Kreativiti dan cabaran pelaksanaannya dalam bilik darjah
PENGENALAN
Matlamat wawasan 2020 menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang kreatif dan inovatif. Begitu juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memberikan penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi membangunkan negara. Usaha yang disarankan ini dilihat sangat relevan dengan aspirasi pendidikan seni visual kerana subjek ini dilihat sebagai satu cabang disiplin yang membolehkan fikiran kreatif berkembang kerana sifatnya yang tidak konservatif dan tidak jumud.
Hoffa (1964) menjelaskan bahawa program dan aktiviti seni visual seharusnya dijadikan landasan terbaik bagi proses pembelajaran di sekolah untuk mengembangkan kreativiti di kalangan murid. Selain menggalakkan penjanaan idea, mata pelajaran ini banyak memberi peluang dan kebebasan kepada murid untuk melakukan eksplorasi dan percubaan bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik. Justeru itu, pemupukan pemikiran kreatif perlu disemai semenjak daripada zaman kanak-kanak lagi. Guru-guru pendidikan seni visual perlu menguasai kaedah merangsang minda ke arah pembentukan individu kreatif.
Storm & Storm(2002) menyatakan kepentingan kreativiti dalam masyarakat telah lama disedari. Para pemimpin, ahli perniagaan,saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi meyatakan kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk di dalam sebuah negara. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berhasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada kreativiti rakyatnya adalah lebih mendesak.