Sunday 4 May 2014

“Baka atau Persekitaran: Yang Manakah Lebih Mempengaruhi ke atas Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia”



1.0 Pengenalan
Perbincangan mengenai pengaruh baka dan persekitaran terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia menimbulkan kontroversi dalam kalangan penyelidik untuk melakukan pelbagai kajian. Dalam konteks ini, dapatan kajian berhubung isu baka dan persekitaran boleh dimanfaatkan sebagai dapatan saintifik yang boleh diaplikasikan dalam pemerhatian dan penilaian terhadap proses perkembangan manusia. 
Perdebatan antara dua faktor ini telah menyebabkan wujud pihak yang hanya berpegang kepada satu faktor sahaja yang mendominasi perkembangan dan pertumbuhan manusia. Baka (nature) boleh ditakrifkan sebagai faktor biologi dan genetik yang mempengaruhi perkembangan manusia. Manakala persekitaran (nurture) merupakan pengaruh yang diperolehi melalui persekitaran dan pengalaman yang mempengaruhi proses perkembangan individu ( Rice, 1992). Perdebatan tentang isu baka dan persekitaran berlaku kerana keakuran dan kegagalan untuk membezakan antara fungsi perkembangan dan perbezaan individu (Mccall, 1981).
            Isu perbezaan individu boleh merujuk kepada kajian yang dijalankan terhadap tahap kecerdasan anak angkat (McCall, 1981). Sekiranya anak angkat mempunyai pendedahan persekitaran yang sama dengan keluarga angkatnya tetapi mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza dengan keluarga angkatnya, maka ia dipengaruhi oleh faktor  baka yang dimilikinya. Contoh, sekiranya tahap kecerdasan anak angkat sama dengan kecerdasan keluarga kandungnya berbanding keluarga angkat, maka faktor baka atau biologi mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kecerdasan. Sekiranya tahap kecerdasan anak angkat tersebut lebih tinggi atau rendah daripada keluarga kandungnya sendiri, berkemungkinan perkara tersebut dipengaruhi oleh faktor persekitaran (Seifert & Hoffnung, 1997).

            Kajian turut dijalankan terhadap anak kembar seiras dan tidak seiras untuk mengenal pasti faktor yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia. Dapatan kajian menunjukkan pasangan kembar seiras mempunyai pengaruh baka yang lebih kuat berbanding pasangan kembar tidak seiras ( Berk, 2004). Hasil analisis kolerasi kecerdasan menunjukkan pasangan kembar seiras ialah 0.86 dan pasangan kembar tak seiras 0.55 ( Scarr, 1977;dalam Berk, 2004). Oleh itu, baka memainkan peranan yang lebih besar dalam perkembangan individu.
            Hasil kajian yang dijalankan oleh J.M.Horn pada tahun 1983 tentang tahap kecerdasan mendapati anak angkat dan ibu kandung yang berkongsi faktor genetik hanya mempunyai hasil kolerasi 0.28; hasil kolerasi hubungan anak angkat dengan ibu dan bapa angkat yang berkongsi persekitaran masing-masing memiliki 0.15 dan 0.12 sahaja. Analisis berikutnya menunjukkan anak kandung yang berkongsi pengaruh baka dan persekitaran dengan ibu kandung, bapa kandung dan adik beradik kandung mempunyai dapatan berikut, 0.21, 0.29 dan 0.33. Secara keseluruhan, kolerasi yang paling tinggi merujuk kepada hubungan anak kandung dengan bapa kandung dan adik beradik kandung (Rice, 1992). Kajian ini membuktikan pengaruh baka dan persekitaran lebih kuat berbanding pengaruh baka atau persekitaran sahaja.
             Faktor baka bukan sahaja mempunyai pengaruh terhadap kecerdasan individu tetapi turut mempengaruhi personaliti dan perangai seseorang. Kajian yang dijalankan terhadap 348 pasangan kembar seiras dan 44 pasangan yang dipisahkan menunjukkan faktor baka mempunyai pengaruh yang kuat berbanding persekitaran dalam tret-tret personaliti ( Rice 1992).
Menurut kajian apabila anak-anak sudah meningkat dewasa, pengaruh baka semakin berkurangan berbanding faktor persekitaran yang memainkan peranan yang lebih besar dalam proses perkembangan ( Riese, 1990;dalam Rice, 1992). Anak-anak yang sudah dewasa juga akan mempunyai personaliti tersendiri apabila mereka berjaya mencari identiti mereka sendiri.
Individu yang banyak bergantung kepada ibu bapa akan menjadi individu yang sukar berdikari dan membuat penyesuaian dengan persekitaran baru. Individu terbabit sukar untuk menerima perkara baru dalam persekitaran baru kerana kurang diberi pendedahan. Contohnya anak-anak yang tidak pernah tinggal di asrama dan tidak dilatih untuk berdikari akan mengalami masalah penyesuaian kerana kebanyakan aktiviti pengurusan diri perlu dilakukan sendiri. Pendedahan kepada persekitaran yang memtingkan sifat berdikari secara berterusan akan membantu individu tersebut untuk belajar dan melakukan penyesuaian. Oleh itu, faktor persekitaran mempunyai pengaruh langsung dalam proses perkembangan individu.
            Secara keseluruhan, perdebatan isu ini bukanlah perkara mudah ( Moshman, Glover & Bruning, 1987) untuk dirungkai pengaruh mana yang memainkan peranan yang lebih besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan individu. Contohnya, anak-anak yang berbangsa Melayu mempunyai kebolehan untuk berbahasa dengan baik kerana pengaruh genetik, tetapi bagaimana anak-anak tersebut dapat mempelajari sesuatu istilah atau perkataan dengan cepat bergantung kepada pengalaman yang dipengaruhi persekitaran ( Moshman, Glover & Bruning, 1987). 
            Walaupun kedua-dua faktor yang dibincangkan sukar untuk dipisahkan dan dibandingkan sumbangannya, seseorang pengkaji tidak dianggap bersalah untuk memilih satu pengaruh yang dianggap kuat dan tidak menafikan sumbangan pengaruh yang lain.

2.0 Isi kandungan
Sebagai seorang pengkaji, saya berpendapat bahawa faktor persekitaran lebih memainkan peranan yang besar terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia. Kefahaman tentang perkembangan manusia bukan hanya dilihat dari segi genetik sahaja tetapi merangkumi kefahaman yang menyeluruh tentang persekitaran sekeliling manusia ( Bee, 1994) dibesarkan seperti tahap pendidikan, peranan yang dimainkan oleh keluarga, ekonomi keluarga, rakan sebaya dan lain-lain. Setiap individu yang dilahirkan adalah berbeza antara satu sama lain dan tidak mewarisi keseluruhan bakanya. Sebagai contoh, anak A mempunyai tingkah laku, tret-tret personaliti, cara pemikiran dan minat yang berbeza dengan anak B. Umumnya kedua-dua individu ini adalah adik beradik (genetik) tetapi pendedahan kepada faktor persekitaran menyebabkan mereka berbeza antara satu sama lain. 
Pengaruh Faktor Persekitaran Terhadap Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia
Hasil analisa yang dilakukan, pengkaji berpendapat bahawa faktor persekitaran mempunyai pengaruh yang besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan manusia berbanding faktor baka. Pandangan pengkaji disokong dengan pendapat Watson yang menyatakan perubahan persekitaran boleh mempengaruhi tingkah laku dan perkembangan individu ( Bigner, 1983). Perubahan persekitaran yang positif dapat membantu individu menjadi seorang yang lebih positif dari segi tingkah laku, emosi dan kognitif. Komponen tingkah laku, emosi dan kognitif yang positif dapat membentuk konsep kendiri manusia yang unggul dalam proses perkembangan.
Sebagai seorang guru, pengkaji mendapati pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpendidikan tinggi boleh cemerlang dalam pelajaran apabila persekitaran tersebut memberi motivasi positif terhadap perkembangannya. Persekitaran yang membina boleh mencetus sumber inspirasi yang boleh diikuti dan dijadikan contoh. Contoh baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga secara berterusan mendorong perubahan tingkah laku.
Pengkaji juga mendapati pelajar-pelajar yang mempunyai ibu bapa yang kurang berpendidikan tinggi turut mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah. Faktor yang mempengaruhi kecemerlangan mereka ialah sokongan ibu bapa yang mementingkan agenda pendidikan. Ibu bapa mereka sanggup memperuntukkan sumber kewangan demi pendidikan walaupun terpaksa berhutang. Pengorbanan murni ibu bapa menjadi sumber motivasi untuk mencapai kejayaan. Kesusahan keluarga bukan menjadi penghalang kepada kejayaan individu sekiranya seseorang itu menjadikan kesusahan keluarga sebagai rangsangan untuk melakukan perubahan.
Kejayaan Nik Nur Madihah dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2008 merupakan contoh dan model yang boleh menyokong pendapat pengkaji tentang pengaruh persekitaran dalam proses perkembangan individu. Kemiskinan keluarga tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan kerana beliau mempunyai ibu bapa yang sentiasa memberi input dorongan untuk terus belajar. Walaupun bapa Madihah seorang nelayan tetapi sikap ayahnya terhadap kepentingan pendidikan telah mempengaruhi sikap Madihah sendiri untuk terus menuntut ilmu. Pendapat sesetengah pihak tentang kegagalan dalam pendidikan berpunca daripada kemiskinan keluarga adalah tidak wajar dalam konteks kejayaan Madihah.
Pelajar-pelajar yang tidak menerima dorongan dan didikan yang berterusan daripada ibu bapa akan mengalami kegagalan dalam proses perkembangan mereka. Senario ini berlaku apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek akademik dan pendidikan sahsiah anak-anak. Ibu bapa hanya menginginkan pencapaian yang baik tetapi tidak ada usaha berbentuk tindakan ditunjukkan terhadap anak-anak. Kesilapan ini menyebabkan anak-anak mula membentuk sikap yang menilai pendidikan itu tidak penting dalam hidup mereka. Secara langsung, anak-anak akan melalui proses perkembangan yang tidak sihat kerana kurang pengukuhan positif terhadap mereka di peringkat awal.
Pengaruh persekitaran bukan hanya dilihat dari segi kecemerlangan akademik sahaja tetapi turut mempengaruhi aspek pembentukan sahsiah dan akhlak yang mulia. Individu yang memiliki kecemerlangan akademik sahaja tidak akan menjamin kecemerlangan peribadi sekiranya tiada perdedahan terhadap persekitaran yang mendidik jiwa. Contohnya, seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik tetapi terjebak dengan budaya sosial yang tidak sihat kerana beliau kurang pendedahan terhadap aplikasi ilmu yang dimilikinya.
Terdapat individu yang kurang cemerlang dari segi akademik tetapi mempunyai sahsiah yang baik kerana pengaruh persekitaran mendorong beliau berkelakuan demikian. Dalam situasi ini, ibu bapa yang mendidik anak secara asertif boleh mempengaruhi pemikiran anak tersebut untuk berfikir tentang rasional dalam setiap tingkah laku. Persekitaran mendidik yang tidak efektif seperti terlalu memanjakan anak dan takut untuk menegur tingkah laku yang salah akan menjana pemikiran yang tidak rasional terhadap penerimaan tingkah laku. Anak-anak tersebut akan menganggap tingkah laku yang salah sebagai tingkah laku yang betul kerana ibu bapa mereka tidak pernah menegur tentang kesilapan tersebut. Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini, siapakah yang harus dipersalahkan kerana perkara ini merupakan senario yang semakin meruncing.
Institusi keluarga berperanan untuk mendidik individu tentang nilai, bahasa, kemahiran, kebolehan tertentu, budaya dan sebagainya. Selain itu, individu yang mempunyai keluarga akan merujuk ahli keluarga yang lain bagi mendapatkan maklumat, pertolongan dan sokongan (Berk, 2004). Oleh itu, pengaruh keluarga bukan hanya dilihat dari segi tahap pendidikan akademik anak-anak sahaja.
Contohnya, Adrin merupakan anak seorang nelayan dan secara langsung beliau terdedah dengan dunia seorang nelayan dan mampu untuk membantu ayahnya jika bapanya tidak ke laut. Pengkaji ingin menunjukkan bahawa persekitaran individu tersebut mempengaruhi beliau untuk melakukan proses penyesuaian terhadap persekitarannya. Sekiranya Adrin tidak terdedah dengan dunia nelayan, berkemungkinan beliau tidak mampu untuk membantu bapanya dalam hal-hal berkaitan kemahiran seorang nelayan.
Kaedah pembelajaran yang diadaptasi melalui peniruan merupakan elemen dalam faktor persekitaran. Anak-anak yang selalu didedahkan dengan tingkah laku tertentu akan mudah terikut secara automatik. Sebagai contoh, Dila selalu melihat ayahnya membaca buku-buku ilmiah pada waktu lapang dan sering duduk bersamanya. Tingkah laku yang ditunjukkan oleh bapanya menyebabkan Dila turut cenderung untuk melakukan perkara yang sama. Pembentukan tingkah laku tersebut boleh dikaitkan dengan teori pembelajaran sosial (social learning theory) yang menekankan proses pembelajaran melalui persekitaran sosial dan penilaian kognitif  ( Kretchmar, 2008 ).
Sistem kekeluargaan boleh mempengaruhi perkembangan manusia secara langsung dan tidak langsung. Pengaruh keluarga secara langsung boleh dilihat melalui bentuk layanan yang ditunjukkan oleh ibu bapa atau individu lain dalam keluarga. Ibu bapa yang menggunakan pendekatan yang baik dan layanan yang berhikmah terhadap anak-anak akan mendidik anak tersebut untuk membentuk sikap dan nilai yang baik. Manakala, ibu bapa yang menggunakan pendekatan mengherdik dan menengking sebagai mekanisma komunikasi boleh mempengaruhi anak mereka untuk bersikap kurang ajar dan tidak mengetahui nilai kesopanan dalam interaksi ( Berk, 2004). Oleh itu, tingkah laku dan sikap yang dipaparkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain boleh mempengaruhi proses perkembangan individu.
Pertumbuhan dan perkembangan manusia juga boleh dikaitkan dengan pengaruh tidak langsung. Contohnya, ibu bapa yang telah bercerai akan menyebabkan anak-anak mereka mengalami masalah emosi (Berk, 2004) yang boleh mengganggu kehidupan mereka.  Campurtangan pihak lain seperti datuk dan nenek turut menyumbang kesan kepada proses perkembangan individu. Contohnya, anak-anak yang ditinggalkan kepada datuk dan nenek akan lebih menyayangi datuk dan nenek mereka berbanding ibu bapa sendiri. Situasi ini akan menyebabkan anak-anak tersebut mudah mempelajari dan mengadaptasi persekitaran dan budaya yang diamalkan oleh datuk dan nenek mereka. Kesannya anak-anak tersebut sukar untuk menerima teguran ibu bapa sendiri dan lebih suka untuk tinggal dengan datuk dan nenek berbanding ibu bapa kandung.
Ibu bapa yang mempunyai pengetahuan tentang kepentingan pemantauan proses perkembangan dan pertumbuhan anak-anak tidak akan melepaskan tanggungjawab mereka kepada pihak lain secara keseluruhan. Tindakan sedemikian membantu ibu bapa untuk mencipta dan mencorak persekitaran yang lebih produktif untuk perkembangan anak-anak sebagai manusia yang unggul. Anak-anak juga akan menjadi lebih akrab dan rapat dengan ibu bapa dan memperolehi sumber kasih sayang yang mencukupi.
Perlaksanaan peraturan perlu dipraktikkan untuk membentuk disiplin serta mengelakkan tingkah laku yang tidak bermoral. Amalan sebegini dapat memperbaiki masalah tingkah laku sosial yang semakin menular dalam masyarakat. Masalah sosial yang berlaku sekarang mempunyai perkaitan dengan peraturan yang tidak dipraktikkan dan hanya dijadikan teori sahaja. Berdasarkan pepatah, sesuatu ilmu yang dipelajari tanpa diamalkan tidak berguna dan sia-sia sahaja. Menurut Bee ( 1994 ), ibu bapa yang dibesarkan dengan sistem disiplin yang lemah mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa yang mempunyai kemahiran mendidik dan pengurusan anak-anak juga tidak terkecuali mengalami masalah mendidik apabila mengalami tekanan di dalam hidup (Bee, 1994). Faktor tekanan boleh menjejaskan persekitaran dan mempengaruhi proses perkembangan individu.
Elemen yang turut menyumbang kepada peranan faktor persekitaran terhadap proses perkembangan individu ialah status socioekonomi. Status socioekonomi keluarga merangkumi tiga perkara berikut iaitu (1) tahap pendidikan, (2) pekerjaan dan kemahiran yang dimiliki (3) pendapatan ( Berk, 2004 ).  Golongan yang rendah status socioekonomi akan membentuk sikap rendah diri dan tidak dapat melaksanakan kuasa dengan baik kerana jenis pekerjaan yang dilakukan. Individu yang tinggi status socioekonomi mempunyai tahap keyakinan yang lebih tinggi dan dapat melaksanakan kuasa mereka. Ibu bapa yang rendah status socioekonomi lebih menekankan ciri-ciri luaran dalam mendidik anak seperti ketaatan, kepatuhan dan kebersihan, manakala ibu bapa yang tinggi status socioekonomi lebih menekankan tret-tret psikologi seperti kegembiraan, perasaan ingin tahu, mempunyai matlamat diri, kematangan sosial dan kognitif dalam mendidik (Berk, 2004). Oleh itu, anak-anak daripada dua keluarga ini mempunyai pendedahan dan persekitaran yang berbeza dalam proses perkembangan mereka.
Tahap pendidikan turut mempengaruhi perbezaan status socioekonomi dalam interaksi keluarga (Berk, 2004). Ibu bapa yang mempunyai status socioekonomi yang tinggi mempunyai peluang yang luas dalam membina persekitaran dan merangsang perkembangan individu. Pendapatan keluarga yang baik dapat mengurangkan tekanan dalam proses perkembangan. Keluarga yang mempunyai pendapatan yang tidak tetap dan sering bermasalah akan mengalami tekanan yang besar. Realitinya dapat dilihat dalam masyarakat kita apabila keluarga yang mempunyai pendapatan yang rendah akan mengalami masalah untuk menyekolahkan anak-anak. Alasan kekangan kewangan menyebabkan mereka memberhentikan anak-anak daripada meneruskan pengajian. Tindakan sedemikian mencerminkan sikap kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam perkembangan anak-anak. Anak-anak akan mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka sekiranya tidak diberi peluang untuk bersekolah walaupun mempunyai peluang berbuat demikian. Situasi ini boleh  berlarutan dan memberi kesan kepada generasi lain dalam keluarga.
Sikap ibu bapa yang hanya menyerahkan segala tugas mendidik kepada guru              di sekolah semata-semata turut menyumbang kesan terhadap perkembangan anak-anak sebagai individu. Secara umum, guru mendidik anak-anak sebagai pelajar di sekolah tetapi hakikat sebenar pendidik dimiliki oleh ibu bapa itu sendiri. Tindakan ibu bapa yang sering menyalahkan guru kerana gagal mendidik anak mereka adalah tidak wajar kerana tanggungjawab mendidik bermula di rumah.
Setiap ibu bapa perlu mempunyai kefahaman bahawa sikap dan tingkah laku negatif anak-anak mempunyai kaitan dengan mereka sendiri. Ibu bapa semestinya melakukan analisa dan penilaian tentang kesilapan atau kecacatan dalam mendidik. Sekiranya mereka dapat menyedari kesilapan dan melakukan pembetulan, anak-anak mereka akan turut sama melakukan perubahan. Anak-anak yang sudah meningkat dewasa sukar untuk mengubah tingkah laku negatif sekiranya ibu bapa mereka tidak mendidik sejak dari kecil lagi. Contohnya, anak-anak yang malas hendak menunaikan solat sukar untuk mengubah tingkah laku kerana ibu bapa mereka tidak pernah memberi penegasan kepada perlaksanaan solat semasa kecil. Dalam konteks ini, persekitaran yang dilalui oleh anak-anak turut mencerminkan sejauh mana kefahaman mereka tentang kepentingan menunaikan solat, tuntutan kewajipan dan sebagainya. Pepatah yang menyatakan “ Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya” mempunyai perkaitan dengan pengaruh persekitaran dalam pertumbuhan dan perkembangan individu.
Pendedahan kepada persekitaran yang mementingkan sikap individualistik turut mempengaruhi perkembangan individu. Individu yang dididik secara sedemikian lebih suka untuk hidup bersendirian, tidak suka untuk bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Persekitaran yang mementingkan amalan secara berkelompok membantu individu membentuk sikap dan tingkah laku positif. Masyarakat kolektivistik mendefinasikan diri mereka sebagai sebahagian daripada kelompok dan mementingkan matlamat kelompok berbanding matlamat individu. Masyarakat individualistik menganggap diri mereka tidak berkaitan dengan kelompok masyarakat dan lebih mementingkan matlamat dan keperluan peribadi ( Triandis, 1995;dalam Berk, 2004 ). Berdasarkan budaya Malaysia, kehidupan secara kolektivistik dianggap mulia dan amat digalakkan. Perkembangan dan pemodenan yang berlaku telah menyebabkan individu hari ini lebih mementingkan hidup secara individualistik. Mereka lebih suka untuk fokus kepada kerjaya, kehidupan yang selesa dengan memiliki aspek material tanpa melihat kepentingan bermasyarakat. Sikap sebegini berlaku disebabkan keluarga yang tidak mementingkan semangat kebersamaan di dalam aktiviti yang dijalankan. Terdapat ibu bapa yang tidak suka melibatkan diri dengan aktiviti anak-anak dan lebih suka membiarkan anak-anak tersebut melakukannya sendiri. Akibatnya, anak-anak membentuk sikap mementingkan diri dan tidak suka untuk berkongsi dengan pihak lain.
Secara ideal setiap keluarga mempunyai komponen peranan, peraturan dan kuasa. Ketiga-tiga komponen ini perlu dipraktikkan dan dilaksanakan dengan baik supaya persekitaran positif dapat dibina. Ibu bapa yang mengetahui peranan, peraturan dan kuasa yang perlu dilaksanakan tidak akan mengalami masalah besar untuk mendidik anak. Peranan dan kuasa yang sepatutnya dilaksanakan oleh seorang anak tidak sepatutnya dicerobohi oleh ibu bapa. Pencerobohan hak anak-anak menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk membuat keputusan, tiada kebebasan dan terkongkong. Persekitaran sedemikian menyebabkan perkembangan individu yang unggul akan menghadapi masalah.
Melalui tugasan ini, pengkaji banyak memberi penekanan kepada peranan keluarga sebagai salah satu komponen faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia. Penekanan tersebut diketengahkan kerana pengkaji berpendapat banyak perkara yang berkaitan perkembangan manusia bermula di rumah iaitu institusi kekeluargaan. Keluarga yang bermasalah atau tidak bermasalah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan. Punca utama masalah sosial hari ini ialah disebabkan oleh sistem dan struktur keluarga yang tidak berfungsi dengan baik. Pada hari ini, terdapat anak-anak kepada pasangan yang berpendidikan agama terlibat dengan tingkah laku negatif kerana kurangnya penegasan dan lemah kemahiran mendidik. Persekitaran yang kondusif dan konstruktif dapat membantu menjana pemikiran, jati diri, sikap, tingkah laku dan personaliti unggul. Faktor baka bukan penentu utama kepada perkembangan kerana setiap individu lebih banyak terdedah dengan proses sosialisasi.

3.0 Kesimpulan
            Sebagai kesimpulan, pengaruh faktor baka dan persekitaran terhadap pertumbuhan dan perkembangan manusia sememangnya sukar untuk dibuat pilihan yang manakah paling dominan ( Bigner, 1983 ).  Kedua-dua faktor ini mempunyai pengaruh dan sumbangan yang tersendiri terhadap perkembangan manusia. Pengaruh faktor baka atau persekitaran sahaja tidak dapat membentuk manusia yang unggul secara keseluruhannya. Kedua-dua faktor ini saling berinteraksi antara satu sama lain dan saling melengkapi.
            Individu yang dilahirkan mewarisi genetik ibu bapanya dan akan dididik untuk menjadi individu berguna. Pada peringkat awal, peranan tersebut terletak kepada ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak samada baik atau tidak. Kemahiran keibubapaan membantu untuk menyatukan unsur keunikan personaliti yang diwarisi dan persekitaran sosial yang dilalui. Penerimaan tentang pengaruh baka perlu dilihat dari perspektif yang mendalam iaitu sebelum berlakunya proses persenyawaan lagi. Pasangan suami isteri perlu menjaga tingkah laku dan mengubah tingkah laku yang negatif sebelum mengambil keputusan untuk mempunyai zuriat. Segala bentuk perbuatan yang dilakukan akan disimpan sebagai maklumat di dalam DNA pasangan. Anak-anak yang dilahirkan turut mewarisi maklumatyang dimiliki ibu bapa mereka. Contohnya, seorang bapa yang bersifat panas baran mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk memiliki anak yang turut mempunyai sifat yang sama.
Ibu yang hamil mempunyai pengaruh yang besar terhadap anak yang dikandung kerana berlaku proses komunikasi secara langsung melalui plasenta. Kandungan yang sihat bergantung kepada tahap kawalan emosi ibu itu sendiri. Wanita hamil yang berperwatakan baik akan melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Tahap kecerdasan ibu bapa yang tinggi turut diwarisi oleh anak-anak itu sendiri. Personaliti anak-anak pada peringkat awal adalah tidak stabil dan mudah untuk berubah. Pendedahan kepada persekitaran akan mendorong individu melakukan penyesuaian dan adaptasi terhadap tret-tret personaliti mereka.
Berdasarkan hasil kajian yang mengaplikasikan konsep interaksi ( baka dan persekitaran) telah menyenaraikan tiga faktor berikut yang mempengaruhi perkembangan: (1) perbezaan individu dari segi kebolehan, personaliti dan bentuk tingkah laku hasil interaksi faktor baka dan persekitaran, (2) kematangan dan limitasi genetik; proses pembelajaran tidak akan berlaku sekiranya terdapat limitasi genetik (3) kemampuan seseorang untuk memberi maklum balas terhadap rangsangan bergantung kepada kesediaannya untuk belajar ( Hurlock, 1980;dalam Bigner, 1983). Merujuk kepada dapatan tersebut, kedua-dua faktor ini memainkan peranan yang saling berinteraksi terhadap proses pertumbuhan dan perkembangan manusia.




4.0 Rujukan
Bee, H. (1994). Lifespan development. New York: HarperCollins Publishers.
Berk, L.E. (2004). Development through the life span (3rd ed.). USA: Pearson Education,Inc.
Bigner, J. J. (1983). Human development a life-span approach. New York: MacMillan Publishing Co., Inc.
Kretchmar, J. (2008). Social learning theory. Research Starters Academic Topic Overview,   1-7.
McCall, R.B. (1981). Nature-nurture and the two realms of development: A proposed integration with respect to mental development. Child Development, 52(1),1-12.
Moshman,D., Glover, J. A., & Bruming, R. H. (1987). Developmental psychology. USA: HarperCollins Publishers.
Rice, F.P. (1992). Human development a life span approach. New York: MacMillan Publishing Company
Seifert,K.L., & Hoffnung, R.J. (1997). Child and adolescent development (4th ed.). Boston: Houghton Mifflin Company.

1 comment:

  1. mohon berikan maklumat penulis supaya kajian ini dapat saya jadikan rujukan dalam membuat tugasan saya

    ReplyDelete