Sejarah Dan Cerita Siputeh, Kedah D.A
Oleh
: Dato Wan Ibrahim bin Wan Solo
Dipetik daripada: http://sasterarakyat-kedah.com
Pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman I ibni
Almarhum Sultan Ibrahim yang memerintah negeri Kedah selama 49 tahun di antara
tahun Masihi 1374-1423 (775 - 826H), baginda bersemayam di Siputeh. Baginda
adalah seorang Sultan yang suka kepada kedamaian dan rakyat negeri sangatlah
taat dan kasih kepada baginda.
Baginda
sangat menggalakkan rakyatnya bercucuk-tanam dan berternak. Selain daripada
itu, baginda suka melihat orang-orang bersilat dan baginda sendiri seorang yang
handal dalam ilmu bersilat.
Baginda
berkahwin dengan seorang raja bernama Puteri Siputeh. Dengan usaha dan
bijaksana Puteri Siputeh, negeri Kedah menjadi mewah dan makmur.
Baginda
Sultan berputerikan dua orang puteri dengan Puteri Siputeh dan seorang
daripadanya konon berdarah putih. Baginda sangatlah kasih kepada puteri yang
berdarah putih itu lebih-lebih lagi rupa parasnya tiada tolok bandingnya pada
masa itu.
Pada
zaman itu, negeri Acheh negeri yang terletak di utara Pulau Percha (Sumatera)
sangatlah besar kuasa dan pengaruhnya dan Raja dan segala menteri hulubalangnya
sangat gagah perkasa. Bukan sahaja rakyat Acheh gagah dan berani bahkan dari
segi perniagaan pun mereka pandai dan cekap serta sangat rajin bercucuk tanam
dan berternak.
Apabila
kedengaran kepada Raja Acheh betapa makmur dan amannya negeri Kedah yang
diperintah oleh Sultan Sulaiman di Siputeh dan sambil itu kedengaran pula
baginda mempunyai seorang puteri yang sangat cantik rupawan dan berdarah putih,
datanglah cemburu di hatinya.
Berbalik
kepada kisah dua orang puteri baginda Sultan yang tersebut di atas, Raja Acheh
pula mempunyai seorang putera yang sangat muda remaja dan telah cukup umur.
Dengan kerana Raja Acheh tidak berjaya menakluki negeri Kedah dengan kekerasan,
ia pun menghantar seorang menterinya dan beberapa orang besar datang ke Siputeh
dengan tujuan hendak meminang puteri Sultan yang berdarah putih itu. Angkatan
menteri Acheh itu terdiri daripada tujuh puluh buah perahu penuh sesak dengan
barang-barang hadiah daripada Raja Acheh kepada baginda Sultan Kedah dan untuk
puteri yang hendak dipinang itu.
Angkatan
menteri Acheh itu disambut oleh baginda Sultan dengan beberapa kemuliaan dan
secara besar-besaran dan pinangan ke atas anaknya diterima dengan sukacitanya. Baginda Sultan Sulaiman dengan kerana kasih
kepada anaknya yang berdarah putih itu diberikannya anak yang seorang lagi itu
berkahwin dengan anak Raja Acheh. Perbuatan ini menyebabkan kejatuhan Sultan
Sulaiman.
Istiadat
perkahwinan itu telah disempurnakan di negeri Acheh secara besar-besaran
mengikut keadaan zaman itu dan ramai raja negeri yang berjiran telah dijemput
untuk hadir bersama. Setelah selesai upacara perkahwinan itu dilaksanakan,
putera dan puteri hidup bersama dalam keadaan rukun dan damai.
Hendak
dijadikan cerita, pada suatu hari, sewaktu puteri yang baru berkahwin itu
mengacip pinang, secara tidak sengaja telah terkacip jarinya dan berdarah.
Darah yang keluar itu berwarna merah dan bukannya putih seperti yang
dimegah-megahkan. Perkhabaran itu kedengaranlah kepada Raja Acheh. Baginda
sangatlah murka kerana katanya ia telah diperdayakan oleh Sultan Sulaiman;
diberikan anak yang berdarah merah berkahwin dengan puteranya dan bukan yang
berdarah putih seperti yang di janji dan dipinangkan.
Baginda
bertitah kepada menteri dan hulubalang agar bersiap dan melengkapkan
perahu-perahu dengan alatan perang kerana ia hendak melanggar negeri Kedah dan
mengambil puteri yang berdarah putih itu dan membela keaibannya.
Kelengkapan
yang besar itu mengambil masa selama enam bulan dan pada ketika yang agak baik,
angkatan perang Raja Acheh pun belayar menuju ke Siputeh.
Hal
kemaraan Raja Acheh itu telah diketahui oleh Sultan Sulaiman dan ia pun memerintahkan
menteri dan hulubalangnya bersiap sedia menahan serangan Raja Acheh.
Apabila
sampai angkatan Raja Acheh di Pering; suatu tempat berdekatan dengan Siputeh,
mereka pun mengepung kota pertahanan yang terletak di atas satu pulau kecil.
Serangan itu dipertahankan oleh baginda Sultan dengan sekuat-kuatnya. Akhirnya,
angkatan Raja Acheh terpaksa berundur semula ke Pering. Peperangan itu dalam
keadaan bertahan sahaja kerana belum ada pihak yang menang atau kalah.
Tetapi
dalam masa beberapa bulan sahaja, kota Siputeh tidak boleh bertahan lagi kerana
makanan pun hampir habis dan orang-orang di dalam kota pun ramai yang telah
mati dilanda penyakit dan kelaparan. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa
dibenarkan keluar daripada kota. Entah bagaimana, seorang perempuan terlepas
keluar kerana hendak mencari makanan. Dalam perjalanannya, ia telah berjumpa
dengan seorang hulubalang Acheh yang menyamar diri sebagai orang tua penangkap
ikan. Ia pun menegur perempuan tersebut dan sewaktu berbual-bual, perempuan itu
telah terkeluar rahsia keadaan sebenar di dalam kota. Mendengar berita
tersebut, hulubalang Acheh itu merasa sangat gembira.
Pada
waktu subuh selepas peristiwa tersebut, orang-orang Acheh membuat satu serangan
yang mengejutkan ke atas kota Siputeh. Orang-orang di dalam kota mempertahankan
serangan itu berhabis-habisan tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan
kerana kebanyakan panglima yang handal telah terkorban dan luka parah.
Apabila
pecah sahaja pintu kota, panglima perang Acheh terus menuju ke Istana Raja kerana
hendak mengambil puteri yang berdarah putih tersebut. Tetapi
malangnya telah terlewat kerana puteri itu telah ditanam hidup-hidup dengan
perintah ayahandanya Sultan Sulaiman dan telah mangkat.
Maka,
dengan kerana marahnya panglima Acheh di atas perbuatan itu, ia telah
memerintahkan sekalian perempuan dan kanak-kanak yang ada di dalam kota itu
dibunuh tetapi baginda Sultan Sulaiman dan permaisurinya ditangkap dan dibawa
pulang ke Acheh. Di
sana, baginda Sultan dan permaisurinya telah dibicarakan dan didapati bersalah
lalu dijatuhkan hukuman bunuh. Siputeh
diperintah oleh kerajaan Acheh selama beberapa tahun tetapi akhirnya, mereka
telah dikalahkan dan diusir keluar.
Setelah
beberapa ratus tahun kemudian, penduduk Siputeh telah menemui dua buah kubur
yang terletak di atas tanah tinggi cukup dengan batu nisan di Kampung Siputeh. Satu daripada batu nisan itu tertulis
"Sultan Sulaiman" dan satu lagi "Siputeh".
Bagi
mengingati Puteri Siputeh yang bijaksana dan yang telah menjadikan tempat ini
masyhur dan makmur, para penduduk telah memberi nama mukim ini
"Siputeh" dan ditambah perkataan "Puteri Lindungan Bulan"
selepas nama tersebut. Negeri
Kedah pada zaman dahulu disebut sebagai "Kedah Lindungan Bulan"
kemudian diubah kepada "Kedah Darul Aman".
KOTA SIPUTIH
Kota Siputih
dibina pada tahun 1282 oleh Tunku Ahmad Ibni Sultan Muzzil Shah (Raja Muda
Kedah), merupakan pusat pemerintahan Negeri Kedah yang ketiga sesudah Kota
Bukit Meriam (1136-1236) dan Kota Sungai Emas (1236-1323) di Daerah Kuala Muda.
Dalam masa 300 tahun lebih terdapat seramai lapan orang sultan pernah
memerintah di sini bermula dengan Sultan Ibrahim Shah (1321-1373.Pada era pemerintahan Sultan Sulaiman Shah II (1602-1625), Kota Siputih telah musnah akibat serangan Aceh pada tahun 1619. Baginda ditawan dan dibawa ke Aceh dan mangkat di sana. Puteranya iaitu Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1651) akhirnya mengasaskan pusat pentadbiran baru di Kota Naga. Makam yang ada ini dikenali sebagai Makam Puteri Lindungan Bulan.
MAKAM PUTERI LINDUNGAN BULAN
Dalam tradisi
lisan, kisah Puteri Lindungan Bulan sering dikaitkan dengan serangan Aceh ke
atas Kedah kerana kemarahan Raja Acheh yang gagal memiliki puteri Raja Kedah
yang berdarah putih. Tindakan Raja Kedah yang enggan menyerahkan puterinya yang
berdarah putih sebaliknya menyerahkan puterinya yang berdarah merah telah
menyebabkan Acheh bertindak menyerang Kedah.Walaupun Kedah telah tewas, tetapi Acheh gagal mencapai hasratnya kerana puteri tersebut telah disembunyikan di dalam sebuah lubang yang terletak agak terpencil sehingga cahaya bulan pun tidak dapat sampai. Lantaran itu, puteri tersebut digelar "Puteri Lindungan Bulan". Terdapat sepasang batu nisan Acheh di makam yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Kampung Siputeh yang dikenali sebagai "Makam Puteri Lindungan Bulan".
Woori Casino Login - Play on Mobile or Desktop
ReplyDeleteThe Woori Casino App will be available at Woori Casino novcasino on a https://octcasino.com/ mobile or desktop basis. To play on our mobile or casinosites.one desktop, you can also play wooricasinos.info with your desktop kadangpintar browser,