membantu mengembangkan kegiatan perdagangan dengan India dan China.  Melaka merupakan empayar Islam, secara tidak langsung ianya dapat menarik pedagang-pedagang Islam.[34]  Kejayaan Melaka dalam memainkan peranannya sebagai sebuah pelabuhan enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang dagangan, mejadi pusat pengantaraan dimana Melaka menjadi tempat pertemuan di antara para pedagang asing dari Timur dan Barat termasuk juga pedagang dari Nusantara dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa dari Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun begitu pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya.[35]  Hal ini kerana, Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi yang mana dapat menggerakkan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.
           






3.0 Kesimpulan

            Perkembangan Melaka sebagai pusat perdagangan yang penting di gugusan Kepulauan Melayu dalam abad ke-15 dan awal abad ke-16 disebabkan oleh kedudukannya di tempat yang strategik di perairan Selat Melaka.  Perkembangan perdagangan di gugusan Kepulauan Melayu berlaku kerana kedudukannya di persisiran pantai dan kepentingannya berasaskan kepada penguasaan lalulintas perdagangan di antara China dan India.  Melaka telah mencapai zaman kegemilangannya selepas kejatuhan Majapahit iaitu kira-kira pada tahun 1414 masihi.  Pada ketika itu, Melaka telah diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah.  Baginda telah berjaya meluaskan kuasanya di negeri sekitar Melaka.  Ekspedisi peluasan kuasa ini telah membantu menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang terpenting di gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 15 dan awal abad ke 16.  Sejak pengasasannya, Melaka telah mempunyai sistem pentadbiran yang tersusun. Faktor ini menyebabkan Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang terkenal.  Kedudukan Melaka yang strategik iaitu di Selat Melaka telah mendorong kepada perkembangan perdagangan di gugusan Kepulauan Melayu.
            Kepesatan perdagangannya telah menarik minat kuasa Barat iaitu Portugis di bawah pimpinan Alfonso De Alburqueque untuk menakluki Melaka pada tahun 1511.  Keagungan dan kemasyhuran Melaka sebagai pusat perdagangan pada awal abad ke-15 dan awal abad ke-16 memang tidak dapat dinafikan. Keagungan empayar perdagangan Melaka mulai merosot setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.  Setelah itu, Acheh telah menggantikan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan yang maju di gugusan Kepulauan Melayu.










Bibliografi.

Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan      Perkembangannya hingga abad ke- 19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahasa Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher & Distributors Sdn.Bhd, Selangor.

Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, 1983. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan.

Dr. Ustaz Hj. Md. Zain Hj. Serudin, 1998. Melayu Islam Beraja : Suatu Pendekatan. Brunei : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Jamil Mukmin, 1992. Sejarah Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

Mohd Taib Osman, 1989. Masyarakat Melayu ( Struktur Urbanisasi ) dan Manifestasi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka .

Rahim Syam Norhale, 1988. Mendekati Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya : Fajar Bakti.

Shahnon Ahmad, 1981. Kesusasteraan dan Etika Islam. Petaling Jaya : Fajar Bakti.

Zainal Abidin Abdul Wahid, 1996. MALAYSIA : Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




[1] Bahasa Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher & Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 14.
[2] Ibid, hlm. 15.
[3] Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, 1983. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan, hlm. 17.
[4] Ibid, hlm. 18.
[5] Muhammad Yusoff Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 54.
[6] Muhammad Yusoff Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.60.
[7] Ibid, hlm. 61.
[8] Prof. Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 78.
[9] Ibid, hlm. 79.
[10] Zainal Abidin Abdul Wahid, 1996. MALAYSIA : Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 36.
[11] Ibid, hlm. 37.
[12] Ibid, hlm. 38
[13] Rahim Syam Norhale, 1988. Mendekati Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya : Fajar Bakti, hlm. 27.
[14] Ibid, hlm. 28.
[15] Ibid, hlm. 29.
[16] Bahasa Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher & Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 35.
[17] Ibid, hlm. 36.
[18] Prof. Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 70
[19] Ibid, hlm. 71.
[20] Bahasa Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher & Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm, 50
[21] Bahasa Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher & Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 53.
[22] Ibid, hlm.54.
[23] Prof. Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 80.
[24] Prof. Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 100.
[25] Ibid, hlm.101.
[26] Ibid, hlm. 102.
[27]Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan Perkembangannya hingga abad ke- 19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 14.
[28] Ibid,hlm. 15.
[29] Ibid, hlm. 16.
[30] Shahnon Ahmad, 1981. Kesusasteraan dan Etika Islam. Petaling Jaya : Fajar Bakti, hlm. 31.
[31] Ibid, hlm. 32.
[32] Dr. Ustaz Hj. Md. Zain Hj. Serudin, 1998. Melayu Islam Beraja : Suatu Pendekatan. Brunei : Dewan Bahasa dan Pustaka, hl. 77.
[33] Mohd Taib Osman, 1989. Masyarakat Melayu ( Struktur Urbanisasi ) dan Manifestasi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 90.
[34] Rahim Syam Norhale, 1988. Mendekati Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya : Fajar Bakti, hlm. 60.
[35]Mohd Jamil Mukmin, 1992. Sejarah Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise, hlm. 45

3 comments:

  1. Sangat-sangat membantu untuk aku tolong adik aku yg tgh stress buat kerja kursus sejarah. Dgn umur aku yg dh 27 ni tiba2 kena baca semua ni buat aku plak yg stress!!!!

    ReplyDelete