1.0 Pengenalan
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Pantun melayu lama
ini menggambarkan betapa bahasa itu amat indah dan bermakna kepada setiap insan
di dunia ini. Tanpa bahasa manusia hanya
mampu berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau bahasa tubuh. Bahasa merupakan unsur penting dalam
kehidupan manusia dan masyarakat serta negara. Bahasa juga merupakan simbol
dalam kehidupan sosial manusia kerana bahasa melambangkan identiti kelompok
masyarakat dan sosiokultural sesebuah negara. Dalam konteks negara kita Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa yang
telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan menjadi simbol kepada kedaulatan
bangsa Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
Definisi
bahasa menurut Kamus Dewan (2002:87), ialah satu sistem lambang bunyi suara
yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Contohnya
antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. Sementara Nik
Safiah Karim (1992:11), menyatakan bahasa mengikut Sapir didefinisikan sebagai
“cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan
hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan dengan sukarela’. Pateda (1981)
juga mentakrifkan bahasa sebagai alat komunikasi dan makhluk sosial yang suka
bersosial, iaitu bersosial untuk kebaikan tetapi adakalanya keburukan.(Abdullah
Yusuf, 2010).
Sopan
pula didefinisikan sebagai hormat dengan tatatertib, baik budi bahasanya, tahu
tertib peraturan, beradab dan baik perangai dan kelakuannya.(Kamus Dewan
,2002:1299)
Perkataan kasar
pula bermaksud tidak halus, tidak licin, tidak tertib atau tidak bersopan
santun . (Kamus Dewan ,2002: 581). Justeru bahasa tidak sopan atau bahasa kasar bermaksud bahasa yang
dituturkan tidak mengikut tatatertib atau tidak menepati peraturan dalam
berbahasa seperti sebutan nahu yang teratur, mengawal ketertiban semasa
berinteraksi serta memikirkan kesan selepas mengeluarkan kata-kata yang tidak
sopan atau kasar tersebut
Berleluasa
bermaksud melakukan sesuatu dengan bebas atau sesuka hati.(Kamus Dewan
2002:787). Sementara masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup
bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. .(Kamus Dewan
,2002:865)
Walau bagaimanapun, selaras
dengan era globalisasi dunia masa kini yang menuntut banyak perubahan, turut
mempengaruhi cara hidup, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu kepada
unsur-unsur luar. . Perubahan-perubahan yang berlaku kesan
daripada arus kemodenan dan teknologi masa kini bukan sahaja bersifat positif
tetapi juga negatif . Justeru bahasa
Melayu juga turut menerima tempiasnya. Fenomena ini secara tidak langsung telah
menghakis nilai-nilai kehalusan dan kesantunan dalam bahasa Melayu. Cogankata ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ seperti
yang dilaung-laungkan suatu ketika dahulu, dirasakan tidak lagi sesuai memandangkan
fenomena yang semakin berleluasa sekarang.
Penggunaan bahasa tidak sopan atau bahasa kasar semakin menjadi-jadi dan
seolah-olah menjadi kebanggaan pula oleh sesetengah pihak apabila
menggunakannnya. Ini dapat kita lihat
dalam berbagai situasi seperti penggunaan bahasa rojak yang sering digunakan
dalam sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) , bahasa-bahasa kurang sopan seperti
yang terdapat dalam iklan, dialog-dialog drama dan filem dan juga ungkapan-ungkapan
kasar dan tidak sopan yang digunakan oleh golongan anak-anak muda dan remaja masa kini
semasa berkomunikasi amat menyedihkan apabila didengar.
2.0 Faktor-faktor
Yang Menyebabkan Berlakunya Bahasa Tidak Sopan
Faktor bermaksud unsur atau penyebab yang
menyumbang kepada sesuatu hasil. (Kamus Dewan,2002:348). Oleh itu tercetusnya
fenomena bahasa tidak sopan di kalangan masyarakat Malaysia pada masa kini
disebabkan oleh beberapa faktor.
Faktor-faktor ini juga boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan
faktor luaran.
2.1 Faktor
Dalaman.
Faktor dalaman adalah merupakan yang faktor
terbit daripada individu itu sendiri iaitu seperti pengaruh dan didikan
keluarga serta emosi dan sikap.
2.1.1 Pengaruh dan Didikan Keluarga
Kebanyakan ibubapa masa kini bekerja sepenuh
masa. Lantaran kesibukan dan kesuntukan masa, maka hak penjagaan dan didikan anak-anak
kurang dititikberatkan sebaliknya ada yang menyerahkan sepenuh tanggungjawab
ini kepada penjaga anak-anak mereka seperti pembantu rumah atau pengasuh. Lebih
menyedihkan kerana terlalu mengejar kebendaan dan mementingkan kerjaya ada
pihak yang sanggup meninggalkan anak-anak mereka kepada ibu bapa yang telah tua
di kampung. Sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat inilah yang menjadi
punca kewujudan sifat-sifat negatif dalam diri anak-anak. Anak-anak umpama kain putih yang suci dan
bersih. Ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan kain itu agar menjadi
corak yang cantik dan sempurna. Begitulah juga dengan jiwa anak-anak yang
lembut dan halus. Mereka mudah untuk dibentuk dan tersentuh. Sikap tidak peduli dan tidak bertanggungjawab
ibu bapa ini akan menyebabkan sesebuah keluarga itu kurang kemesraan dan kasih
sayang. Oleh itu anak-anak akan
menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka kepada ibu bapa dengan melakukan
perkara yang tidak sepatutnya. Mereka
memprotes dengan cara bersikap kurang ajar dan mengeluarkan kata-kata yang
kesat dan kasar apabila bercakap. Tambah menyedihkan jika anak-anak dijaga oleh
pembantu atau pengasuh yang berpewatakan kasar atau kurang sopan serta sering
menggunakan kata-kata yang kurang sopan.
Anak-anak ini akan terikut-ikut dan turut mengamalkan gejala yang tidak
baik ini.
Selain itu faktor keluarga yang bermasalah juga
akan menjadi punca wujudnya fenomena ini.
Ada keluarga atau ibubapa yang sering bergaduh dan mengeluarkan
kata-kata kurang sopan di hadapan anak-anak.
Oleh itu anak-anak akan menganggap perbuatan itu adalah betul dan
menjadi ikutan. Ini adalah kerana mereka
sering didedahkan dengan perbuatan dan penggunaan bahasa yang kurang sopan
tanpa ada yang menegahnya. Selain itu,sikap
dan perangai ibu bapa yang sering bercakap dengan nada yang kuat atau
terjerit-jerit serta penggunaan bahasa yang kasar seperti
‘hoi’,’aku’,’kau’,’bodoh’ dan sebagainya akan turut mempengaruhi sikap
anak-anak. Mereka akan menggunakan bahasa
yang sama apabila berinteraksi dengan orang lain.
2.1.2 Sikap dan Emosi
Faktor seterusnya ialah sikap dan emosi penutur
itu sendiri turut menjadi punca kepada fenomena bahasa kurang sopan ini. Contohnya sikap suka menunjuk-nunjuk akan
kehebatan diri dan ego akan menimbulkan rasa sombong dan angkuh dalam diri individu. Apabila ini berlaku, individu tersebut lebih
cenderung untuk menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat apabila berinteraksi
dengan orang lain. Sikap hormat
–menghormati dan beradab sopan dengan orang lain akan turut terhakis dari dalam
diri individu tersebut.
Seseorang yang mempunyai emosi yang tidak stabil,
jiwa yang resah, kusut dan tidak terkawal juga akan cenderung mengeluarkan
kata-kata yang tidak sopan terhadap orang lain.
Ini mungkin disebabkan oleh perasaan rendah diri atau marah akibat
dihina atau dimarah. Justeru itu, mereka cuba untuk melepaskan perasaan marah
dan tidak puas hati yang terpendam dengan melafazkan kata-kata kasar, kesat dan
sebagainya tanpa memikirkan kesan daripada kata-kata tersebut boleh menyinggung
perasaan orang lain.
2.2 Faktor
Luaran
Faktor luaran yang mempengaruhi penggunaan bahasa
tidak sopan ini ialah seperti pengaruh rakan sebaya, persekitaran, media massa
dan politik negara.
2.2.1 Pengaruh Rakan Sebaya.
Rakan sebaya merupakan orang yang paling hampir
dengan kita selain ibu bapa dan kaum keluarga.
Remaja yang terdedah dengan kehidupan yang terlampau bebas akan
menjadikan rakan sebaya mereka sebagai individu yang penting dalam hidup
mereka. Pergaulan yang bebas dengan
rakan sebaya yang bermasalah akan menyebabkan mereka akan turut terpengaruh
dengan gejala yang kurang baik.
Kebiasaannya golongan ini akan menggunakan kata-kata yang kasar dan
kesat apabila berkomunikasi sesama mereka.
Lebih membimbangkan apabila ada di kalangan remaja tidak segan silu
menggunakan bahasa –bahasa lucah apabila bercakap. Justeru apabila perbuatan
sering menjadi amalan mereka akan turut menggunakan bahasa-bahasa yang kurang
sopan seperti ini apabila berkomunikasi dengan kaum keluarga atau orang yang
lebih tua daripada mereka. Sekiranya
tingkah laku ini tidak dibendung pastinya akan menjadi teladan dan ikutan
golongan anak-anak kecil ataupun adik-beradik mereka pula.
2.2.2 Pengaruh persekitaran.
Persekitaran bermaksud apa yang ada di sekeliling
kita. Pengaruh persekitaran biasanya
disumbangkan oleh masyarakat dan kehidupan sosial yang berlaku dalam sesuatu
komuniti itu. Komuniti bermaksud kumpulan orang atau masyarakat yang tinggal di
suatu daerah atau negara dan mempunyai sifat-sifat atau kecenderungan dan kepentingan
yang sama. Masyarakat kita terdiri
daripada berbilang bangsa dan agama.
Begitu juga dengan bahasa Melayu
yang terdiri daripada pelbagai variasi bahasa. Variasi bermaksud kepelbagaian
bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan
tatabahasa. Variasi bahasa wujud disebabkan perbezaan dari konteks sosial dan
budaya penutur sesuatu bahasa itu.
Menurut Asmah Omar (1991:36), variasi bahasa boleh dilihat daripada
pelbagai sudut iaitu berdasarkan kawasan, situasi sosial dan tema.
Dialek merupakan satu contoh variasi bahasa. Dialek
merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan mengikut sesuatu daerah atau kelas
sosial. (Abdullah Yusuf. 2010). Seseorang
penutur bahasa akan menggunakan dialek mengikut daerah asal atau tempat
tinggalnya untuk berkomunikasi. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan berlaku
apabila penutur dialek dari daerah yang berlainan saling berkomunikasi
menggunakan dialek daerah sendiri.
Akibatnya wujud ketidakfahaman dan salah faham terhadap makna yang ingin
disampaikan. Contohnya bagi dialek Kedah
penggunaan kata gantinama ‘aku’,’hang’,’hangpa’ menunjukkan panggilan yang
mesra dan hubungan yang rapat. Akan
tetapi bagi penutur dialek dari negeri seperti Selangor dan Johor menganggapnya
sebagai satu perkataan atau panggilan yang agak kasar dan kurang sopan. Begitu juga ungkapan perkataan ‘celaka’ yang
dianggap kesat dan keterlaluan bagi penutur negeri lain, tetapi dianggap
sebagai satu ungkapan yang biasa di kalangan masyarakat negeri Melaka.
Selain itu, bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa basahan dan bahasa
kasar juga merupakan variasi bahasa. Bahasa-bahasa ini juga dikenali sebagai
bahasa kolokial. Bahasa kolokial ialah bahasa percakapan sehari-hari oleh
masyarakat yang tinggal di daerah tertentu. Menurut Mansoer Pateda (1994), yang
dipetik daripada Abdullah Yusuf (2010) mengatakan bahawa bahasa kolokial juga
mengandungi kata-kata yang kurang enak di dengar sehari-hari di daerah
tertentu. Penggunaan bahasa pasar seperti ‘lu’,’gua’, bahasa slanga seperti
‘brader’,’bro’,’beb’dan bahasa kasar seperti ‘baik punya’,’banyak cantik’ dan
sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dalam pertuturan golongan remaja masa
kini. Semua ini merupakan ciri-ciri pengucapan bahasa yang tidak sopan.
Di samping itu kemajuan sesebuah masyarakat juga
turut menyumbang kepada perkembangan penggunaan bahasa tidak sopan di kalangan
masyarakat. Ini adalah kerana semakin maju sesebuah masyarakat maka
perkembangan bahasanya juga akan berlaku. Contohnya bagi masyarakat bandar yang
terdedah dengan arus kemodenan dan teknologi yang serba canggih, maka proses
perkembangan bahasa berlaku dengan pantas.
Justeru itu unsur-unsur asing yang kurang baik juga turut terserap
dengan cepat seperti penggunaan bahasa rojak di alam siber. Hal ini berlaku apabila seseorang individu
yang tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi ingin terus menggunakannya. Akibatnya berlaku percampuran bahasa Melayu
dan Inggeris yang digelar bahasa rojak.
Contoh bahasa rojak yang biasa digunakan ialah seperti ‘kau memang terror
la’, ‘tempat ni best la’,’class la kau’ dan sebagainya. Penggunaan bahasa ini
semakin meluas dan terutamanya bagi golongan remaja di bandar. Situasi ini dibimbangi lama kelamaan akan
menghakis nilai-nilai kesantunan dan budaya bahasa Melayu sekiranya
langkah-langkah untuk membendung gejala ini tidak dilaksanakan dengan segera.
2.2.3 Pengaruh Media Massa.
Media
merupakan satu wadah penting yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta
tingkah laku sesebuah masyarakat.
Perkembangan industri media kini sejajar dengan arus kemodenan dan
kemajuan teknologi yang semakin canggih. Media merupakan sumber penyampai
maklumat bagi memperolehi pengetahuan dan hiburan. Selain itu, media massa juga merupakan
penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial anak-anak
muda masa kini. Jenis-jenis media ialah
seperti saluran televisyen, internet, radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan
sebagainya.
Malaysia kini
telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan
mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula berlumba-lumba menyiarkan
berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik perhatian para penonton. Persaingan ini lebih mengutamakan keuntungan
tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Hasilnya terdapat
tayangan-tayangan yang melampaui batas-batas susila budaya rakyat Malaysia
dan memberi pengaruh negatif terhadap golongan remaja dan bawah umur yang
menonton. Penggunaan bahasa tidak sopan
juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak stesen
televisyen. Contohnya seperti rancangan
“Lu Pikir La Sendiri’ yang dikelolakan oleh pelawak muda tanah air iaitu Nabil
mempunyai pengaruh bahasa tidak sopan yang amat ketara. Tajuk rancangan itu sendiri telah menunjukkan
penggunaan bahasa yang tidak sopan. Lebih
menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama
golongan anak-anak sekolah.
Di samping itu,
filem-filem seperti KL Gengster, Kongsi, KL Drift dan beberapa lagi banyak
menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan.
Contohnya perkataan seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’,’beb’ sering
diulang-ulang di dalam dialog sehingga naik jelak mendengarnya. Namun begitu, ungkapan-ungkapan inilah yang
sering ditiru dan menjadi ikutan oleh para remaja apabila berinteraksi sesama mereka.
Ledakan
teknologi maklumat yang semakin canggih dan maju turut meningkatkan sistem
perhubungan dan telekomunikasi negara.
Sememangnya kemajuan ini amat baik dan dinanti-nantikan oleh semua
orang. Seperti yang sering diwar-warkan
pada masa kini semua urusan hanya di hujung jari. Penggunaan internet dan kemudahan telefon
bimbit memberi pelbagai kemudahan kepada kita.
Namun begitu, kecanggihan sistem teknologi maklumat dan telekomunikasi
ini juga turut memudahkan orang ramai khasnya golongan muda-mudi kini
mencemarkan bahasa kita tanpa disedari.
Penggunaan bahasa yang tidak sopan sering kali menghiasi ruangan-ruangan
laman sembang di internet dan untuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)
menerusi telefon bimbit. Contohnya
penggunaan perkataan seperti ‘syok giler’,’aweks’,’beb’ ‘siot’ dan
sebagainya. Fenomena ini dilihat semakin
hari semakin menular bagaikan wabak.
Sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk mengekang fenomena dari terus
merebak, pasti ianya akan menjadi virus dan mengancam nilai-nilai kesantunan
bahasa kita
3.0 Analisis
Bahasa Tidak Sopan
Bahasa
Melayu kini berhadapan dengan fenomena yang membimbangkan di mana nilai- nilai
kesantunan dalam berbahasa semakin terhakis dengan kemunculan pelbagai gejala
penggunaan bahasa yang tidak sopan di kalangan masyarakat khasnya golongan
remaja. Terdapat pelbagai contoh dan
situasi penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin berleluasa dapat kita lihat kini.
Contoh yang
pertama ialah penggunaan kata gantinama diri yang sering digunakan oleh para
remaja masa kini ketika berinteraksi sesama mereka ialah seperti
‘lu’,’gua’,’bro’ dan lain-lain lagi.
Kata gantinama diri ini dianggap tidak sopan apabila di dengar oleh
golongan yang lebih berumur. Sepatutnya
mereka perlu menggunakan kata gantinama diri seperti ‘awak’,’saya’, ‘encik’
atau ‘anda’ yang lebih sopan dan beradab.
Selain
itu, fenomena kedua yang sering berlaku ialah penggunaan bahasa rojak. Bahasa rojak menurut perspektif bahasa ia
juga dikenali sebagai penukaran kod. Ia bermaksud mencampuradukkan dua atau lebih
bahasa dalam satu percakapan atau
perbualan. (Teo Kok Seong, 1996: 41-43). Bahasa rojak atau penukaran kod ini boleh
berlaku sama ada hanya sepatah perkataan sahaja ataupun sebahagian besar
sesuatu komunikasi atau perbualan tersebut.
Bahasa rojak ini sering digunakan apabila seseorang yang tidak begitu
mahir dalam sesuatu bahasa seperti bahasa Inggeris tetapi ingin berlagak
seolah-olah mahir berbahasa Inggeris.
Akibatnya berlakulah penggunaan bahasa yang tidak sopan kerana tidak
mematuhi peraturan linguistik dalam bahasa Melayu seperti penggunaan
perkataan, susunan , ejaan da
sebagainya. Contoh penggunaan bahasa
rojak ini ialah seperti, ‘jom pegi lunch’
di mana dari segi penggunaan bahasa yang betul bermaksud ‘ Mari kita pergi
makan tengahari’. Contoh lain yang selalu kita dengar ialah seperti, ‘nanti l call you ‘, ‘tolong orderkan makanan ‘ ‘handsome giler mamat tu ‘, ‘cutenya
budak tu’, dan lain-lain lagi.
Seterusnya
fenomena bahasa kurang sopan semakin banyak dapat kita saksikan melalui
slot-slot rancangan televisyen, drama, filem dan seumpamanya. Penggunaan kata-kata kesat, kasar dan
berunsur lucah disiarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan dan
akibat kepada penonton. Golongan remaja
dan kanak-kanak antara golongan yang paling ramai menonton dan amat terpengaruh
dengan gejala seperti ini. Penggunaan
perkataan seperti ‘bangsat’, ‘bahlul’,’bodoh’,’mampus’, seperti yang terdapat
dalam dialog-dialog filem atau drama sesungguhnya amat kesat di dengar apatah
lagi bila diucapkan berkali-kali. Selain
itu, ungkapan-ungkapan seperti ‘wa kena
beb’, ‘lu pikir la sendiri’, ‘tau tak pe’ seperti yang terdapat menerusi slot
televisyen yang agak popular dewasa ini juga merupakan satu lagi situasi
penggunaan bahasa yang kurang sopan. Namun begitu perkataan-perkataan inilah
yang sering menjadi ikutan para remaja dan anak-anak sekolah .
Penggunaan
bahasa kurang sopan juga terjadi apabila emosi dikuasai oleh perasaan ego,
angkuh, sombong, marah, terhina dan sebagainya.
Penggunaan kata-kata kesat dan kasar bertujuan untuk mengejek, memaki
hamun, mencaci, mencarut kerana untuk
melepaskan perasaan marah , dendam, sakit hati dan sebagainya. Contoh kata-kata
kesat ialah seperti ‘babi’,’celaka’.’gila’ dan lain-lain lagi. Walau apapun
alasannya, sikap yang sebegini sebenarnya menunjukkan keperibadian si
penutur yang tidak baik dan menampilkan imej diri yang negatif bagi orang yang
mendengarnya. Fenomena ini dibimbangi
akan menjadi ikutan anak-anak kecil dan golongan remaja sekiranya tidak
dibendung.
4.0 Cadangan
Langkah Mengatasi
4.1 Peranan
Ibu bapa
Pepatah
melayu ada menyatakan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ini bermakna mendidik anak-anak perlulah dari
kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah yang
berperanan untuk mewarnainya. Ibu bapa
merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Bagi menangani fenomema masalah penggunaan
bahasa tidak sopan ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik
dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara berkomunikasi dengan menggunakan
bahasa yang sopan dan teratur Ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan
anak-anak mereka. Mereka juga perlu
memantau aktiviti dan cara pergaulan anak-anak mereka. Sekiranya terdapat ciri-ciri negatif dan
penggunaan bahasa yang kurang sopan di kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah
berusaha menegah agar hal itu tidak berterusan.
Teguran dan nasihat hendaklah sentiasa diberikan supaya anak-anak dapat
membezakan tentang bahasa yang sopan dengan bahasa yang tidak sopan . Ibu bapa juga perlu menggunakan bahasa yang
baik dan sopan apabila berkomunikasi dengan anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak akan merasa lebih
disayangi dan dihargai. Ahli keluarga lain mesti mengamalkan pertuturan yang
bersopan dan berhemah antara satu sama lain.
Ini merupakan contoh dan pengaruh yang baik terhadap anak-anak. Apabila anak-anak sentiasa didedahkan dengan
penggunaan bahasa yang baik dan sopan, mereka tidak akan mudah terpengaruh
dengan penggunaan bahasa-bahasa yang kasar dan kurang sopan.
4.2 Peranan
Media Massa
Media
massa merupakan
medium yang paling sesuai untuk memain peranan dalam menangani fenomena bahasa
tidaka sopan ini. Ini adalah kerana
media massa
merupakan ejen penyampai yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat
terkini kepada orang ramai. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh media
elektronik khasnya seperti televisyen, radio dan seumpamanya ialah dengan
menyiarkan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan
sopan. Pihak penerbit juga boleh
menyediakan rencana-rencana atau slot-slot khas yang memaparkan tentang
nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa.
Pihak penerbit juga perlu mengawal dan memastikan rancangan-rancangan
yang disiarkan mematuhi syarat-syarat penyiaran yang telah ditetapkan terutama
dalam penggunaan bahasa yang sopan dan teratur.
Selain
itu, media cetak juga perlu memainkan peranan yang serupa dalam membenteras isu
ini. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus
Dewan, akhbar-akhbar dan majalah perlu lebih aktif mengeluarkan bahan-bahan
untuk panduan dan rujukan orangramai tentang tatacara
penggunaan bahasa yang sopan
4.3 Peranan Kerajaan
Kerajaan
merupakan jentera paling penting dalam sesebuah negara. Dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan
ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini. Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk
meningkatkan kesedaran orangramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu
yang baik dan betul. Pihak Kementerian
Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan telah pun melancarkan “Bulan
Bahasa Kebangsaan” pada setiap tahun.
Selain
itu, Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga telah
melancarkan kempen “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” di media-media cetak
dan elektronik yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang
amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Pihak
kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang
bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen
bagi memastikan rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati
syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-nilai budaya dan kesantunan
bahasa Melayu. Contoh yang sedia ada
ialah FINAS (Lembaga Penapisan Filem Negara) yang berperanan menapis
filem-filem yang ingin ditayangkan di negara ini agar menepati syarat wajib
tayang yang telah ditetapkan.
Pihak
kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengadakan satu akta
tentang penggunaan bahasa tidak sopan di khalayak umum. Melalui akta tersebut, individu yang
mengeluarkan atau mengucapkan kata-kata yang tidak sopan di khalayak umum boleh
di denda dan dikenakan hukuman. Ini
bertujuan untuk membenteras penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin berleluasa dan sukar di bendung.
4.4 Peranan
Guru
Peranan
guru adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari emosi, jasmani, fizikal
dan rohani. Justeru dalam usaha
membendung gejala penggunaan bahasa tidak sopan ini, peranan guru khasnya guru
bahasa Melayu perlu memberi penekanan dalam aspek kemahiran lisan dalam
kemahiran berbahasa. Penekanan harus
diberikan tentang aspek-aspek pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan
tersusun. Penerapan nilai-nilai murni
juga perlu diberi penekanan yang sewajarnya.
Pembentukan moral dan sahsiah yang baik juga perlu ditekankan melalui
pengajaran Pendidikan Agama lslam dan Moral.
Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi dan
berakhlak mulia.
5.0 Kesimpulan.
Bahasa
merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa
bahasa , manusia adalah bisu dan hanya boleh berinteraksi melalui bahasa
isyarat atau bahasa badan. Bahasa juga
melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara. Bahasa Melayu merupakan
bahasa kebangsaan negara kita. Berbagai-bagai
usaha telah dijalankan bagi menjamin kedaulatan serta memartabatkan bahasa
Melayu di persada dunia. Namun begitu,
kita juga tidak terlepas daripada menghadapi rintangan dalam mengekalkan
usaha-usaha tersebut. Antara rintangan
tersebut ialah penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin menular umpama satu wabak yang amat merbahaya.
Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan merupakan satu gejala alaf baru yang
bakal menggugat kedaulatan bangsa dan menghakis nilai-nilai kasantunan bahasa
Melayu sekiranya tidak di bendung dengan sewajarnya.
Justeru,
pelbagai langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada terus
merebak dan berleluasa. Usaha pelbagai pihak daripada semua peringkat
masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan dicapai. Kesedaran di kalangan masyarakat tentang
kepentingan bahasa yang sopan perlulah dipertingkatkan. Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai
dan betul akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu
maksud semasa kita berkomunikasi dengan orang lain. Memahami apa yang disampaikan menjadikan
individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan gembira. Ini menandakan
bahawa proses komunikasi itu berjaya Kemakmuran
dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang memartabatkan
kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam budaya kehidupan yang dilalui.
Rujukan :
Abdullah Yusuf. 2010. HBML3403.
Linguistik dan Sosiolinguistik. Selangor Darul Ehsan: Meteor Doc.Sdn.Bhd.
Asmah Hj.
Omar. 2002. Setia
dan Santun Bahasa. Tanjung
Malim: Penerbitan Universiti Perguruan
Sultan Idris.
Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 2002. Kuala
Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teo
Kok Seong. 1996. ”Penukaran Kod dan
Bahasa: Satu Fenomena Kedwibahasaan”.Pelita Bahasa.Halaman 41-43.
Zaidi Ismail. 2005. Pelita
Bahasa. Kuala Lumpur.
Dicapai daripada laman web pada 21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada 21 Oktober 2011:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm
Dicapai daripada laman web pada 21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada 21 Oktober 2011:
Dicapai daripada laman web pada 21 Oktober 2011:
kenapa keburukan ja bnyak? buat lah kebaikan sekali supaya kami senang cari
ReplyDeleteterimaaa kasihhhhh banyak membantu saya untuk buat karangan bahasa melayu (^~^)
ReplyDelete