Monday 5 December 2011

Sejarah Malaysia moden


“Dengan mengisytiharkan Darurat pada 1948 British berjaya memerangi ancaman pihak Komunis.  Namun demikian, ia juga telah memaksa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang dijangkakan”.  Bahaskan.   
Terlebih dahulu sebelum membahaskan pernyataan di atas, dalam bahagian pengenalan ini saya akan menerangkan tentang apakah yang dikatakan sebagai Darurat?.  Hal ini kerana, apabila kita menyebut tentang Darurat ia sering kali dikaitkan dengan komunis atau Parti Komunis Malaya (PKM). Hal ini jelas menggambarkan bahawa telah berlaku keadaan kacau-bilau, huru-hara akibat daripada kekacauan, penindasan, keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh pihak Komunis terhadap penduduk Tanah Melayu.[1]  Darurat yang diisytiharkan pada tahun 1948 dan berakhir pada tahun 1960 merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Tanah Melayu.  Kita sering diberitahu bahawa pengisytiharan Darurat oleh British pada 1948 adalah disebabkan oleh keganasan yang dicetuskan oleh pihak komunis dan Darurat digunakan oleh British untuk menghapuskan pihak komunis.  Untuk kita mendapatkan gambaran jelas tentang apakah yang dikatakan sebagai Darurat kita hendaklah mengambil kira beberapa pandangan sejarawan.  Menurut Tan Cheng Kiang dalam buku ‘Darurat 1948-1960’ yang telah disunting oleh Profesor Khoo Kay Kim dan Adnan Awang mengatakan bahawa darurat yang berlaku dari 1948 hingga 1960 merupakan satu tahap penting dalam sejarah Tanah Melayu.[2]  Ia disebutkan sebagai Darurat atau The Emergency kerana Ordinan Persekutuan yang telah dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British iaitu Sir Edward Gent pada 18 Jun 1948 mengistilahkannya begitu.  Peristiwa yang telah membawa kepada kewujudan Ordinan Persekutuan ialah pembunuhan tiga orang Eropah di Sungai Siput, Perak.[3]  Ekoran daripada itu, British beranggapan bahawa pembunuhan dan kegiatan subversif ini berlaku disebabkan oleh PKM.  Setelah didesak oleh beberapa kumpulan yang berpengaruh akhirnya Ordinan Persekutuan dilaksanakan di Tanah Melayu. 

Walaupun Darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948 di Perak namun sebenarnya kejadian-kejadian lain seperti pembunuhan dan sebagainya telah bermula lebih awal lagi; hanya pada 18 Jun, barulah Ordinan ini dikuatkuasakan di Perak dan Johor.  Pengisytiharan Darurat di seluruh Tanah Melayu adalah pada 19 Jun 1948 dan 23 Jun di Singapura.[4]  Oleh itu, saya berpendapat bahawa Darurat telah bermula lebih awal lagi namun secara tidak rasmi.  Timbul persoalan tentang mengapa berlakunya Darurat?.  Darurat berlaku disebabkan oleh perkembangan politik di Tanah Melayu terutamanya sejak tamat Perang Dunia kedua pada 1945 dan melibatkan sekurang-kurangnya tiga pihak iaitu British, Raja-raja Melayu dan UMNO; PUTERA-AMCJA yang bersayap kiri tetapi bukan komunis; dan Parti Komunis Malaya.[5]
Salah satu persoalan yang boleh kita timbulkan di sini ialah adakah peristiwa Darurat di Tanah Melayu berlaku mempunyai peringkat-peringkat tertentu?.  Ya, Menurut Thompson dalam bukunya ‘Defeating Communnist Insurgency’, Darurat boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ‘Build up period’ iaitu masa di mana kerajaan membuat polisi-polisi dan mengambil langkah-langkah permulaan.  Peringkat ini telah berakhir dengan pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu dan perlantikan Sir Gerald Templer sebagai penggantinya.  Di peringkat yang kedua pula iaitu di antara 1952 hingga 1954, apabila kita dapat menyaksikan kejayaan terhadap langkah-langkah yang diambil dan berakhir dengan Perjanjian Baling pada tahun 1955 dan peringkat yang terakhir sekali dipanggil sebagai ‘Moping Up Period’ yang berlaku dari tahun 1956 hingga 1960 yang menyaksikan British berjaya memerangi ancaman komunis di Tanah Melayu.[6]  Berdasarkan peringkat-peringkat yang telah saya nyatakan tadi kita telah mendapat gambaran tentang bagaimana Darurat berlaku. 
Kejayaan Komunis membunuh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney pada bulan Oktober 1951 memeranjatkan British kerana pada mulanya mereka beranggapan bahawa ancaman Komunis kurang berbahaya.[7]  Namun selepas peristiwa pembunuhan tersebut menyebabkan mereka berasa bimbang tentang betapa bahayanya ancaman Komunis di Tanah Melayu sekaligus memaksa Peradana Menteri British, Winston Churchill menghantar Menteri bagi Wilayah Takluknya iaitu Oliver Lyettelton.  Kebimbangan British terhadap ancaman Komunis di Tanah Melayu boleh kita lihat melalui tindakan mereka melalui Oliver Lyettelton dengan mengemukakan enam cadangan iaitu pengawalan sivil dan kekuatan militiri, penubuhan semula latihan polis, menambahkan usaha-usaha dalam bidang pelajaran terutamanya pada peringkat sekolah rendah, memberi perlindungan yang baik kepada kawasan-kawasan penempatan semula, memperbesarkan Home Guard dan terakhir sekali adalah menyusun semula pasukan Pertahanan Awam atau Civil Defence supaya hanya memilih orang yang benar-benar berkebolehan sahaja menyertainya.[8]
Sebelum saya membahaskan dengan lebih mendalam lagi tentang pernyataan soalan tugasan ini, saya berpendapat kita hendaklah terlebih dahulu mengetahui latar belakang Parti Komunis Malaya (PKM) bagi memudahkan kita supaya mengetahui bagaimana Komunis boleh mendatangkan ancaman kepada British sehingga memaksa mereka mengambil beberapa tindakan untuk menumpaskan ancaman Komunis di Tanah Melayu.  Seperti yang kita sedia maklum PKM telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1930 dengan matlamat utamanya adalah mendirikan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu.[9]  PKM merupakan satu gerakan komunis  yang dipengaruhi oleh gerakan komunis antarabangsa (comitern) yang diselenggarkan oleh pucuk pimpinan Soviet Rusia sehingga perang dunia kedua hampir keseluruhan ahli PKM ialah orang cina dan hal ini sekaligus telah menimbulkan masalah dalam perjuangan mereka kerana rakyat Tanah Melayu bukan sahaja terdiri daripada orang Cina tetapi juga India dan orang Melayu.[10] Bagi mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan propaganda untuk menarik golongan petani supaya menyertai PKM dalam usaha menjadikan perjuangan mereka lebih bercorak Tanah Melayu. Walaubagaimanapun, dasar ketanahmelayuan dilancarkan atau dijalankan tersebut tidak berjaya kerana pemimpin-pemimpin PKM adalah orang Cina dan hal ini menyebabkan mereka agak sukar diterima oleh penduduk Tanah Melayu.[11]  Namun begitu, kemunculan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945 telah memberikan peluang yang berharga kepada PKM. Hal ini kerana semasa pendudukan Jepun, British telah menggunakan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun.  PKM telah mengambil kesempatan ini untuk membantu dan berbaik-baik dengan British dan dengan ini PKM dapat memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan rakyat Tanah Melayu tetapi kerjasama ini hanyalah helah PKM kerana mereka juga mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu untuk menggulingkan kuasa penjajah British di Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis di Tanah Melayu.[12] Hal ini jelas menunjukkan bahawa KPM sebenarnya boleh kita anggap sebagai“musuh dalam selimut” terhadap British.
Persoalannya di sini adakah PKM sahaja yang menjadi ancaman kepada British sehingga memaksa mereka memerdekakan Tanah Melayu lebih awal seperti yang dikemukakan dalam pernyataan soalan?.  Jawapan tentu tidak, ini kerana semasa pendudukan Jepun, tedapat sebuah gerakan politik iaitu Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA yang merupakan sayap kanan PKM.  MPAJA juga dikenali sebagai bintang tiga dan juga turut bekerjasama dengan Force 136. Mereka menggunakan taktik serangan gerila sebagai strategi utama untuk menentang Jepun.[13]  PKM sangat beruntung berkerjasama dengan British  kerana mereka mendapat bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan daripada British.  Namun, setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, PKM dan MPAJA telah berpaling tadah untuk mencapai matlamat asal mereka iaitu menentang dan menggulingkan kerajaan British di Tanah Melayu.  Mereka bertindak  keluar dari hutan dan melancarkan serangan gerila terhadap pihak British. Selama 14 hari sebelum tertubuhnya Pentadbiran Tentera British (BMA), mereka telah menawan beberapa balai polis dan membunuh serta menyeksa orang-orang Melayu yang dianggap bersaubahat dengan Jepun. [14]
Persoalan yang timbul di sini adalah, adakah British beranggapan bahawa mereka cuba meredakan keadaan ini dengan membubarkan MPAJA apabila British kembali semula ke Tanah Melayu pada bulan September 1945?.  British telah  mengarahkan anggota-anggota MPAJA supaya menyerahkan kembali senjata yang digunakan semasa menentang Jepun sebelum ini.  Namun begitu, ramai ahli MPAJA yang enggan berbuat demikian dan beribu-ribu senjata disembunyikan oleh PKM.[15]  Hal ini dilakukan untuk menentang dan seterusnya menggulingkan kerajaan British di Tanah Melayu. Bagi mencapai matlamatnya, PKM telah mengubah strateginya iaitu dengan meresap masuk ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja di bandar-bandar besar dan daripada tindakan ini, PKM telah berjaya menguasai beberapa buah pertubuhan atau kesatuan seperti General Labour Union (GLU), New Democratic Youth League (NDYL), MPAJA Old Comrade Association dan Malayan Democratic Union (MDU).[16] MDU memainkan peranan yang penting bagi PKM kerana ia sebagai satu Barisan Bersatu yang telah bergabung dengan organisasi politik yang lain dan persatuan sekerja untuk menuntut kemerdekaan daripada British.
Sememangnya British berjaya mengagalkan beberapa usaha Komunis di Tanah Melayu, namun adakah kita pernah terfikir bahawa usaha Komunis terhenti setakat itu sahaja?.  Dengan tertubuhnya persekutuan Tanah Melayu, maka hasrat PKM untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu telah gagal.  Namun begitu, PKM tidak berputus asa lantas bertindak menukar taktik mereka kepada kekerasan dan keganasan untuk mencapai matlamat tersebut. Ekoran daripada itu, pada bulan Mac 1948 Chin Peng telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PKM di Singapura dan hasil daripada mesyuarat tersebut, PKM telah membuat keputusan iaitu menubuhkan Republik Komunis dengan cara kekerasan dan keganasan bersenjata.[17]  PKM telah melancarkan  pemberontakan dan keganasan dengan menjadikan perusahaan asas sebagai sasaran mereka iaitu dengan mengugut buruh-buruh estet dan pelombong biji timah, membakar ladang getah serta membunuh kontraktor, pengurus dan buruh yang enggan menyertai mereka.  Hal ini telah menimbulkan keadaan tegang dan huru-hara di Tanah Melayu dan menyebabkan British mengisytiharkan Darurat pada 18 Jun 1948 dan seterusnya mengharamkan PKM pada 23 Julai 1948.[18] 
Sebelum itu, cuba kita renungkan persoalan yang saya utarakan ini iaitu adakah British menganggap bahawa ancaman utama mereka ialah Komunis semata-mata di Tanah Melayu sehingga memaksa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang mereka jangkakan? Saya berpendapat bahawa ancaman British bukan sahaja Komunis semata-mata, sebaliknya mereka juga terancam dengan penduduk di Tanah Melayu sendiri.  Untuk menjawab persoalan mari kita lihat tentang pergerakan politik khasnya yang berhaluan kiri yang dikatakan bergerak secara radikal di Tanah Melayu yang turut menjadi ancaman kepada British sehingga memaksa mereka memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang dijangkakan. Pergerakan-pergerakan politik ini turut dikatakan sebagai sebab British mengisytiharkan darurat 1948 di Tanah Melayu yang membolehkan Tanah Melayu dimerdekakan lebih awal. Terlebih dahulu kita akan membincangkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). KMM dipimpin oleh Ibrahimn Yaacob dan Ishak Haji Muhammad bertujuan untuk membebaskan orang melayu daripada cengkaman penjajah dan memerdekakan Tanah Melayu dengan menyatukannya dengan Indonesia Raya. Setelah beberapa tahun ditubuhkan, KMM berkembang pesat dan telah berjaya menubuhkan banyak cawangan di seluruh Tanah Melayu.[19]
Perkembangan KMM ini membimbangkan British kerana kedua-dua orang pemimpin ini boleh mengancam kedudukan dan kuasanya di Tanah Melayu. Hal ini sekaligus menyebabkan British telah bertindak dengan menangkap dan memenjarakan Ibrahim Yacoob dan Ishak Haji Muhammad pada tahun 1940.[20] Namun begitu, menjelang pendudukan Jepun di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1942, Ibrahim Yacoob dan Ishak Haji Muhammad telah dibebaskan oleh Jepun. Pembebasan ini dilakukan oleh Jepun bagi memudahkannya berkerjasama dengan orang Melayu di Tanah Melayu. Jepun telah membenarkan KMM bergerak aktif dan telah menukarnya namanya kepada PETA (Pembela Tanah Air) bagi membantu Jepun menentang British.[21]
Di sebalik kerjasama ini, Jepun tidak menyedari bahawa PETA hanya berpura-pura menyokong Jepun kerana sebenarnya PETA telah berpaling tadah dengan berkomplot dan bekerjasama dengan MPAJA bagi menentang Jepun.  PETA sebenarnya  telah menggunakan peluang ini untuk mengambil kesempatan di atas kelalaian Jepun.[22] Hal ini kerana, PETA hanya mempergunakan Jepun untuk menuntut kemerdekaan daripada British. Menjelang 1945, dengan kelulusan daripada pihak Jepun, Ibrahim Yacoob telah menubuhkan sebuah lagi gerakan yang dipanggil sebagai KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) bagi menentang dan menuntut kemerdekaan daripada British. Namun begitu, perjuangan KRIS gagal dan tidak sempat berkembang kerana penubuhannya hanya seketika sahaja apabila Jepun tiba-tiba telah menyerah kalah pada bulan Ogos 1945.[23] KRIS juga terpaksa dibubarkan apabila British kembali mentadbir dan menguasai semula Tanah Melayu.
Adakah perjuangan orang Melayu terbantut kerana kegagalan KRIS?, sebenarnya tidak walaupun gagal mencapai matlamatnya namun perjuangan KRIS tidak berhenti setakat itu sahaja tetapi telah diteruskan oleh PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya).[24]  Perjuangan orang Melayu yang berterusan ini memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa orang Melayu mahu bebas daripada cengkaman Komunis malah mereka juga mahu bebas daripada British.  Mengapa saya berkata demikian, hal ini kerana usaha mereka tidak pernah putus untuk menubuhkan negara sendiri yang bebas daripada cengkaman penjajah.  Misalnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)  ditubuhkan pada bulan September 1945 dan diketuai oleh Mokhtarudin Lasso sebagai Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua Dr. Burhanuddin, Setiausaha Agong Dahari Ali, Bendahari Agong Arshard Ashaari, pengurus Suara Rakyat Ahmad Boestaman sebagai ahli jawatankuasa agong yang menjadi ketua bahagian pemuda manakala bahagian wanita diketuai oleh Khadijah Ali.[25]  Selain itu, PKMM menubuhkan satu cawangan di Selangor yang diketuai oleh Ibrahim Karim sebagai pesuruhjaya dan satu lagi cawangan di Negeri Sembilan dimana Musa Ahmad sebagai pesuruhjaya.  Matlamat utama perjuangan PKMM ialah mencapai kemerdekaan secara penuh daripada pihak British.[26]  PKMM ditubuhkan oleh sebuah akhbar iaitu Akhbar Suara Rakyat.  PKMM menggunakan akhbar Suara Rakyat sebagai senjata utama perjuangan mereka. PKMM telah mendapat sambutan yang menggalakan dan menerima banyak surat dari seluruh pelusuk negara yang mengalu-alukan kemunculan mereka malah ramai di antara pengirim yang memohon untuk menjadi ahli dan menubuhkan cawangan di tempat masing-masing. Sewaktu penubuhan Malayan union, PKM telah mengemukakan usulnya iaitu menolak Malayan Union dan menuntut kemerdekaan secara mutlak untuk Tanah Melayu. Tuntutan kemerdekaan secara mutlak ini juga turut disuarakan melalui Harian Pelita Malaya dan Mingguan Suluh Malaya dengan sokongan Suara Rakyat. Suluh Malaya banyak memuatkan rencana-rencana politik yang melaungkan tuntutan kemerdekaan bagi menyemarakan lagi semangat rakyat Tanah Melayu untuk menentang penjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.[27]
Sebenarnya ketika di zaman sekolah menengah lagi kita semua telah diberitahu oleh guru-guru bahawa UMNO adalah parti yang telah banyak bertungkus lumus dalam memerdekakan Tanah Melayu daripada British.  Sememngnya kita tidak menafikannya, walau bagaimanapun kita tidak boleh seratus peratus pendapat tersebut.  Hal ini kerana terdapat parti-part politik lain yang turut memainkan peranan penting sehingga memaksa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripda yang dijangkakan.  Buktinya boleh kita lihat dalam usaha-usaha parti-parti politik di Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, di dalam PKMM misalnya terdapat 2 lagi parti gabungan iaitu API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS(Angkatan Wanita Sedar). API merupakan badan gabungan PKMM yang ditubuhkan pada bulan Februari 1946 sewaktu PKMM mengadakan satu perarakan secara beramai-ramai di Ipoh.[28]  Perarakan tersebut dimulakan dengan barisan yang memakai Bendera Sang Saka Merah Putih dan lilitan tangan dengan kain merah putih dengan perkataan API ditulis diatasnya. Mereka terkenal dengan pakaian seragam tersebut, latihan berbaris, lambang dan lagunya.[29]  Lebih 500 orang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut dan API melaungkan  dua perkataan iaitu MERDEKA dan DARAH. Lambang API di gengaman kiri berwarna hitam di atas warna merah dan lagu mereka bertajuk ‘Wahai Api Pewira’. API tidak dapat bertahan lama dalam perjuangan mereka apabila pihak British telah mengharamkan API pada tahun 1947.  
Meskipun API diharamkan namun perjuanganmereka yang radikal juga bertujuan untuk menuntut kemerdekaan cuma kemerdekaan yang mereka tuntut menggunakan kekerasan.  API merupakan pertubuhan politik pertama yang diharamkan oleh british di Tanah Melayu selepas perang dengan alasan pertubuhan ini mengancam keselamatan dan keamanan negara. Ahmad Boestaman yang mengetuai pertubuhan ini telah ditangkap oleh pihak British dan dijatuhkan hukuman di atas tuduhan menghasut fikiran rakyat untuk menentang kerajaan. Beliau menghasut fikiran rakyat dengan menulis sebuah risalah yang bertajuk Testament Politic yang menyeru seluruh rakyat di Tanah Melayu supaya memperjuangkan kemerdekaan melalui pemberontakan dan keganasan.[30]
Cuba kita renungkan kembali mengapa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang mereka jangkakan?.  Saya sebenarnya sangat tertarik dengan persoalan ini kerana kita dapat mengetahui tahap kesedaran orang Melayu yang pada mulanya dianggap bercorak kedaerahan dan kenegerian kemudianya bertukar kepada semalaya yang menyeluruh.  Oleh itu saya berpendapat bahawa kesedaran dalam kalangan orang Melayu yang pada mula-mulanya bercorak kenegerian bertukar kepada setanahmelayu juga memainkankan peranan penting dalam tindakan British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal.  Kesedaran ini boleh kita lihat melalui perjuangan PKMM yang berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemerdekaan yang penuh daripada penjajah.  Mereka tidak sanggup berkompromi dengan penjajah seperti yang dilakukan oleh UMNO.[31]  Walaupun PKMM berjuang secara radikal, namun kita harus ingat bahawa terdapat juga tuntutan umum yang dibuat secara tidak radikal seperti tuntutan terhadap kebebasan sivil, cukai yang rendah, bantuan untuk kaum petani, pekerjaan yang lebih baik dan sebagainya.  Walaubagaimanapun, oleh sebab orang Melayu pada ketika itu yang dipengaruhi oleh sikap perkauman berbanding ideologi, maka PKMM gagal mendapat sokongan sepenuhnya daripada orang melayu kerana orang melayu curiga terhadap PKMM yang dikatakan turut menjalinkan hubungan dengan organisasi bukan Melayu.[32]  Oleh itu perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya terjejas berbanding UMNO yang mempunyai hubungan baik dengan British.
Pernahkah kita terfikir bahawa orang Melayu dengan orang bukan Melayu bergabung dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British?.  Terdapat banyak pandangan yang boleh kita dengar sekiranya persoalan ini diutarakan kerana seperti yang kita sedia maklum orang bukan Melayu terutamanya Cina dan India sekadar datang untuk berkerja ke Tanah Melayu.  Dalam pada itu juga mereka lebih mengambil berat tentang negara asal mereka berbanding Tanah Melayu.  Saya membangkitkan persoalan ini kerana ia berkait rapat dengn tindakan British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang dijangkakan.  Seperti yang kita sedia maklum, Tanah Melayu merupakan sebuah kawasan yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama serta mempunyai pelbagai ideologi yang berbeza.  Maka di sini kita boleh menjawab persoalan yang saya kemukakan tadi iaitu pernahkah kita terfikir bahawa orang Melayu dengan orang bukan Melayu bergabung dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British?.  Ya, hal ini boleh kita lihat melalui tindakan PUTERA dan AMCJA yang akhirnya bergabung membentuk PUTERA-AMCJA.[33] AMCJA atau All Malayan Council of Joint Action telah ditubuhkan pada bulan Disember 1946 dan dipimpin ialah Tan Cheng Lock sebagai presidennya yang berbangsa Cina.  Pusat Tenaga  Rakyat (PUTERA) pula  ditubuhkan pada bulan Februari 1947 yang mewakili beberapa pertubuhan politik seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), GERAM, Angkatan Pemuda Sedar (AWAS), dan BATAS.[34]
Merujuk kepada konteks soalan ini kita dapat membuat penilaian sendiri bahawa kerjasama antara orang Melayu dan orang bukan Melayu juga menjadi sebab mengapa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal.  Saya berpendapat bahawa kerjasama antara orang Melayu dan orang bukan Melayu juga menjadi sebab mengapa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal, hal ini kerana orang Melayu dan orang bukan Melayu telah boleh duduk semeja berbincang untuk menuntut kemerdekakan Tanah Melayu daripada British.  Buktinya PUTERA-AMCJA telah mengadakan perbincangan untuk berkerjasama mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. PUTERA dan AMCJA telah bermesyuarat bagi membincangkan hak bersama.[35]  Adakah kerjasama ini belum cukup untuk kita membuktikan bahawa wujud kerjasama antara orang Melayu dan bukan Melayu di Tanah Melayu?.  Hasil daripada perbincangan tersebut telah mewujudkan Perlembagaan Rakyat yang mengandungi sepuluh prinsip iaitu yang pertama kesatuan Negara Malaya-singapura; kedua, Majlis Perundangan Pusat bagi seluruh Malaya yang anggotanya dipilih sepenuhnya oleh rakyat; ketiga, hak politik yang sama dalam kalangan penduduk Malaya; keempat, raja-raja melayu diberi kuasa memerintah dengan hak sebagai raja berpelembagaan; kelima, agama islam dan adapt istiadat orang melayu hendaklah diletakan dibawah urusan orang melayu sendiri; keenam, perhatian istimewa hendaklah diberikan kepada kemajuan orang melayu sendiri; ketujuh, bahasa melayu menjadi bahasa rasmi; kelapan, urusan luar negeri dan pertahanan Malaya diletakan dibawah kuasa bersama kerajaan Malaya dan Inggeris; kesembilan, perkataan melayu menjadi nama kerakyatan atau kewarganegaraan (nationality); dan yang terakhir ialah bendera kebangsaan hendaklah mengandungi warna kebangsaan Melayu iaitu merah dan putih.[36]  Namun begitu, 10 prinsip perlembagaan rakyat ini tidak diterima oleh British malah mereka bersama pemimpin UMNO telah menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948. 
Apa yang membanggakan saya di sini ialah, PUTERA-AMCJA buat pertama kalinya dalam sejarah Tanah Melayu telah mengemukakan Sepuluh Prinsip Perlembagaan Rakyat kepada pihak British untuk mendirikan sebuah negara yang merdeka. Sepuluh Prinsip Perlembagaan Rakyat ini telah menunjukkan wujudnya kerjasama yang telah dapat dilaksanakan antara orang-orang melayu dalam PUTERA dengan orang-orang bukan Melayu dalam AMCJA.[37]  Menurut Prof. Cheah Boon Kheng, walaupun hakikatnya PUTERA-AMCJA gagal, namun idea untuk membentuk satu bangsa politik baru telah disemai dalam masyarakat majmuk di Tanah Melayu dan corak kerjasama ini telah didikuti oleh parti-parti politik terkemudian.  British yang tidak mahu berdiam diri dengan tindakan itu telah menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) secara terdesak pada masa tersebut untuk menentang dan mengelakkan diri daripada ancaman pakatan PUTERA-AMCJA.[38]
Kegagalan PUTERA-AMCJA tidak melemahkan semangat penduduk Tanah Melayu dalam menuntut kemerdekaan daripada British apabila Hisbul Muslimin yang merupakan sebuah pertubuhan Islam yang meletakan al-Quran dan Al-hadis sebagai senjata utama perjuangan mereka dengan matlamat mencapai kemerdekaan, membina satu masyarakat yang berasaskan fahaman Islam dan mendirikan sebuah negara Islam.[39] Penubuhan  Hisbul Muslimin amat merisaukan British disebabkan Prinsip Islam yang digunakan dalam perjuangan Hisbul Muslimin.[40]  Dengan tertubuhnya  Hisbul Muslimin, kita dapat melihat bahawa British terpaksa menghadapi pelbagai ancaman kebangkitan anti-penjajah di tanah melayu.  Perkembangan ini juga salah satu daripada beberapa sebab yang memaksa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang dijangkakan.
Sebagai kesimpulannya, daripada huraian-huraian di atas jelaslah menunjukkan bahawa kebimbangan British terhadadap perkembangan politik di Tanah Melayu telah menjadi sebab yang memaksa mereka memerdekakan Tanah Melayu lebih awal.  Kenapa saya berkata begitu?, hal ini kerana orang Melayu dan orang bukan Melayu yang sebelum ini tidak pernah bekerjasama telah bekerjasama sehingga boleh duduk semeja berbincang menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu.  Adakah British hanya duduk diam dengan perkembangan ini?, semestinya tidak, perkembangan ini telah mengubah persepsi mereka sebelum ini bahawa orang bukan Melayu bukan ancaman sebenar bagi mereka kerana orang bukan Melayu lebih mementingkan negara asal mereka.  Buktinya dapat kita lihat di sini,  meskipun parti gabungan orang Melayu dan orang bukan Melayu, PUTERA-AMCJA gagal tapi ini sudah cukup untuk menunjukkan ada kerjasama dalam kalangan orang Melayu dan orang bukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan.[41]  Oleh itu pendapat yang mengatakan bahawa darurat telah mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu boleh kita terima kerana British bukan sahaja merasakan bahawa ancaman yang datang adalah daripada Komunis, tetapi daripada orang Melayu dan orang bukan Melayu yang bergabung menentang British.  Tidak cukup dengan itu, British juga telah menangkap beberapa pemimpin Melayu yang menentang secara radikal, contohnya ialah Ahmad Boestaman.[42]  Maka dengan ini saya berpendapat bahawa kerjasama orang Melayu dan orang bukan Melayu telah mencetuskan kebimbangan kepada British, penentangan secara damai dan radikal sekiranya British enggan memberikan kemerdekaan oleh penduduk Tanah Melayu telah menyedarkan British bahawa penduduk Tanah Melayu memerlukan kerajaan sendiri.  Maka tidak hairanlah kita, walaupun telah berjaya memerangi pengaruh pihak Komunis namun ia juga telah memaksa British memerdekakan Tanah Melayu lebih awal daripada yang dijangkakan ekoran daripda tindakan berani orang Melayu dan orang bukan Melayu terutamanya dalam menjalinkan kerjasama. 




BIBILIOGRAFI
Ahmad Boestaman. 1972. Merintis Jalan Ke Puncak. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora.

Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya. 1983. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publishing (M) Sdn. Bhd.

Cheah Boon Kheng. 1985. “Asal Usul dan Asas Nasionalisme Malaya” dalam R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail. Nasionalisme. Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hashim Bin Ahman. 1980. Negara Kita: Sejarah Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.

Khong Kim Hong. 1984. Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957. Kuala Lumpur: Syarikat Sun Sunderas.

Khoo Khay Kim. 1984. Gerakan Komunis Di Tanah Melayu Sehingga Tertubuhnya PKM dalam Prof. Khoo Khay Kim dan Adnan Hj. Nawang (Penyunting). Darurat 1948-1960, Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera.

K.J Ratnam. 1969. Pahaman Perkauman Dan Proses Politik di Malaya (terjemahan Kassim Ahmad), Kuala Lumpur : University of Malaya Press.

Mohd. Reduan Hj. Asli. 1993. Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ramlah Adam,Burhanuddin AL-Helmy. 1996. Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wahba. 1994. Baling Membuka Jalan Damai, Kajang : Masa Enterprise.

Zainal Abidin Abdul Wahid. 1971. Sejarah Malaysia Sepintas Lalu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.









[1] Khoo Khay Kim, 1984, Gerakan Komunis Di Tanah Melayu Sehingga Tertubuhnya PKM dalam Prof. Khoo Khay Kim dan Adnan Hj. Nawang (Penyunting). Darurat 1948-1960, Kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera, hlm. 26.
[2] Ibid., hlm. 27.
[3] Mohd. Reduan Hj. Asli, 1993, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 24.
[4] Ibid., hlm. 25.
[5] Wahba, 1994, Baling Membuka Jalan Damai, Kajang : Masa Enterprise hlm. 16
[6] Ibid., hlm. 17.
[7] Khoo Khay Kim, 1984, Gerakan Komunis Di Tanah Melayu Sehingga Tertubuhnya PKM dalam Prof. Khoo Khay Kim dan Adnan Hj. Nawang (Penyunting). Darurat 1948-1960, Kuala Lumpur : Muzium Angkatan Tentera, hlm. 11.
[8] Ibid., hlm. 12.
[9] Mohd. Reduan Hj. Asli, 1993, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Tanah Melayu, Op.cit., hlm. 22.
[10] Ibid., hlm. 23.
[11] Zainal Abidin Abdul Wahid, 1971, Sejarah Malaysia Sepintas Lalu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 132.
[12] Ibid., hlm. 133.
[13] Mohd. Reduan Hj. Asli, 1993, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Tanah Melayu, Opcit., hlm. 24.
[14] Ibid., hlm. 25.
[15] Barbara Watson Andaya & Leonord y. Andaya, 1983, Sejarah Malaysia, Op.cit., hlm. 272.
[16] Ibid., hlm. 273.
[17] Mohd. Reduan Hj. Asli, 1993, Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 30.
[18] Ibid., hlm. 31.
[19] Barbara Watson Andaya & Leonord y. Andaya, 1983, Sejarah Malaysia, Op.cit., hlm. 275.
[20] Ibid., hlm. 276.
[21] K.J Ratnam, 1969, Pahaman Perkauman Dan Proses Politik di Malaya (terjemahan Kassim Ahmad), Kuala Lumpur : University of Malaya Press, hlm, 172.
[22] Ibid., hlm. 173.
[23] Ramlah Adam,Burhanuddin AL-Helmy, 1996, Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 78.
[24] Ibid., hlm. 79.
[25] Hashim Bin Aman, 1980, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awan Negara, hlm. 59.
[26] Ibid., hlm. 60.
[27] Khong Kim Hong, 1984, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, Kuala Lumpur: Syarikat Sun Sunderas, hlm. 111.
[28] Ahmad Boestaman, 1972,  Merintis Jalan Ke Punchak, Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Kejora, hlm. 27.
[29] Ibid., hlm. 28.
[30] K.J Ratnam, 1969, Pahaman Perkauman Dan Proses Politik di Malaya (terjemahan Kassim Ahmad), Kuala Lumpur : University of Malaya Press, hlm. 180
[31] Ibid., hlm. 181.
[32] Ramlah Adam,Burhanuddin AL-Helmy, 1996, Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 86.
[33] Cheah Boon Kheng, 1985, “Asal Usul dan Asas Nasionalisme Malaya” dalam R.Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, Nasionalisme : Satu Tinjauan Sejarah, Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm. 100.
[34] Ibid., hlm. 101.
[35]Khong Kim Hong, 1984, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, Kuala Lumpur: Syarikat Sun Sunderas, hlm. 115.
[36] Ibid., hlm. 130.
[37] Hashim Bin Aman, 1980, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran Dan Dasar-Dasar Pembangunan, Opcit.,  hlm. 56.
[38] Ibid., hlm. 57.
[39] Ahmad Boestaman, 1972, Merintis Jalan Ke Puncak, Opcit., hlm. 135.
[40] Ibid., hlm. 136.
[41] Khong Kim Hong, 1984, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, Kuala Lumpur: Syarikat Sun Sunderas, hlm. 120.
[42] Ibid., hlm. 121.

No comments:

Post a Comment