1.0 Pengenalan
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Pantun melayu lama
ini menggambarkan betapa bahasa itu amat indah dan bermakna kepada setiap insan
di dunia ini. Tanpa bahasa manusia hanya
mampu berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau bahasa tubuh. Bahasa merupakan unsur penting dalam
kehidupan manusia dan masyarakat serta negara. Bahasa juga merupakan simbol
dalam kehidupan sosial manusia kerana bahasa melambangkan identiti kelompok
masyarakat dan sosiokultural sesebuah negara. Dalam konteks negara kita Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa yang
telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan menjadi simbol kepada kedaulatan
bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
Definisi
bahasa menurut Kamus Dewan (2002:87), ialah satu sistem lambang bunyi suara
yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Contohnya
antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. Sementara Nik
Safiah Karim (1992:11), menyatakan bahasa mengikut Sapir didefinisikan sebagai
“cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan
hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan dengan sukarela’. Pateda (1981)
juga mentakrifkan bahasa sebagai alat komunikasi dan makhluk sosial yang suka
bersosial, iaitu bersosial untuk kebaikan tetapi adakalanya keburukan.(Abdullah
Yusuf, 2010).
Sopan
pula didefinisikan sebagai hormat dengan tatatertib, baik budi bahasanya, tahu
tertib peraturan, beradab dan baik perangai dan kelakuannya.(Kamus Dewan
,2002:1299)
Perkataan kasar
pula bermaksud tidak halus, tidak licin, tidak tertib atau tidak bersopan
santun . (Kamus Dewan ,2002: 581). Justeru bahasa tidak sopan atau bahasa kasar bermaksud bahasa yang
dituturkan tidak mengikut tatatertib atau tidak menepati peraturan dalam
berbahasa seperti sebutan nahu yang teratur, mengawal ketertiban semasa
berinteraksi serta memikirkan kesan selepas mengeluarkan kata-kata yang tidak
sopan atau kasar tersebut
Berleluasa
bermaksud melakukan sesuatu dengan bebas atau sesuka hati.(Kamus Dewan
2002:787). Sementara masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup
bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. .(Kamus Dewan
,2002:865)
Walau bagaimanapun, selaras
dengan era globalisasi dunia masa kini yang menuntut banyak perubahan, turut
mempengaruhi cara hidup, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu kepada
unsur-unsur luar. . Perubahan-perubahan yang berlaku kesan
daripada arus kemodenan dan teknologi masa kini bukan sahaja bersifat positif
tetapi juga negatif . Justeru bahasa
Melayu juga turut menerima tempiasnya. Fenomena ini secara tidak langsung telah
menghakis nilai-nilai kehalusan dan kesantunan dalam bahasa Melayu. Cogankata ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ seperti
yang dilaung-laungkan suatu ketika dahulu, dirasakan tidak lagi sesuai memandangkan
fenomena yang semakin berleluasa sekarang.
Penggunaan bahasa tidak sopan atau bahasa kasar semakin menjadi-jadi dan
seolah-olah menjadi kebanggaan pula oleh sesetengah pihak apabila
menggunakannnya. Ini dapat kita lihat
dalam berbagai situasi seperti penggunaan bahasa rojak yang sering digunakan
dalam sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) , bahasa-bahasa kurang sopan seperti
yang terdapat dalam iklan, dialog-dialog drama dan filem dan juga ungkapan-ungkapan
kasar dan tidak sopan yang digunakan oleh golongan anak-anak muda dan remaja masa kini
semasa berkomunikasi amat menyedihkan apabila didengar.