Saturday 26 April 2014

Kokurikulum



1.0       Pengenalan
Aktiviti kokurikulum sebenarnya telah lama diperkenal dan dilaksanakan dalam sistem pendidikan di negara ini, iaitu sejak zaman penjajahan British lagi.  Antaranya ialah penubuhan pasukan pengakap yang pertama di Malaysia mengambil tempat di Singapura pada tahun 1909.  Aktiviti gerakerja kokurikulum ini diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang terkandung dalam surat arahan School Course of Studies Regulation 1956 dan Pindaan tahun 1961 (Akta Pendidikan 1961, No.552.)  Aktiviti ini dikenali dengan nama Kegiatan Kumpulan. (Ab. Alim, 2004).  Sekarang ini aktiviti kokurikulum telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, yakni sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan yang wajib dilaksanakan di sekolah-sekolah.  Untuk itu, aktiviti kokurikulum perlulah dirancang, diurus dan dilaksanakan secara sistematik, cekap dan berkesan seperti mana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.


2.0       Definisi Kokurikulum
Kegiatan atau gerakerja kokurikulum merupakan aktiviti pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah berasas dan lanjutan sesi persekolahan. (Mok Soon Sang, 2011).  Selain itu kokurikulum juga boleh diertikan sebagai apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah. (Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum

Kebangsaan), 1997).  Sementara Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002)  pula mendefinisikan kokurikulum sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah .  Menurut Md. Aris Mansor dalam Ab. Alim Abd. Rahim (2004), aktiviti kokurikulum merupakan satu bidang pembelajaran yang berasaskan kepelbagaian gerakerja terancang dan perlu dilakukan dalam masa persekolahan.  Menurut Ee Ah Meng (1995) pula, kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja tersusun dan terancang.  Menurutnya lagi, gerak kerja ini adalah lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah yang dijalankan melalui pertubuhan pakaian seragam, persatuan atau kelab dan kelab permainan atau sukan.

3.0       Matlamat Aktiviti Kokurikulum
Pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah-sekolah antara lain mempunyai beberapa matalamat.  Antaranya ialah untuk memperkembangkan intelek, sosial, jasmani dan rohani murid secara optimum.  Selain itu aktiviti kokurikulum yang dijalankan juga bermatlamat untuk mengukuh dan memperkaya ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam bilik darjah, serta memperluas pengalaman murid dalam bidang tertentu.  Melalui kegiatan kokurikulum juga, murid-murid diharapkan dapat mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah, dan memberi kegembiraan serta pembinaan kesihatan dan kesejahteraan kendirinya.
Melalui gerak kerja kokurikulum juga, diharap dapat memperkembang dan meningkatkan kemahiran-kemahiran asas dalam sesuatu permainan, sukan, unit

beruniform, dan aktiviti berpersatuan.  Selain itu aktiviti kokurikulum juga bermatlamat untuk melatih murid supaya mengejar pencapaian yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.  Disiplin murid juga dapat ditingkatkan melalui aktiviti kokurikulum melalui penyemaian dan pemupukan nilai dan sikap positif selaras dengan hasrat Rukun Negara.  Selain itu aktiviti kokurikulum juga diharap dapat membentuk iklim sekolah dengan lebih menarik dan menggembirakan murid di samping dapat mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan murid.

4.0       Objektif Kokurikulum
            Antara lain objektif aktiviti kokurikulum adalah untuk melengkapkan kurikulum sekolah, khasnya program pendidikan jasmani yang diperlukan.  Di samping itu,  ia juga mempunyai objektif untuk mempelbagaikan aktiviti kepada murid-murid mengikut kebolehan dan bakat masing-masing.  Aktiviti kokurikulum juga dapat memberi ruang kepada murid-murid untuk melepaskan tekanan perasaan setelah bertungkus-lumus di dalam bilik darjah.  Melalui aktiviti kokurikulum juga, murid-murid berpeluang untuk berinteraksi di antara satu sama lain, serta memupuk semangat toleransi dan sifat-sifat mulia dalam kalangan mereka.  Murid-murid juga dapat memupuk semangat berpasukan melalui pergaulan dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.




5.0       Aktiviti Kokurikulum di Sekolah
            Di peringkat sekolah, terdapat 3 jenis aktiviti kokurikulum iaitu Sukan dan Permainan, Persatuan dan Kelab, dan Pasukan Pakaian seragam.  Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kepimpinan murid-murid dalam bidang jasmani, sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat, di samping membentuk sahsiah dan sikap yang positif.
            Kelab dan Persatuan boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Kelab dan Persatuan yang berasaskan sesuatu mata pelajaran dan yang berunsurkan hobi.  Menurut Laporan Kabinet 1979, matlamat penubuhan sesebuah kelab / persatuan di sekolah adalah untuk menggalakkan murid-murid berkenalan sesama sendiri, memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping membolehkan murid-murid atau pelajar memperolehi kemahiran di dalam sesuatu lapangan atau hobi. Kelab dan Persatuan berasaskan mata pelajaran bertujuan menambahkan minat dan kemahiran murid-murid dalam mata pelajaran itu.  Contoh  persatuan-persatuan dalam kategori ini ialah Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Persatuan Sejarah dan sebagainya.  Manakala Persatuan dan kelab yang berunsur hobi pula bertujuan menarik minat dan memberi ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang atau hobi yang tertentu.  Contoh persatuan dan kelab tersebut ialah Kelab Senifoto, Kelab dan Persatuan Pertahanan Diri seperti silat dan taekwondo, Kelab muzik dan kebudayaan, dan lain-lain lagi.  .
            Di dalam Laporan Kabinet 1979, adalah dicadangkan agar semua murid sekolah digalakkan mengambil bahagian sekurang-kurangnya salah satu pasukan pakaian


seragam. (Mok Soon Sang, 2011). Antara pasukan pakaian seragam yang boleh dianggotai oleh murid-murid sekolah ialah sama ada yang berbentuk badan sukarela (NGO) atau pun yang lebih terarah kepada pertubuhan kerajaan.  Antara pertubuhan yang berbentuk badan sukarela atau bukan kerajaan (NGO) ialah Pertubuhan Pengakap, Pertubuhan Puteri Islam, Pandu Puteri, Pertubuhan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulans dan lain-lain.  Sementara pasukan pakaian seragam yang menjurus kepada pertubuhan kerajaan ialah kadet polis, kadet bersatu Malaysia, kadet bomba,  dan lain-lain.  Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri menubuhkan dua unit pakaian seragam di bawah kementeriannya iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bagi sekolah rendah manakala Kadet Remaja Sekolah (KRS) pula adalah untuk sekolah menengah.
            Sukan dan permainan merupakan satu saluran penting untuk menanam semangat kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan dalam kalangan murid-murid di negara kita.  Maka dengan sebab itulah diwujudkan kelab-kelab permainan di peringkat sekolah dan dilakasanakan pada waktu aktiviti kokurikulum.  Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 16, Tahun 2010:  Pelaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M1S), setiap murid wajib mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam satu jenis permainan atau sukan.  Dasar 1M1S menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.  Oleh itu itu, melalui dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.  Ia juga selaras dengan dasar sukan negara untuk membudayakan sukan di kalangam masyarakat.  Antara bidang sukan  dan

permainan yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah  ialah bola sepak, bola jaraing, olahraga, bola tampar, sepak takraw dan lain-lain lagi.

6.0       Strategi Pelaksanaan Aktiviti Kokurikulum Untuk Menggalakkan Penyertaan Pelajar Dalam Aktiviti Kokurikulum
            Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapati aktiviti kokurikulum sememangnya telah dilaksanakan di semua sekolah seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Walau bagaimanapun, terdapat aktiviti-aktiviti yang dilakasanakan oleh guru-guru hanya sekadar memenuhi arahan dan keperluan pentadbiran sekolah sahaja.  Kebanyakan aktiviti yang dijalankan tiada perancangan, pelaksanaan, pemantauan, dan penilaian yang benar-benar berkesan.  Justeru, pihak sekolah didapati gagal untuk melahirkan modal insan seperti yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Oleh itu pelbagai strategi perlu diberi penekanan agar aktiviti kokurikulum tidak lagi dianggap sebagai aktiviti sampingan yang memenuhi masa senggang semata-mata.  Antara strategi yang dapat dijalankan adalah seperti berikut:

6.1  Mengubah tanggapan negatif semua pihak terhadap bidang kokurikulum
            Pelbagai pihak perlu didedahkan tentang kepentingan aktiviti kokurikulum daripada aspek pembangunan kemanusiaan yang menyeluruh dan tidak lagi menganggap kokurikulum ini sebagai aktiviti di luar bilik darjah semata-mata. 


Pengetua atau guru besar  bertanggungjawab memberi kesedaran dan keyakinan kepada semua pihak (murid, guru, ibu bapa, dan masyarakat setempat) tentang kepentingan kokurikulum masa kini.  Pihak pentadbir seharusnya menghapuskan segala salah faham tentang peranan kokurikulum seabagai kegiatan sampingan semata-mata, sebaliknya warga sekolah perlu diperjelaskan bahawa aktiviti kokurikulum adalah sesuatu yang penting dan mampu membawa pembangunan kemanusiaan secara menyeluruh.  Bidang kokurikulum kini perlu dianggap penting sebagai suatu disiplin pendidikan yang memberi sumbangan secara langsung kepada proses pembangunan kemanusiaan.  ( Ramlan Abdul Wahab, 2004 ).  Melalui aktiviti kokurikulum, pelbagai kemahiran dapat diperolehi oleh murid-murid dan para pelajar yang membolehkan mereka menceburi bidang-bidang kerjaya yang diminati sama ada melalui bidang unit beruniform, bidang sukan dan permainan mahu pun bidang kelab dan persatuan.  Kegiatan ini juga dapat menjadi landasan kepada kerjaya para pelajar apabila dewasa dan boleh menjadi aset negara jika kita dapat melahirkan insan yang berkualiti.

6.2       Mempelbagaikan kelab /  persatuan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum
            Strategi ini penting agar murid-murid dan para pelajar dapat memilih kelab / persatuan yang mereka minati.  Kelab / persatuan yang terhad akan menyebabkan para pelajar dan murid-murid tidak dapat memilih aktiviti yang mereka minati dan seterusnya menimbulkan rasa bosan di kalangan mereka kerana terpaksa mengikuti aktiviti kerana terpaksa.  Mempelbagaikan kelab / persatuan hendaklah disertai dengan aktiviti yang berbagai-bagai.  Para guru penasihat seharusnya mewujudkan aktiviti-aktiviti yang

menjurus kepada elemen-elemen pembangunan kemanusiaan.  Walau bagaimanapun, penubuhan kelab yang pelbagai haruslah mengambilkira jumlah keseluruhan murid dan juga guru.

6.3.      Memastikan kemeriahan dalam setiap aktiviti
            Sesungguhnya suasana yang meriah akan menjadi penarik kepada murid-murid dan para pelajar untuk mengikuti aktiviti kokurikulum.  Suasana yang meriah akan menjadi perangsang kepada para pelajar untuk bersungguh-sungguh bagi mempertingkatkan prestasi diri.  Pelbagai cara dapat dilakukan untuk mewujudkan kemeriahan ketika menjalankan aktiviti kokurikulum.  Salah satu cara untuk menjadikan aktiviti kokurikulum mendapat tarikan para pelajar ialah dengan menganjurkan pelbagai pertandingan.  Pertandingan-pertandingan tersebut boleh dijalankan melalui unit beruniform, kelab / persatuan, dan juga melalui kelab permainan.  Melalui pertandingan yang dianjurkan ini kita akan mendapati para pelajar akan dapat bersaing sesama mereka
dan di sinilah kita dapat terapkan elemen-elemen perpaduan, kerjasama, kepimpinan dan sebagainya.
            Selain itu pihak sekolah juga wajarlah mengiktiraf para pelajar melalui acara penganugerahan seperti majlis kecemerlangan kokurikulum atau pun memperuntukan hadiah kokurikulum melalui Hari Anugerah Cemerlang.  Pengiktirafan yang diberi ini akan menyebabkan para pelajar bersungguh-sungguh ketika menjalani aktiviti kokurikulum.

           
Di samping itu, pihak sekolah juga wajarlah menimbulkan kemeriahan melalui program-program seperti sukan tahaunan, hari kokurikulum, dan lain-lain lagi.  Melalui program ini guru-guru dan murid-murid haruslah bersungguh-sungguh memainkan peranan agar program ini tidak seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru juga boleh membantu untuk menjayakan aktiviti kokurikulum tersebut.

6.4       Menjalankan aktiviti sepanjang tahun
            Dalam usaha memastikan program kokurikulum dapat dijalankan sepanjang tahun, maka pihak sekolah perlu terlebih dahulu merancang pada awal tahun terutamanya menghasilkan takwim lebih awal.  Ini akan dapat memberi peluang kepada guru-guru penasihat merangka program mereka sendiri sepanjang tahun.  Selain itu pihak sekolah haruslah memastikan ketiga-tiga bidang iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan dan sukan permainan dapat dijalankan sepanjang tahun dan tidak tertumpu hanya kepada satu bidang sahaja.  Kini dasar 1M1S yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran menampakkan usaha ke arah itu apabila penggunaan padang harus digunakan semaksimum mungkin dalam setahun.  Sekiranya aktiviti-aktiviti dapat dirancang dengan baik sepanjang tahun, maka para pelajar akan berminat untuk hadir menjalankan aktiviti kokurikulum.




6.5       Aktiviti kokurikulum diambil kira sebagai markah ke IPTA  dan Asrama Penuh
            Ramai di kalangan masyarakat beranggapan bahawa pencapaian akademik sangat penting sehingga mengabaikan peranan kokurikulum.  Ada juga ibu bapa yang melarang anak-anak mereka menceburi kokurikulum dengan alasan bimbang prestasi akademik merudum.  Oleh itu, bagi memastikan ibu bapa dan masyarakat membuang tanggapan tersebut, maka pihak kerajaan telah mewajibkan 10 peratus markah dikira untuk memasuki Universiti.  Pihak kerajaan juga sepatutnya memberi penekanan markah kokurikulum di peringkat sekolah rendah terutama ketika memohon untuk melanjutkan pelajaran ke asrama penuh.  Jika ini dilakukan, maka ibu bapa akan menggalakkan anak-anak mereka untuk menceburi aktiviti kokurikulum dengan lebih aktif.

6.6       Pemantauan berterusan oleh pihak pentabir
            Bagi menggalakkan aktiviti kokurikulum mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar, maka pemantauan yang berkesan patut dijalankan di peringkat sekolah.  Para pentadbir boleh membuat pemantauan bukan sahaja terhadap para pelajar, malah juga kepada guru-guru penasihat.  Pihak pentadbir diharap dapat mencari satu cara untuk menggalakkan kehadiran para pelajar sekiranya didapati kehadiran kurang menggalakkan.  Pemantauan yang dijalankan juga menggambarkan keperihatinan pihak sekolah dalam usaha menggalakkan penyertaan murid untuk menghadiri aktiviti kokurikulum.


6.7       Memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat
            Ibu bapa dan masyarakat luar juga boleh memainkan peranan penting untuk menggalakkan  para pelajar menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah.  Namun, terdapat di kalangan ibu bapa dan masyarakat yang masih menganggap kegiatan kokurikulum sebagai membuang masa, menambah perbelanjaan keluarga dan ada juga yang menganggap kegiatan kokurikulum tidak penting.  Sepatutnya ibu bapa dan masyarakat terutama melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru harus memberi galakan kepada para pelajar menyertai aktiviti kokurikulum.   Ibu bapa dan masyarakat perlu memberi nasihat kepada anak-anak mereka bahawa dalam usaha membentuk masyarakat pelajar yang mempunyai perwatakan peribadi yang tinggi, kokurikulum memainkan peranan yang penting untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri manusia yang berakhlak tinggi.
            Selain itu, ibu bapa serta masyarakat perlu mewujudkan kerjasama yang baik dengan pihak sekolah dan bersama-sama memberi dorongan kepada anak-anak untuk menceburi aktiviti kokurikulum.  Mereka sepatutnya membantu pihak sekolah memberi dorongan kepada para pelajar dalam aktiviti pembangunan pelajar sama ada dalam bentuk wang ringgit mahu pun kemudahan-kemudahan lain untuk aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.





7.0       Penutup

Kokurikulum di sekolah telah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia ketika ini. Ianya telah menjadi satu kegiatan yang diwajibkan kepada setiap pelajar di semua sekolah menengah dan sekolah rendah. Aktiviti kokurikulum dianggap penting sebagai alat untuk memenuhi hasrat unggul dasar pendidikan kebangsaan, iaitu perpaduan di kalangan pelajar-pelajar yang terdiri dari berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) telah menyatakan bahawa semua pelajar hendaklah digalakkan supaya mengambil bahagian yang lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum. Setiap pelajar perlu menyertai satu badan beruniform, satu sukan atau permainan dan satu kelab atau persatuan di sekolah.
Pengelolaan kokurikulum secara teratur dan sistematik akan membawa keberkesanan dalam mencapai tujuan dan matlamat bagi memenuhi aspirasi pendidikan negara dan secara tidak langsung ia akan mendorong minat  pelajar menyertai bidang ko kurikulum. Penglibatan pelajar secara menyeluruh dan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan membolehkan pelajar menimba pengalaman. Ini   mendorong mereka menghadapi dunia sebenar apabila mereka bergaul dengan masyarakat.
  
Rujukan

Ab. Halim Abdul Rahim. 2004. Kursus perguruan lepas ijazah:  pengurusan gerak kerja kokurikulum.  Kuala Lumpur :   Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ee Ah Meng.  1995.  Pendidikan sebagai suatu proses asas pendidikan 1.  Kuala Lumpur:  Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Kamus Dewan. (Edisi Ketiga).  2002.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007). Buku panduan pengurusan gerakerja kokurikulum sekolah menengah, Bhg. Sekolah-sekolah. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mok Soon Sang.  2011.  Pengurusan kokurikulum.  Selangor Darul Ehsan:  Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. 

Ramlan Abdul Wahab.  2004.  Panduan pengurusan kokurikulum di sekolah. Kuala Lumpur:  Banter   Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007). Buku panduan pengurusan gerakerja kokurikulum sekolah menengah, Bhg. Sekolah-sekolah. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

No comments:

Post a Comment