Sunday 4 May 2014

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU



1.0       Pengenalan

Setiap bangsa di dunia ini mempunyai bahasa pertuturan yang tersendiri. Begitu juga bagi bangsa Melayu.  Bahasa yang menjadi perantara untuk dituturkan di kalangan bangsa Melayu ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu tergolong dalam subkeluarga bahasa Melayu-Polinesia dan terletak di bawah rumpun Austronesia.  Penyebaran bahasa ini di Kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik menyebabkan Bahasa Melayu telah berkembang dan membentuk bahasa daerah masing-masing. Bahasa Melayu berada di bawah cabang keluarga Nusantara yang mempunyai kira-kira 200-300 pecahan bahasa di bawahnya. Para ahli bahasa telah membahagikan peringkat perkembangan bahasa Melayu sejak zaman awal penemuannya hingga kini kepada empat iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik dan zaman bahasa Melayu moden.  Namun begitu, bagi tujuan kajian ini pengkaji membataskan perbincangan terhadap bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden sahaja.

1.1       Zaman Bahasa Melayu Klasik
Zaman bahasa Melayu klasik bermula dari awal abad ke-14 Masihi hingga ke akhir abad ke-18 Masihi. Bahasa Melayu Klasik berada pada tahap ketiga dalam periodisasi bahasa Melayu, selepas bahasa Melayu purba dan bahasa Melayu kuno. (Awang Sariyan, 1998 ).  Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa tentang bahasa Melayu klasik.  Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), yang menyatakan bahawa  “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.
Bahasa Melayu klasik juga dikaitkan dengan kedatangan dan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara ketika itu.  Sejak itu  bahasa Melayu pada zaman ini turut mengalami pelbagai perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat, dan bentuk tulisan. Selain itu, bukti-bukti sahih yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu klasik ini ialah penemuan beberapa batu bersurat atau prasasti yang di beberapa daerah di Asia Tenggara dan Tanah Melayu menguatkan lagi fakta ini.  Antaranya ialah batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356 Masihi), batu bersurat di Minye Tujuh, Aceh (1380 Masihi) dan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu ( 1303-1387 Masihi) yang ditulis dalam tulisan Jawi. (Siti Hajar Abdul Aziz,2011) Ini menunjukkan bahawa pengaruh Islam semakin kuat sehingga bahasa Melayu turut mengalami perubahan.  Antara ciri-ciri bahasa Melayu klasik selaras dengan perubahan yang dialaminya ialah:

a)      Ayatnya panjang, meleret-leret dan berulang-ulang
b)      Banyak menggunakan ayat songsang dengan pendepanan predikat akibat pengaruh bahasa Arab dan ragam ayat pasif. (Goay Teck, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad, 2007)
c)      Banyak menggunakan gaya bahasa istana.
d)     Menggunakan kosakata klasik seperti ratna mutu manikam,(berjenis intan permata) edan kesmaran (mabuk asmara) dan masyghul ( bersedih ).
e)      Kebanyakan kata pangkal ayat yang sering digunakan ialah seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun.
f)       Penggunaan partikel pun dan lah sering digunakan bersama perkataan lain seperti kendatipun, tersebutlah.
g)      Menggunakan tulisan Jawi iaitu pinjaman huruf atau aksara daripada bahasa Arab yang ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
h)      Penggunaan banyak kosakata daripada pengaruh Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan, perubatan, falsafah, tasawuf dan pemerintahan dan pentadbiran.
i)        Frasa dan ayat daripada pengaruh Arab terutamanya dalam kitab-kitab klasik Melayu. Contohnya ialah penggunaan frasa ketahuilah olehmu dan maka kemudian daripada itu.
j)        Terdapat unsur-unsur falsafah Islam dalam hasil penulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu kalam, tasawuf dan Aqa’id al-lman.
Bahasa Melayu klasik melalui zaman kegemilangan setelah pemerintah kerajaan Melayu memeluk agama Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada para pedagang Islam ketika itu.  Tiga tampuk pemerintahan kerajaan Melayu terpenting pada zaman itu terdiri daripada kerajaan Melaka, kerajaan Aceh dan kerajaan Johor-Riau. Selain itu, pada zaman ini juga telah lahir beberapa tokoh penulis yang tersohor seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.  Beberapa naskah karya sastera terkenal turut dihasilkan pada zaman ini. Antaranya ialah hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Hang Tuah Bustannus Salatin, Sejarah Melayu dan sebagainya. (Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain,2006)  Zaman bahasa Melayu klasik agak panjang. Seiring dengan peredaran zaman, bahasa Melayu ini turut mengalami perubahan.  Perubahan-perubahan yang berlaku bersama dengan kepesatan teknologi penerbitan telah memodenkan bahasa Melayu ini.
1.2       Zaman bahasa Melayu Moden
Zaman bahasa Melayu moden bermula sekitar abad ke 19. Bahasa Melayu moden berasal dari bahasa Melayu klasik.  Perintis bahasa pada zaman ini ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau dikenali sebagai Abdullah Munsyi.  Beliau telah mengarang Hikayat Abdullah (1840) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1837) merupakan permulaan kepada penggunaan bahasa moden yang menjadi lambang kepada perubahan bahasa dan kesusasteraan Melayu moden. Karya Abdullah Munsyi ini berkonsepkan penulisan yang lebih moden malahan karya beliau juga bebas daripada unsur-unsur luar biasa dan khayalan seperti mitos seperti yang terdapat dalam kebanyakan karya sastera Melayu klasik.  Konsep ini kemudiannya diteruskan pula oleh seorang lagi pengkarya iaitu Raja Ali Haji bin Raja Ahmad yang menghasilkan Tuhfat al-Nafis, Silsilah Melayu dan Bugis dan Sekelian Raja-rajanya.  Pada abad ini dikatakan turut berlakunya kebanjiran pendatang luar terutama dari Barat ke Asia Tenggara.  Kedatangan penjajah khususnya pihak Inggeris dikatakan telah melahirkan ramai sarjana Melayu yang terlatih dalam bidang ini.   Bahasa Melayu semakin berkembang luas seiring dengan kedatangan pihak barat apabila bahasa ini turut menerima pengaruh barat sama ada dari sudut gaya penulisan mahupun  terjemahannya.  Ledakan teknologi yang berlaku terutama dalam bidang percetakan menyebabkan penerbitan bahan-bahan penulisan berbahasa Melayu tersebar luas dengan lebih pantas.  Penerbitan akhbar-akhbar bahasa Melayu seperti Jawi Peranakan, Bintang Timor, Chahaya Pulau Pinang dan beberapa lagi menjadi bukti kukuh perkembangan ini.  Selain itu, penubuhan beberapa pertubuhan bahasa Melayu ’Pakatan  Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa Melayu’ diadakan untuk meningkatkan taraf serta peranan bahasa Melayu.  Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan turut mula diperkenalkan di sekolah-sekolah negeri-negeri Selat pada tahun 1821.  Penubuhan Maktab Perguruan Melayu atau Malay Training College yang pertama mula dibuka di Singapura pada tahun 1878 untuk melatih guru-guru untuk mengajar bahasa Melayu.
Bahasa Melayu diperkasakan lagi selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.  Pelbagai usaha telah dijalankan untuk memajukan bahasa ini dalam bidang pentadbiran, pemerintahan negara, pendidikan, kehakiman  dan sebagainya. Dan kini, selama 50 tahun perancangan bahasa Melayu berlangsung, bahasa Melayu telah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa moden yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi di persada dunia dengan bahasa-bahasa moden yang lain.  Antara ciri-ciri bahasa Melayu moden ialah:
  1. Tidak lagi menggunakan pendahuluan dan mukadimah yang meleret-leret dalam penulisan.
  2. Unsur pemula atau kata praklausa seperti arakian, hatta, kalakian dan sebagainya tidak lagi digunakan dalam penulisan bahasa Melayu moden.
  3. Bahasa melayu mempunyai struktur bahasa dan nahu yang lebih bersistem.
  4. Bahasa Melayu moden mempunyai banyak kata pinjaman kesan daripada penaklukan kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris selain bahasa Arab dan Parsi kesan daripada pengembangan agama Islam.
  5. Penulisan bahasa Melayu moden lebih tepat menyampaikan fakta serta kurang menggunakan ungkapan yang beralas berbanding penulisan dalam bahasa Melayu klasik.
2.0        Analisis Perbezaan Antara Bahasa Melayu Klasik Dan Bahasa Melayu Moden
         Bagi tujuan kajian ini, analisis yang dijalankan adalah untuk melihat perbezaan terhadap bahasa melayu klasik yang terdapat dalam teks hikayat Sejarah Melayu dengan bahasa melayu moden daripada sudut morfologi(perkataan) dan sintaksis(ayat).  Sejarah Melayu dikarang bertujuan menceritakan mengenai raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu terutama raja-raja Melaka, dan merakamkan segala adat istiadat Melayu yang menunjukkan satu tatacara pentadbiran/pemerintahan menurut etika adat Melayu yang bersandarkan ajaran Islam.  Ramai sarjana terutamanya ahli penyelidik Barat menganggap Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin sebagai hasil sastera Melayu yang terpenting dan terbaik antara hasil sastera Melayu lama.  Dalam penulisan ini, pengkaji telah memilih naskah Hikayat Sejarah Melayu edisi W.G. Shellabear (1986) yang telah ditulis dalam tulisan rumi pada tahun (1898) yang mengandungi 34 cerita dan diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. Pengkaji juga telah menggunakan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2009) sebagai rujukan bahasa Melayu moden untuk melihat perbezaan di antara dua bahasa tersebut. 

         Teks Sejarah Melayu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mukadimah, kandungan isi dan penutup. Dalam naskah edisi Shellabear mengandungi tiga puluh empat (34) cerita atau bab. Bahasa Melayu yang digunakan dalam Sejarah Melayu ini, dikategorikan sebagai bahasa Melayu klasik yang pernah digunakan atau dituturkan oleh sekelompok masyarakat pada suatu ketika dulu. Oleh kerana bahasa mempunyai sifat dan cirinya tersendiri, ia juga turut berkembang mengikut peredaran zaman dan tahap kemajuan sesebuah masyarakat. Namun, bahasa Melayu mempunyai sifat terbuka dan telah menerima banyak perubahan terutama dari segi kosa kata.

2.1              Analisis Bahasa Dari Sudut Morfologi (Perkataan)
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata dan golongan kata.  Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal ataupun hasil dari proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan kesamaan bentuk dan fungsinya. (Nik Safiah Karim et.al, 2008). 
Menurut Asmah Hj Omar (1991), perbendaharaan kata Melayu asli terdiri daripada tiga subkategori iaitu kata Melayu Am, kata Melayu dialek dan kata Melayu klasik atau arkaik. Kata arkaik ini merupakan kata yang tidak lagi digunakan pada hari ini.  Hal ini bermakna penggunaannya semakin usang.  Namun begitu penggunaannya begitu ketara dalam teks Sejarah Melayu.  Jadual berikut menunjukkan beberapa contoh perkataan dalam bahasa  Melayu klasik (halaman 44)  dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat .(2010)

2.1.1        Perkataan  Melayu klasik / Arkaik

Bil
Bahasa klasik
Bahasa moden
1.
Ayapan
Makanan dan minuman
2.
Waad
Janji

Jadual 2.1: Perkataan  Melayu klasik / Arkaik

Tetapi kini, kebanyakan kata ini tidak lagi digunakan dalam pertuturan atau tulisan bahasa Melayu baku. Ini mungkin disebabkan bahasa itu sendiri yang mengalami perubahan yang pesat seiring dengan zaman. Namun, kata arkaik akan terus hidup dalam penggunaan yang terhad oleh golongan istana. Justeru selagi ada golongan istana, selagi itulah akan terpelihara kota kata arkaik daripada pupus akibat ditelan zaman.
 
2.1.2        Kata Pinjaman

Leksikon bahasa Melayu penuh dengan berbagai-bagai jenis perkataan, seperti kata warisan, kata pinjaman atau kata serapan, kata slanga, kata basahan dan istilah.
Perbezaan dalam bahasa klasik juga dapat dilihat menerusi penggunaan kata pinjaman.  Teks Sejarah Melayu mengandungi banyak kata pinjaman daripada bahasa-bahasa lain seperti Sanskrit, Arab, Parsi, Jawa. Ini  disebabkan semasa perkembangannya bahasa Melayu turut menerima serapan daripada bahasa-bahasa tersebut bagi menambahkan perbendaharaan kata Melayu. Berikut adalah beberapa contoh kata pinjaman yang digunakan dalam teks Sejarah Melayu ). ( halaman 21, 44 dan 56 )  dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010

 
2.1.2.1  Pinjaman Bahasa Arab

Bahasa klasik
Bahasa moden
Munajat
doa
makhdum
tuan

Jadual 2.2 : Pinjaman Bahasa Arab

2.1.2.2 Pinjaman Bahasa Parsi

Bahasa klasik
Bahasa moden
Nobat
Gendang besar
Istana
Rumah kediaman raja

Jadual 2.3 : Pinjaman Bahasa Parsi

2.1.2.3 Pinjaman Bahasa Jawa

Bahasa klasik
Bahasa moden
Manira
aku
adipati
raja

Jadual 2.4 : Pinjaman Bahasa Jawa

2.1.3              Bahasa Istana

Selain itu, teks Sejarah Melayu merupakan teks yang tinggi nilai bahasanya dan kebanyakan cerita adalah berkaitan dengan golongan istana dan bangsawan. Justeru pengarang banyak menggunakan bahasa istana di dalam teks ini. Penggunaan bahasa istana dalam teks ini amat ketara digunakan untuk kata panggilan atau kata gantinama diri pertama, kedua dan ketiga.  Antara contoh kata gantinama diri dalam bahasa istana seperti terdapat dalam teks Sejarah Melayu ialah: ( halaman 13)



Bahasa klasik
Bahasa moden
Tuan hamba
Awak
Tuanku
raja

Jadual 2.5 : Kata Gantinama Diri

Kata gantinama diri tersebut digunakan oleh golongan diraja dan orang-orang bangsawan ketika itu.  Selain kata gantinama diri , terdapat juga penggunaan bahasa istana bagi jenis kata nama dan kata adjektif dalam teks Sejarah Melayu .(halaman 110) Contohnya:

Bahasa klasik
Bahasa moden
Destar
Kain ikat kepala
Gundik
Isteri tidak rasmi

Jadual 2.6 : Kata Nama

Bahasa klasik
Bahasa moden
Gering
Sakit
Murka
Marah

Jadual 2.7 : Kata Adjektif

2.1.4.   Imbuhan

Proses pengimbuhan merupakan proses utama pembentukan kata dalam Sejarah Melayu. Ciri sesuatu kata boleh menerima imbuhan per- dan ber- bukanlah merupakan ciri-ciri bahasa Melayu moden. Pengimbuhan per- dan ber- dengan makna yang sama jelas memperlihatkan ciri-ciri bahasa Melayu klasik. Bentuk yang dilihat dalam pengimbuhan ini menunjukkan bahawa bahasa dalam Sejarah Melayu adalah dalam proses transisi, iaitu daripada bentuk klasik perlahan-lahan akan berubah kepada bentuk bahasa Melayu moden. Berikut merupakan beberapa contoh imbuhan per- dan ber- yang didapati dalam teks Sejarah Melayu:   

           
Bahasa klasik (Per- )
Bahasa klasik (Ber-)
Bahasa moden
(di)perbuat(kan/lah/nya)
berbuat(lah)
membuat
pertuan(kan)
bertuan(kan)
memilih seseorang sebagai tuan

Jadual 2.8 : Imbuhan per- dan ber-

Selain itu penggunaan imbuhan akhiran juga menunjukkan perbezaan yang ketara di antara bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. Contohnya:

Bahasa klasik
Bahasa moden
Dinamai
dinamakan
Campaki
campakkan

Jadual 2.9 : Imbuhan akhiran

Dalam bahasa Melayu klasik, imbuhan akhiran ‘i’ akan digunakan untuk menunjukkan sesuatu perbuatan tetapi dalam bahasa Melayu moden ianya ditukar kepada imbuhan ‘kan’.(halaman 16)

2.1.5      Penggandaan

Proses pembentukan seterusnya yang terdapat teks Sejarah Melayu ini ialah penggandaan.  Penggandaan kata dalam teks Sejarah Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam penceritaan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Dua bentuk penggandaan yang banyak terdapat dalam teks Sejarah Melayu ialah penggandaan penuh dan penggandaan berentak. Jadual di bawah menunjukkan beberapa contoh kata ganda dan maksudnya dalam bahasa Melayu moden.  (halaman 4, 21 dan 35)






2.1.5.1  Penggandaan penuh
Bahasa klasik
Bahasa moden
Safa-safa
terang
Panji-panji
bendera


Jadual 2.10 : Penggandaan Penuh

2.1.5.2  Penggandaan berentak

Bahasa klasik
Bahasa moden
sayur-mayur
Sayur-sayuran
Panca-persada
Rumah bertingkat lima tempat pengantin raja

Jadual 2.11 : Penggandaan berentak


 Ada di antara kata ganda ini yang sudah tidak digunakan lagi kerana dianggap terlalu lama seperti panca-persada dan ada yang telah diubahsuai semula dari sudut ejaan, contohnya sayur-mayur di ubah menjadi sayur-sayuran yang menunjukkan pelbagai jenis sayur.

2.1.6        Golongan Kata

Selain itu , analisis juga dijalankan dari sudut penggunaan golongan kata yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu.  Pengkaji mendapati terdapat beberapa jenis golongan kata dalam teks menunjukkan perbezaan yang ketara di  antara bahasa klasik dan bahasa moden.  Antaranya ialah kata nama dan kata kerja. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan antara penggunaan kata nama  dan kata kerja dalam bahasa klasik dan bahasa moden. (halaman 60)



Bahasa klasik
Bahasa moden
Ketur
Tempat ludah atau basuh tangan
Puan
Tempat sireh atau tepak sireh

Jadual 2.12 : Kata Nama

Bahasa klasik
Bahasa moden
Bermukah
Berzina
Menitir
Memukul gendang bertalu-talu dengan cepat

Jadual 2.13 : Kata Kerja


2.1.7        Penggunaan partikel ’lah dan ’pun’ Dalam Perkataan


Kebanyakan kosakata yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu mempunyai partikel ’lah dan ’pun’ dihujungnya.  Dalam bahasa Melayu moden, partikel ’lah dan ’pun’ bertindak sebagai kata penegas. Contohnya: (halaman 155, 87)
Bahasa klasik
Bahasa moden
Adapun
Sebenarnya
Sampailah
Telah sampai
Jadual 2.14 : Kata partikel ’lah’ dan’pun’

2.2      Analisis Bahasa Dari Sudut Sintaksis

Sintaksis pula merupakan ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis juga membawa maksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

Ayat merupakan unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat mengandungi unsur klausa, klausa terbentuk daripada frasa dan frasa terdiri daripada perkataan. (Nik Safiah Karim, 1996). Za’ba (1953) pula mendefinisikan ayat itu ialah apa-apa susunan perkataan yang cukup memberi faham, terjadi daripada benda dan cerita dari hal benda itu.

2.2.1        Jenis Ayat

Apabila membincangkan jenis ayat dalam Sejarah Melayu, Awang Sariyan menyatakan bahawa Sejarah Melayu atau Sulalat-us-Salatin mempunyai kecenderungan menggunakan ayat majmuk lebih banyak daripada ayat mudah dan ayat transfomasi satu dasar” ( dipetik daripada: Kang Kok Sok, 1995)

Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), ayat majmuk terbahagi kepada tiga iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Dalam Sejarah Melayu terdapat dua jenis ayat majmuk gabungan iaitu ayat majmuk gabungan yang hadir secara bersendirian dan ayat majmuk gabungan yang hadir dalam konteks ayat majmuk campuran. Dalam Sejarah Melayu terdapat ayat majmuk gabungan iaitu ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang disambung dengan kata-kata hubung dan, lalu, serta, lagi dan tetapi. Berikut adalah beberapa contoh ayat majmuk dengan kata hubung dan maksudnya dalam bahasa moden:


Contoh 1
“Maka puan dan segala alat kerajaan dan gendang semuanya diarak dahulu ke masjid.” (halaman 60)

Maksudnya:
Membawa tepak sireh, gendang dan semua jenis alat kebesaran ke masjid.

Contoh 2
“Maka baginda pun menganugerah Tun Telanai dan Menteri Jana Putra dengan selengkapnya serta puji baginda akan Menteri Jana Putra itu. (halaman 97)

Maksudnya:
Ayat ini pula bermaksud raja telah memberikan anugerah dan pujian kepada Tun Telanai dan Menteri Jana Putra.

Terdapat lebih daripada satu kata hubung (bergaris) dalam ayat menunjukkan lebih daripada satu ayat tunggal yang digabungkan menjadi ayat majmuk.

2.2.2        Proses Pembentukan Ayat

Dalam konteks Sejarah Melayu struktur ayat dalam teks tersebut berbeza dengan struktur ayat yang digunakan pada masa kini.        Proses pembentukan ayatnya yang panjang, meleret-leret, berbelit-belit dan disambung dengan berbagai-bagai kata hubung atau tanda baca ialah merupakan salah satu ciri laras bahasa Melayu klasik. Misalnya:

Contoh 4
“Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar sembah bendahara dan segala orang besar-besar itu, maka terlalu sukacita baginda, seraya meraih leher paduka ananda baginda, dipeluk dicium baginda seraya bertitah ‘Hai anakku, dan cahaya mataku, engkau kerajaan, hendaklah bendahara dan sekalian hulubalang; sangat-sangat adil saksama pada hukum atas bala tenteramu. Jangan engkau dengar-dengaran barang sembah orang yang tiada dengan sebenarnya; sangat-sangat ampun periksamu akan mereka itu sekalian kerana ia bernaung kepada keadilan dan kemurahanmu; dan jangan taksir daripada menafahus dan memeriksai atas rakyatmu, supaya sentosa kerajaan engkau. Maka Sultan Muda pun terlalu sangat baginda menangis di atas ribaan paduka ayahanda baginda”. (halaman 219)

Maksudnya:
Ayat yang panjang di atas digunakan untuk menceritakan kejadian yang berlaku sebelum pemergian Sultan Mahmud Syah yang kembali ke rahmatullah. Pengarang menukilkan nasihat-nasihat dan pesanan terakhir untuk anakandanya supaya dapat memerintah dengan adil.  

2.2.3    Ragam Ayat Pasif

Bagi aspek ragam ayat pula, pengkaji mendapati teks Sejarah Melayu ini mengandungi banyak struktur ayat pasif dan ayat songsang.  Ayat pasif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Sementara ayat songsang atau ayat terbalik pula ialah ayat yang mendahulukan predikat sebelum subjek.  Ayat ini berlawanan daripada pola ayat biasa iaitu mengikut susunan subjek + predikat.  Contoh ayat pasif atau songsang yang terrdapat dalam teks hikayat ini ialah:

Contoh 5
“Maka oleh Raja China disuruhnya sayurkan kangkung itu, seperti kata Tun Perpatih Putih itu. ”( halaman 95)

Maksudnya:
Ayat di atas menceritakan bahawa tentang Raja China yang meminta kangkung itu di masak sayur. Ayat di atas menunjukkan predikat (disuruhnya sayurkan) mendahului subjek (kangkung).

Contoh 6
Maka dibuangkanlah orang mahkota itu.(halaman 28)

Maksudnya:
Ayat di atas menyatakan bahawa seseorang telah membuang mahkota tersebut.

2.2.4        Pengaruh Bahasa Arab

Selain itu, ayat-ayat di dalam teks turut mendapat pengaruh Arab dan bahasa Al-Quran. Ini terbukti apabila pengarang dengan mudah membawa petikan-petikan daripada Al-Quran, hadis dan berbagai-bagai lagi kitab Arab. Pengarang Sejarah Melayu juga tentunya seorang yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama Islam.

Contoh 7
Bi-‘smillahi’r-rahmani’r-rahim
AL-HAMDU li’llahi’l-ladzi la ilaha illa huwa, wa kana fi’l-azali wa la shay’a ma’ahu. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan yang tiada Tuhan hanya Ia, dan adalah Ia pada azal, tiada sesuatu juapun sertaNya. Wa huwa ‘I-abadiyyu ‘I-sarmadiyyu wa la shay’a ba’dahu.  Thumma khalaqa’l khala’iqa wa la hajata lahu. Dan ialah Tuhan yang abadi, lagi sentiasa adanya, dan tiadanya, dan tiada hajat bagiNya. Wa lamma arada ishara rub-buiyyatihi fa-khalaqa nura habihi; wa min dzalika ‘l-nuri khalaqa ‘l-anbiya’s wa fara’a rutbatahu. Maka tatkala Ia hendak menyatakan ketahuannya, maka dijadikanNya nur kekasihNya, dan daripada nur itulah dijadikan segala anbiak, dan diperangkatnya martabatnya…”        (halaman 1)

Maksudnya:
Petikan di atas merupakan mukadimah Sejarah Melayu mengandungi pernyataan berselang seli dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu yang memuji Allah S.W.T dan menegaskan kekuasaan-Nya, serta menyatakan kisah permulaan penciptaan makhluk.

2.2.5        Pengaruh Arab Dalam Ayat Dan Frasa

Selain penggunaan kalimah-kalimah daripada kitab Al-Quran dan hadis, pengaruh Arab juga banyak dikesan dalam penghasilan frasa dan ayat-ayat  teks Sejarah Melayu ini.

Contoh 8
Sebermula, maka tersebutlah sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, bersabda kepada sahabat: “Pada akhir zaman kelak ada sebuah negeri di bawah angin, Semudra namanya.( halaman 40)

Maksudnya:
Rasullullah s.a.w pernah bersabda kepada para sahabat bahawa pada akhir zaman nanti akan muncul sebuah negeri yang bernama Semudra.

2.2.6        Pengaruh Bahasa Jawa

Selain bahasa Arab dan bahasa Parsi, pengarang juga menggunakan bahasa Jawa untuk menceritakan kerajaan Majapahit . Contoh berdasarkan teks adalah seperti dibawah:

Contoh 9
Maka segala anak periai itupun melawan maka habis mati dibunuh orang, serta mati seorang diberi orang tahu pada Patih Adam, ‘Pengeran, si anu sampun pejah.’ Maka sahut Patih Adam, ‘Dimenei’, ertinya, Biarkanlah.’(halaman 159)

Maksudnya:
Ayat menerangkan tentang peristiwa pembunuhan yang dikhabarkan kepada Patih Adam tetapi tidak diendahkan olehnya.

2.2.7        Penggunaan Kata Pangkal Ayat / Praklausa

Di samping itu, dalam teks Sejarah Melayu mempunyai ayat-ayat yang pangkalnya dimulakan dengan perkataan praklausa atau pembuka ayat yang tidak digunakan lagi dalam bahasa moden seperti hatta, syahdan, sebermula dan sebagainya.
Antara contoh-contoh ayat yang menggunakan kata-kata ini adalah seperti berikut:

Contoh 10
Sebermula akan titah Sultan Mahmud pada keempat orang itu. ’ Apa kehendak tuan hamba sekalian,  pintalah pada kita;  jikalau apa sekalipun tiada kita tahani.’
(halaman 145)

Maksudnya:
Sultan Mahmud akan memenuhi semua permintaan keempat-empat orang itu.

Contoh 11
Hatta maka Pau Gelang pun besarlah.(halaman 119)

Maksudnya:
Ayat ini menggambarkan Pau Gelang  yang  telah dewasa.

Perkataan-perkataan seperti ini sudah dianggap usang dan tidak lagi digunakan dalam pembentukan ayat-ayat bahasa Melayu moden.  Dalam bahasa Melayu moden kata pangkal ayat disebut sebagai penanda wacana. Contoh penanda wacana dalam bahasa Melayu moden ialah seperti pada suatu masa, sejak itu, justeru, selain itu dan sebagainya.

2.2.8        Penggunaan Partikel ’lah’ dan ’pun’

Seterusnya, ayat-ayat dalam teks Sejarah Melayu ini juga dikesan banyak memasukkan partikel ’lah’ dan ’pun’ dalam perkataannya. 

Contoh 12
Adapun Sang Nila Utama dengan segala menteri, pegawai rakyat pergi berburu; maka terlalulah banyak beroleh perburuan. (halaman 28)

Maksudnya:
Sang Nila Utama yang ditemani pegawai-pegawainya telah pergi berburu dan mendapat hasil yang banyak.

Penggunaan partikel ini sebagai suatu kemestian dalam  ayat untuk menceritakan tentang sesuatu situasi.  Namun bagi bahasa Melayu moden penggunaan partikel ’lah’ dan ’pun’ tergolong dalam kategori kata penegas.  Kata ini berfungsi sebagai tanda menunjukkan kepentingan predikat dalam sesuatu ayat.

2.2.9        Laras Bahasa Istana

Bahasa istana ialah bahasa yang halus dan digunakan dengan sopan santun dan adab tertib tanpa mengira keadaan. Dalam teks Sejarah Melayu terdapat banyak penggunaan bahasa istana dalam komunikasi antara watak-watak yang terdapat dalam cerita.  Tetapi dalam bahasa Melayu moden, bahasa ini hanya dituturkan dikalangan keluarga diraja sahaja. Contoh penggunaan bahasa istana dalam ayat ialah:

Contoh 13
Adapun akan Sultan Mahmud Syah, ada lagi nenda baginda Sultan Alaudin, disebut orang Raja Tua; akan baginda itu kasih akan cunda baginda Sultan Menawar Syah daripada Sultan Mahmud. ( halaman 139 )

Maksudnya:
Sebenarnya Sultan Mahmud Syah masih mempunyai datuk iaitu Sultan Alaudin atau juga digelar sebagai Raja Tua. Tetapi Sultan Alaudin lebih menyayangi Sultan Menawar Syah daripada Sultan Mahmud Syah.

2.2.10    Penggunaan Kosakata Klasik

Sejarah Melayu dikarang dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Justeru, pastilah terdapat banyak kosakata klasik dalam ayat-ayatnya.  Ada di antara kosakata ini telah tidak digunakan lagi pada zaman moden ini. Contoh ayat dengan penggunaan kosakata klasik ini adalah:

Contoh 14
Maka oleh Sang Sapurba akan ananda baginda Sang Nila Utama itu dianugerahi baginda satu mahkota kerajaan, tiada bahana kelihatan emasnya daripada kebanyakan ratna mutu manikam yang terkena pada mahkota itu; dan dianugerahi cap kempa, seperti cap baginda juga rupanya, suatu cap itu dibelah dua. ( halaman 25 )

Maksudnya:
Sang Sapurba telah menganugerahkan mahkota kerajaan yang dipenuhi intan permata dan juga mohor diraja yang serupa dengan kepunyaannya kepada anakandanya Sang Nila Utama.



3.0              Kesimpulan

Berdasarkan analisis yang dijalankan, terdapat banyak perbezaan antara bahasa Melayu klasik dalam teks Sejarah Melayu atau Sulalat-us-Salatin ini dengan bahasa Melayu moden.  Perbezaannya dapat dilihat dari sudut morfologi (perkataan)  dan sintaksis (ayat). Hasil analisis dari sudut morfologi, terdapat perbezaan yang agak ketara dilihat menerusi penggunaan kata nama, kata adjektif, kata gantinama diri, kata pinjaman, kata ganda, imbuhan dan aspek bahasa halus iaitu bahasa istana.  Perbezaan wujud dari pelbagai aspek seperti makna dan  ejaan dalam bahasa Melayu moden.  Sementara dari sudut sintaksis pula, pengkaji menganalisis tentang proses pembentukan ayat, ragam ayat, ayat majmuk, pengaruh bahasa asing, laras bahasa, penggunaan kata penegas, kata praklausa dan kosakata klasik yang terdapat dalam teks Sejarah Melayu ini.  Seperti juga morfologi,  bidang sintaksis juga mempunyai perbezaan yang besar dengan bahasa Melayu moden.  Antara perbezaan yang dapat dikesan adalah berdasarkan aspek makna, struktur kata, struktur binaan dan ragam ayatnya.

Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa teks Sejarah Melayu ini mempunyai bahasa yang amat indah dan memberi kesan yang mendalam kepada pembaca atas nasihat-nasihat dan cerita-cerita yang boleh dijadikan teladan. Ini bertepatan dengan pandangan Abdullah Munsyi yang menyatakan kepentingan Sejarah Melayu bukanlah terletak pada maklumat sejarah yang terkandung di dalamnya tetapi pada bahasanya yang patut dijadikan contoh oleh semua orang yang mahu mempelajari bahasa Melayu yang betul dan halus.  Tidak hairanlah teks Sejarah Melayu ini telah dicetak sebanyak tiga kali dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Perancis.  Justeru, Sejarah Melayu dikatakan sebuah karya sastera yang amat termasyhur dalam kalangan rakyat negara kita.  Sejarah Melayu bukan sahaja berjaya memaparkan sejarah keagungan bangsa Melayu yang penuh dengan kehebatan dan pencapaian, bahkan berjaya memaparkan penggunaan bahasa Melayu yang begitu baik dan berkesan.



Rujukan

Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain.(2006).  Sejarah bahasa Melayu.  Kuala Lumpur:  Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd.

Asmah Haji Omar. (1991). Bahasa Melayu abad ke-16: Satu analisis berdasarkan teks Melayu Aqaid al-Nasafi. Kualau Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Asmah Haji Omar. (1992). Aspek bahasa dan kajiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Awang Sariyan.  Dipetik daripada Ensiklopedia kebudayaan Melayu  (1998).  Kuala Lumpur:  Dewan bahasa dan pustaka.
  Goay Teck Chong, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad. (2007).  Teks pra U STPM bahasa Melayu kertas 1. Selangor:  Longman Pearson Sdn.Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010).  Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Kang Kok Sok. (1995). Gaya bahasa sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 Nik Safiah Karim et al. (2008). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Shellabear, W.G. (1986). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
 Siti Hajar Abdul Aziz. (2011).  Bahasa Melayu I edisi kedua.  Selangor Darul Ehsan:  Oxford Fajar Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment