1.0 Pengenalan
Nilai murni
sewajarnya menjadi asas pembinaan dan pembangunan manusia. Maka dengan itu setiap masyarakat perlulah
mempertahankan nilai murni atau nilai baik supaya dapat membendung segala
bentuk kejahilan, kemungkaran, kejahatan , dan juga kemusnahan. Nilai murni dan nilai baik perlu dijadikan
teras yang diterapkan dalam kurikulum dan juga dalam segala bentuk pendidikan
sama ada secara formal mahupun secara tidak formal di sekolah. Sememangnya sekolah menjadi institusi
pendidikan yang penting dalam usaha menyemai dan mengukuhkan pemupukan
nilai-nilai murni agar dapat melahirkan warganegara yang bertanggungjawab serta
dapat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan seharian
mereka. Nilai murni sesungguhnya
merupakan tonggak nilai kemanusiaan yang mampu membentuk pembinaan sahsiah
serta kekuatan peribadi, moral, sosial, dan rohani.
Kementerian Pelajaran sendiri
menyedari betapa pentingnya pemupukan nilai murni bermula di sekolah dan
memberi penekanan secara menyeluruh terhadap semua mata pelajaran yang dikenali
sebagai ‘nilai merentas kurikulum’.
Antara objektif penerapan nilai murni melalui pendidikan termasuklah
menanamkan kesedaran, kefahaman, keyakinan diri dan kesyukuran, menanamkan semangat
cinta akan nilai suci serta menghormati kebaikan dan membenci kejahatan. Selain itu pemupukan nilai murni juga diharap
dapat embentuk sikap positif yang berguna kepada agama dan bangsa,
bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta dapat menghapuskan sikap
negative dalam kehidupan.
2.0 Definisi
nilai
Nilai murni dapat ditakrifkan
sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam
hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan.
Menurut Scott dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad
Fuad Mat Hassan (2011), nilai merupakan
sesuatu konsep bagi individu atau kelompok tentang perhubungan unggul yang
digunakan untuk menilai sesuatu kebaikan atau keburukan, dan sesuatu kebenaran
atau kesalahan. Manakala Rokeach dalam
Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011), pula berpendapat
bahawa nilai merupakan suatu kepercayaan seseorang atau kelompok tentang rupa
atau sesuatu matlamat yang perlu dan boleh disusun mengikut kepentingan
tertentu dengan berdasarkan keutamaan bagi setiap ciri nilai itu sendiri.
Ismail Hamid (1988), pula
berpendapat nilai yang disanjung oleh sesebuah masyarakat ialah system yang
dianggap baik dan dijadikan pedoman tertinggi bagi kelakuan setiap anggota
masyarakat. Sementara Othman Puteh (1996),
pula mendefinisikan nilai sebagai unsur
yang terdapat dalam semua ajaran moral yang popular dan unsur nilai ini adalah
berdasarkan pengiktirafan bahawa individu dalam sesuatu kelompok sosial itu
saling memerlukan antara satu sama lain. Menurut Wan Mohd. Zahid (1988):
“Nilai-nilai murni merupakan tanggapan
berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi
criteria atau ukuran. Nilai-nilai murni
sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama untuk
membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.”
(Wan
Mohd. Zahid, 1988)
3.0 Nilai
murni dalam peribahasa yang dikaji
Dalam
peribahasa Melayu, aspek nilai-nilai murni merupakan tanggapan tentang
perkara-perkara baik atau positif yang dikehendaki dan pada masa yang sama
menjadi kriteria atau ukuran. Ia
bertujuan untuk membentuk dan mendidik
bangsa Melayu dengan adab susila yang baik dan wajar. Terdapat lebih kurang 17 nilai murni dalam
peribahasa Melayu yang dikaji seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Negara. Berikut adalah huraian tentang
aspek nilai-nilai murni yang terdapat dalam peribahasa Melayu.
Nilai
yang pertama ialah berdikari. Berdikari
membawa maksud keupayaan bertindak sendiri, berkeyakinan dan cekal dalam
menghadapi pelbagai dugaan. Nilai
berdikari boleh dilihat menerusi peribahasa ‘jika tidak dipecahkan ruyung, di
mana boleh mendapat sagu’. Ini bermaksud
sesuatu hajat itu tidak akan tercapai sekiranya tidak berusaha. Beberapa peribahasa lain yang mengandungi
nilai berdikari ini ialah ‘jika tak lalu dandang di air, di gurun dirangkakkan’
dan ‘ kalau ada beremas, hidup; kalau tiada, mati’.
Nilai
berhemah tinggi pula boleh didapati menerusi peribahasa ‘jika bunga tak hendak,
dipersunting, Boleh dibuat peraksi kain’,’jikalau ular menyusur akar, tiada
hilang bisanya’dan ‘ jangan memijak benang arang orang’. Nilai ini menggambarkan tentang adab susila
dan tingkah laku yang baik yang berlaku dalam masyarakat. Hemah tinggi juga merujuk kepada sifat-sifat
atau amalan yang mulia seperti sopan santun, bertimbang rasa, belas kasihan,
murah hati, ramah dan pemaaf.
Nilai
seterusnya ialah hormat. Perkataan
hormat disini merujuk kepada sifat hormat yang harus diamalkan oleh setiap
orang. Nilai hormat boleh dilihat dalam
peribahasa ‘jangan diajar orang tua makan dadih’, ‘jangan difikirkan bengkok
tebu itu bengkok pula manisnya’ dan
‘jangan tercirit di periuk’. Nilai murni ini merujuk kepada perlunya
rasa hormat terhadap perasaan, pendapat dan budaya orang lain.
Selain itu, nilai kasih sayang juga banyak
terdapat dalam peribahasa Melayu. Antara peribahasa tersebut ialah, ‘ jerat
semata bunda kandung’, jauh di mata, dekat di hati, ‘jikalau kasihkan padi,
bungkanlah rumput’ dan ‘ kalau getah meleleh, kalau daun melayang’. Nilai kasih
sayang dalam peribahasa bukan sahaja terhadap manusia, tetapi juga merangkumi
kasih sayang terhadap Tuhan, yang maha Esa, alam sekitar, harta benda dan
sebagainya. Makna kasih sayang dalam
peribahasa terlalu meluas dan agak sukar untuk tafsirkan.
Nilai murni seterusnya ialah keadilan. Nilai ini boleh di dapati dalam peribahasa ’
kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang
belangnya’, ’kalau kena tampar biarlah dengan tangan yang pakai cincin, kalau
kena tentang biarlah dengan kaki yang
pakai kasut’ dan ’ jika salah sebatang dicabut, salah serumpun
dibongkar, salah separuh dirambah’.
Nilai ini menghendaki kita haruslah adil dalam membuat sebarang tindakan. Tindakan dan pertimbangan yang diambil juga
haruslah sesuai, menyeluruh dan bersifat positif.
Nilai murni lain ialah kejujuran. Antara contoh peribahasa Melayu yang
mengandungi nilai kejujuran ialah, ’
jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai’, ’ kaki terdorong
badan merasa, lidah terdorong emas padahnya’ dan ’ jika pandai menggunting, hendaklah pandai
menjahitnya’. Nilai jujur dalam peribahasa ini bermaksud
melakukan sesuatu mengikut kemampuan diri sendiri dan tidak mendatangkan
kesusahan kepada orang lain. Kejujuran juga meliputi sikap amanah,ikhlas dan
berintegriti dalam melaksanakan sesuatu.
Sementara nilai keberanian pula boleh
dilihat dalam peribahasa ’jauh boleh ditunjukkan, dekat boleh ditakukkan,’jika
diturut hati yang geram, hilang takut timbul berani’ dan ’jikalau memelihara
ayam ; musang jangan dijinakkan, setidak-tidaknya bertempiaran kelak’. Nilai ini menunjukkan setiap tindakan yang
diambil haruslah bersemangat dan berani.
Aspek keberanian menjurus kepada berani bertindak, berani memberi
pendapat dan berani mempertahankan hak dan kewajipan.
Nilai murni bijaksana terdapat dalam
peribahasa ’ jangan menggerak ular tidur’, ’jangan menggegai sempada di bawah
batang’, ’jangan menyuruh kapak menyelam beliung’ dan ’kalau di bawah pandai
melompat, kalau di atas menyusup’. Kita
perlulah pandai membezakan baik dan
buruknya sesuatu tindakan yang dilakukakan.
Kebijaksanaan dalam sesuatu tindakan mencerminkan seseorang yang
bertanggungjawab, berhati-hati, berpandangan jauh serta memiliki pemikiran yang
kreatif dan proaktif.
Rujukan
Ismail Hamid. (1988). Masyarakat dan budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Othman Puteh. (1996). Cerpen-cerpen
Keris Mas: Satu tinjauan dari sisi nilai
nasionalisme. Dlm. Siti Aishah Murad (peny.), Konsep nilai dalam kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd. Zahid
Mohd. Nordin. (1988). Kertas kerja: Kea rah pelaksanaan nilai-nilai
Dalam
KBSM:
Falsafah pendidikan negara.
Seminar nilai-nilai murni merentas
Kurikulum dalam KBSM. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zaitul Azma Zainon Hamzah
& Ahmad Fuad Mat Hassan. (2011). Peribahasa Melayu: Penelitian
Makna & nilai. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
No comments:
Post a Comment