Wednesday 7 November 2012

Pengaruh Bahasa Dalam TMK



1.0       Pendahuluan
Teknologi Maklumat (Information Technology-IT) sering digambarkan sebagai istilah yang timbul hasil penggunaan komputer, penyiaran, telekomunikasi dan rangkaian data. Tiga teknologi asas yang menyokongnya ialah perkakasan komputer, perisian komputer dan komunikasi data.  Teknologi maklumat terhasil daripada gabungan teknologi elektronik mikro, telekomunikasi dan komputer yang berkaitan dengan penerimaan dan penyampaian maklumat seperti perkataan, gambar, bunyi dan nombor kepada pengguna secara elektronik.  Perkakasan komputer merupakan mesin atau alat fizikal yang melakukan fungsi-fungsi asas kitaran pemprosesan data sama ada di luar talian ataupun di dalam talian. Fungsi-fungsi tersebut ialah penyediaan dan kemasukan data, pemprosesan, storan, input dan output.
Perisian pula merupakan jujukan arahan yang terperinci atau aturcara yang direkabentuk untuk mengarahkan komputer melaksanakan fungsi tertentu. Terdapat dua jenis perisian iaitu perisian sistem dan perisian aplikasi. Komunikasi data ditakrif sebagai pemindahan data dari satu tempat ke tempat yang lain secara elektronik dalam bentuk digital. Bagaimanapun, data digital perlu ditukar kedalam bentuk analog oleh modem sebelum komunikasi dijalankan. Contoh perkakasan komunikasi lain ialah Pemultipleks, Pemproses Hujung Hadapan dan Kad Antaramuka Rangkaian (Network Interface Card).

1.1       Definisi Teknologi Maklumat
Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat.  Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas iaitu berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah, penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Definisi teknologi maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Seperti yang diketahui umum, teknologi disifatkan sebagai satu bentuk pemudahcara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi sangat pantas. Sebenarnya teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.  Terdapat 3 asas penting dalam penggunaan teknologi maklumat.  Pertama, teknologi maklumat adalah untuk mengumpul maklumat. Ia digunakan untuk suntingan dengan menggunakan teknologi. Contoh, dengan menggunakan komputer ia boleh merekod bunyi, imej dan sebagai pengesan gerakkan.  Kedua, adalah untuk memanipulasikan maklumat dan proses semula imej. Ketiga, digunakan untuk berkomunikasi iaitu ia menjelaskan bagaimana teknologi maklumat digunakan untuk berkomunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada sumber kepada penerima.
2.0       Pengaruh Bahasa Dalam TMK
            Pada masa ini, bidang berkaitan teknologi maklumat amat penting.  Ekoran daripada ledakan teknologi maklumat ini turut memberi kesan terhadap penggunaan bahasa Melayu di Malayisa.  Kita sedia maklum bahawa bahasa yang digunakan terhadap penggunaan TMK ialah bahasa Inggeris.  Keadaan ini memberi kesan terhadap bahasa Melayu dalam penggunaan teknologi maklumat.  Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa dalam TMK menjadikan berlakunya kemerosotan fungsi dan keperluan terhadap bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap bahasa sendiri. 
Penekanan terhadap TMK di era globalisasi dan liberalisasi bermakna penggunaan Bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan oleh masyarakat dunia. Era TMK telah menunjukkan Bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan Bahasa Melayu digunakan di dalam era TMK sebagai bahasa perantaraan alternatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.           
 2.1       Peranan Bahasa Melayu Pada Era TMK
            TMK merupakan satu penemuan dan inovasi yang dicipta dari barat.  Bagi mengembangkannya maka penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan seluas-luasnya di seluruh dunia sehinggalah ke negara-negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi termasuklah Malaysia.  Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang mementingkan bahasa Inggeris.  Perkembangan era globalisasi memberikan cabara baru kepada bahasa Melayu.  Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak yang semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa.  Selain itu, penggunaan bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan-penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia.  Penggunaan bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan munculnya bahasa-bahasa yang tidak mengikut hukum tatabahasa yang betul.  Antara perkataan-perkataan baru yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam bahasa Melayu ialah  seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain lagi.  Hal inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira peraturan yang sedia ada.
Nik Safiah Karim (1999) berpendapat apabila TMK dikembangkan dalam bahasa Inggeris, maka istilah-istilah yang digunakan perlulah disesuai dan diselarikan dengan bahasa-bahasa rasmi dan utama di negara-negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti di Malaysia.  Walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa yang penting dalam TMK, namun perlu ada ruang bagi penggunaan bahasa Melayu mengikut keperluan masyarakat dan negara Malaysia.  Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa dalam TMK sebenarnya tidak mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan utama negara Malaysia sebaliknya akan memperkayakan lagi istilah tatabahasa Melayu sebagai bahasa TMK sehingga terbitnya Kamus Komputer oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
            Apabila TMK diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu, maka kita berpeluang untuk menjadikan dunia TMK tersebut dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.  Nik Safiah Karim (1999) juga berpendapat bahasa Melayu perlu diperlengkapkan dengan istilah-istilah yang cukup dan memenuhi maksud yang digunakan dalam bahasa Inggeris.  Walaupun sudah terdapat Kamus Komputer yang diperkenalkan, namun bagi penutur-penutur bahasa Melayu lebih suka menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.  Pengguna-pengguna Melayu yang bertutur bahasa Melayu misalnya lebih suka menggunakan istilah ’mouse’ daripada menggunakan ’tetikus’.  Begitu juga dengan isitilah-istilah lain seperti keyboard (papan kekunci), download (muat turun), upload (muat naik), password (kata laluan) dan lain-lain.  Keadaan ini terjadi akibat daripada sikap kita sendiri yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu juga mampu untuk digunakan dalam TMK.
            Dalam usaha untuk memastikan bahasa Melayu diterima dalam TMK, maka usaha-usaha perlulah dilakukan terutama dari segi pembinaan kosa kata, pembinaan laras dan pembinaan bahan.  Bahasa Melayu akan dapat menangani bidang TMK jika terdapat istilah-istilah yang relevan dan tidak semestinya daripada ungkapan-ungkapan
tulen bahasa Melayu.  Istilah-istilah ini boleh terdiri dalam bentuk pinjaman daripada bahasa Inggeris tanpa membuat penyesuaian kepada sistem bunyi bahasa Melayu dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu konsep serta istilah bahasa Inggeris.  Antaranya istilah-istilah seperti internet, e-mel, multimedia, web, perisian, cakera padat dan sebagainya yang telah diguna dan diterima secara meluas dalam pelbagai bidang penulisan berbahasa Melayu.  Apa yang menjadi masalah ialah pengguna sendiri yang menganggap istilah-istilah dalam bahasa Melayu tersebut sesuatu yang ganjil dan pelik.  Jadi mereka ini perlu diterapkan semangat patriotisme terhadap bahasa Melayu agar dapat menggunakannya dalam aktiviti TMK.
            Pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap penciptaan istilah-istilah seperti Bahagian Peristilahan, Dewan Bahasa dan Pustaka perlu berusaha untuk menyediakan kosa kata yang cukup supaya bahasa Melayu dapat digunakan dalam bidang TMK seperti mana penggunaan bahasa Inggeris.  Untuk menjayakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa TMK maka semua pihak daripada pucuk pimpinan hinggalah kepada rakyat perlu bekerjasama untuk menggunakan istilah-istilah TMK yang telah pun diterjemahkan oleh pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk mencipta istilah-istilah berbahasa Melayu dalam bidang TMK.
 2.2       Pengaruh Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Terhadap Bahasa Melayu
            Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) merupakan satu khidmat yang begitu popular di kalangan pengguna telefon terutamanya pengguna telefon bimbit.  Peringkat awal kemunculannya komunikasi ini hanya melibatkan dua pihak sahaja dan hanya boleh dilihat melalui skrin telefon sahaja.  Namun kini SMS yang dihantar kepada rangkaian-rangkaian televisyen telah dapat dibaca oleh seluruh penduduk melalui televisyen apabila televisyen memaparkan SMS berkenaan.  Apa yang menjadi kebimbangan kita sekarang ini ialah penggunaan bahasa yang tidak betul melalui SMS.  Rata-rata bahasa yang digunakan adalah bahasa yang tidak baku atau bahasa basahan.  Terdapat campur aduk antara bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa daerah dan dialek.  Terdapat juga singkatan-singkatan yang digunakan sewenang-wenangnya seperti leh join (boleh sertai), keta (kereta), camne (macam mana), pekaba (apa khabar),  sume (semua), pastu (selepas itu) , x nak (tidak hendak), wat (buat), cian (kasihan) dan lain-lain.  Selain itu terdapat juga perkataan-perkataan yang disingkatkan daripada bahasa Inggeris dan diMelayukan seperti lebiu (love you), opis (office), kol (call), tq (thank you) dan pelbagai lagi.
            Sebenarnya perkataan-perkatan ini bukanlah merupakan singkatan sebaliknya perkataan yang ejaannya telah diubahsuai sembarangan.  Keadaan ini sebenarnya tidak menyumbangkan kepada perkembangan bahasa tetapi sebaliknya mengelirukan serta membantutkan proses inovasi bahasa yang positif. 
            SMS yang merupakan alat penghubung di antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan kini dikatakan merosakkan bahasa.  Penggunaan simbol, kod dan singkatan-singkatan yang tidak sepatutnya terbawa-bawa dalam aktiviti rasmi sehingga dikatakan menjadi punca kemerosotan penguasaan bahasa Melayu terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat lainnya.  Malah antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam PMR beberapa tahun kebelakangan dikatakan berpunca daripada budaya SMS dan sembang internet.  Ramai calon menggunakan singkatan-singkatan dalam esei seperti yang dilakukan ketika bersembang di internet dan SMS.
            Bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bahasa akibat budaya SMS dan sembang internet ini, maka guru-guru haruslah memberi penekanan  kepada para pelajar agar tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi.  Di samping itu guru-guru harus menitikberatkan kaedah penyampaian bahasa Melayu di dalam bilik darjah terutamanya daripada aspek tatabahasa.  Para guru juga perlu menjadi contoh yang baik dalam penggunaan bahasa Melayu yang teratur dan anggapan bahawa bahasa Melayu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius perlu dikikis di kalangan pelajar. 

2.3       Pengaruh Bahasa Dalam Media
Media merupakan satu wadah penting yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku sesebuah masyarakat.  Perkembangan industri media kini sejajar dengan arus kemodenan dan kemajuan teknologi yang semakin canggih. Media merupakan sumber penyampai maklumat bagi memperolehi pengetahuan dan hiburan. Selain itu, media juga merupakan penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial anak-anak muda masa kini.  Jenis-jenis media ialah seperti saluran televisyen, internet,  radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan sebagainya.
Malaysia kini telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula berlumba-lumba menyiarkan berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik perhatian para penonton.  Persaingan ini lebih mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Hasilnya terdapat tayangan-tayangan yang melampaui batas-batas susila budaya rakyat Malaysia dan memberi pengaruh negatif terhadap golongan remaja dan bawah umur yang menonton.  Penggunaan bahasa tidak sopan juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak stesen televisyen.  Contohnya seperti rancangan “Lu Pikir La Sendiri’ yang dikelolakan oleh pelawak muda tanah air iaitu Nabil mempunyai pengaruh bahasa tidak sopan yang amat ketara.  Tajuk rancangan itu sendiri telah menunjukkan penggunaan bahasa yang tidak sopan.  Lebih menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama golongan anak-anak sekolah. 
Di samping itu, filem-filem seperti KL Gengster, Kongsi, KL Drift dan beberapa lagi banyak menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan.  Contohnya perkataan seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’,’beb’ sering diulang-ulang di dalam dialog sehingga naik jelak mendengarnya.  Namun begitu, ungkapan-ungkapan inilah yang sering ditiru dan menjadi ikutan oleh para remaja  apabila berinteraksi sesama mereka.
            Selain itu, penggunaan bahasa Melayu oleh media elektronik disifatkan oleh Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) semakin merosot kualitinya.  Pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.  Antara contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat. Nama pembesar berkenaan kerap kali disebut dengan panggilan hormat yang dan betul pada sebutan pertama, tetapi panggilan berikutnya hanya menggunakan nama peribadi beliau sahaja.  Dalam masyarakat Melayu, ini bukanlah amalan yang wajar atau berbudaya kerana sebagai tanda hormat nama peribadi mereka tidak patut disebut, tetapi digantikan dengan kata ganti nama yang sesuai dengan taraf atau kedudukan mereka dalam status sosial masyarakat.  Penggunaan kata ganti 'kita orang', 'korang', dan 'diorang' yang merujuk kepada ganti nama 'kami', 'kalian' dan 'mereka', yang kini meluas digunakan dalam drama terbitan stesen-stesen televisyen dilihat sebagai satu kesalahan yang mencemar dan merendahkan bahasa Melayu. Kesalahan bahasa itu jika tidak dibendung akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu kerana pengaruh media elektronik terhadap penonton dan pendengar khususnya kanak-kanak adalah sangat besar.
3.0       Kesimpulan.
             Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat.  Komunikasi ini berlaku secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi.  Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu.
            Masyarakat pengguna bahasa Melayu perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima cabaran perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang dipengaruhi oleh bahasa asing iaitu bahasa Inggeris.  Usaha untuk membentuk peristilahan bahasa Melayu dalam bidang ini perlu lebih progresif dan terbuka dengan menerima penyerapan masuk kata-kata asing bagi pengayaan perbendaharaan kata bahasa Melayu.  Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencorakkan bentuk masyarakat, struktur ekonominya dan persaingan sengit dalam pasaran antarabangsa.
Justeru, pelbagai langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada terus merebak dan berleluasa.  Usaha  pelbagai pihak daripada semua peringkat masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan dicapai.  Kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan bahasa yang betul perlulah dipertingkatkan.   Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai dan betul akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud semasa kita berkomunikasi dengan orang lain.  Memahami apa yang disampaikan menjadikan individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan gembira. Ini menandakan bahawa proses komunikasi itu berjaya.  Kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang memartabatkan kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam budaya kehidupan yang dilalui.

Bibliografi
Asmah Hj. Omar.  2002.  Setia dan santun bahasa.  Tanjung Malim:  Penerbitan Universiti Perguruan Sultan Idris.

Dr. Puteri Roslina Abdul Wahid.  (2011).  HBML4103 Sejarah perkembangan bahasa
    Melayu.  Selangor darul Ehsan.  Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim.  (1999).  Pemerkasaan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun
    abad ke-21.  Kertas kerja dibentangkan di seminar bahasa Melayu dalam era siber
    pada 28 -30 September 1999 di Hotel Lagenda, Kuala Lumpur.  Anjuran Dewan
    Bahasa dan Pustaka.

Teo Kok Seong. 1996. ”Penukaran kod dan bahasa: Satu fenomena kedwibahasaan”.Pelita Bahasa.Halaman 41-43.

Zaidi Ismail. 2005. Pelita bahasa. Kuala Lumpur.

Zamri Mahamod & Mohamed Amin Embi. (2008). Teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.  Teori dan praktis.  Shah Alam: Kharisma Publication Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment