Wednesday, 4 September 2013

ULASAN NUR KASIH THE MOVIE




Ulasan filem Nur Kasih The Movie
Filem:  Nur Kasih The Movie
Genre:  Drama
Penulis Skrip:  Mira Mustaffa
Pengarah:  Kabir Bhatia
Terbitan:  Filmscape Sdn. Bhd., Juita Viden Sdn Bhd., Primeworks Sdn. Bhd.
Pelakon:  Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ayu raudhah, Liza Othman, Munif Isa,  
                Sara Ali, Adik mia sara Nasuha, Adik Ilyas Suhaimi.
Tarikh di Pawagam:  19 Mei 2011

 1.0       Pengenalan

Dunia perfileman Melayu pada era ini menyaksikan lambakan filem-filem Melayu tempatan dari pelbagai genre yang menghiasi pawagam seluruh tanahair.  Sebahagian besar filem-filem tempatan menelan belanja jutaaan ringgit telah ditayangkan untuk tontonan umum.  Namun masih ada sebahagian lagi masih menunggu giliran untuk ditayangkan dan ada juga yang masih tersangkut akibat tidak menepati syarat-syarat wajib tayang yang telah ditetapkan oleh pihak FINAS.

Apabila sesebuah filem telah ditayangkan, saat-saat yang paling mendebarkan bagi para penggiat filem ialah untuk melihat hasil kerja mereka melalui sambutan penonton dan juga ulasan-ulasan sama ada memuji atau mengkritik.  Semua ini adalah asam garam di pentas perfileman yang harus ditempuhi sama ada suka atau tidak.

Justeru, bagi tugasan kali ini, kami dikehendaki membuat ulasan secara kritis untuk sebuah filem Melayu masa kini.  Untuk tujuan ini kumpulan kami telah memilih sebuah filem Melayu yang tidak kurang hebatnya pada pandangan kami iaitu Nur Kasih The Movies.  Filem ini mula ditayangkan dipawagam seluruh Malaysia pada 19 Mei 2011.  Walaupun filem ini merupakan filem genre drama, ia masih mampu mendapat kutipan pecah panggung (box office) dengan kutipan RM4.93 juta dan filem ini mampu menimbulkan perdebatan serta perbincangan hangat di kalangan peminat filem tempatan. 


Pelbagai reaksi positif dan negatif dapat dilihat menerusi komen-komen sama ada di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik. 

Filem ini merupakan sebuah filem bergenre drama arahan Khabir Bhatia. Skrip filem ini ditulis oleh penulis skrip terkenal Mira Mustapha.  Filem ini bertitik tolak daripada kesinambungan drama bersiri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 dan berjaya menarik minat lebih 19 juta penonton.  Suatu pencapaian yang amat membanggakan bagi sebuah filem Melayu yang biasa tanpa perlu ada babak-babak aksi  yang mengundang kontroversi sebagai pelaris filem.  Daya penarik filem ini terletak kepada populariti yang diperolehi semasa tayangan drama bersirinya sebanyak 26 episod. Berdasarkan laporan sebuah akhbar tempatan, drama bersiri Nur Kasih berjaya mengumpul sejumlah 64 juta penonton yang mengikuti drama ini secara ‘online’.

Filem Nur Kasih The Movie ini merupakan filem arahan pengarah terkenal Kabir Bhatia terbitan bersama Grand Brilliance, Film Escape Sdn.Bhd dan Juita viden Sdn.Bhd. Filem ini berdurasi selama 1 jam 34 minit.  Teraju utama filem ini terdiri daripada tiga watak utamanya iaitu Adam(Remy Ishak), Nur Amina ( TizZagqyah) dan Aidil( Fizz Fairuzz), dan dibantu oleh watak-watak lain seperti ibu(lakonan Liza Othman),anak-anak Aidil (Mia Sara dan Ilyas Suhaimi) dan remaja ( Munif Isa, Sara Ali dan beberapa lagi).




2.0       Plot
           
Di dalam sesuatu karya sama ada karya bertulis atau filem dan drama, plot memainkan peranan penting kerana ia merupakan penceritaan peristiwa yang berasaskan sebab musabab.  Ia juga boleh ditakrifkan sebagai kisah berangkai yang bersebab, disulami dengan konflik atau permasalahan dan disudahi dengan penyelesaian. (Harun Jaafar, 2011).  Terdapat dua jenis plot iaitu plot yang disusun secara kronologi dan tidak kronologi.  Pengarang atau pengarah filem akan cuba mengembangkan plot cerita sebaik mungkin bagi menarik minat khalayak dengan menggunakan pelbagai teknik seperti teknik imbas kembali, imbas muka, unsur suspen, konflik, kejutan dan juga melalui dialog.

Filem ini berrtemakan kasih sayang yang sarat, semangat kekeluargaan yang tinggi, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.  Untuk memahami filem ini kita memerlukan penghayatan yang tinggi kerana kesinambungan dari satu plot ke satu plot seolah-olah melompat-lompat.

Plot filem ini keseluruhannya menggunakan teknik imbas kembali yang hanya dapat  dilihat pada akhir cerita.  Pada permulaan cerita, kita dihidangkan dengan suara latar dari pelakon hebat Dato’ Rahim Razali yang sudah tentunya mengusik perasaan dengan nada yang penuh emosi.  Pada permulaan cerita, kita bermain dengan emosi sedih menerusi babak para pelakon sedang meratapi kematian isteri Aidil iaitu Aliya lakonan

Ayu Raudhah.  Babak sedih ini ditambah lagi dengan kerenah anak-anak kecil Aidil yang masih belum  memahami erti sebuah kehilangan seperti yang dirasai oleh ayah mereka. 

Seterusnya plot filem ini berkembang kepada konflik jiwa dan rumahtangga yang dirasai oleh Adam dan Nur Amina kerana setelah sekian lama berkahwin masih belum dikurniakan cahayamata.  Untuk mengatasi konflik ini, mereka menghabiskan masa dengan menjalankan kerja-kerja sukarela membantu remaja bermasalah dengan menubuhkan pusat perlindungan remaja dan kanak-kanak.  Untuk seketika, kita dihidangkan dengan babak gembira apabila Nur disahkan mengandung dan sedih apabila Nur keguguran.

Kemuncak plot cerita ini bermula apabila Adam dan Nur ke Jordan.  Bagi mengubati kekecewaan dan kesedihan, Adam membawa Nur untuk menunaikan umrah dan seterusnya melancong ke Jordan.  Di sinilah konflik kehidupan yang sebenar bermula apabila mereka ditimpa kemalangan semasa menaiki keretapi dan seterusnya membawa
kepada kehilangan Adam di bumi Arab.  Babak ini menyingkap tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri yang bersusah payah berusaha mencari suaminya yang hilang.  Ia juga turut menggambarkan kasih sayang seorang suami yang sanggup meredah padang pasir demi mencari cincin isteri yang hilang dalam kemalangan tersebut.  Seterusnya jalan cerita menjadi bertambah klimaks apabila si suami terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kehilangannya .


Jalan cerita semakin suspens apabila Adam dijumpai, keadaannya agak kritikal akibat kemalangan dan kecederaan lampaunya.  Keadaan Adam semakin hari semakin kritikal dan menuntut pengorbanan seorang isteri melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan suaminya.  Namun begitu, segala kemelut cerita bakal terungkai apabila
muncul penderma untuk menyelamatkan Adam disebalik pelbagai konflik yang berlaku. Di sini peleraian plot berlaku.

Filem ini banyak menggunakan teknik imbas kembali iaitu apabila Aidil yang teringatkan kenangan bersama isterinya ketika ingin menyimpan pakaian di dalam almari.  Seterusnya ialah imbas kembali semasa Aidil terlihat layang-layang yang berterbangan, dia teringatkan saat-saat isterinya kemalangan kerana mengejar layang-layang. Pengakhiran cerita pula, kita dihidangkan dengan babak Aidil dan Nur yang telah tua dan sedang mengimbas kembali zaman muda mereka melalui buku catatan yang ditulis Adam.

Teknik imbas muka pula dapat dilihat dalam babak mimpi Adam semasa mereka berada di Jordan. Dalam babak ini Adam bermimpi mereka ditembak ketika berjalan-jalan di sebuah pasar.  Mimpi ini membawa petanda buruk terhadap peristiwa yang bakal menimpa mereka kerana selepas itu mereka terlibat dalam kemalangan keretapi.




3.0       Teknik

Kerja kamera memainkan peranan penting dalam sinematografi sesebuah filem atau drama.  Dalam kerja kamera, sudut kamera dan saiz bingkai membawa maksud tersendiri dan sudut kamera yang baik tentu sahaja boleh memperkuatkan kesan dramatik sesebuah filem.  Sudut kamera akan meletakkan penonton lebih dekat dengan aksi yang terdapat dalam sesebuah filem misalnya dengan saiz bingkai close up, traking dan lain-lain.  Bagi filem ini, kerja-kerja sinematografinya menepati citarasa bagi penonton yang ingin relaks sambil menonton dan boleh dibanggakan. Pemilihan sudut kamera dan kerja kamera juga memperlihatkan kefahaman pengarah bercerita dengan visual.  Pemilihan lokasi iaitu suasana kampung dengan pemandangan sawah padi yang terhampar luas menimbulkan mood romantik, tenang dan damai hingga meresap dalam jiwa penonton.  Seterusnya pengarah menjadikan Jordan sebagai lokasi utama dengan suasana padang pasirnya menimbulkan  realiti keislaman yang menarik dan seterusnya menjadi identiti filem ini.

Dewasa ini penggunaan teknik CGI (Imej Janaan Komputer) merupakan sesuatu yang amat dipentingkan oleh pengarah filem untuk melahirkan sebuah filem yang bermutu.  Walau bagaimanapun, filem ini tidak menggunakan teknik CGI  yang banyak.  Dalam filem ini pengarah menggunakan teknik CGI melibatkan beberapa babak seperti kejadian tembak-menembak di pasar, kemalangan keretapi  yang melanggar lori tangki minyak dan kemalangan kereta Adam. 

Penggunaan muzik latar yang baik juga dapat mempengaruhi sesebuah filem.  Di dalam filem ini, sentuhan Hafiz Hamidun dengan garapan muziknya yang mantap telah memberikan kesan yang mendalam terhadap filem ini.  Beliau menghasilkan muzik latar yang mendayu-dayu serta pemilihan lagu yang memberangsangkan sesungguhnya mampu membuai perasaan penonton agar terus menggengam emosi sedih sehingga ke penghujung cerita.

4.0       Latar dan dialog

Latar masa filem ini meliputi jangkamasa yang agak panjang memandangkan penggunaan teknik imbas kembali pada keseluruhan cerita iaitu dari zaman muda hingga ke zaman tua.  Latar tempat pula meliputi suasana kampung Adam dan Nur yang berlatar belakangkan sawah padi, bandaraya Kuala Lumpur, tempat kerja Adam dan Nur dan suasana tanah Arab dan padang pasir di Jordan.

Kebiasaanya filem genre drama mempunyai atau menggunakan dialog yang panjang dan berjela-jela, atau pelakonnya banyak bercakap.  Namun, apabila menonton filem ini didapati filem ini yang bergenre drama tidak seperti yang disangkakan.  Dialog yang digunakan pendek-pendek dan tidak membosankan penonton.  Selain itu, filem ini juga tidak mempunyai babak tengking menengking tetapi dipersembahkan dengan garapan dialog yang baik dan kemas.


Sesuai dengan tema keislaman yang dibawa menerusi filem ini dan penggunaan lokasi luar di tanah Arab, penggunaan  bahasa Arab dan bahasa Inggeris dilihat amat mesra dan serasi dengan para pelakon filem ini. Kesinambungan ini tidak menampakkan kejanggalan apabila melihat babak Aidil bertutur dalam bahasa Arab dengan pak Arab di Jordan biarpun pertuturannya agak kurang lancar tetapi tidak begitu disedari oleh penonton.  Penggunaan bahasa Inggeris oleh Nur Amina dan Adam juga dilihat sebagai kebiasaan bagi seorang pelancong bila berada di negara luar.  Justeru penggunaan bahasa asing dalam filem dilihat hanya sebagai pelengkap atau penyedap cerita sahaja. Tidak perlu kita memandangnya sebagai mengangkat atau melebih-lebihkan bahasa lain sebagai polemik filem ini.

5.0      Tahap Persembahan

Watak-watak dalam filem merupakan kekuatan filem ini. Tiga tonggak utama yang menerajui filem sejak dari awal drama bersiri lagi mengukuhkan plot yang dicipta untuk filem ini.  Keserasian antara watak sememangnya telah wujud dan membuatkan penonton sentiasa ternanti-nanti akan kemunculan mereka.  Watak Nur Amina yang dilakonkan oleh Tiz Zaqyah menggambarkan seorang isteri yang setia dan sanggup berkorban untuk suaminya. Dalam kelembutan seorang isteri terselit sifat cekal dan tegas di mana kita dapat lihat kecekalannya yang tidak berputus asa untuk mencari suaminya di bumi Jordan.  Sementara ketegasannnya dilihat semasa berhadapan dengan Jihan Miskin seorang yang agak prejudis dalam bisnes di mana dia sanggup menolak tawaran kerja

kerana amat bertentangan dengan prinsipnya yang mementingkan halal dan haram dalam mencari rezeki.    

Watak Adam pula, sekiranya di dalam drama sebelum ini memaparkan seorang anak muda yang suka memberontak dan sering melakukan penentangan. Tetapi melalui filem ini, dia digambarkan sebagai seorang suami yang romantis, penyayang dan juga bertanggungjawab dimana sanggup menjadi sukarelawan di Pusat Perlindungan Kanak-kanak dan Remaja.  Watak Aidil tidak banyak berubah dari watak di dalam drama sebelum ini, cuma menerusi filem ini Aidil telah menjadi seorang ayah kepada dua orang anak kecil yang penuh dengan sifat ketabahan dan kematangan seiring dengan kemelut hidup yang dihadapinya untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri selepas kematian isterinya Aliya.  Watak anak-anak kecil kepada Aidil yang dilakonkan oleah adik Ilyas Shuhaimi dan Mia Sara juga dilihat mampu membangkitkan perasaan sayu melalui keletah mereka. Watak-watak lain turut memberi sumbangan dalam mengisi ruang-ruang kosong dalam filem ini untuk terus mengusik perasaan penonton serta menimbulkan konflik.

5.0       Penghakiman

Keseluruhan perjalanan tema dan konflik filem ini agak perlahan dan santai tetapi penuh dengan emosi.  Tidak ada babak- babak suspens yang melampau yang mampu membuatkan jantung berdenyut pantas ataupun babak-babk lucu yang membuatkan kita

tertawa sehingga mengeluarkan airmata.  Menonton filem ini kita seolah-olah hanya perlu tunggu dan lihat. Biarpun agak perlahan, tetapi kita ia mampu membuatkan kita terus terpaku dan melekat di kerusi  untuk terus menonton kerana ingin melihat kesudahannya.

Karya sentuhan suami isteri ini merupakan antara dua buah filem Melayu yang mempunyai pencalonan terbanyak bagi kategori yang dipertandingkan di Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24).  Sebuah lagi filem ialah Hikayat Merong Mahawangsa yang bertemakan epik sejarah.  Kedua-dua filem ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.  Kedua-dua filem ini mempunyai perbezaan yang jauh ketara sama ada dari sudut tema, watak-watak, mahupun dari sudut senimatografi dan juga teknik kesan khasnya. Pembikinan  skrip untuk filem Nur Kasih The Movie dilihat agak simple dan mudah difahami berbanding skrip untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa yang  menggunakan bahasa klasik dan campuran bahasa Inggeris dan Cina yang agak berat untuk dihayati.

6.0       Kesimpulan

Kesimpulannya filem ini, merupakan sebuah tayangan yang menarik yang mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan, kesetiaan dan kemanusiaan sejagat yang baik untuk tontonan semua lapisan dan peringkat umur. Justeru, untuk filem Nur Kasih ini saya memberikan empat daripada lima bintang kerana filem ini bagi saya agak menarik untuk tontonan seisi keluarga dan tidak merugikan untuk pelaburan ke atas tiket

yang dibeli kerana boleh tunggu sampai habis dan juga tidak tertidur di dalam panggung.  Saya tidak memberikan lima bintang kerana masih ada lopak-lopak yang nampak agak janggal dalam filem ini contohnya perjalanan plot yang tidak begitu kemas biarpun meruntun emosi dan juga penggunaan latar tempat dan juga teknik pencahayaan dan CGI yang kurang menyerlah.  Walaubagaimanapun, ianya masih boleh diterima untuk sebuah filem yang bergenre drama dan bukannya aksi atau seram.

















Rujukan
Filem Nur Kasih The Movie. 2011. Filmscape Sdn. Bhd., Juita Viden Sdn Bhd., Primeworks Sdn. Bhd.

Harun Jaafar.  (2011).  HBML4203 Kesusasteraan Melayu.  Selangor Darul Ehsan: 
            Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Mohd. Rasdan Ahmad.  20 Nov 2011.  Siapa yang terbaik?.  Utusan Malaysia.

Serimah Mohd. Sallehuddin.  06 May 2011.  Nur Kasih The Movie temui penonton 19 Mei.  Berita Harian.

Zainuri Misfar.  23 May 2011.  Antara jiwa Nur Kasih The Movie dengan Kongsi.  Berita Harian.


Diakses daripada internet pada 15 Mac 2013:




Diakses daripada internet pada 20 Mac 2013:




Diakses daripada internet pada 25 Mac 2013:



No comments:

Post a Comment